TUHAN memuliakan sesiapa yang dikehendakiNya...

Kalian mungkin lihat kejayaan demi kejayaan yang Tuhan kirim pada aku semenjak dua ini. Namun disebaliknya, aku mungkin tidak sehebat yang kalian sangka dan banggakan.

Aku ini, bukan pelajar contoh sejak dari sekolah. Tidak, bahkan jauh sekali. Uniform pengawas tidak pernah aku pakai sama sekali, menandakan aku bukan murid terpilih.

Dari sekolah rendah, aku sangat nakal. Kawan-kawan sekelas dengan aku boleh mengesahkan hal ini. Paling nakal dalam kelas. Paling!

Masuk sekolah menengah, aku juga menjadi pelajar paling nakal dalam sekolah. Bukan lagi dalam kelas, dalam sekolah terus tittle aku pegang sebagai murid nakal. Kawan-kawan sekolah menengah aku boleh sahkan hal ini. Paling!

Masuk maktab perguruan pun sama. Masih seorang guru pelatih yang sering membuat angkara dan diburu HEM sentiasa. Pun sama juga. Paling. Titik.

Namun bila bergelar menjadi seorang guru pada 3 Januari 2006, semua perangai nakal aku buang sedikit demi sedikit.

Mata murid-murid yang dahagakan ilmu seolah memohon simpati aku mendidik mereka itu mengubah segalanya. Masa ini, aku beri 100% perhatian pada mereka.

Cuba menjadi guru yang terbaik. Walau bukan terbaik di dunia, sekurang-kurangnya terbaik buat mereka. Cuba mendidik mereka semampu kudrat aku.

Pun begitu, sisa kenakalan masih ada dalam diri. Hihi.

Aku jenis yang tidak suka bercakap belakang. Ada masalah walau tidak setuju dengan pentadbir sekali pun, aku cakap depan-depan. Aku bangkit dalam meeting dan bersuara.

Kadang-kadang, banyaknya aku bangkit itu untuk menyuarakan suara hati orang lain. Mereka yang meminta dan yang menanggung kesan adalah aku. 😬

Ya, siapa suka dikritik? Siapa suka pendapat dan arahan mereka dikondem? Tambah-tambah mereka ada kuasa. Dikritik dan dikondem pula secara terbuka. Marah la segelintir orang.

Pun begitu, dengan murid sentiasa aku jaga dan didik mereka sepenuh hati. Hadiah Hari Guru aku biasanya bertimbun-timbun. Dari murid bahkan ibubapa.

Anugerah guru pilihan murid itu hampir saban tahun aku terima. Menunjukkan murid memang suka dan tiada masalah dengan aku.

Cuma itu lah. Bila kita terlalu tegas dengan prinsip kita, selain ada sikap nakal dalam diri, maka kita kurang digemari oleh pentadbir bahkan pegawai di atasan sana.

Maka acapkali hak aku dinafikan. 13 tahun tanpa apa-apa anugerah. APC pun mereka tak nak beri. Pernah naik nama beberapa kali sejak di sekolah lama, tapi dicantas dan digugur dengan pelbagai sebab.

Tak apalah. Tidak pernah aku mensasarkan semua itu.

Masa mematangkan. Aku tidak lagi melawan secara buta tuli seperti zaman muda mudi.

Namun benda salah, benda yang aku tak setuju aku masih suarakan dengan tegas dan terbuka. Cuma bila makin matang, aku lebih tenang menyusun kata-kata.

Menyebabkan pandangan kita (aku) walau mereka tidak terima namun mereka hormati prinsip itu.

Berbelas tahun tanpa pengiktirafan, aku kekal tenang-tenang saja. Buat kerja seikhlas mungkin sambil membaiki diri menjadi lebih baik dari masa ke semasa.

Dan sesungguhnya yang memuliakan makhluk itu bukan manusia. Itu hak mutlak Allah taala.

Sesiapa yang dikehendakiNya, maka mulialah orang itu.

DiangkatNya serta merta tanpa bertangguh dan segala hak yang dinafi berbelas tahun lamanya Tuhan kembalikan berganda-ganda. MasyaAllah.

Itu pentingnya sabar dan ikhlas dalam kerja buat kita. Sangat penting!

Namun begitu, aku masih lagi guru biasa yang perlu banyak belajar pelbagai benda.

Masih lagi guru yang melakukan kesilapan dan cuai dalam beberapa perkara.

Ya, masih hamba yang lemah yang tidak lepas dari dosa.

Ma dan abah sering ingatkan, Tuhan angkat darjat, Tuhan muliakan, Tuhan beri nikmat dan rezeki jangan biar menjauhkan diri kita padaNya pula.

Biar nikmat itu mendekatkan diri padaNya.

Ma pesan, jangan sesekali riak dan ujub. Itu semua kurniaan Tuhan dan boleh ditarik bila-bila masa sahaja.

Abah pesan, tidak semua orang suka kita di atas. Tidak semua orang suka kita naik. Dan akan ada orang menunggu masa untuk mereka bertepuk tangan saat kita melakukan kesilapan dan terjatuh.

Aku pegang amanat ma dan abah kejap-kejap. Simpan dalam hati rapat-rapat. Ini pedoman sepanjang hayat.

Sebagainya Tuhan boleh memuliakan sesiapa yang dikehendakiNya, seperti itu juga Tuhan bila membuat kita menjadi hina bila-bila masa sahaja. Mohon dilindungi dan dijauhi.

Aku pada tahap ini, diberi pujian oleh ramai orang. Sedangkan pujian itu semua milik Tuhan.

Aku tidak sehebat yang diperkatakan. Masih banyak salah dan silap dan jangan meletak terlampau tinggi 'expectation' pada diri ini.

Diluar sana, beratus ribu lagi guru-guru yang jauh lebih hebat dan handal dari aku. Cuma Tuhan belum 'mengangkat' mereka sahaja.

Cuma mereka tidak menulis sahaja. Cuma mereka belum dikenali sahaja.

Aku dengan rendah diri memohon kawan-kawan menegur aku saat silap dan salah.

Dan memohon kalian mendoakan yang baik-baik sahaja buatku. Paling penting, tolong doakan agar Tuhan jaga hati aku.

Tuhan, jaga hatiku. Tolong!

#MFS

- Hanya hamba yang sangat kerdil di dalam luasnya rahmat Allah taala -

 

p/s: Semoga cikgu persis Korea yang juga Guru Inspirasi McDonald’s 2019 ini makin berjaya dunia dan akhirat! Amin.

Berita lain:

“Tak sangka cikgu masih tunggu aku… ALLAH”- 'Ustaz Hamadi' sebak jumpa guru Muziknya di sekolah

Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar

Persembahan memukau Cikgu Donze hingga muncul Johan Kategori Nyanyian Solo

Memang wajar guru ini menang Adiwira PAK21, Cikgu Nazmi berjaya bawa segala ilmu dalam kelasnya