Perkongsian daripada Guru Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Perdana, Pulau Pinang menerusi laman facebooknya baru-baru ini, benar-benar menyentuh hati warga maya.

Ustazah Mawaddah Mohd Noor yang memuat naik kisah seorang murid yang gagal menyiapkan kerja sekolah disebabkan ‘kekangan tertentu’, telah membuatkan air mata warganet laju mengalir.

“Saya tanya dia, kenapa tak siapkan kerja rumah yang diberi.

“Dia jawab ‘line’ tak ada. Tapi kemudiannya, dia menangis,” kata Ustazah Mawaddah kepada GPS Bestari.

Ikuti perkongsian selanjutnya seperti yang diceritakan oleh Ustazah Mawaddah dalam akaun media sosialnya itu.

*****

Catatan bertarikh 8 Mac 2021

Kelas awal pagi tadi dirudum pilu. Saya yang pada mulanya hanya menyemak tugasan murid-murid dalam PdPR selama dua bulan, tiba-tiba bertukar menjadi hiba.

Murid saya ini antara empat orang murid yang tidak berjaya menyiapkannya.

Jika yang lain menjawab mereka tidak sempat dan terlalu banyak tugasan-tugasan lain yang turut perlu diselesaikan.

Saya menasihati agar menyiapkannya minggu ini dan mereka bersetuju. Selesai!

Tetapi, lain dengan seorang murid saya ini. Dia hanya diam membisu walaupun saya hanya bertanya dalam nada yang biasa saja.

Matanya tiba-tiba berkaca dan langsung berjujuran air mata dengan lajunya membasahi pipi.

Terasa benar-benar bersalah kerana mengasaknya untuk menjawab.

"Ustazah tanya saja. Nak tahu apa masalah kamu. Bagi tahulah. Ustazah tak marahlah kalau kamu ada sebab yang kukuh."

Dia masih membatu.

Saya tidak bercadang meneruskan siasatan. Risau pula meninggalkan tekanan kepadanya.

“Line tak dak, ustazah,” dia akhirnya bersuara.

“Oh, tak dak line. Tak pa lah kalau gitu. Kan senang kalau dari tadi jawab macam tu.

Dia menangis apabila saya memberi respond sebegitu.

“Eh, janganlah menangis. Kan ustazah dah cakap ustazah tak marah. Cuma nanti, tanya kawan-kawan kamu, ustazah bagi tugas apa sepanjang kelas dalam PKP baru-baru ni.

Dia mengangguk lesu.

"Rumah kamu tak dak line sama macam rumah ustazah kat kampung juga. Payah betul nak dapat line internet. Kadang-kadang, ustazah kena drive sampai ke kota semata-mata nak cari line,” saya cuba menyelit cerita agar dia merasa lebih selesa. Masalah dia dan ustazah, sama saja. Masalah line internet.

“Tapi ustazah, saya tinggal di Bentara saja. Bukan tak dak line macam ustazah. Tapi sebab ayah tak beli data.”

Terkesima.

“Ayah kamu kerja apa?”

“Bawa lori, ustazah.”

“Mak?”

“Mak suri rumah. Tapi, mak dah tak ada.”

Allahu Akbar!

Tak ada ibu rupanya.

Bergetar hati saya mendengarnya.

Mulalah terbayang bagaimana saya sebagai ibu menguruskan anak-anak mengikuti kelas secara online. Memang sokongan dan kawalan ibu itu sangat penting.

“Tak pa, tak pa,” betapa saya berusaha untuk meredakan perasaannya.

“Mak saya meninggal bulan dua belas tahun lepas…" Air matanya terus mengalir laju.

Kelas sunyi sepi.

“Masya-Allah, baru lagi ya. Maaf ya, ustazah benar-benar tak tahu.”

Dia terus bercerita.

“Saya pakai telefon mak. Tapi, bila dah banyak kali ayah beli data, lama-lama ayah dah tak beli. Masa ada data, saya buat kerja-kerja sekolah yang cikgu dan ustazah bagi.”

“Ya, baik-baik ustazah faham.”

“Dah, tak pa. Lain kali ada masalah macam ni lagi, habaq pada ustazah, ya. Mana tau ustazah boleh bantu.”

Riuh rendah kelas dibuatnya apabila saya berkata demikian.

“Ustazah nak belikan phone dan data barulah tu!" Seorang murid kelas itu menduga.

“Aah, Insya-Allah kalau ada rezeki lebih, ustazah boleh belikan…”

Maka bertambah riuhlah kelas saya pada pagi itu. Suasana yang hiba bertukar menjadi riuh-rendah.

Murid tadi mengukir secebis senyuman di bibirnya.

Barangkali sudah berkurang sedihnya mendengar celoteh rakan-rakannya.

Alhamdulillah, syukur dia sudah mampu tersenyum. Dalam hati saya berdoa, semoga Allah Taala menguatkan hati anak kecil ini yang sudah kehilangan kasih seorang ibu. Kuatkan hati dan semangatnya, Ya Allah!

Sebak.

“Dah dah, jom kita mulakan kelas hari ni…”

Saya memulakan pengajaran pagi tadi dengan sejuta kesyukuran kerana anak kecil ini sudah tidak menangis lagi dan kelihatan bersemangat menyiapkan tugasan-tugasan bahasa Arab yang tertangguh akibat kekangan yang bukan sengaja diciptanya.

Alhamdulillah.

Sumber: Facebook Mawaddah MN

Artikel menarik

17 adab yang perlu guru-guru amalkan, ikuti perkongsian Dr Mohd Hasrul

KPM cadang guna teknologi PPVC untuk projek pembinaan sekolah tambahan