BAHAGIAN 2

Keesokan harinya Manang bangun lebih awal seperti biasa kerana pada malam tersebut dia tidak dapat tidur seperti biasa. Jiwanya resah mengenangkan apa yang akan berlaku.Sedangkan dia sendiri tidak mengetahui apa yang dia risaukan.Dia memerhatikan penduduk rumah panjang di tapak tempat tidur mereka. Ada yang masih berdengkur, ada yang sedang bermimpi mungkin dan ada yang mula bangun sambil mengesat-ngesat mata mereka.

Hari masih gelap lagi. Kokokan ayam hutan mula kedengaran dan bersahutan. Manang memandang ke arah hutan tebal di sekelilingnya. Melayan fikirannya yang jauh.

“Kamu sudah bangun Manang?”

“Ya Tuai. Tidurku tidak nyenyak semalam. Mungkin terlalu penat.”

“Aku paham Manang. Mungkin kamu terlalu memikirkan keselamatan anak buah kita.”

“Ya. Begitulah.”

Ketika mentari mula menampakkan sinarnya, ramai penduduk rumah panjang tersebut mula bangkit dari tidur mereka. Yang lelaki mula menyalakan rokok ‘daun apong’ (daun nipah) sambil bercerita kepada kawan-kawan.

Yang perempuan pula sibuk memberi mandi anak mereka dan menyediakan sarapan ringkas. Sementara yang lain sibuk mengemas kembali tapak tempat tidur dan membungkus segala pakaian dan barang-barang lain untuk dibawa meredah hutan.

Ketika hari semakin cerah dan sinar mentari mula mengeluarkan bahangnya, Moyang Aki dan Manang mula memanggil kesemua penduduk rumah panjang mereka untuk berkumpul. Setelah hampir semua berada di hadapan Moyang Aki, Manang pun mula berkata;

“Kepada seluruh anak buahku. Tidak lama lagi perjalanan kita akan sampai ke penghujungnya. Cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi perjalanan. Lagipun kita telah berjumpa dengan anak sungai. Kita akan ikuti arah sungai ini. Sehingga ke hilirnya.”

“Sehinggalah kita bertemu dengan dua sungai yang menyatu pada hilirnya, ketika itu kita akan cari sebatang pohon ara yang besar yang akarnya berjuntai hingga ke dasar tasik. Aku akan berenang dan menyelam dan akan mengikuti akarnya yang menjalar hingga ke hujungnya dan aku akan menyelam hingga pada dasar tasik, di situ ada tajau.”

Dengan tiba-tiba ada seorang lelaki yang berdiri di antara penduduk rumah panjang tersebut dan mencelah;

“Manang. Maaf. Bukan tidak yakin padamu. Cuma sekadar ingin menyenangkan hati kami. Apa betul apa yang Manang katakan ini dan bagaimana Manang tahu? Sedangkan pada malam itu kita cuma dimaklumkan oleh Keling tentang persetujuannya membantu kita dan tidak ada disebut oleh Keling tentang tajau itu. Maaf Manang.”

“Ya. Aku paham. Aku juga tidak marah. Kerisauan pada wajah kalian sangat jelas dan aku sangat memahami. Dan aku yakin tentang kepercayaan kalian kepadaku dan Tuai rumah panjang kita. Berilah aku masa dalam 15 hari lagi untuk matahari terbit dan tenggelam dan tetaplah bersamaku. Nescaya di antara masa tersebut kita pasti akan sampai ke tempat yang diberitahu oleh Keling.”

“Terima kasih Manang. Terima kasih Tuai. Aku tetap akan bersama kalian. Apa saja yang bakal kita tempuhi. Cuma kematian sahaja yang menjadi penghalangnya. Juga seluruh penduduk rumah panjang kita. Mempertaruhkan jiwa demi anak cucu cicit kemudian hari.”

“Ya. Sama-sama. Aku tidak pernah gusar terhadap kalian. Di dalam darah kalian mengalir darah-darah pahlawan Iban. Kerana prinsip ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ akan kita bawa ke mana sahaja bumi ini dipijak. Dan bukan sekadar itu. Aku memerhati sendiri ketika kecil bagaimana bapa dan datuk kalian berjuang tanpa rasa takut. Juga ibu dan nenek kalian. Menentang musuh. Memenggal kepala mereka dan pulang dengan rasa bangga sebagai pahlawan Iban terbilang.”

“Jadi, sebagai tanda berakhirnya perjalanan kita nanti, kita akan cari di mana tajau itu berada. Sedalam mana tajau itu tersembunyi di dalam sungai. Ianya milik keturunan kita. Menurut perempuan penjaga kita, ianya sebenarnya ada tertanam di rumah panjang kita sebelum ini. Kemudian dibawa dan dipindahkan oleh Keling selepas aku memuja dan memanggil dia untuk memintanya merestui perjalanan kita pada malam itu. Tajau itu sudah lama tertanam di situ.”

“Tiada seorang pun tahu kecuali seorang dua sahaja. Mungkin nenek moyang kita yang perempuan penjaga kita maksudkan itu. Selepas diambil oleh Keling, Keling meletakkannya di hilir sungai tempat kita semua akan memulakan hidup baru nanti.”

“Kerana cuma dia yang tahu bahawa di situlah tempat yang paling sesuai untuk kita dan keturunan kita semua memulakan hidup baru. Sewaktu aku menyelam dan cuba untuk mengambilnya di dasar sungai nanti, tajau itu ada tiga kesemuanya. Kita cuma dibenarkan mengambil satu sahaja. Yang mula-mula sekali yang tercapai oleh tanganku nanti.”

“Selepas itu, apa pun yang terjadi, jangan sesekali kita melanggar perintah Keling kerana perempuan penjaga kita itu mesti diberi makan. Apa pun caranya. Selagi aku dan keturunan aku hidup, kamilah yang akan memberinya makan dengan darah kami sendiri. Kalau tidak nyawa penduduk rumah panjang kita sebagai galang gantinya. Baiklah. Kita teruskan perjalanan kita. Matahari mula meninggi.”

Selepas itu kesemua penduduk mula bersiap-siap dan meneruskan perjalanan mereka. Wajah mereka kelihatan ceria dan gembira.

Kerana menurut Manang perjalanan mereka hampir sampai ke penghujung. Cuma tinggal beberapa hari perjalanan sahaja lagi. Selepas itu mereka akan memulakan hidup mereka yang baru.

Setelah hampir 10 hari 10 malam mereka meneruskan perjalanan. Menyusuri tepian sungai. Semakin hari sungai itu semakin lebar. Memberi petanda bahawa sehari dua lagi mereka akan sampai ke tempat yang dituju.

Wajah Manang menampakkan sinarnya. Tersenyum memandang penduduk rumah panjang yang bertungkus lumus melangkah dan meredah hutan belantara. Sudah agak lama dia tidak tersenyum. Begitu juga Moyang Aki. Keduanya tersenyum sambil memandang sesama sendiri.

“Tuai, kalau ikut perkiraan aku, kalau tidak hari ini, esok kita akan sampai.”

“Aku juga rasakan begitu Manang. Jiwa aku pun mengatakan begitu.”

“Baiklah. Kita teruskan melangkah. Kita maklumkan kepada penduduk rumah panjang semua bahawa sehari dua lagi kita akan sampai.”

“Baik Manang. Aku akan maklumkan sekarang kepada mereka.”

Moyang Aki kemudiannya memaklumkan kepada seluruh penduduk rumah panjang mereka bahawa tidak lama lagi mereka akan sampai.

Terpancar sinar kebahagiaan pada raut setiap wajah. Ibu-ibu tersenyum sambil mengurut-ngurut dada sebagai tanda jiwa merasa lapang. Kaum lelaki pula saling berpelukan kegembiraan dan anak-anak kecil melompat kegirangan.

Selepas itu mereka meneruskan perjalanan mereka seperti biasa. Langkah mereka lebih bersemangat kerana mereka tahu bahawa perjalanan yang melelahkan ini akan sampai ke penghujungnya.

Dan malam tersebut mereka tidur seperti biasa. Ditemankan bulan dan bintang. Berselimutkan embun, berbantalkan akar-akar kayu. Dan malam itu adalah malam yang terakhir perjalanan mereka kerana keesokan hari mereka akan sampai ke destinasi.

Cuma mungkin mereka terlupa bahawa setiap malam-malam mereka ada mata-mata yang memerhati. Gadis penunggu keturunan mereka sentiasa menanti, memerhati dan tersenyum di sebalik dahan-dahan pokok yang tinggi. Berterbangan sedikit rendah.

Kadang-kadang bernyanyi dan diiringi dengan lolongan anjing yang bersahutan. Hanya gadis itu yang mengetahui kenapa dia bertindak begitu.

Di dalam kesuraman malam tersebut, Manang tetap terjaga seperti biasa. Kerisauan semakin dalam. Bahkan kemuncak kerisauannya semakin mengganggu jiwanya. Kerana mengenangkan apa yang akan berlaku selepas ini.

Pertembungan Dua Buah Sungai

Pada keesokan hari penduduk rumah panjang bangun awal dari kebiasaannya. Mereka melakukan rutin harian kehidupan mereka sebagai pengembara. Mereka menyusuri jalan tepian sungai.

Meredah pokok dan akar-akar sehinggalah sepasang mata mereka tertumpu pada penghujung pandangan mereka. Manang memandang Moyang Aki sambil tersenyum;

“Tuai, nampaknya perjalanan kita hampir ke penghujung.”

“Ya Manang. Sepertinya di hadapan kita ada pertembungan dua buah sungai. Lebarnya juga semakin ketara.”

“Kita perlu berjalan sedikit lagi ke hadapan. Mungkin kita akan berjumpa dengan pohon ara tu.”

“Baiklah Manang.”

Moyang Aki meneruskan langkahnya. Diikuti oleh Manang dan seluruh penduduk rumah panjang mereka. Selepas sekitar satu jam mereka meredah tepian sungai, melalui jalan-jalan yang penuh dengan akar, duri dan pohon-pohan kayu yang besar, tiba-tiba langkah mereka terhenti.

“Tuai, Manang. Kita telah jumpa pokok ara tu.”

Jeritan dari seorang dari penduduk rumah panjang mengejutkan mereka semua. Moyang Aki dan Manang yang kebetulan berada di barisan pertengahan dari kelompok penduduk rumah panjang dengan segera mengatur dan mempercepatkan langkah mereka menuju ke arah yang dimaksudkan.

Akhirnya mereka sampai. Betul-betul di hadapan pohon ara tua di hadapan mereka. Usia pohon ara tersebut mungkin beratus tahun juga. Berdasarkan batangnya sebesar 20 kali pemeluk manusia dewasa.

Bukan sekadar itu, akar-akarnya juga melilit turun dan menjalar jauh hingga 50 meter ke hamparan tanah di sekitarnya dan tingginya lebih dari pohon kelapa tua yang menjulang tinggi.

Semasa mereka sampai ke pohon ara tersebut, kesemua penduduk rumah panjang tersebut diam sambil memerhatikan pohon ara yang berada di hadapan mereka. Mereka terdiam kerana memandang pohon ara yang menakutkan di hadapan mereka.

Setelah berapa lama mereka tinggal di rumah panjang lama mereka, inilah kali pertama mereka melihat pohon ara yang sangat besar dan menakutkan. Pohon ara yang tinggi itu rupa bentukan hampir-hampir seperti manusia gergasi.

Jika diamati dengan lebih terperinci, bentuknya pula sama seperti seekor pontianak yang sedang berdiri dan memerhatikan setiap langkah mereka.

Perasaan mereka mula menjadi takut. Wajah ceria dan bayangan indah mereka tentang tapak baru rumah panjang baru ini bertukar menjadi kekhuatiran yang mencengkam. Semuanya wujud di dalam diri mereka.

Manakan tidak. Batangnya yang besar dan lebar seolah-olah seperti pakaian putih yang biasa digunakan oleh pontianak (menurut pemahaman sebahagian masyarakat Asia Tenggara seperti di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei).

Pada dahan di atasnya membentuk seperti sosok wajah manusia yang menakutkan.

Daun-daun dan ranting-rantingnya sama seperti rambut pontianak yang mengerbang ditiup angin dan kedua-dua dahan besar yang di kanan dan kiri juga sama seperti tangan manusia.

Dahan kanannya bergantung di pertengahan batangnya sedangkan dahan di sebelah kiri pula memanjang dan akhirnya menyusur ke dalam sungai.

“Tuai, Aku seperti khuatir memandang pohon ara ini. Kalau kita perhatikan bentuknya sama seperti pontianak. Bahkan sama seperti perempuan yang kita jumpa pada tengah malam semasa perjalanan kita ke sini. Aku tidak tahu kenapa timbul rasa risau di dalam hati aku.”

“Ya Manang. Aku juga rasa begitu. Penduduk di rumah panjang kita juga sama. Tidak wujud wajah kegembiraan pada mereka ketika ini. Perasaan risau terpampang pada setiap kerut di dahi mereka. Aku tidak tahu kenapa. Mungkin terkejut melihat pohon ara ini. Tidak seperti apa yang mereka gambarkan sebelumnya.”

“Betul Tuai. Kalau betul ini tapak yang Keling jelaskan kepada kita maka di sinilah pengakhirannya. Akhirnya kita telah sampai juga. Lebih kurang seratus hari perjalanan kalau mengikut perkiraan aku berdasarkan timbulnya matahari dan tenggelamnya bulan. Tapi kita perlu pastikan satu perkara lagi. Iaitu tajau yang Keling dan perempuan itu maksudkan. Tertanam di dasar sungai ini.”

“Aku rasa Manang. Kalau kita dapat menjumpai tajau yang dimaksudkan ini, kerisauan anak buah kita pasti akan bertukar menjadi kegembiraan. Baiklah Manang. Sudah masanya untuk kita berdua menyelam di dasar sungai ini. Mengikut arah akar pohon ara ini yang menyusur ke dalam sungai.”

“Tidak Tuai. Biar Aku yang menyelam ke dasarnya. Aku risau akan bahaya yang wujud di dalamnya. Mungkin juga ada buaya yang menunggu di sana. Sebelum ini juga ada anak-buah kita yang mati dibaham buaya walaupun kita tidak pernah mengganggu keturunan buaya ini.”

“Apatah lagi ketika menyelam pada dasar tasik ini. Buayakan selalu beristirahat di dasar sungai dan berehat di darat? Kamu tunggulah di daratan ini Tuai. Kalau terjadi apa-apa padaku, mereka tetap akan ada kamu. Sebagai Tuai Rumah kita. Mereka memerlukan kamu Tuai.”

“Ya. Tapi aku memerlukan kamu di sisiku. Untuk kita mengatur semula keturunan kita. Kita bina bersama dulu rumah panjang baru kita ini.”

“Berjanjilah padaku Tuai. Kalau apa-apa yang terjadi padaku, engkau jagalah isteri dan anak-anakku. Anak-anak aku akan meneruskan tradisi baru kita ini nanti iaitu dengan memberi makan darah pada tajau yang akan kita jumpa nanti. Telah lama aku maklumkan kepada mereka tentang hal ini. Sebelum kita mengambil keputusan untuk berpindah lagi.”

“Sebab itulah kalau kau perhatikan, cuma isteri dan anak-anakku sahaja yang tidak bahagia kalau melihat pada raut wajah mereka di sepanjang perjalanan kita ini. Aku katakan pada mereka sekiranya kita telah sampai ke tapak baru rumah panjang kita, maka akulah yang pertama akan pergi meninggalkan mereka dan kamu semua. Kerana perjalanan hidupku akan berakhir di sini.”

“Jangan cakap begitu Manang. Aku tidak percaya. Bahkan kamulah yang memimpin kita hingga selamat sampai ke tapak baru ini.”

“Betul Manang. Tapi tiap sesuatu itu akan ada pengorbanannya dan akulah yang akan berkorban untuk masa depan anak cucu kita di sini nanti. Aku dapat merasakan bahawa hayatku semakin ke penghujungnya. Jadi biarkan aku berkorban untuk kali yang terakhir Tuai. Untuk anak dan cucu kita.”

“Aku tetap tidak akan percaya Manang dan jangan sesekali pergi meninggalkan kami semua. Anak dan isterimu juga menanti kamu.”

“Tuai, kalau ditakdirkan yang hayat aku cuma sebentar sahaja lagi, mahukah kau berjanji kepadaku satu perkara?”

“Kau ditakdirkan untuk bukan mati pada masa sekarang Manang. Tapi..Baiklah Manang. Aku berjanji. Apa dia?”

“Aku akan menyelam mencari tajau yang dimaksudkan selepas ini. Kau sediakan air kopi, tuak (sejenis arak yang diperbuat dari beras pulut) kuih penyaram, rokok daun dan ayam hitam yang dipanggang. Semua ini untuk dihidangkan kepadaku nanti. Kau tunggulah sehingga aku timbul dan membawa tajau itu.”

“Selepas itu kita dua akan makan dan ketawa bersama-sama. Sehingga pada tengah malam. Untuk meraikan kejayaan kita menjumpai tajau itu. Kau tunggulah aku ya? Itu pun jika masih ada peluang.”

“Hahaha..Inilah yang dinamakan sahabat Manang. Kamu memang sahabat aku. Kita bermain dan membesar bersama-sama.”

Perpisahan Terakhir

Tuai kemudiannya lalu memeluk Manang dengan pelukan erat persahabatan. Mereka berdua ketawa berdekah-dekah. Masing-masing tidak mahu melepaskan pelukan tersebut.

Kerana mereka dua sepertinya sudah tahu bahawa inilah pelukan dan gurauan yang terakhir buat mereka berdua. Senyuman dan ketawa mereka itu kemudiannya disertakan dengan tangisan air mata.

Penduduk di rumah panjang tidak mengetahui apa yang berlaku. Cuma memerhatikan sahaja gelagat Moyang Aki dan Manang. Bagi mereka itu adalah tangisan kegembiraan. Kerana itulah penghuni rumah panjang tersebut tersenyum gembira.

Sedangkan tangisan Moyang Aki dan Manang adalah tangisan perpisahan. Tidak dapat difahami oleh orang lain. Kecuali Moyang Aki, Manang dan keluarga Manang yang memerhati dari kejauhan.

Di suatu sudut keluarga Manang menangis semahu-mahunya. Tapi apakan daya. Kerana kebahagiaan itu mesti dibayar dengan cinta dan air mata.

Manang kemudian melepaskan pelukannya lalu tersenyum memandang ke arah Moyang Aki. Lalu berjalan perlahan untuk bertemu dengan keluarganya. Mereka saling berpelukan. Agak lama juga. Kerana bahasa perpisahan ini adalah dengan bahasa tangisan air mata.

Setelah puas berpelukan dan memberikan nasihat dan peringatan kepada keluarganya, Manang kembali berjumpa dengan Moyang Aki.

“Tuai, aku sudah bersedia. Sebentar lagi aku akan terjun ke dalam sungai ini. Bawalah dua tiga orang bersamamu untuk menyambut tajau ini nanti. Ingat janji kita Tuai. Tunggulah aku selepas itu. Makanan dan minuman yang aku pinta tadi, kau sajikan ketika aku telah tiada. Sebagai tanda persahabatan kita.”

“Baiklah Manang. Jasa dan pengorbanan kamu aku tidak pernah akan lupa. Akan aku ceritakan pada cucu cicit kamu nanti.”

“Terima kasih Tuai. Jagalah keluarga aku untuk aku. Hanya engkau tempat mereka berserah kasih nanti.”

Penduduk yang berkumpul di gigi sungai mula terkejut kerana mendengar apa yang disampaikan oleh Manang tadi. Sepertinya bahasa perpisahan untuk mereka.

Tetapi mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku. Cuma bagi mereka itu adalah ayat-ayat peringatan sahaja. Tidak lebih dari itu.

Selepas itu Manang mula berdiri di tepi pohon kayu ara. Tangannya cuba untuk mengapai dahan kiri pohon ara yang menyusur ke dalam sungai. Sebelum turun ke sungai, Manang memandang dan melambai-lambai ke arah keluarganya.

Kemudian memandang ke arah Moyang Aki sambil tersenyum.

Manang kemudian memandang ke atas sambil membaca mentera yang pernah dibacakannya dulu semasa menyeru Keling untuk hadir. Sambil matanya merenung ke arah sungai.

“Ngangau Bujang berani”

Remba se remba, Ndae nda nyinonya meda tuboh besae penerebae. Uji gak kita menyade nege sekekiah engae baek aku makae dedingae. Ngejaga beram bisa sebedau tuboh imun aku ngeleka ngigak baka kenak nyimpan tubuh leka. Kita bujang berani, aku nesau aku ngangau aku tabe datai ba bukit semilu kinabalu bujang senang. Aku akak nebah ke kita sangga lidah bunyi sambung nyawa ante nyema iya nyelae anag menyae lempang leme semadi meh tua besae aku nunang singae. Laban tua mekang sengenang ukae pureh semembang. Uji ketua akak kenesa utae kelama sepa jaga dini ndak tusah ati ruri keling berani aku deka puale kenegeri ae rupa ndak lepag beperan. Anang sekale takut nyelam lubuk kemenyan tali tembaga ya ke lelisa ngentak kemata kenak reraya dinga kekita bujang berani ke nankin takin duko ilang dua gembar mere pambar batang lupar munuh saka ualar nyengkar ba batu ampar. Ante nylam alam ae ngalah kerene raja baya tama alam tanah. Ante nike pucuk kayo ndae beguyu nadae beranyang pucuk tapang. Ante nesau bunjang pangau kunci ati bini remaung kesal ati nadae pulai laki. Keselalu matak teropong sulah tembaga ari ribut puput. Remba – remba aku ngangau aku nesau datai meh kita bujang berani baka besi tiang langit ke cecegi..”

Selepas itu Manang mengeluarkan tangkai bunga selasih yang terselit di pinggangnya. Bunga selasih itu mempunyai dua tangkai.

(Menurut kepercayaan masyarakat Iban, pada cabang tangkainya yang pertama mewakili alam kematian) Di hala Manang ke arah dirinya sendiri.

Manakala tangkai yang satu lagi (yang mewakili dunia kehidupan) menghala ke arah seluruh penduduk rumah panjang mereka.

Manang hanya memotong tangkai yang mewakili alam kematian sahaja. Selepas upacara pemotongan itu, Manang mula mengulangi bacaan menteranya dan berusaha untuk menyembunyikan tangisannya.

Tangan Manang tetap memegang dahan kiri pohon ara tadi dan kemudian menarik nafasnya dalam-dalam berulang kali sambil memandang ke arah sungai. Lalu berjalan perlahan-lahan masuk ke dalam air sungai yang dingin tersebut.

Kesemua penduduk rumah panjang mereka memandang dengan teliti pada setiap langkah Manang ketika menuju ke sungai. Manang melangkah dengan tenang.

Pada mulanya air sungai itu cuma menenggelamkan buku lalinya, kemudian lututnya, pinggang, dada, wajah dan akhir sekali menenggelamkan seluruh badan Manang.

Moyang Aki dan kesemua penduduk memandang ke arah sungai. Menunggu Manang timbul untuk membawa sekali tajau yang dimaksudkan oleh Keling dan perempuan penjaga mereka.

Setakat ini tiada apa yang berlaku. Cuma timbul di permukaan sungai buih dari dasar tempat Manang menyelam tadi.

Sudah lima minit berlalu. Manang masih tidak timbul-timbul.

Begitu juga tajau yang dimaksudkan itu. Terpampang kerisauan pada wajah Moyang Aki, keluarga Manang dan seluruh penduduk rumah panjang.

Di dalam ketegangan ini, kesemua mereka menunggu Manang untuk timbul kembali membawa tajau tersebut, seluruh pandangan mereka tertumpu pada buih-buih besar yang bergerak perlahan dari tengah dasar sungai menuju ke tepian sungai. Mungkin Manang sedang berusaha untuk membawa tajau tersebut ke permukaan.

Buih itu semakin lama semakin mendekat ke tebing sungai. Moyang Aki dan beberapa orang pemuda mula menunggu di tepi sungai sebagai persediaan untuk menyambut tajau dan Manang.

Ketika buih itu semakin dekat ke arah tepian sungai, kesemua mereka mula teruja untuk melihat tajau tersebut. Kesemua mereka bersesak-sesak untuk melihat bagaimanakah tajau ini kerana tajau ini adalah milik keturunan mereka yang mereka sendiri tidak tahu akan kewujudannya kecuali dua orang sahaja yang tidak diketahui oleh mereka siapa.

Masa semakin hampir. Sepertinya ada sesuatu yang akan timbul di permukaan sungai. Mereka telah bersedia untuk menyambutnya. Tiba-tiba suasana hari itu bertukar. Angin mula bertiup kencang. Awan bergerak pantas.

Cuaca tetap panas seperti biasa. Sinar matahari memancar ke seluruh hutan tebal tersebut. Tiada tanda-tanda hari akan turun hujan.

Cuma sedikit pelik kerana secara tiba-tiba petir mula sabung menyabung. Melihat keadaan ini kebanyakan penghuni rumah panjang cuba berselindung di sebalik pohon ara tersebut.

Tajau Lama

Cuma beberapa orang lelaki sahaja yang tetap berada di tepian sungai. Menemani Moyang Aki untuk menyambut tajau dan Manang.

Tiba-tiba air sungai di hadapan mereka mula berkocak dan melimpah ke tepian. Menurut perkiraan mereka, sedikit masa lagi tajau itu akan timbul ke permukaan tebing.

Bila-bila masa tajau tersebut akan timbul ke permukaan sungai. Kesemua pasangan mata memerhati dengan tekun dengan memandang ke arah kocakan air tadi.

Secara perlahan-lahan tangan Manang muncul ke permukaan sungai dan memegang kukuh sebuah objek berwarna perang tua yang mula timbul ke permukaan air. Tetapi mula bergerak ke tengah sungai. Lalu seorang pemuda dari penghuni rumah panjang tersebut menjerit;

"Tuai, Manang telah menjumpai tajau yang dimaksudkan itu. Kepala tajau tu sudah timbul. Manang masih lagi memegang kepala tajau tersebut.”

“Kalau begitu lekas pegang tangan Manang dan kepala tajau itu. Jangan biar terlepas. Manang masih di dalam sungai lagi. Lekas.”

Moyang Aki mengeluarkan arahan kepada beberapa orang pemuda di sekitar sungai itu tadi untuk menyambut tangan Manang dan tajau yang dimaksudkan.

Lalu mereka mula berenang ke bahagian tengah sungai untuk menyambut tangan Manang dan mengambil tajau tersebut.

Setelah sampai di pertengahan sungai, mereka terpaksa mengapungkan diri dan bergerak melawan kekuatan arus untuk tetap bertahan di tengah sungai.

Berenang secara perlahan-lahan sambil bergerak menuju ke arah Manang. Tangan Manang masih lagi kukuh memegang kepada tajau. Kepala dan badannya masih tidak kelihatan lagi.

Selepas sampai ke pertengahan sungai. Mereka telah berusaha untuk memegang tangan Manang dan cuba untuk mengangkatnya ke arah permukaan sungai. Mereka risau kalau-kalau Manang mula kelemasan.

Begitu juga dengan tajau tersebut. Mereka sedang berusaha untuk melepaskan genggaman Manang dari kepala tajau. Agar dapat mereka asingkan dan menyelamatkan kedua-duanya.

Tetapi sepertinya genggaman Manang terlalu kuat untuk dilepaskan. Dalam keadaan mereka sedang berenang-renang untuk mengimbangkan diri di dalam sungai, mereka tetap berusaha untuk memisahkan tangan Manang dan cuba mengangkatnya timbul ke permukaan.

Tetapi entah kenapa begitu sukar untuk mereka mengeluarkan Manang dari terus tenggelam di sungai. Ketika keadaan semakin tertekan, kesemua mereka cuba untuk melepaskan genggaman tangan Manang dari terus menggenggam kepala tajau tersebut.

Setelah beberapa kali mencuba akhirnya genggaman tangan Manang pada kepala tajau itu terlepas jua. Dua orang dari pemuda tadi mula berenang ke tepian dengan membawa tajau tersebut.

Sedangkan yang lain sedang bertungkus lumus untuk mengeluarkan Manang dari terus tenggelam. Mereka risau Manang akan mati lemas. Masakan tidak. Sudah berapa lama Manang tidak timbul ke permukaan sungai.

Mereka juga begitu. Bertarung nyawa dengan berenang menentang deras arus sungai. Juga kedalaman sungai yang tidak dapat di agak oleh mereka.

Dengan saki baki tenaga yang ada mereka juga mempertaruhkan nyawa mereka demi Manang dan tajau yang melambang masa depan dan harga diri keturunan mereka di kemudian hari.

Mereka berusaha sekuat mungkin dan akhirnya dapat juga memegang tangan Manang tetapi untuk mengangkatnya keluar dari sungai masih lagi tidak berjaya. Kemudian secara perlahan-lahan kaki Manang timbul ke permukaan sungai.

Wajah kegembiraan mula terpancar pada wajah Moyang Aki dan semua penduduk rumah panjang yang memerhati dengan tekun. Tanpa melepaskan sesaat pun pandangan mereka ke arah sungai.

Tiba-tiba kesemua mereka dikejutkan dengan kehadiran seekor buaya gergasi yang timbul ke permukaan sungai. Buaya gergasi itu sedang menggigit separuh dari badan Manang bermula dari bahagian kepala hingga ke badannya.

Kepala Manang sudah tidak kelihatan. Cuma tangan kanannya yang masih terkeluar dari celah-celah gigi buaya gergasi tersebut dan sebahagian pinggang hingga ke kaki masih lagi terjulur keluar.

Isteri dan anak-anak Manang menangis terkejut dan meronta-ronta serta memukul-mukul dada. Kerana ini bukan akhiran perpisahan yang dibayangi oleh oleh mereka sebelum ini.

Buaya sepanjang sepuluh meter tersebut menggenggam kukuh tubuh Manang dengan celah giginya yang besar.

Sepertinya Manang sudah tidak bernyawa lagi. Badannya berlubang-lubang dan terkoyak menjadi beberapa bahagian. Kelihatan beberapa cebisan daging dari badang Manang telah menjadi santapan buaya gergasi tersebut.

Kesemua penduduk rumah panjang nampak dengan jelas apa yang berlaku dan bagaimana keadaan Manang ketika itu. Kepala Manang sudah tidak kelihatan. Mungkin sudah bersatu di dalam perut buaya gergasi tersebut. Darah merah segar juga berjujuran di sekitar mulut buaya gergasi itu.

Setelah beberapa ketika buaya gergasi tersebut secara perlahan-lahan menenggelamkan dirinya ke dasar sungai. Membawa bersama jasad Manang yang akan hilang selamanya dan mereka tidak akan pernah menjumpai mayatnya bahkan sehingga sekarang.

Terkuburnya Manang di dalam perut buaya gergasi itu telah menyebabkan banyak misteri yang tidak dapat diselesaikan. Juga jasad Manang telah disemadikan di dalam perut buaya gergasi tersebut.

Moyang Aki yang memerhatikan kejadian itu tidak dapat menahan kesedihannya. Manang bukan sekadar sahabat Moyang Aki sedari kecil yang juga rakan sepermainannya, tetapi keakraban mereka seperti adik beradik.

Sama-sama mengharungi perjalanan hidup. Susah dan senang bersama. Hinggalah Manang menutup mata buat kali terakhir pada dakapan utuh gigi buaya gergasi tersebut.

Ketika kejadian itu berlaku, tiada sesiapapun yang berani untuk turun kembali ke dalam sungai untuk mencari dan menyelamatkan sisa-sisa tubuh Manang.

Kesemua mereka terkejut kerana kejadian ini berlaku sepantas kilat. Tiada sesiapa yang berani untuk mara ke hadapan walau siapa pun dia. Sehebat mana sekalipun dia.

Kerana yang mereka hadapi bukan pahlawan-pahlawan dan pendekar dari suku kaum lain melainkan mereka berhadapan dengan buaya gergasi. Yang mungkin tidak dapat ditumpaskan oleh seratus orang pahlawan terbilang Iban.

Kerana buaya gergasi itu bukan buaya sembarangan. Tetapi buaya peliharaan yang tuannya lebih hebat dari seratus orang pahlawan Iban itu sendiri. Iaitu Keling.

Lagipun buaya gergasi ini bukan buaya biasa tetapi buaya peliharaan Keling. Cuma dugaan terakhir inilah yang tidak dapat dihalangi oleh Manang sebenarnya walaupun dia berjaya mengeluarkan tajau tersebut dari dasar sungai dan tidak sesekali melepaskan genggaman tangannya pada kepala tajau misteri itu.

Kerana itulah keluarganya terlalu sedih sepanjang perjalanan mereka dari tapak rumah panjang lama ke tapak baru sekarang. Keluarganya cuma menunggu masa untuk berpisah dengan Manang sahaja pada ketika itu dan segalanya telah pun berakhir di sini.

Semuanya telah dijelaskan oleh Manang kepada keluarganya. Sebelum mereka berangkat dari tapak rumah panjang mereka. Cuma sebagai pengakhiran mereka tidak sangka ianya akan sesadis ini.

Moyang Aki menangis semahu-mahunya. Manang yang dia anggap sebagai adiknya sendiri telah terkorban di penghujung langkah kejayaan mereka.

Walaupun Manang tau yang dia akan kecundang, tetapi kerana untuk masa depan anak buah mereka, Manang sanggup mengorbankan dirinya sendiri.

Pewaris Manang Yang Baru

Ketika buaya gergasi tersebut tenggelam secara perlahan-lahan tadi, ia memerhati ke arah setiap penduduk rumah panjang.

Sepertinya habuan telah pun buaya gergasi itu terima. Mungkin juga sebagai sebuah perjanjian yang telah dipersetujui. Semua kemungkinan dan persoalan juga tenggelam bersama-sama dengan tubuh Manang. Tenggelam buat selama-lamanya.

Kemudian dengan tidak semena-mena, anak Manang yang sulung bernama Raja melangkah ke hadapan. Menuju ke arah kaki sungai dan masuk ke dalam sungai separas betisnya.

Moyang Aki dan penduduk rumah panjang menjerit meminta supaya Raja balik ke darat. Takut-takut dibaham buaya gergasi tadi.

Mereka marah dengan tindakan Raja kerana cuba membela ayahnya dalam keadaan mereka tiada kekuatan serta tidak tepat pada masanya. Moyang Aki menjerit ke arah Raja. Timbul kesemua urat yang menebal di tepi lehernya.

“Raja, lari kau dari situ. Nanti kamu akan disambar buaya. Ini bukan masanya untuk membalas dendam. Kalau kau bertindak sekarang, keturunan kita akan menjadi mangsa dendam buaya di sungai ini.”

Raja memandang Moyang Aki yang senyuman. Walaupun matanya masih lagi kemerahan dan sugul mengenangkan apa yang berlaku kepada ayahnya.

“Tuai, aku cuma meneruskan apa yang ayah wasiatkan kepada aku. Aku bukan cuba membalas dendam. Cuma meneruskan apa yang perlu. Tuai dan yang lain-lain tunggu saja di situ. Selepas urusan ini selesai, barulah kita akan selamat.”

“Pergilah kau dari situ Raja. Aku Tuai untuk penduduk rumah panjang kita. Jangan kau cuba bahayakan nyawa penduduk lain.”

“Bukan begitu Tuai. Aku bukan ingin membahayakan nyawa penduduk di rumah panjang kita. Tapi inilah apa yang ayah aku minta dari aku. Kalau Tuai menganggap ayah aku sebagai sahabat Tuai, maka izinkan aku meneruskan wasiat ayah. Yang penting aku akan selamat. Percayalah Tuai. Tuai adalah ketua rumah panjang kita. Tetapi sekarang akulah penjaga keselamatan penduduk rumah panjang kita semua. Kerana selepas ini akulah pengganti ayah. Akulah Manang yang baru untuk penduduk rumah panjang kita.”

Semua yang berada di situ terdiam. Malah ada yang kagum. Bukan sekadar melihat keberanian Raja. Tetapi juga teruja mendengar apa yang dikatakan oleh Raja. Raja benar-benar mewarisi ciri-ciri ayahnya. Keberanian, kekuatan dan keyakinan dalam diri.

Manang sebenarnya mempunyai tiga orang anak. Yang sulung adalah Raja. Satu-satunya anak lelaki Manang. Sedangkan yang kedua dan ketiga adalah perempuan.

Kalau diikutkan adat kepercayaan penduduk rumah panjang mereka, tugas Manang ini diwariskan secara keturunan dan suatu hari nanti anak Rajalah yang akan menjadi Manang yang seterusnya. Iaitu generasi ketiga untuk rumah panjang yang baru.

Moyang Aki terdiam. Terbayang di matanya bagaimana Moyang Aki dan Manang iaitu ayah Raja suatu ketika dahulu. Sangat-sangat akrab dan saling memahami.

Sedangkan di hadapan mereka sekarang adalah seorang pemuda yang perkasa. Berdiri di kaki sungai. Tanpa ada rasa takut. Inilah Manang mereka yang baru.

Moyang Aki terharu melihat apa yang berlaku. Sosok tubuh Raja mengingatkan Moyang Aki pada ayah raja suatu ketika dulu.

“Baiklah Raja. Aku akan mengikuti apa kata kamu. Asalkan amanah ini benar-benar dari ayahmu.”

“Tuai. Aku anak lelaki. Aku anak kepada Manang sebelum ini. Jika aku berbohong aku akan disambar dan dibaham oleh buaya gergasi tadi. Yang juga telah membaham ayahku. Itu sumpahku kalau aku berbohong. Kalau buaya gergasi itu tidak memakan aku, aku minta kalian untuk mengerti bahawa akulah Manang kita yang baru.”

“Baiklah. Aku bukan meminta supaya engkau mati dibaham buaya gergasi. Bagi aku keselamatan kamu adalah seperti nyawa aku. Tetapi demi untuk meyakinkan penduduk rumah panjang kita, silakanlah. Tetapi jangan mati secara sia-sia. Pergilah nak.”

Moyang Aki melemparkan senyuman serta memegang dadanya tanda merestui Raja. Ketika itu suasana agak suram. Mungkin kebanyakan penduduk rumah panjang masih trauma dengan apa yang berlaku di hadapan mereka.

Tetapi mereka tetap ingin melihat peristiwa apa lagi yang akan berlaku di hadapan mereka. Tiada yang berani bersuara dan menentang. Kerana kesemua keputusan telah dipersetujui oleh Moyang Aki.

Raja memandang wajah Moyang Aki dengan senyuman. Raja juga tahu sejauh mana keakraban dan persahabatan ayahnya dengan Moyang Aki sebelum ini. Kemudian Raja melangkah perlahan ke dalam sungai hingga ke paras lututnya.

Raja memandang ke langit. Kemudian mengira-ngira sesuatu dengan jari kanannya. Kemudian Raja mengeluarkan sebilah parang ilang yang berjenis ‘Langgai Tinggang’ dari pinggangnya.

Selepas itu Raja menyayat dadanya dengan parang ilang Langgai Tinggang itu sehingga keluar darah merah dari dadanya.

Selepas itu Raja berjalan ke hadapan secara perlahan-lahan ke dalam sungai sambil membiarkan darah bercucuran dari dadanya dan akhirnya Raja tenggelam di dalam sungai di hadapan mereka.

Kesemua menanti dengan penuh sabar termasuk keluarga Raja, Moyang Aki dan seluruh penduduk rumah panjang.

Lama juga mereka menunggu apa yang akan berlaku. Pelbagai bayangan yang terlintas di fikiran mereka. Mereka tetap menunggu dengan sabar. Hampir lima minit berlalu Raja masih belum timbul di permukaan air.

Tiba-tiba air mula berkocak. Agak besar juga. Suasana mula berubah dan bingit. Burung-burung berterbangan, suara monyet juga kedengaran, angin tiba-tiba bergerak pantas sehingga melagakan pohon-pohon besar. Juga pohon ara di samping mereka.

Jika diamati pohon ara tersebut seperti bentuk pontianak yang sedang berkerak-gerak. Suara pohon-pohon yang berlaga dan suara angin yang melawan arah menimbulkan bunyi seperti rintihan perempuan yang sedang menangis.

Berhadapan Dengan Buaya Gergasi

Tetapi kesemua tidak cukup untuk mengalih pandangan kesemua penduduk rumah panjang. Tumpuan mereka lebih terarah kepada kocakan besar air di tengah sungai.

Akhirnya apa yang mereka tunggu telah muncul di hadapan mereka. Buaya gergasi tadi tiba-tiba timbul ke permukaan sungai dan berenang secara perlahan-lahan menuju ke daratan. Lalu mencari pohon ara tadi untuk berteduh.

Penduduk rumah panjang lari bertempiaran menyelamat diri. Agar jauh dari buaya gergasi berkenaan. Juga agar tidak menjadi mangsa makanan tengah hari buaya gergasi itu.

Mungkin pada pandangan mereka buaya itu masih lagi lapar walaupun semasa buaya gergasi itu naik ke darat buaya itu seperti tidak mempedulikan sesiapa sahaja di hadapannya.

Jelas kelihatan agak sedikit pelik kerana buaya gergasi itu naik ke darat dan terus menuju ke bawah pohon Ara.

Kemudian secara tiba-tiba Raja muncul ke permukaan sungai dan berenang perlahan-lahan ke daratan. Setelah sampai ke darat, Raja berjalan mendekati buaya gergasi tadi dan duduk di hadapannya.

Raja mendepakan tangannya lalu membelai kepala buaya gergasi tersebut. Buaya gergasi tersebut kelihatan agak jinak. Tidak seperti sebelumnya. Moyang Aki dan penduduk rumah panjang agak kehairanan.

Bagaimana boleh buaya sebesar itu yang baru sahaja menelan Manang boleh menjadi jinak dan tunduk kepada Raja.

Kesemua mereka memerhatikan dari kedudukan yang sedikit jauh dari Raja dan buaya gergasi tersebut. Raja membaca beberapa mentera lalu menghembus pada mata buaya tersebut.

Semua memandang dengan rasa penuh ketakutan. Tetapi tidak bagi Raja. Ternyata Raja ini juga bukan sembarangan orang. Sama hebat seperti ayahnya. Itulah yang terdetik di hati semua penduduk rumah panjang. Juga Moyang Aki.

Selepas membaca mentera Raja memukul kepala buaya gergasi tadi dengan parang ilang Langgai Tinggangnya. Dengan tidak semena-mena buaya gergasi tersebut membuka mulutnya.

Raja tanpa ada rasa takut memerhati satu persatu gigi buaya gergasi tersebut. Setelah itu Raja memegang sebatang gigi di bahagian hadapan buaya gergasi itu lalu mencungkilkannya dengan parang ilang Langgai Tinggang tadi.

Buaya itu bergerak sedikit sambil mengibas-ngibas ekornya. Mungkin menahan sakit barangkali. Selepas beberapa ketika akhirnya gigi tersebut dapat dikeluarkan. Darah buaya gergasi itu agak panas juga kerana timbul wap-wap dari darah tersebut.

Raja mengambil darah buaya gergasi tersebut dengan menggunakan parang ilang Langgai Tinggangnya dengan meletakkan parang tersebut ke arah lubang gigi buaya gergasi yang dicabut tadi.

Secara perlahan-lahan darah dari gigi buaya gergasi tersebut mengalir pada parang ilang Langgai Tinggang milik Raja.

Selepas itu Raja menjilat darah dari lubang gigi yang mengalir pada parang ilang tadi sehingga hilang kesan darah pada parang tersebut.

“Terima kasih sahabatku. Kini giliran kamu pula untuk meminum darahku.”

Kemudian Raja menyantuh dadanya yang masih berlumuran darah. Darah segar pada dada Raja masih mengalir lagi walaupun secara perlahan-lahan. Raja mengambil titisan darah dari dadanya lalu diusap pada lidah buaya gergasi tersebut.

Selepas itu Raja kembali memukul perlahan mulut buaya tadi. Buaya gergasi tersebut seolah-olah mengerti dan mula menutup mulutnya perlahan-lahan.

“Selepas ini kamu kembalilah ke lubuk kamu. Kami akan mulakan kehidupan baru kami di sini. Jangan kamu ganggu keluarga besar kami di tanah ini dan di sungai ini. Kamu raja di sungai dan aku raja di darat. Kalau kamu mengganggu keluarga aku maka gigimu akan aku cabut satu persatu. Aku akan cari keturunan kamu dan membunuh mereka di hadapan mata kamu sendiri.”

“Perjanjian engkau bersama Keling adalah melindungi kami. Tetapi di antara perjanjian kita berdua pula adalah saudara sedarah. Aku maafkan engkau kerana membunuh ayah aku. Aku juga faham kerana perjanjian kamu dengan ayahku adalah sebuah nyawa. Aku tahu engkau minta nyawa aku sebagai syarat perjanjian menjaga keturunan ayah. Tetapi ayah menolak dan ayah menawarkan nyawanya sebagai pertukaran.”

“Selepas ini kau pergilah. Jaga keturunan kami baik-baik dan aku juga akan menjaga keturunan kamu. Sekarang kita adalah saudara sedarah. Kamu baliklah.”

Buaya besar itu kemudiannya berundur secara perlahan-lahan. Kemudian memusingkan badannya lalu berenang menuju ke hulu sungai. Raja, Moyang Aki dan seluruh penduduk rumah panjang memandang buaya itu menggerak-gerakkan ekornya dan berenang dengan tenang. Seperti tiada apa yang berlaku.

Selepas buaya gergasi itu lenyap dari pandangan mereka, Moyang Aki lalu mendekat ke arah Raja sambil tersenyum. Kemudian diikuti oleh penduduk-penduduk yang lain.

“Kamu betul-betul hebat seperti ayah kamu Raja. Rasanya kamu tidak perlu dilantik oleh aku sebagai tuai rumah ini untuk menjadi Manang kerana kamu sebenarnya telah dipilih sendiri oleh buaya gergasi tadi untuk menjadi Manang baru kami dan penjaga keturunan buaya gergasi tersebut.”

Raja masih lagi mengelap sisa-sisa darah yang masih lagi keluar dari dadanya. Cuma darah tersebut semakin berkurangan.

Mungkin juga telah kering. Raja hanya mampu tersenyum sahaja. Walaupun kesedihan masih terpampang pada wajahnya. Air matanya mengalir.

“Inilah yang ayah minta dari aku Tuai. Untuk menjadi penggantinya. Selepas aku nanti anak aku pula yang akan menganti aku.”

“Ya Raja keturunan kamulah yang paling sesuai sekali untuk memikul tanggungjawab ini. Selepas ini aku akan mengumpul seluruh penduduk rumah panjang kita untuk memaklumkan perkara ini.”

“Baiklah Tuai. Mana yang baik saya ikut sahaja.”

Moyang Aki kemudian memanggil kesemua penduduk rumah panjang. Mereka berkumpul di bawah pohon ara tadi. Setelah semuanya berkumpul, Moyang Aki memandang wajah mereka semua.

“Kepada seluruh penduduk rumah panjangku. Akhirnya kita telah sampai ke tapak rumah panjang baru kita. Setelah hampir seratus hari kita meredah hutan belantara, susah senang dan sakit kita hadapi bersama. Selepas ini di sinilah keturunan kita akan memulakan hidup baru. Kita bina semula masa depan kita.”

“Apa yang kita lihat dan alami tadi juga adalah sesuatu yang mengejutkan dan memang tiada di dalam perancangan kita. Tapi inilah kita. Bangsa Iban. Pahlawan di tengah hutan belantara. Hidup kita untuk keturunan kita dan mati kita adalah untuk keturunan kita juga. Aku juga ingin maklumkan di sini bahawa Raja akan aku angkat menjadi Manang kita yang baru dan keturunannyalah yang akan mewarisi tugas sebagai Manang ini. Peristiwa hari ini tadi menjadi saksi bahawa Raja adalah ketua kita. Raja di darat dan mengawal raja air sungai di air sungai.”

Amaran Si Manang Muda

Kesemua penduduk mendengar dengan tenang dan teruja. Bagi mereka Rajalah yang paling sesuai kerana Raja tidak perlu untuk berkata apa-apa. Tetapi peristiwa tadi telah menjawab segalanya.

Mereka sedikit sebanyak telah mula bersemangat kerana memikirkan bahawa keselamatan mereka akan dijaga oleh Raja, Manang rumah panjang mereka yang baru.

Raja yang pada mulanya tunduk mendengar apa yang disampaikan oleh Moyang Aki. Lalu kemudiannya mendongakkan kepalanya lalu memandang Moyang aki.

“Tuai, terima kasih atas kepercayaan ini. Aku yakin ayah sedang memandang aku dengan senyuman. Pengorbanan ayah tidak akan sia-sia. Selepas ini aku akan pertaruhkan nyawa aku demi keselamatan kalian semua. Inilah janji aku sebagai tanda aku adalah Manang yang baru. Cuma aku minta satu saja dari kalian semua.”

“Di sungai ini nanti mandilah kalian sepuas-puasnya. Juga bermain dan mencuci pakaian. Mencari makanan dan buah-buahan serta ikan-ikan yang ada di sungai ini. Cuma jangan lakukan satu perkara. Jangan sesekali kalian memancing ikan dengan menggunakan cicak sebagai umpan. Kerana itu adalah syarat yang ditetapkan oleh buaya gergasi tadi. Kalau tidak perjanjian persaudaraan yang aku dan dia persetujui tadi akan terbatal dengan sendirinya.”

“Dan mereka akan melancarkan peperangan terhadap keturunan kita dan dendam kesumat mereka tidak akan habis melainkan kesemua penduduk rumah panjang kita akan mati disambar dan dibaham oleh mereka. Bahkan aku sendiri tidak akan berani lagi untuk menghadap sungai. Apa lagi untuk mendekatinya. Kerana ketika itu aku juga akan menjadi mangsa mereka dan keturunannya.”

“Selain itu kalian juga tidak akan dapat menyentuh lagi mana-mana sungai di mana saja kamu berada. Kerana perjanjian kita bersama mereka telah terputus, maka mereka akan meminta saudara mereka juga dari golongan buaya. Dengan cara berbisik di dalam air.”

Lalu aliran air akan hanyut ke hulu dan ke hilir untuk menyampaikan pesan ini kepada saudara mereka. Darah aku yang ditelan oleh buaya gergasi tadi telah disimpan pada perutnya. Dibiarkan di situ sehingga ia mati. Jika pada ketika perjanjian ini terbatal, maka buaya gergasi ini akan mengeluarkan semula darah aku ini untuk disebarkan melalui air.”

“Ke hulu dan ke hilir. Untuk dihidu dan dicium oleh buaya-buaya lain. Agar mereka tahu ini adalah darah keturunan kita. Lalu senang buaya-buaya lain senang untuk mengesan kita di mana sahaja kita berada dan membunuh kita. Oleh sebab itu jalan yang paling selamat adalah jangan menjadikan cicak sebagai umpan dan jangan membunuh anak buaya. Itu saja pesan aku Tuai.”

Selepas itu Raja berjalan lalu mendapatkan ibu dan adik-beradiknya yang lain. Mereka saling bertangisan dan berpelukan sesama sendiri. Mungkin masih lagi tidak dapat untuk melupakan pemergian ayah mereka.

Kesemua penduduk rumah panjang memerhati setiap apa yang berlaku. Mereka memandang dengan perasaan yang bercampur baur.

Sedih, terharu dan gembira kerana perjalanan jauh mereka telah ke penghujung. Juga semua ini menuntut nyawa Manang yang berkorban jiwa dan raga demi keselamatan mereka semua.

Selepas itu Moyang Aki kembali bersuara;

“Baiklah selepas ini kita akan mulakan hidup baru. Kita akan bina rumah panjang baru kita di sini. Bercucuk tanam, menanam padi dan sebagainya. Sekarang masanya untuk aku berehat juga. Aku perlukan pengganti yang lebih muda. Agar dapat berganding bahu dengan Raja, manang kita yang baru. Aku terlalu tua sudah untuk semua ini. Kalau kamu semua izinkan, aku akan serahkan tugas sebagai tuai yang baru ini kepada anak sulungku, Bani.”

“Bani adalah teman rapat Raja, sahabat sepermainan sewaktu kecil. Mereka adalah gandingan yang sepadan. Kalau tidak setuju, aku terima. Tapi carilah siapa yang paling layak dan aku mengikut sahaja keputusan ramai.”

Penduduk rumah panjang memandang sesama sendiri. Rata-rata mengangguk tanda setuju. Tiada yang membantah kerana mereka juga tahu akrabnya Raja dan Bani sedari kecil hinggalah sekarang.

Tiba-tiba seorang pemuda di dalam kelompok di belakang kumpulan penghuni rumah panjang bersuara;

“Tuai, apapun keputusan kamu kami menerimanya dengan hati yang terbuka. Demi kelangsungan masa depan kita semua. Rasanya semua bersetuju.”

Kemudian seluruh penduduk rumah panjang menyebut nama Raja dan Bani berulang kali sambil mengangkat tangan mereka sebagai tanda persetujuan mereka. Selepas itu moyang Aki tersenyum memandang kesemua penghuni rumah panjang.

“Terima kasih semua. Ini yang aku perlukan dari kamu semua. Kata persetujuan sebagai tanda persefahaman dan persaudaraan. Selepas aku habis berucap ini, maka dengan itu anak aku Si Bani akan memegang tugas sebagai tuai kita yang baru. Bani, mari ke sini kamu. Kamu juga Raja.”

Keduanya lalu tampil ke hadapan. Langkah mereka adalah langkah pemuda. Dengan semangat “Agi Idup Agi Ngelaban’ sebagai bekal di jiwa. Kemudian Bani pun berkata;

“Terima kasih semua di atas kepercayaan ini. Kami tidak akan mensia-siakan amanah ini. Selagi nyawa di kandung badan dan selagi kami masih diperlukan, kita akan sama-sama menjaga nyawa dan harta benda kita semua. Aku dan Raja juga akan memulakan tradisi memberi makan kepada perempuan penjaga kita nanti.”

“Kerana kita sudah berjanji kepada mereka untuk memberi mereka darah manusia. Raja akan memimpin proses ‘miring’ setiap tahun kerana hanya darah dari keturunan Manang sahaja yang layak untuk memberi makan perempuan penjaga kita. Sekali lagi aku ucapkan terima kasih kepada kamu semua dan Raja kerana sanggup untuk memikul amanah besar ini.”

Selepas Bani menutup ucapannya, Bani segera memeluk Raja.

Kemudian mereka tersenyum dan berpelukan. Air mata kegembiraan menitis pada pipi mereka.

Air mata mereka inilah air mata anak jantan yang akan mempertaruhkan maruah dan harga diri sebagai kekuatan.

“Raja, selepas ini kita akan memimpin anak buah kita semua. Aku perlukan kamu di sisi aku sentiasa.”

“Baiklah Bani. Aku juga begitu. Perjalanan kita masih jauh. Aku harapkan anak aku dan anak kamu nanti akan menyambung memikul bebanan ini.

Semuanya ini bukan untuk kepentingan kita berdua tetapi untuk seluruh penduduk rumah panjang kita nanti. Sekarang ini aku sangat gembira Bani. Cuma aku hairan kenapa jiwa aku mulai risau.”

“Apa yang kau risaukan Raja? Selagi ada aku di sisimu dan selagi ada kamu di sisiku, semua masalah akan kita tanggung bersama.”

“Itu aku tahu Bani. Tapi ini berkenaan dengan tajau yang ada pada kita sekarang. Firasat aku mengatakan bahawa suatu hari nanti ia akan mengamuk. Kerana tiada dari generasi kita meneruskan amanah ini. Terutamanya dari keturunan aku dan keturunan engkau.”

“Kenapa pula begitu Raja?”

“Keturunanku yang akan memberi tajau ini makan. Tetapi, sekiranya keturunan aku terputus, maka nyawa keturunanmu akan menjadi ganti. Inilah perjanjian yang tidak diungkap oleh perempuan penjaga kita.”

“Sedangkan ayahku pernah membayangkan bahawa keturunan kami akan terputus pada keturunan ketiga. Iaitu anak aku. Selepas itu tiada lagi. Aku tidak tahu apa maksudnya. Aku cuma mengetahuinya dari ayah. Selepas ini kita berhati-hati.”

Bani cuma mampu untuk memandang Raja. Lalu melemparkan pandangannya ke arah sungai. Terbit kerisauan pada dalam dirinya kerana selepas ini, kalau silap melangkah maka nyawa keturunannya akan menjadi mangsa. Juga nyawa penduduk rumah panjang mereka.

Ketika itu Bani memandang jauh ke hadapan. Dia membayangkan apa yang bakal terjadi. Mahu tidak mahu pasti akan berlaku juga.

Cuma Bani mengharapkan supaya jangan sekarang. Kerana mereka belum bersedia lagi. Kemudian Bani dan Raja memandang semula ke arah tajau besar yang diletakkan di tepi pohon ara.

Cuma satu perkara yang mereka lupa. Ketika mereka memandang tajau tersebut, tajau tersebut juga memandang mereka. Dengan pandangan yang sangat tajam. Sedangkan mereka berdua tidak mengetahui.”

BAHAGIAN 1

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

BAHAGIAN 3

Netizen tak sabar nak tahu kesudahan..ini bahagian ketiga 'tajau' seperti diceritakan Ustaz Malik

BAHAGIAN 4

Tajau mengamuk kerana tidak diberi makan darah..Ustaz Malik kongsi bahagian 4 yang makin menakutkan

BAHAGIAN 5

Perjanjian keturunan Aki dengan tajau temui noktah..bahagian akhir tajau buat Ustaz Malik sebak

 

SUMBER: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling di SK Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak