Tidak berkemampuan untuk membayar yuran sekolah dan memberi sumbangan pendaftaran persekolahan pastinya akan terjadi setiap kali sesi persekolahan bermula.

Bagi ibu bapa yang mampu, mereka mungkin tidak ada masalah besar tentang hal tersebut.

Namun, bagi yang tidak mampu, mak ayah tetap akan berusaha untuk menyelesaikan hal-hal pembayaran dan pemberian sumbangan semata-mata kerana anak.

Catatan seorang guru, Sofuan Saadon mengenai sumbangan pendaftaran persekolahan dan juga yuran, pastinya mengundang simpati semua orang.

Kerana sumbangan dan yuran sekolah, mak ayah pelajar ini sanggup bersusah payah mengumpul wang seringgit. Entah berapa lama masa yang diambil mereka, guru ini juga tidak tahu.

Ikuti perkongsian Cikgu Sofuan dengan lebih lanjut..

 

 

**********

 

 

PENDAFTARAN persekolahan di SMK Matu semalam berjalan dengan lancar.

Oleh sebab ada guru tingkatan 5 yang sibuk dengan urusan buku teks, aku ditugaskan untuk menggantikan tempatnya.

Aku tidak keseorangan kerana turut dibantu oleh pengawas sekolah. Tugasnya pun tak susah. Cuma bantu aku berikan nombor giliran kepada ibu bapa, edarkan buku tulis untuk pelajar yang telah buat tempahan dan bantu ibu bapa isi beberapa borang berkaitan.

Tahun ini semua ibu bapa kelas yang aku jaga dapat melunaskan bayaran sumbangan persekolahan. Sebenarnya tidaklah begitu banyak. Jika pelajar tersebut tiada lagi adik di sekolah, bayaran adalah sebanyak RM44. Ini tidak termasuk buku kerja yang wajib dibeli sebagai persediaan menghadapi SPM.

Tidak seperti tahun lepas. Ada beberapa ibu bapa yang tidak dapat membuat sebarang pembayaran pada hari pertama.

“Cikgu, boleh tak saya daftar dulu tanpa bayar apa-apa?” Tanya ibu pelajar tersebut perlahan. Anaknya di sebelah hanya menunduk. Aku kenal pelajar itu. Walaupun tidak begitu baik dalam akademik tapi dia tak pernah buat masalah disiplin di sekolah.

Aku pun tidak bertanya lanjut. Setiap orang ada masalah masing-masing. Dia pun bukan tak nak bayar tapi belum dapat bayar. Mungkin juga ibu tersebut utamakan adiknya dulu. Aku tak tahu.

“Boleh mak cik. Tak ada masalah. Tulis saja nama di sini menandakan dah daftar. Lepas ni saya akan terus bagi borang buku teks. Serahkan balik hari ni juga,” jawab aku dengan senyuman. Aku tak nak ibu tadi rasa gusar atau bersalah.

“Terima kasih cikgu. Terima kasih banyak-banyak,” ucap ibu tadi berulang kali.

Ini kisah tahun lepas. Kisah sebenar yang berlaku pada diri aku sebagai guru kelas waktu itu. Cerita yang tak pernah aku kongsikan pada sesiapa.

Bagi memudahkan urusan, aku tak tunggu pun ibu tersebut bayar sebab aku pun tak tahu bila dia nak bayar. Aku pun tak sampai hati nak tanya anak dia. Nanti anak dia tertekan dan malu pula nak ke sekolah.

Aku dahulukan duit aku tanpa beritahu pun anaknya. Jika dalam tahun itu ibu tersebut tak bayar, aku dah niat nak halalkan saja. Alhamdulillah, aku dapat balik duit aku itu sebelum pertengahan tahun. Kalaulah aku tunggu dia bayar, alamat tergendalalah segala urusan selepas itu.

Berbeza pula dengan kisah semalam.

Berdasarkan pengalaman tahun-tahun lepas, semua guru yang menguruskan pendaftaran persekolahan ini sangat perlukan duit kecil. Aku sendiri dah sediakan duit kecil sendiri sebanyak RM40. Tapi tetap tak cukup. Aku terpaksa juga hutang seorang pelajar sebanyak RM2. Rabu nanti baru bayar.

Tinggal tiga orang belum daftar dan aku tunggu dengan sabar. Rupa-rupanya ada pelajar yang lambat daftar itu merupakan pengawas dan bantu guru di kelas lain dulu.

Apabila masa pendaftaran hampir berakhir, muncul pelajar yang aku tunggu-tunggu tu. Tanpa disuruh, dia terus duduk di hadapan aku.

“Cikgu, saya daftar pakai duit seringgit boleh?”

Tanya dia dengan tersengih.

“Laa.. Cikgu lagi suka. Kenapa tak daftar dari awal? Cikgu memang nak sangat duit kecil tadi. Sekarang dah tak perlu sangatlah.”

“Berapa kamu ada?” Tanya aku lagi.

“RM100.” Jawab dia ringkas.

“Semua duit seringgit?” Aku tanya lagi untuk kepastian.

“Ya, cikgu. Semua seringgit.”

 

***

Dua kisah di atas memberi pelajaran berguna kepada diri aku secara tak langsung. Semua ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak dia selagi dia terdaya.

Aku tak fikir yang duit seringgit itu lebihan daripada duit raya. Raya dah lama sangat dah. Kita tak tahu berapa lama ibu bapa dia simpan untuk cukupkan jumlah wang sebanyak itu.

Mungkin banyak perkara dalam hidup yang ibu bapa terpaksa berkorban untuk pastikan anak dia dapat daftar dan bersekolah seperti anak orang lain.

Setiap orang itu ada kisah masing-masing yang tak pernah orang lain tahu.

Mungkin kita tak ada masalah untuk bayar yuran bawah RM100 tetapi ada orang bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup keluarganya.

Jadi, kepada anak-anak, bersyukurlah kerana mempunyai ibu bapa yang sangat mementingkan pendidikan anaknya.

Hargailah mereka selagi anda punya kesempatan. Dan gembirakanlah mereka dengan kejayaan pada masa hadapan.

Biar mereka menangis kerana kegembiraan dan kebahagiaan, bukan menangis kerana kedukaan yang berpanjangan..

 

Sofuan Saadon,

Cikgu setahun jagung

 

Sumber: Facebook Sofuan Saadon

Makluman: Artikel ini diterbitkan atas keizinan daripada penulis asal