Bermula daripada angan-angan untuk memiliki ruang pejabat mewah seperti yang ditonton dalam drama di kaca televisyen, siapa sangka perkara itu berjaya memberi inspirasi kepada seorang guru sekolah rendah luar bandar di Setiu, Terengganu untuk mengubah dekorasi bilik guru sekolahnya.

Menurut Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Ba, Cikgu Nordin Ismail, dekorasi berkonsepkan lakukan sendiri (DIY) itu hanya mengambil masa 10 hari sahaja untuk disiapkan, selain mendapat sokongan padu dari pihak pentadbiran sekolah.

“Tidak dinafikan saya suka melihat dekorasi menarik yang terdapat di ruang pameran pusat beli-belah dan daripada situ ia memberi ilham kepada saya untuk mentransformasikannya di bilik guru dengan bajet yang sangat rendah.

“Saya berterima kasih kepada pentadbir terutama Guru Besar, Ustaz Abdul Ghani Mohd Ali, guru-guru, kakitangan sekolah, pengawal keselamatan dan pekerja kebersihan di sekolah ini kerana amat membantu dan memberi idea untuk mencantikkan lagi ruang dalam bilik guru ini bahkan ia secara tidak langsung meningkatkan semangat kami para guru dalam mendidik anak bangsa,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Cikgu Nordin berkata, modal yang digunakan untuk mencantikkan lagi ruang bilik guru itu adalah rendah iaitu RM1,200 hasil sumbangan daripada 12 guru di sekolahnya.

“Susunan perabot dan penyelarasan ruang jugak penting memandangkan bilik guru kami agak kecil namun kami yakin hasrat untuk adakan seperti ruang makan dan ruang ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) berjaya direalisasikan.

“Walaupun sedikit sedih kerana penangguhan sesi persekolahan untuk sesi 2021 (secara bersemuka) berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 tetapi tidak mematahkan semangat kami para guru untuk mengubah bilik guru berkonsepkan hipster, kontemporari dan tampak moden,” jelas beliau.

Guru Bahasa Melayu di Sekolah Kurang Murid (SKM) itu menjelaskan beliau mendapat maklum balas positif khususnya daripada rakan guru sekolah lain menerusi perkongsian yang dimuat naik di laman facebooknya.

“Sebenarnya perkongsian idea seperti ini amat baik kerana kita boleh mempelbagaikan lagi kemahiran dan kreativiti dimiliki untuk hasilkan yang lebih baik lagi pada masa akan datang, jelas beliau.