KLANG - Walaupun namanya sering menjadi ‘bahan usikan’ rakan-rakan, namun empunya diri, Yang Sri Zolkipili @ Zulkifli, 40, bangga dengan namanya yang unik, selain kedengaran agak klasik.

Yang Sri atau lebih mesra dipanggil Yang berkata, ketika sekolah rendah, rakan-rakan sering menyamakan namanya dengan sejenis serangga ‘riang-riang'.

“Tapi saya tak ambil kisah sangat, sebab masa itu saya masih budak-budak. Mungkin nama Yang Sri pelik dan janggal.

“Namun tak pernah terlintas di hati saya untuk tukar nama, sebab bagi saya nama diberikan ibu bapa saya agak unik, jarang kita dengar di mana-mana,” katanya.

Menurutnya, ketika di sekolah menengah, dia agak keberatan sekiranya ada sesi pengenalan diri di dalam kelas.

“Yalah, sebab kita kan dah besar, rasa seksa sangat bila ada cikgu minta kita perkenalkan diri.

“Memang rasa berat hati, bukan sebab malu tapi mesti cikgu akan tanya pasal nama,” katanya.

Yang Sri yang menetap di Kampung Sungai Kembong, Pulau Indah, di sini, memberitahu, dia turut digelar ‘tiang seri’ ketika di sekolah menengah.

“Seingat saya, ada cikgu Matematik, cikgu Ishak namanya. Dia tak pernah panggil saya Yang Sri, tapi sebaliknya ‘tiang seri’. Saya tak marah pun, sebaliknya tertanya-tanya juga kenapa dipanggil ‘tiang seri’.

"Saya tahu dia hanya bergurau dan tak pernah simpan dendam dalam hati. Hinggalah sudah tamat sekolah menengah, baru cikgu Ishak beritahu kenapa saya dipanggil seperti itu.

“Dia umpamakan saya seperti tiang seri rumah yang menjadi tonggak sesebuah rumah. Mungkin sebab saya anak sulung, yang akan jadi contoh kepada adik-beradik lain,” katanya.

Yang Sri (dua kiri) bersama suami (kiri), ibu dan ayahnya.

Disangka keturunan raja

Yang Sri yang kini mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong berkata, perkara sama berlaku ketika menjejak kaki ke menara gading.

“Bila di universiti mesti ada yang tanya asal keturunan sebab bagi mereka biasa Yang di pangkal nama ni keturunan raja. Memang nak tergelak bila mereka cakap macam tu. Tak kurang juga yang kata saya berasal dari Perak, sebab di Perak ada gelaran Yop, Yong,” katanya sambil tersenyum.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, kenangan tidak boleh dilupakan ketika dia berurusan di sebuah kaunter kerajaan.

“Ada seorang pegawai lelaki bergurau dengan memanggil saya ‘Yang’. Bila dia tengok kad pengenalan saya, dia terkejut kerana tak sangka memang nama saya betul-betul Yang,” katanya.

Menurutnya, disebabkan namanya juga, hubungan dengan murid-murid sangat rapat.

“Anak murid panggil saya Cikgu Yang. Senang mereka nak kenal dan ingat, lagi mengeratkan hubungan antara kami,” katanya.

Penyeri hidup keluarga

Sementara itu, bapanya, Zulkifli Abdul Wahab, 68, berkata, nama Yang Sri dipilih disebabkan anaknya ialah anak sulung dalam keluarga.

“Kerana dia anak pertama, kami curahkan sepenuh kasih sayang kepadanya dan dia jugalah penyeri hidup kami ketika itu. Jadi timbullah nama Yang Sri, pengikat kasih sayang saya bersama isteri, Rusni Ahyar, 60," ceritanya.

Menurutnya, nama Yang Sri tidaklah seunik nama-nama lain.

“Ada lagi nama yang lebih unik, tapi bagi pak cik, untung nama Yang sebab semua orang panggil dia dengan gelaran Yang sampailah dia tua,” katanya.

Yang Sri menunjukkan kad pengenalan miliknya.

Artikel menarik:

Ibu ini deko bekal anak ke sekolah tiap hari.. jika jiwa tak kental tak jadi ni

'Sudah lebih 10 tahun kisah itu, namun kenangan bersama Cikgu Kassim masih lagi segar'

Baca puisi hari guru, aksi si cilik usia lima tahun ini curi perhatian

Ibu autisme ini kongsikan kesilapannya besarkan anak untuk dijadikan iktibar pada semua

'Saya belajar mekap daripada You Tube' - murid tahun 5 kini tular kerana bakat mekap umpama MUA