BERTEMU dan berpisah itu lumrah, rasa rindu juga fitrah. Cuma kenangan sahaja yang membezakannya.

Demikian kata Aminah Mat Yusoff menerusi laman facebook Ummi Wafa.

Merupakan Guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Puteri, Batu Pahat, Johor, Ustazah Aminah berkata, rasa rindu pada bekas gurunya, masih tersemat kukuh di hati.

"Cikgu Hamidah disukai semua murid.

"Banyak keistimewaan yang ada pada beliau sehingga saya dan rakan-rakan merinduinya sehingga kini," ujarnya.

Ikuti perkongsian Ustazah Aminah mengenai cikgu yang dirinduinya itu.    

**********

Tinggallah kenangan manis buat mereka...

Seorang sahabat bertanya saya, siapakah guru yang paling awak rindu?

Ramai...Dari sekolah rendah sampai masuk Universiti.

Cikgu pertama yang mengajar saya erti rindu ialah Cikgu Hamidah. Dia pindah masa saya Darjah Tiga. Guru pertama yang berpisah dengan saya, penangannya sungguh hebat.

Kenapa saya masih terbayangkan Cikgu Hamidah, walaupun dia sempat mengajar saya hanya setahun sahaja?

1. Senyuman

Senyuman yang paling menenangkan jiwa. Setiap kali dia masuk kelas, semua murid menanti saat itu.

Allahu, kuasa senyuman itu melentur jiwa, memberi semangat, magnet yang menarik saya untuk datang ke sekolah masa tu.

Wajahnya yang lembut keibuan membuatkan kami rasa sangat hampir dan dekat dengannya. Kadang tu tidak segan bergurau senda, usik mengusik, buat lawak, lepas tu ketawa ramai-ramai.

Hari ini bila saya pandang wajah murid, saya tahu mereka juga mengharapkan kenangan yang manis dari saya agar mereka dapat kenang sampai bila-bila.

Bertemu dan berpisah itu lumrah, rasa rindu juga fitrah. Cuma kenangan sahaja yang membezakannya.

Kita mampu ukir nama dan wajah kita di hati anak didik dengan imej-imej yang baik dan positif agar ia berpanjangan, lalu diterjemahkan dalam kehidupan bila mereka dewasa nanti.

2. Jarang meninggikan suara kepada murid

Masa tu Cikgu Hamidah muda lagi, masih kuat dan bertenaga tapi saya tak pernah dengar dia menjerit dan meninggikan suara.

Dalam kelas, bila Cikgu Hamidah cakap semua murid diam sebab takut suara cikgu tenggelam dengan suara kami. Sweetnya bila ingat kembali.

Bila bercakap, mesti ada unsur humor. Sepanjang kami belajar tidak ada rasa tertekan dan stress. Bila cikgu happy mengajar, murid akan dapat serap rasa gembira tu, ilmu yang kami dapat juga terasa mudah dan senang.

3. Buah tangan

Kerana sayang, saya suka bawa buah mangga untuk Cikgu Hamidah. Masa tu ada pokok mangga depan rumah, buahnya manis dan lebat.

Dari malam buahnya dah standby dalam beg sekolah. Hati berbunga-bunga nak jumpa Cikgu Hamidah. Bila dapat buah tangan tu, cikgu akan kongsi juga dengan kawan-kawan dalam kelas.

Satu hari, dapat tahu Cikgu Hamidah pindah mendadak. Kami kesedihan.

Saya renung buah mangga yang saya bawak khas untuk Cikgu Hamidah, menitis air mata. Tiada lagi senyum yang menenangkan, gelak- tawa, senda-gurau, usik mengusik Cikgu Hamidah.

Masa berlalu, Cikgu Hamidah sentiasa saya dan kawan-kawan rindu.

Apa yang saya senangi dan sukai tentang Cikgu Hamidah, saya lakukan untuk anak-anak murid saya pula.

Tinggallah kenangan manis untuk anak-anak didik...Insha Allah kita sentiasa terisi dalam hati mereka.

Sumber: Facebook Ummi Wafa

- Ummi Wafa atau nama sebenarnya Aminah Mat Yusoff merupakan Guru Pendidikan Islam SK Seri Puteri, Batu Pahat, Johor

Artikel Menarik:

Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma

'Sikap Aiman hanya satu dalam seribu' - Guru luah rasa sebak bila Aiman buat ini padanya

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid Tahun Enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

Tak berganjak walau seminit...kesetiaan murid UPSR temani rakan berkerusi roda buat netizen sebak