SKRIP dan ceritaku mungkin berbeza dengan rakan-rakan guru yang lain. Ketika ramai di kalangan rakan-rakan menceritakan soal kejayaan mendapat 'A' dan seratus peratus lulus dalam subjek yang diajar dalam UPSR, ceritaku adalah sebaliknya.

"Cikgu, nanti tahun depan saya sudah tidak jumpa cikgu," seorang anak murid Tahun Enam yang aku ajar menyapa saat kakiku sudah bergegas keluar ingin melangkah meninggalkan sekolah.

Anak muridku yang berketurunan Kenyah ini baru saja mengetahui keputusan UPSR nya. Dia lulus semua subjek kecuali Bahasa Inggeris (Penulisan) yakni subjek yang aku ajar.

"Macam mana result UPSR kamu? Aku sengaja bertanya walhal keputusannya sudahku ketahui.

"Maaf cikgu, saya dapat E Bahasa Inggeris," air matanya berguguran saat memberitahu keputusannya kepadaku. Sorry sangat-sangat cikgu," tambahnya lagi dalam nada sedih.

Mungkin banyak kali aku bersuara kepada anak-anak muridku, meletakkan harapan ke atas dirinya sebagai salah seorang murid yang harus lulus penuh dalam UPSR kali ini.

Disebabkan itu, mungkin dia terasa amat bersalah kerana mengecewakanku.

Ah!Tahukah dia bahawa aku sepuluh kali rasa lebih bersalah. Aku bukanlah seorang guru yang baik. Kerana Bahasa Inggeris, dia gagal untuk lulus penuh. Kerana aku, keputusan UPSR nya “cacat”. Mungkin rakan-rakan lain melihat aku kelihatan tenang bersahaja tetapi jauh di dalam sudut hati, timbul perasaan bersalah dalam diri.

"Cikgu Syauqi tak pandai ajar. Cikgu Syauqi tak ambil serius. Cikgu Syauqi tak bersungguh-sungguh," Itu mungkin label yang seharusnya aku terima. Bagaimana murid ini berjaya dalam mata pelajaran lain tapi gagal dalam subjek Bahasa Inggeris? Ya,akhirnya kesalahan itu jatuh ke atas tangan guru.

"Murid lulus kerana guru. Murid gagal kerana guru," terngiang-ngiang kata-kata cliche semasa kursus di Pusat Kegiatan Guru.

Dia masih teresak-esak menangis. Air mata yang berlinang di pipi membuat hatiku semakin sebak.

"Cikgu mesti marah saya. Dah la tahun depan saya sudah pergi sekolah menengah. Tak best dah tak jumpa cikgu," katanya lagi tersekat-sekat.

Aku cuba menahan perasaan sebak di hati. Menguatkan diri untuk berpura-pura kuat seakan tiada apa-apa.

“Tapi kan kamu lulus Bahasa Inggeris (Pemahaman). Sebelum ni kamu tak pernah lulus tapi UPSR kamu berjaya," aku memujinya, memujuknya agar dia tidak merasa terlalu bersalah.

Memang dia tidak pernah lulus dalam subjek Bahasa Inggeris (Pemahaman) sebelum ini tapi ternyata dia berjaya melakukan suatu peningkatan pada pengakhirannya.

"Naik sekolah menengah nanti kamu belajar lagi sungguh-sungguh. Dapat keputusan bagus," aku menasihatinya. Air matanya masih mencurah keluar.

Sedih dia mahu berpisah, meninggalkan sekolah dan gurunya mungkin.

"Aduh, macam mana saya mahu cakap. Saya memang sedih mahu keluar sekolah. Lepas ni saya tak dapat jumpa cikgu lagi," sekali lagi dia mengulang menyatakan perasaan sedih yang terbuku di hati. Sifat riang dan gembiranya yang sering terpancar di dalam kelas jelas sekali berbeza pada saat dan ketika ini.

Lalu, dia menghadiahkanku sejambak bunga sebagai kenangan sebelum bergambar bersama-sama.

Aku masuk ke dalam rumah membuat persiapan terakhir sebelum meninggalkan sekolah. Saat itu, aku terlihat sekeping kad di atas meja hasil pemberiannya.

"Terima kasih cikgu ajar saya selama ini. Saya suka belajar dengan cikgu sebab cikgu suka buat lawak,"

Tiba-tiba dadaku sebak. Ya, mungkin aku gagal mengajarnya untuk lulus subjek Bahasa Inggeris (Penulisan), tapi aku berjaya mengajarnya untuk menyayangi dan menghormati guru.

Sumber: Facebook Muhammad Syauqi

Artikel Menarik:

'Mak, Uda cuba dapatkan 5A, tapi Allah bagi Uda 4A 1B sahaja. Uda minta maaf mak'

Cikgu Fadli kongsikan 10 pesanan buat ibu bapa dan calon UPSR

'Apapun keputusan yang anak dapat dalam UPSR, peluklah dia' - Cikgu Zyd

'Mohon jaga tutur kata, usap kepala anak dan berdoalah'- Pesan cikgu Emmet