Cantik dan sangat menenangkan.

Inilah yang penulis dapat simpulkan apabila terbaca posting Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Changgang, Mohamad Ali Alimin, baru-baru ini.

Dalam posting tersebut, kelihatan beberapa keping gambar berkaitan pondok pengawal keselamatan sekolah yang dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga.

Kelihatan susun atur pokok bunga tersebut sangat kreatif dengan bermacam-macam jenis bunga yang beraneka bentuk, corak dan berwarna warni. Memang jiwa menjadi tenang bila berada di persekitaran tersebut.

GPS Bestari mendapatkan Cikgu Mohamad Ali untuk bertanyakan dengan lebih lanjut.

Menurut beliau, kreativiti menanam pokok bunga itu adalah datang daripada kerajinan salah seorang pengawal keselamatan sekolah.

“Dia yang dimaksudkan adalah Nor Zilawati Zuhri.

“Nor Zilawati memang seorang yang rajin bercucuk tanam terutama tanaman pokok bunga.

“Setakat ini, dua jenis bunga iaitu bunga Ros Jepun dan bunga Vinca telah ditanam olehnya.

“Hasil kerajinannya, koleksi bunga-bunga dapat hidup dengan segar,” kata Cikgu Mohamad Ali.

Ujarnya lagi, bunga yang ditanam Nor Zilawati, diambil dari rumahnya sendiri.

“Ada juga sebahagian bunga yang sudah ada di sekolah…ditanam semula di kawasan berkenaan.

“Berkenaan pasu-pasu bunga pula, Nor Zilawati membeli dengan menggunakan duit dia sendiri selain daripada mencari botol mineral dan botol minyak masak untuk dijadikan pasu,” ujarnya.  

Selain Nor Zilawati, turut membantu menanam bunga-bunga tersebut ialah pengawal keselamatan lain iaitu Sapiah Ahmad, Zahid Zainal dan Nazrim Mohd Saruan.

Dalam masa sama, Cikgu Mohamad Ali memuji keperibadian Penolong Kanan Kokurikulum, Cikgu S Rosy Ahman yang merupakan ‘orang kuat’ di sebalik keindahan kawasan tersebut.

“Setiap hari Cikgu S Rosy akan singgah di pondok ini semata-mata mahu memastikan tanaman di situ tumbuh dengan baik dan segar.

“Beliau turut menyumbang tenaga dengan menanam pokok bunga orkid dan bunga-bunga lain dengan dibantu oleh guru-guru dan pekerja pembersihan,” jelasnya.

Cikgu Mohamad Ali menyifatkan Nor Zilawati seorang pengawal keselamatan yang sangat rajin.

“Dia memang suka tempat kerja yang cantik dan menganggap tempat kerja merupakan rumah keduanya.

“Dia tak kisah walaupun terpaksa menanam pokok bunga ketika panas terik, asalkan kawasan tersebut kelihatan cantik selalu,” jelas guru besar ini lagi.

Dek kecantikan dan keceriaan persekitaran tersebut, ramai pelawat yang tertarik dan memuji koleksi pokok bunga yang di tanam.

Malah tak kurang juga yang ingin mendapatkan anak pokok bunga Ros Jepun daripada Nor Zilawati.   

Pelawat juga turut memuji layanan mesra pasukan pengawal keselamatan sekolah berkenaan apabila mereka datang.

Rata-rata pelawat tertarik dan teruja dengan sikap sopan santun yang ditunjukkan.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam keceriaan dan kecantikan serta keindahan pondok keselamatan ini.

“Saya berharap, pondok ini akan sentiasa cantik dan ceria selalu,” katanya.

Artikel menarik

‘Dia malu cikgu, seluar dia buruk’ – Mengalir air mata guru ini melihat pakaian muridnya

Guru agama ini kongsi 13 tip kawal murid dalam kelas tanpa perlu merotan