Keputusan UPSR diumumkan semalam. Pelbagai debaran menanti, perasaan bercampur baur, sama ada murid, ibu bapa mahupun guru.

SK Ulu Lemanak

Perkongsian Cikgu Ahmad Faqih di facebook milik beliau

“Hujan separuh jalan masa masuk wei. Result dah balut kemas-kemas dalam plastik tapi handphone dalam pouch bag. Huhu kuyup... Tadi pergi ambil result UPSR. Rasa ringan saja bawak result dlm beg. Alhamdulillah, 100% lulus kali ni! Patutlah di PPD td semua muka pegawai pun ceria daripada biasa. Tahniah SK Ulu Lemanak! Banyak khabar gembira tahun ni. Beberapa bulan lalu, selepas sumbangan tuan/puan, dewan ini telah siap 90%. Sumbangan itu digunakan untuk pendawaian dan kelengkapan elektrik. Kami warga SKUL sangat berterima kasih dan gembira. Hari ini, dewan ini dah siap 100%. Hasil daripada peruntukan hujung tahun oleh KPM, dewan kami telah dapat dilengkapkan dengan mozek dan siling. Terima kasih KPM! Hanya kita yang mampu ubah nasib kita sendiri. Berbaloi semua penat lelah selama ini. Tengok dewan sudah cantik sempurna seadanya. Alhamulillah! Tahun depan insyAllah asrama murid-murid akan menjadi fokus. Moga dipermudahkan urusan kita terutamanya kalian yang sentiasa memberi bantuan dari segi moral dan kewangan!Tahun depan masih di sini, ada sebabnya. Tuhan yang Maha Mengetahui. Kita yakin saja bahawa Dia adalah sebaik-baik perancang.”

Menurut guru pra sekolah, SK Ulu Lemanak, Lubok Antu, Sarawak, Cikgu Ahmad Faqih Pauzi, beliau sebenarnya sedang mengikuti kursus pegawai aset di PPD Lubok Antu pada hari sebelumnya.

Terlanjur sudah berada di sana, beliau terus menawarkan diri untuk mengambil keputusan UPSR di PPD tersebut.

Cikgu Ahmad Faqih

“Pada jam 9.00 pagi saya sudahpun berada di PPD Lubok Antu. Hati susah nak gambarkan betapa seram sejuk dan berdebarnya… Tapi bila melihatkan wajah-wajah pegawai PPD yang menyambut kedatangan saya dengan wajah yang ceria, hati sedikit lega. Mungkin ini khabar gembira buat semua murid SK Ulu Lemanak.

“Bila mendapat tahu keputusan UPSR SK Ulu Lemanak LULUS 100%, hati saya terus rasa berbunga… terbayangkan wajah-wajah anak murid kesayangan yang tersenyum dengan slip di tangan. Masa tu saya tak tunggu lagi, saya terus hubungi dan maklumkan berita gembira ini kepada Guru Besar kami, Cikgu Chanking anak Jawa,”katanya.

Tambah Ahmad Faqih, sebaik sahaja mendapat keputusan tersebut, beliau terus kembali ke sekolah dengan menaiki scrambler.

Jarak perjalanan 25km jalan bertar dan 40km jalan balak yang tidak diselanggara merupakan cabaran yang perlu dilalui oleh guru muda ini setiap kali pulang ke sekolah dari bandar.

Guru bersama murid dan ibu bapa

Menurut Ahmad Faqih, perjalanan yang memakan masa hampir dua jam dari PPD Lubok Antu ke SK Ulu Lemanak itu terasa lama, apabila hujan mula turun dengan lebat di pertengahan perjalanan.

“Saya meneruskan perjalanan, mujurlah tidak perlu menolak motor, walaupun jalan balak yang saya lalui sudah mula licin dan berselut. Dalam hati hanya berdoa agar ALLAH SWT permudahkan perjalanan saya. Moga tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini sepanjang perjalanan pulang.

“Paling penting, keputusan UPSR yang saya bawa bersama ini. Mujurlah awal-awal tadi saya sudahpun menyimpannya kemas dalam plastik yang diikat rapi. Tiada yang rosak, melainkan handphone yang berada di dalam pouch bag sahaja yang basah,”jelasnya.  

Cikgu Ahmad Faqih sedang memberikan penerangan kepada ibu bapa di majlis Anugerah Kecemerlangan

Setibanya beliau di hadapan sekolah, semua warga sekolah termasuk Guru Besar sudah menanti dengan wajah yang ceria. Masing-masing tidak sabar untuk berkongsi kegembiraan itu bersama murid Tahun Enam SK Ulu Lemanak.

Walaupun jumlah murid yang menduduki peperiksaan UPSR tahun ini tidaklah ramai, namun ia sudah cukup memberikan kegembiraan buat semua warga sekolah juga murid di sekolah tersebut.

Cikgu Shabirah Shahar bersama tiga pelajar Tahun Enam SK Ulu Lemanak

Sementara itu, Setiausaha Peperiksaan Sekolah (SUP) yang juga Guru Bahasa Inggeris Tahun Enam, Cikgu Shabirah Shahar berkata, ini merupakan kali pertama SK Ulu Lemanak mendapat peratusan lulus untuk semua subjek.

Cikgu Shabirah Shahar dan Cikgu Ahmad Faqih bersama murid dan ibu bapa

“Dalam lima orang calon yang menduduki UPSR, seorang daripadanya telah mendapat keputusan  2A, 3B dan 1C. Ia satu pencapaian yang membanggakan buat kami,” katanya.

Pada hari tersebut, turut diadakan sambutan khas untuk murid Tahun Enam yang bakal ke sekolah menengah.

Guru-guru SK Ulu Lemanak dan juga PIBG turut memberikan insentif kepada murid sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka selama ini.

“Harry Terry Riyang anak Jalen. Keputusan UPSR ni kita jadikan pemangkin semangat bukannya penentu ukur pencapaian. Murid-murid kita lebih dari sekadar "A" atau "E". Moga kamu lebih berjaya nanti nak, banyak tolong cikgu² disini. Doa kami sentiasa mengiringi.”

Ini antara respon yang diberikan oleh netizen

Artikel Menarik:

Cikgu Fadli kongsikan 10 pesanan buat ibu bapa dan calon UPSR

'Apapun keputusan yang anak dapat dalam UPSR, peluklah dia' - Cikgu Zyd

Cikgu ini lahir kebimbangan bila lihat kehadiran murid ke sekolah makin merosot. Ini pesanan beliau

'Mohon jaga tutur kata, usap kepala anak dan berdoalah'- Pesan cikgu Emmet

Smartboard bantu guru mengajar dengan mudah. Murid pun suka