‘WALAUPUN beliau dikenali sebagai guru yang tegas, namun sifat keibuannya sangat terserlah.

“Kepada Cikgu Aminahlah kami menumpang kasih, mengganti ibu ketika hidup di asrama.

“Kini, Cikgu Aminah yang kami sayangi diuji dengan kesakitan. Mohon doakan guru kami ini kembali sihat dan sembuh, agar kami berpeluang lagi mendengar nasihat tulus seorang guru.

Demikian perkongsian Ustazah Mawaddah Mohd Noor, seorang guru Bahasa Arab Sekolah kebangsaan Bertam Perdana, Pulau Pinang kepada wartawan GPS Bestari, Roshlawaty Raieh.

Ustazah Mawaddah (dua, kanan) dan anak-anak menziarahi Cikgu Aminah (kanan) pada Jun 2018.

Terdahulu, tular kisah Cikgu Aminah, seorang guru SMKA Sheikh Abdul Malek Terengganu yang kini berdepan sakit kritikal...dikunjungi dan mendapat bantuan daripada anak didiknya yang berlumba-lumba datang memberi bakti kepada Cikgu Aminah.   

Bermula dengan urusan discaj cikgu dari ward, urusan penghantaran cikgu pulang ke rumah, urusan mencari katil hospital, mencari tong oksigen dan penyediaan menu makanan…semuanya dikendalikan bekas pelajar SPM tahun 1990-an.

“Ini bukti kasih dan sayang yang tidak bertepi. Tanpa syarat. Tanpa paksaan. Hadir dari jiwa suci yang benar-benar tulus dan ikhlas.

“Saya terharu menyaksikan momen yang sangat indah ini. Melihat bakti ikhlas pelajar-pelajar ke atas guru mereka. Semoga hidup kalian dipayungi rahmat Allah atas sebab restu ilmu seorang guru,” kata Ustazah Mawarddah yang juga anak didik Cikgu Aminah.

Secara eksklusif GPS Bestari kongsikan coretan hati Ustazah Mawaddah buat Cikgu Aminah yang cukup istimewa di mata kami (mewakili semua rakan-rakan).

Ini coretan beliau...

Tiada kata-kata indah memuji dan memuja. Yang ada hanyalah terus mengajar dan mendidik tanpa jemu.

Tiada juga bicara lembut indah bermadah. Yang ada hanyalah mutiara hikmah penuh ketegasan.

Inilah Cikgu Aminah kami. Guru yang kekal disayangi dan dikasihi oleh semua pelajarnya biarpun telah berpuluh tahun kami meninggalkannya.

Walaupun masing-masing telah lama melangkah pergi meninggalkan cikgu demi memburu cita-cita dan cinta. Namun, nama Cikgu Aminah terus meniti di bibir kami. Jasa dan kasihnya kepada kami, tidak mungkin dilupa.

Biarpun dikenali sebagai guru yang tegas, sifat keibuannya juga terserlah bahagia. Cikgu Aminahlah kami menumpang kasih mengganti ibu ketika hidup di asrama.

Jawatan warden asrama Cikgu Aminah bukan sekadar sebuah jawatan. Cikgu benar-benar melaksanakan amanah ke atas anak-anak yang menghuni asrama SMKA Sheikh Abdul Malek. Kami semua sudah dianggapnya sebagai anak sendiri.

Cikgu sering kelihatan di asrama. Sentiasa ada saat kami memerlukan bantuan. Sakit demam kami dijaga seperti anak sendiri. Sesekali beliau menasihati, tidak pernah mengguris hati.

Bicaranya tenang mendamaikan hati. Seumpama seorang ibu menasihati anak yang sedang nakal melalui alam remaja.

Uniknya lagi, cikgu dan anak-anak pelajarnya sangat akrab. Ketahuilah, masih ramai pelajar-pelajarnya yang kekal memanggil panggilan mak dan bonda sehingga ke hari ini.

Malah, apabila mendapat cahaya mata, juga dibawakan menemui cikgu yang dikasihi ini. Subhanallah. Sangat indah sebenarnya hubungan antara guru dan pelajar ini.

Cikgu Aminah walaupun seorang guru bahasa yang sangat hebat, sifatnya sangat merendah diri. Ada sahaja beliau bertanyakan persoalan agama kepada anak-anak pelajarnya dari sekolah aliran agama ini. Maka, hari demi hari, ilmu agamanya bertambah. Amalannya agama juga semakin baik  dan amat membanggakan kami.

Betapa jasa seorang guru yang mengasihi anak-anak pelajarnya dibalas dengan kasih yang berpanjangan daripada anak-anak pelajarnya. Saat cikgu kini semakin uzur dan tidak bermaya, semuanya bersatu hati menabur bakti kepada cikgu.

Sajak popular daripada Usman Awang menutup coretan saya ini. Mencerminkan jasa Cikgu Aminah yang amat kami sanjungi ini.

"𝐽𝑖𝑘𝑎 ℎ𝑎𝑟𝑖 𝑖𝑛𝑖 𝑠𝑒𝑜𝑟𝑎𝑛𝑔 𝑃𝑒𝑟𝑑𝑎𝑛𝑎 𝑀𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑖 𝑏𝑒𝑟𝑘𝑢𝑎𝑠𝑎

𝐽𝑖𝑘𝑎 ℎ𝑎𝑟𝑖 𝑖𝑛𝑖 𝑠𝑒𝑜𝑟𝑎𝑛𝑔 𝑅𝑎𝑗𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑎𝑖𝑘𝑖 𝑡𝑎𝑘ℎ𝑡𝑎

𝐽𝑖𝑘𝑎 ℎ𝑎𝑟𝑖 𝑖𝑛𝑖 𝑠𝑒𝑜𝑟𝑎𝑛𝑔 𝑃𝑟𝑒𝑠𝑖𝑑𝑒𝑛 𝑠𝑒𝑏𝑢𝑎ℎ 𝑛𝑒𝑔𝑎𝑟𝑎

𝐽𝑖𝑘𝑎 ℎ𝑎𝑟𝑖 𝑖𝑛𝑖 𝑠𝑒𝑜𝑟𝑎𝑛𝑔 𝑢𝑙𝑎𝑚𝑎 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑚𝑢𝑙𝑖𝑎

𝐽𝑖𝑘𝑎 ℎ𝑎𝑟𝑖 𝑖𝑛𝑖 𝑠𝑒𝑜𝑟𝑎𝑛𝑔 𝑝𝑒𝑔𝑢𝑎𝑚 𝑚𝑒𝑛𝑎𝑛𝑔 𝑏𝑖𝑐𝑎𝑟𝑎

𝐽𝑖𝑘𝑎 ℎ𝑎𝑟𝑖 𝑖𝑛𝑖 𝑠𝑒𝑜𝑟𝑎𝑛𝑔 𝑝𝑒𝑛𝑢𝑙𝑖𝑠 𝑡𝑒𝑟𝑘𝑒𝑚𝑢𝑘𝑎

𝐽𝑖𝑘𝑎 ℎ𝑎𝑟𝑖 𝑖𝑛𝑖 𝑠𝑖𝑎𝑝𝑎 𝑠𝑎ℎ𝑎𝑗𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑗𝑎𝑑𝑖 𝑑𝑒𝑤𝑎𝑠𝑎;

𝑆𝑒𝑗𝑎𝑟𝑎ℎ𝑛𝑦𝑎 𝑑𝑖𝑚𝑢𝑙𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝑠𝑒𝑜𝑟𝑎𝑛𝑔 𝑔𝑢𝑟𝑢 𝑏𝑖𝑎𝑠𝑎..

𝐷𝑒𝑛𝑔𝑎𝑛 𝑙𝑒𝑚𝑏𝑢𝑡 𝑠𝑎𝑏𝑎𝑟𝑛𝑦𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑔𝑎𝑗𝑎𝑟 𝑡𝑢𝑙𝑖𝑠-𝑏𝑎𝑐𝑎."

Ilmu dan kasih yang beliau semai di jiwa kami, kini sudah dituai ketika hayatnya. Sesungguhnya kami bersaksi bahawa guru kami ini mengajar memberi dengan hati. Tanpa mengharap balasan manusia. Sekadar mengharapkan menambah bekalan di hari kemudian.

Pastinya kebaikan Cikgu Aminah ini akan terus terpahat di sanubari ini sehingga akhir hayat. Semoga Allah merahmati guru kami ini. Selalu dan selamanya.

Doakan semoga guru kami ini kembali sihat dan sembuh. Agar kami berpeluang lagi mendengar nasihat tulus seorang guru.

Antara bekas pelajar SPM tahun 1990-an yang turun membantu memudahkan urusan Cikgu Aminah selepas beliau diuji dengan kesakitan.

Tip menarik:

Cikgu McNor kongsi tip penting subjek Sains dan tujuh kesilapan yang calon UPSR biasa buat

Nota dan kuiz ‘Adab Berpakaian’ untuk murid Tahun Empat - Perkongsian Ustazah Syafiqah Nabilah

Cara tengok 'responses' ataupun jawapan pelajar di Google Form

Cikgu Rahimi kongsi nota Matematik Tambahan untuk calon SPM mudah faham