“Ibunya, Suraya a/p Cai Mat telah meninggal dunia. Sejak itu, dia sudah tidak datang ke sekolah lagi.

“Pihak sekolah bimbang, jika berlaku kejadian yang tidak diingini kepada Intan Surianie.

“Kerana itu, kami terus ke rumahnya di Kg Simpai Pekan, Pahang untuk mendapatkan jawapan…dan akhirnya, barulah kami faham,” kata Cikgu Mohamad Sahaimi Zainal kepada GPS Bestari.

Menurut Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Sekolah Kebangsaan Simpai, Pekan Pahang, Intan Surianie adalah anak didiknya yang sangat baik dan bersopan santun orangnya.

“Dia merupakan murid Tahun Dua sekolah kami.

“Keperibadiannya sangat disegani ramai. Rajin, mudah tersenyum dan sentiasa menghormati guru. Tapi itulah, sejak dia tidak datang ke sekolah, kami tertanya-tanya,” ujar Cikgu Mohamad Sahaimi atau Cikgu Mie.

Kata Cikgu Mie, Intan Surianie bersama adiknya (setahun lebih) kini tinggal dengan penjaganya, Normadiah a/p Cai Mat.

“Kedua beradik ini telah ditinggalkan ayahnya semenjak ibu meninggal.

“Bila kami ke rumah Intan Surianie, sedih sangat melihat kehidupan mereka. Dengan keadaan rumah dan tiada bekalan makanan, kami masing-masing sebak dan terdiam,” kata Cikgu Mie.

Tambah beliau, penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh anak muridnya itu, cukup membuatkan dirinya dan rakan-rakan guru lain mengalirkan air mata.

“Intan Surianie dan adiknya terlalu muda untuk menghadapi saat-saat susah sebegini. Hanya Allah yang tahu, apa yang ada dalam hati mereka.

“Insya-Allah, sebagai guru, saya dan yang lain akan berusaha untuk beri mereka kehidupan yang lebih baik dan tidak mahu Intan ketinggalan dalam pelajaran lagi,” ujarnya.  

Terdahulu, Cikgu Mie bersama rakan guru telah membawa sedikit bantuan bekalan makanan kepada Intan dan adiknya serta penjaga mereka.

Sedikit sumbangan kewangan telah diberikan pada keluarga ini bagi meringankan beban yang ditanggung.

Malah, pihak sekolah juga telah mengambil tindakan segera dengan membelikan keperluan persekolahan buat Intan Surianie.

“Doakan kami…dapat mencari kaedah terbaik untuk bantu keluarga murid ini daripada segi kewangan bulanan. Moga segala-galanya yang baik-baik sahaja untukmu,” jelasnya.

Artikel menarik

Sedih tengok orang lain susah, Cikgu Mie sanggup redah hutan naik kapcai agih bantuan

Kagum dan terkejut! Bagaikan buruh binaan, lelaki bancuh simen di sekolah itu rupa-rupanya….