Guru Bahasa Inggeris yang pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang, Lawas, Sarawak, Muhammad Nazmi Rosli ni bukan biasa-biasa orangnya.

Beliau yang pernah dinobatkan sebagai johan dalam Kempen Guru PAK21 itu, turut meraih pelbagai anugerah sepanjang beliau bergelar pendidik.

Berkat usaha dan sering mencari idea baharu dalam pembelajaran, membuatkan guru asal Lawas, Sarawak itu sering dikenali sebagai guru luar biasa.

Bukan sahaja menjadi ikutan guru-guru lain, bahkan beliau menjadi kesayangan dalam kalangan murid-muridnya.

Pun begitu, berita perpindahan dan pertukaran Cikgu Nazmi ke SK Luagan, Lawas baru-baru ini mengejutkan semua pengikutnya di media sosial.

Malah, menerusi perkongsiannya di muka buku baru-baru ini, ramai sebak apabila beliau membuat keputusan menjual sebahagian koleksi  permainan kesayangan, untuk membeli hadiah buat 120 orang muridnya di SK Long Sukang.

GPS Bestari cuba mencungkil rasa hati guru serba boleh ini, ikuti luahan hati beliau...

Empat tahun mengajar di SK Long Sukang, hati sudah tertambat dengan mereka yang saya anggap seperti anak sendiri.  Saya sanggup lakukan apa sahaja, termasuk menjual sebahagian permainan kesayangan, untuk membeli hadiah baru buat mereka.

Sedih juga, sebab kebanyakannya adalah ‘item rare’ yang susah dicari, saya kumpul duit untuk dapatkan koleksi tersebut, tapi ia takkan dapat menandingi nilai kasih sayang saya kepada mereka. Menjualnya dan membeli hadiah perpisahan, pada saya lebih besar nilainya.

Semua ini untuk mereka...

Sebenarnya masa mula-mula mendapat tahu saya bakal berpindah, murid-murid saya memang tak tahu, sebab mereka tinggal di pedalaman, saya pula tidak berkesempatan bertemu dan memberitahu mereka saya tidak lagi mengajar di SK Long Sukang.

Sebagai tanda kasih dan sayang pada mereka, saya membuat keputusan untuk membeli hadiah istimewa buat mereka.

Untuk itu saya memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 untuk membeli hadiah buat 120 orang murid-murid saya.

Saya iklankan di facebook, tak sangka pula ada insan bermurah hati membeli kesemua koleksi yang saya ingin jual. Sebak rasanya, tak sampai beberapa hari, jumlah yang diperlukan dapat dikumpulkan.

Saya tak tunggu lama... saya ambil masa terluang, terus keluar membeli hadiah istimewa buat mereka bersama isteri.

Kami bungkus cantik-cantik, semoga mereka suka dengan pemberian daripada kami ini.

Bercerita tentang saat perpisahan itu... hati saya sukar digambarkan apabila melihat mereka terkejut ketika saya menyatakan perpindahan saya ke sekolah baru.

Pengalaman itu sungguh buat saya sedih dan sebak, sebab banyak yang kami rancangkan bersama, tapi tak kesampaian.

Lebih terharu ada juga yang datang bawa kek untuk saya ketika saya buat penyerahan hadiah secara santai pada sebelah petang di sekolah. Sempat juga mereka bakar kek untuk saya.

Tidak kurang juga ada yang datang bawa hadiah berupa beras dan macam-macam lagi. Itu yang buat saya betul-betul terharu dan sebak. Berat mata memandang, berat lagi hati dan kaki yang akan melangkah pergi.

Itulah gambaran betapa akrabnya kami, apapun, saya reda dan sentiasa doakan mereka terus berjaya.

Buat kalian... anda semua tetap ada dalam hati saya...

Berikut ini, ‘moment’ terakhir Cikgu Nazmi di SK Long Sukang...