Walaupun masing-masing sibuk menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), namun bagi guru bahasa Melayu ini, kenangan berada di sekolah bersama murid-murid tetap kekal dalam ingatan.

Berkata kepada GPS Bestari, Cikgu Ahmad Aiman Nordin dari Sekolah Kebangsaan Merchong Jaya, Pekan, Pahang memberitahu, ada banyak kisah menarik yang ingin dikongsikan bersama pembaca portal ini.

“Ada kisah yang cukup saya kenang. Tentang coretan kapur saya bersama kawan dalam kalangan guru-guru juga.

“Coretan ini cukup bermakna malah murid-murid sangat menyukainya,,” kata beliau.

Menerusi catatan yang dikarang baru-baru ini, inilah coretan kapur yang dimaksudkan oleh Cikgu Ahmad Aiman.

Moga bermanfaat untuk semua.

*****

Ini adalah sudut pidato atau speaker's corner.

Saya pasti sekarang ini hampir semua sekolah mempunyai sudut berkenaan.

Kalau kita lihat, sudut tersebut hanyalah mempunyai pentas sahaja dan guru-guru pula melatih murid-murid untuk membuat ucapan alu-aluan, penghargaan, pidato, syarahan dan sebagainya bagi program tertentu.  

Memandangkan dinding di bawahnya kosong, saya dan rakan bercadang mahu membuat sedikit catatan di situ.

Selain mencantikkan dinding, tujuan utama kami agar murid-murid mendapat ‘sesuatu’ menerusi catatan berkenaan.

Justeru, kami gunakan dinding di bawah itu untuk membina sudut yang saya namakan sebagai Greeting's Wall.

Apakah Greeting's Wall?

Greeting's Wall adalah ucapan ringkas atau pendek yang boleh anak-anak didik gunakan apabila berada di sudut pidato.

Ia dipelbagaikan untuk semua bahasa supaya lebih menarik dan memberikan rangsangan agar murid lebih berkeyakinan untuk berkomunikasi.

Kerana itu, kami sepakat menggunakan kapur dan mula melakar dan mencoret dinding itu dengan kata-kata hikmah, motivasi, kata semangat dan apa sahaja yang bermakna untuk murid.

Ayat seperti Semoga Maju Jaya; Belajar bersungguh-sungguh tau; Good Morning; How Are You dan sebagainya, mula memenuhi dinding berkenaan.

Sekali pandang, memang nampak ringkas dan biasa-biasa sahaja, tapi percayalah, dengan cara ini, murid-murid akan mengingati semua ayat yang ditulis.

Sekurang-kurangnya, ia membantu murid menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

Artikel menarik

Bimbang anak pemulihan khas gagal kuasai 3M, Cikgu Roslee kongsi tip mudah didik anak

Normal ke anak 5 tahun masih gagal membaca? Guru ini tampil beri penjelasan