"SERONOK bila melihat kejayaan orang lain dalam aktiviti bercucuk tanam. Selain mengisi masa lapang, ia juga mampu menjana pendapatan lumayan," kata Mohd Nor Amri Mohd Nasir.

Merupakan Ketua Panitia Reka Bentuk Teknologi (RBT) Sekolah Rendah Arab Jaim Pernu, Melaka, Cikgu Mohd Nor Amri berkata, berkebun mampu mengurangkan tekanan dan menghilangkan segala masalah.

"Saya katakan begitu sebab saya sendiri juga suka berkebun.

"Bila berkebun, saya rasa seronok sangat. Apatah lagi, isteri dan anak-anak saya juga meminati hobi yang sama," ujarnya.

Dek meminati aktiviti berkebun, anak kelahiran Jerteh, Besut, Terengganu ini telah mewujudkan sebuah kebun mini di perkarangan rumahnya.

"Buat untuk suka-suka sahaja. Tapi tak sangka, dapat perhatian ramai," katanya yang sudah berkecimpung dalam bidang pertanian sejak tiga tahun yang lalu. 

Pokok bayam Brazil, antara yang di tanam oleh guru ini di halaman rumahnya. 

Macam-macam pokok

Sehingga kini, pelbagai jenis pokok telah ditanam oleh cikgu kesayangan ramai ini.

Antaranya, cili kulai 461, terung panjang, kubis, salad, sawi, kangkung dan tomato.

Turut ditanam, cili padi, bayam merah dan hijau, roselle, kunyit, bayam Brazil, oregano dan mulberry.

Menurut guru tersebut, kebanyakan pokok yang ditanam, adalah untuk kegunaan sendiri.

"Cuma sejak kebelakangan ini, saya ada membuat jualan pokok, baja, benih, dan keperluan asas kepada komuniti di taman saya, iaitu Taman Bemban Heights, Melaka.

"Selain itu, ada juga permintaan daripada pasaraya di Jasin, Melaka," jelasnya.

Tambah beliau, stok baja dan penjagaan kebun mini itu, mudah didapati dan senang dijaga kerana dia telah membina stor khas di rumah.

"Di stor berkenaan, saya menyimpan baja dan kelengkapan asas pertanian seperti benih, baja TPF, bio booster, racun serangga, takung hidroponik, pasu nutripot dan lain-lain lagi.

"Sangat senang bila kita memerlukan stok ini di masa akan datang," katanya.

Projek tanaman terung di sekolah

Ketua Panitia RBT ini berkata, aktiviti pertanian kini makin dilupakan oleh masyarakat

"Pertanian adalah satu aktiviti yang sihat dan membuka peluang pekerjaan pada masa akan datang.

"Sekiranya pelajar-pelajar sekarang menimba ilmu sebanyak yang mungkin, saya percaya, tamat pengajian nanti, mereka akan berjaya dalam bidang tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, Cikgu Mohd Nor Amri sering menerapkan peri penting pertanian kepada murid-murid di sekolahnya.

"Saya lihat ramai murid cukup suka pada bidang pertanian. Sebab itu, saya mulakan dengan projek tanaman terung terlebih dahulu. Sebanyak 100 polibeg pokok terung berjaya dihasilkan pada Penggal 1 2019. Alhamdullilah, sekolah mendapat RM1,000 bagi semusim," katanya.

Kemudian, Cikgu Mohd Nor Amri bersama anak didiknya mula menjalankan aktiviti penanaman secara komersial di sekolah. Projek tanaman yang baru sahaja habis ialah tanaman terung Ppanjang sebanyak 120 polibeg.

"Selain itu sayuran juga di tanam seperti bendi, kangkung, salad, sawi dan juga kubis," ujarnya.

Sementara itu, guru besar Sekolah Rendah Arab Jaim Pernu, Melaka, Shaari Rahudin, sentiasa memberi sokongan moral kepada Cikgu Mohd Nor Amri, untuk  meneruskan aktiviti pertanian di sekolah.

"Beliau seorang guru yang cukup kreatif. Sering memberikan pelbagai idea dalam memastikan setiap murid, mendapat sesuatu yang 'bermakna' ketika di sekolah.

"Saya harap, aktiviti tanaman yang dijalankan di sekolah ini, akan terus berkembang dengan baik," katanya yang mengalakkan semua ibu bapa untuk membeli tanaman segar di sekolah berkenaan.   

Akhir sekali, Cikgu Mohd Nor Amri menitipkan sedikit nasihat kepada warga guru yang mempunyai hobi bercucuk tanam.

"Jadikanlah pertanian ini satu hobi untuk hilangkan penat dan tekanan kerja.

"Jika ada yang menyatakan “aku tangan panas” sebenarnya bagi saya satu mitos kerana sebenarnya apa jua yang kita nak buat mesti ada ilmu dan panduan. Barulah menjadi.

"Saya sedia membantu jika terdapat mana-mana pihak yang ingin dapatkan nasihat pertanian dan terapkanlah pertanian dalam jiwa murid, kerana dengan pertanian, mereka bebas memberi idea terutamanya pertanian secara moden. Selain itu, pertanian ini sebenarnya memberi peluang kepada murid secara hands-on dan dapat mengelakkan stress belajar," ujarnya.

Murid-murid Sekolah Rendah Arab Jaim Pernu, Melaka cukup meminati aktiviti bercucuk tanam di sekolah berkenaan.

Cikgu Mohd Nor Amri di tapak tanaman sayuran di Sekolah Rendah Arab Jaim Pernu, Melaka. 

BIODATA

Nama: Mohd Nor Amri Mohd Nasir

Asal: Jerteh, Besut, Terengganu

Adik beradik: Anak ketiga daripada lapan beradik

Sekolah: Sekolah Rendah Arab Jaim Pernu, Melaka

Jawatan: Ketua Panitia Reka Bentuk Teknologi (RBT)

Major: Matematik

Tempat pengajian    

1. Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu bagi peringkat ijazah sarjana muda. (2009-2012)

2. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi bagi peringkat sarjana. (2015-2017)

Nama Isteri: Nur Aniza Elias (Guru)

Nama anak:

1. Muhammad Adib Mohd Nor Amri (Lima Tahun)

2. Nur Auni Mohd Nor Amri (Dua Tahun)

3. Muhammad Aqil Mohd Nor Amri (Empat bulan)

Artikel Menarik:

Bila tiba masanya, jenazahku siapa uruskan? - Usaha ustaz ini anjur kursus jenazah buat murid sebak

'Wah kemasnya almari kamu!' - Guru ini latih murid seawal tahun dua berdikari

Kerana longkang pra sekolah tersumbat, guru besar sanggup 'buat ini' - Ramai yang terkejut!

Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma

'Mulia sungguh hatimu...moga ALLAH melipat gandakan pahala buat cikgu'