Nasib setiap murid tidak sama.

Ada yang datang ke sekolah dengan berpakaian seragam, alat tulis dan beg sekolah serba baru.

Ada pula yang hanya memakai pakaian seragam yang sudah lusuh atas faktor kemiskinan.

Inilah kisah yang ingin dikongsi oleh Penolong Kanan Pentadbiran Kurikulum, Sekolah Kebangsaan Pulau Seduku, Sri Aman, Sarawak, Cikgu Ahmad Faizal Osman.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Emmet berkata, kisah murid bernama Nick benar-benar membuatkan dirinya sebak.

“Ramai murid seperti Nick. Walaupun berpakaian sedemikian, murid-murid sebegini tetap datang ke sekolah hanya kerana mahukan ilmu,” katanya kepada GPS Bestari.

Ikuti cerita yang menyentuh hati hasil karya Cikgu Emmet ini.  

**********

Kadang-kadang anak murid ni mereka cuba belajar dengan sungguh-sungguh di kelas.

Namun mereka juga ada perasaan malu kerana penampilan mereka tak sama dengan kawan-kawan lain.

Untuk membina semula keyakinan anak-anak ini, guru-guru kena bijak dan cakna kepada perubahan tingkah laku mereka.

Saya ada menerima berita seorang murid Tahun Satu di sebuah sekolah di daerah saya. Murid itu kelihatan bersemangat untuk belajar...tapi bila diajak kehadapan dia menolak.

“Siapa tahu yang mana warna biru mari kehadapan... tunjuk pada cikgu...,” kata cikgunya kepada 17 muridnya di dalam kelas.

Nick (bukan nama sebenar) bingkas bangun...tapi kemudian duduk semula.

Semua murid tampil ke hadapan menunjukkan kertas berwarna biru...kecuali Nick sahaja yang tidak ke hadapan walaupun dia sudah berdiri.

Kenapa kamu tidak ke depan? tanya gurunya.

"Tancot iya jai cigu (seluar dia buruk),” sahut rakannya.

"Malu iya cigu (dia malu cikgu),” sambung rakan lain.

"Ehhh tak baik cakap macam itu pada dia...,” kata cikgu sambil memberi teguran supaya rakan-rakannya tidak berkata sedemikian.

Cikgu memanggil Nick.

"Nick...mari sini...”

Nick bangun dan jalan perlahan-lahan ke arah gurunya.

Kelihatan seluar yang dipakainya senteng hampir suku betis. Malah butang seluarnya tidak dapat dikancing dan zip dibiarkan terbuka kerana saiz pinggang yang kecil.

Nick terpaksa menggunakan tali pinggang bagi memastikan seluarnya dapat dipakai walaupun ketat kerana bersaiz kecil.

" Ini seluar kamu ke adik kamu punya?" tanya cikgu.

" Saya punya cikgu...seluar pra aku suba (saya punya cikgu...seluar pra sekolah dulu),” balas Nick sambil tertunduk segan.

"Ok takpa...kamu belajar baik baik...nanti cikgu bagi kamu baju dan seluar baru,” pujuk cikgunya.

Itulah kisah minggu lepas...

Dan pagi ni gurunya memanggil Nick dan memberikan set baju dan seluar serta kasut yang baharu.

Ceria wajah Nick bila seluar yang dipakai mengikut saiz pinggangnya. Jadi seluarnya tidak senteng lagi dan pinggang dapat dikancing dan di zip dengan sempurna.

Sebak rasa cikgunya bila dia tak putus-putus ucap terima kasih dan semasa sesi pembelajaran, Nick lebih aktif dan yakin tampil ke hadapan.

Semoga Nick menjadi murid yang cemerlang.

Alhamdulillah kes ni sudah diselesaikan dengan bantuan guru terbabit. Semangat Nick untuk belajar kembali membara. Di dalam kelas dia ceria. Terima kasih kepada guru yang membantu.

Sumber: Facebook Cikgu Emmet Menulis

Biodata Guru

Nama: Ahmad Faizal Osman @ Cikgu Emmet

Umur: 51 tahun

Jawatan:Penolong Kanan Pentadbiran Kurikulum

Sekolah: SK Pulau Seduku, Sri Aman, Sarawak

Tahap Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pengajaran

Pengalaman sebagai pendidik: 28 tahun

Pencapaian/Anugerah: Anugerah Pencapaian Cemerlang JPNS 2016 dan Duta Guru Nadi Negara 2019

Artikel menarik

‘Cikgu...mahal tak harga buku ni? Saya bawa duit, ni duitnya 90 sen' - Cikgu Maria menahan sebak

'Kenapa tak beritahu cikgu? Kan dah pesan...tak de duit cakap, cikgu boleh bagi' - Warganet sebak

‘Kerana pelajar, kami sanggup buat apa sahaja. Harapnya ini dapat meringankan beban kamu sekeluarga'