"Ketika datangnya pencen, hilanglah waktu rasmi dakwah kita. Datang cuti, kuranglah pahala dakwah kita, datangnya waktu rehat, tergelincirlah niat suci dakwah kita. Luahan cikgu Izzat ini undang rasa sebak.

Mendidik adalah satu tugas yang amat mulia. Malah, usaha mendidik adalah sebuah usaha dakwah yang membawa orang yang didakwah itu mengenali Pencipta melalui ilmu yang disampaikan.

Guru-guru perlu memandang tugasan mendidik sebagai tugasan dakwah.Melalui ilmu yang disampaikan, anak-anak murid akan menjadi insan yang mengenal Tuhan. Martabat mereka diangkat beberapa darjat dengan adanya ilmu.

Kehidupan mereka di dunia lebih bererti akibat tertanamnya ilmu di dalam hati-hati mereka dengan subur sehingga membuahkan akhlak yang mulia menjadikan mereka manusia yang baik sama ada kepada Tuhan mahupun sesama makhluk yang lain.

Oleh kerana tugasan dakwah bukan suatu tugasan yang main-main, ALLAH SWT akan menguji si pendaʿwah iaitu guru-guru dengan pelbagai ujian yang sangat perit, sesuai dengan kesanggupan jiwa guru masing-masing.

Setiap ujian adalah unik, kerana setiap manusia tidak sama ‘titik’ kesakitan mereka. Ada yang diuji dengan harta, ada yang diuji dengan masa, guru lain diuji dengan keluarga, bahkan ada juga yang diuji dengan rakan sekerja. ALLAH SWT akan menguji setiap hambaNya di tempat yang paling sakit.

Ujian ini seharusnya dihadapi dengan sabar dan syukur. Kita bersabar dalam menempuh ujian kerana sudah pasti setiap ujian akan ada pengakhirannya. Kita juga wajib bersyukur kerana ujian yang diberi oleh ALLAH SWT ini tidak seperit ujian yang diberikan kepada orang lain.

Malah, ujian ini juga sebenarnya merupakan tanda kasih sayangNya kepada kita dalam memastikan usaha mendidik anak-anak murid kita ini sentiasa diberkati.

Ujian ini bakal menghapuskan dosa-dosa kita serta mengangkat martabat kita beberapa darjat sebagaimana martabat anak-anak murid kita diangkat melalui ilmu yang disampaikan kepada mereka.

Jangan sesekali guru-guru menanti kedatangan waktu pencen penuh teruja. Jangan sesekali guru-guru menarik nafas lega apabila waktu cuti tiba. Jangan sesekali guru-guru idamkan waktu rehat yang panjang bagi melarikan diri daripada tugas dakwah yang sudah ditentukanNya.

Datangnya pencen, hilanglah waktu rasmi dakwah kita. Datang cuti, kuranglah pahala dakwah kita. Datang waktu rehat, tergelincirlah niat suci dakwah kita.

Cuti dan rehat adalah untuk memulihkan semula tenaga kita dalam berdakwah. Masa yang diluangkan bersama anak-anak dan isteri adalah untuk mendatangkan rasa kebahagiaan dalam dakwah kita. Letih dan kekurangan wang adalah untuk memastikan niat dakwah kita semata-mata kerana ALLAH.

Di Akhirat sana nanti, ini sahaja bekalan yang kita ada, wahai guru-guru. Apa lagi kebajikan lain yang layak kita persembahkan kepada Tuhan Yang Maha Esa kalau bukan peranan kita sebagai pendidik yang berdakwah.