Baru berusia 17 tahun, pelajar ini sudah melangkah jauh membawa tarian gamelan ke pentas dunia. Lebih manis, calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya, Nik Nur Nasuha Nik Ahmad berjaya mendapat naib johan pada International Festival Competition ABANICO Sofia.

Bukan itu sahaja, dia memperoleh kemenangan berganda apabila turut merangkul Persembahan Terbaik pada pertandingan yang diadakan di National Palace of Culture-Sofia Bulgaria pada 30 hingga 31 Mac lalu.

Menceritakan kejayaan bermakna itu, Nik Nasuha berkata, dia bukan berseorangan kerana turut disertai lima lagi ahli lain dalam kumpulannya untuk kategori Gamelan Kontemporari.

Persembahan gamelan di pentas dunia

"Kami sebenarnya daripada sekolah berlainan yang dipilih oleh Jabatan Pendidikan Negeri dari seluruh negara berdasarkan pencapaian sebelum ini.. kami hanya berjumpa pada sesi latihan yang diadakan di beberapa lokasi, lebih kurang dua bulan sebelum pertandingan.  

Cikgu Mohd Riza bersama kumpulan tarian gamelan kontemporari yang berjaya melakar kejayaan

"Memang kami bekerja keras untuk memberi persembahan terbaik pada pertandingan itu demi negara dan memperkenalkan tarian tradisi Melayu," katanya.

Katanya, halangan paling utama ketika pertandingan adalah cuaca sejuk di Bulgaria kerana bimbang tidak dapat membuat persembahan dengan baik.

Wakil negara ini dilatih oleh koreografer profesional yang juga Guru Muzik Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Meranti, Mohd Riza Feelaqiz Shauri.

Nasuha  bercita-cita ingin menjadi seorang doktor

“Untuk ke Bulgaria, saya mempunyai masa yang terhad untuk latihan.. saya perlu kuasai setiap gerak tari dan pola lantai, tapi saya boleh kuasai dalam masa sejam," katanya.

Katanya, walaupun dari pelbagai sekolah, mereka akan berjumpa di lokasi yang ditetapkan untuk berlatik bermula dari 2 Februari hingga 24 Mac.

"Antara lokasi yang kami sering buat latihan ialah di SK Meranti, Puchong, Methodist Girl School, Klang dan JPN Selangor," katanya.

Lima lagi ahli kumpulan ialah Edzmyra E man Mohamad Edzuan  dari SMK Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur, Putri Adrieana Nadhiera Suhaizam (SMK Taman Putra Perdana), Fairuza Husna Mohd Fauzi (MSU), Restu Annisa Amir (MRSM Felda, Perak) dan Amirah Aqilah Iman Azman (Kolej Yayasan Saad, Melaka).

Nik Nur Nasuha bersama ibunya, Nor Ruzaida.

Sebanyak 12 negara berentap ingin meraih kemenangan dalam lima kategori yang dipertandingan, tidak terkecuali Malaysia yang diwakili lima kumpulan tari pelbagai kategori.

Kata Nik Nur Nasuha, kumpulannya menang untuk Kategori Umur 16-18 Tahun dengan mempersembahan tarian gamelan kontemporari yang mengikut alunan muzik 'overture' dan makyong.

“Kami bukan sahaja membawa nama Malaysia, bahkan saya turut membawa nama sekolah ke pentas dunia. Tiada yang lebih menggembirakan, apabila dapat memperkenalkan tarian tradisional di mata luar. Sedikit sebanyak mereka kenal, betapa uniknya tarian tradisi Melayu, terutamanya gamelan," katanya yang membawa pulang trofi dan sijil penyertaan.

Menceritakan minatnya dalam seni tari kata Nik Nur Nasuha, ibunya, Nur Ruzaida Saleh, 45 menghantarnya ke kelas balet ketika usianya 4 tahun.

"Pada usia saya 8 tahun, saya jalani latihan tarian zapin dan joget inang dengan menyertai Pakngah Swatari.

"Saya pernah dijemput menjadi penari latar untuk persembahan penyanyi Noraniza Idris dan memenangi pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa," katanya.

Katanya, ketika di tingkatan 1, Nik Nasuha ditarakan ke Sekolah Seni selama dua tahun, sebelum ke SMK Cyberjaya.

Bijak Matematik

Walaupun mempunyai bakat besar dalam bidang seni tari namun Nik Nur Nasuha bercita-cita ingin menjadi doktor.

"Selepas ini saya perlu tumpukan perhatian kepada SPM.. mama pun dah aturkan kelas tambahan buat saya dari petang sehingga malam. Kalau boleh antara kesenian dan akademik perlulah seimbang,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Sementara itu, Nor Ruzaida berkata, Nik Nur Nasuha akan direhatkan daripada sebarang aktiviti tarian buat semestara waktu, bagi memberi fokus kepada SPM tahun ini.

“Selepas SPM nanti, Nasuha akan aktif kembali, bahkan team Pakngah Swatari sudah banyak kali bertanya tentang Nasuha,” katanya.

Nik Nur Nasuha bersama cikgu Rosnah Sarip

Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Cyberjaya, Rosnah Sarip berkata, selain aktif dalam bidang seni, Nik Nur Nasuha juga seorang yang aktif bersukan.

"Dia pernah mewakili sekolah dalam sukan bola jaring dan juga mengikuti perkhemahan perdana di Pulau Langkawi pada penghujung tahun lepas.

“Nik Nur Nasuha mempunyai bakat yang luar biasa, selain cemerlang dalam kokurikulum, dia juga sering menjadi pakar rujuk teman sekelas.. dia sentiasa memperoleh markah tertinggi dalam Matematik dan Matematik tambahan,” jelas guru Ekonomi dan Prinsip Perakaunan ini.

 

Pencapaian Nik Nur Nasuha

1. Tempat Kedua dan Persembahan Terbaik International Festival Competition ABANICO Sofia, Bulgaria 2019

2. Pingat Emas Festival of Colours of the World (FESCO) di UTP - 2015

3. Pingat Gangsa Semarak Tari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2015

4. International Children’s Festival Koceali, Turki 2013

5. Anugerah P Ramlee (Istana Budaya) 2013

6. Back up Dancer AF 7 (2013)

7. Malaysian Dance Carnival 2009

8. Backup Dancer Noraniza Idris.

9. Pertukaran Budaya di Jakarta, Indonesia, 2018.   

Kecemerlangan Malaysia di International Festival Competition ABANICO Sofia, Bulgaria 2019

1. Kategori umur 9-12 tahun (tarian inang renek) - Tempat Ketiga

2. Kategori umur 13-15 tahun (tarian sewang) : Grand Prix (juara-pemenang utama) dan Persembahan Terbaik

3. Kategori umur 16-18 tahun (tarian gamelan kontemporari) : Tempat Kedua dan Persembahan Terbaik

4. Nyanyian oleh Cikgu Khamidon - Tempat Pertama dan Mendapat Jemputan Khas ke Itali

5. Kategori duo (universiti) 19-21 tahun: (Tarian Makan Berjamba) Grand Prix (Juara) dan Persembahan Terbaik