"CIKGU, kalau cikgu sudi ambillah siput ni, ndak ada duit kami buat membayar cikgu datang minggu-minggu...tadi budak budak pigi paya bakau sana mencari.

Tersenyum gembira terus cikgu itu, sebab favorite dia adalah siput tanpa pengetahuan mereka.

Begitulah kata-kata Cikgu Muhamad Fazri Hassan menerusi laman Twitternya, kelmarin.

Merupakan guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Gas Sandakan, Sabah, Cikgu Muhamad Fazri berkata, gambar siput (seperti yang dikongsi ini) punyai kisah tersendiri.

"Terkejut bercampur gembira saya apabilah mendapat hadiah siput ini daripada murid saya," katanya kepada GPS Bestari.

Cikgu Muhamad Fazri

Cikgu Muhamad Fazri berkata, beliau terkejut sebab mereka memberi benda tu walaupun dia tak harapkan apa apa pun dari mereka.

"Tambah lagi saya memang suka makan siput ni... lama tak makan sebab susah nak cari," ujarnya.

Sebenarnya, hadiah siput tersebut ialah daripada murid Sekolah Tanah Hitam.

"Ya tugas hakiki saya mengajar murid pendidikan khas namun sejak tahun lalu saya telah menjadi guru sukarelawan mengajar di Sekolah Tanah Hitam pada setiap hari Rabu seusai sesi persekolahan saya di PPKI SK Gas Sandakan dan meluangkan dua jam bersama mereka. 

"Sekolah Tanah Hitam itu didirikan atas ihsan orang ramai yang memberikan sumbangan sehinggalah berdirinya sekolah tersebut," katanya.

Menurutnya, murid-murid di sekolah tersebut terdiri daripada individu yang tidak mempunyai dokumen (stateless and undocumented).

"Umur murid-murid di sana sekitar tujuh tahun sehinggalah 65 tahun. Jumlah kedatangan setiap minggu juga tidak menentu namun saya pernah dapat mengajar 50 orang sekaligus.

"Sudah pasti, saya tidak pernah abaikan tugas hakiki saya untuk murid pendidikan khas di SK Gas Sandakan," katanya.

Cikgu Muhamad Fazri

Tambah Cikgu Muhamad Fazri, ada juga beberapa orang guru sukarelawan yang bertugas pada hari lain...cuma ada yang bersifat sementara.

"Pada mulanya, saya dapat tahu perihal ini daripada rakan sekerja yang pernah mengajar dan membuat kerja sukarelawan di sana tahun lalu. Beliau memaklumkan peluang tersebut kepada saya sekiranya berminat.

"Keseluruhannya saya boleh nampak banyak potensi kalangan mereka dalam pelbagai bidang seperti bersukan termasuklah juga sahsiah yang sangat baik mereka tonjolkan.

"Dari segi akademik, ada antara mereka yang memang menunjukkan peningkatan yang ketara lagi-lagi dalam subjek yang saya ajar iaitu Matematik dan Bahasa Melayu," jelasnya.

Cikgu Muhamad Fazri berharap mereka dapat belajar sesuatu daripada ilmu yang beliau berikan dan menggunakan sebaiknya dalam kehidupan masa depan mereka.

#teachforbetterness

Artikel Menarik:

'Kerana sering gatal kepala, Cikgu Aisham nekad kutip kutu murid. Buang tepi jijik, kotor, geli'

'Cutipun murid datang sekolah' - Rimba Kecil berjaya selesaikan masalah kehadiran SK Sayong Pinang

'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar

Patutlah hari persaraan dapat hadiah jongkong emas, bukan 'kaleng-kaleng' cikgu sukan ini

'Saya tak pernah makan ayam sesedap ini, cikgu' - Tangisan pelajar B40 buat ramai sedih