SEBAGAI guru Matematik, saya rasa terkesan dengan pelbagai pandangan mengenai mata pelajaran ini yang hangat diperkatakan di media sosial.

Ternyata semua pandangan tersebut perlu diterima dan ada kebenaran dalam setiap sudut kerana hanya kami yang memahaminya.

Kami yang berhadapan  dengan murid ini, kami yang susah senang bersama mereka, kami yang sangat memahami tahap kemampuan mereka dan kami yang sama-sama merangkak bersama mereka terutama ada antara mereka yang langsung tiada minat dan lemah dalam Matematik.

Saya sering mengingatkan anak murid saya, sebenarnya matematik ada di sekeliling kita  bermula daripada kita membuka mata hinggalah kita meninggalkan dunia.

Matematik juga digunakan dalam bidang profesional  hinggalah kegunaan dalam bidang kemahiran walaupun zaman persekolahan dia gagal dalam matematik.

Menganggap matematik sebagai satu mata pelajaran yang menakutkan, menyusahkan dan membebankan adalah satu paradigma yang perlu dibuang dalam  pemikiran anak-anak.

Untuk itu, minat murid dan sokongan tidak berbelah bahagi  daripada ibu bapa perlu bersatu dengan usaha dan kemahiran guru bagi memastikan minat murid kepada
Matemaik terus bercambah dan subur dalam diri.

Bagaimana  ibu bapa boleh memainkan  peranan dalam membantu anak-anak?

Ibu bapa boleh memainkan peranan dalam melatih anak-anak untuk mengaplikasi kemahiran mencongak ketika membawa anak membeli belah, menonton wayang, melihat perlawanan bola sepak, ke pasar malam dan sebagainya.

Biarkan anak-anak diberi peluang untuk membuat  pembayaran urus niaga di kaunter pembayaran di pusat-pusat membeli belah, kaunter pembelian tiket wayang, di pasar malam dan sebagainya.

Malah, perjalanan ibu bapa bersama anak-anak di dalam kereta dan di atas lebuhraya juga sebenarnya boleh  diisi dengan soal jawab spontan bagi memahirkan anak dalam mencongak tentang jarak dan masa.

Pengalaman sendiri dalam menyelesaikan  masalah dalam kehidupan seharian  sebegini secara tidak langsungkan membantu murid untuk lebih mendalami soalan
penyelesaian masalah harian dan seterusnya membantu guru untuk memberikan pemahaman yang lebih jelas tentang sesuatu masalah matematik dalam bentuk bertulis ketika sesi pembelajaran di bilik darjah.

Matematik sebenarnya akan menjadi lebih mudah  difahami jika kerjasama dan jalinan antara pengalaman sendiri murid dalam kehidupan seharian dapat dimanfaatkan oleh guru dalam pembelajaran murid di bilik darjah.

Semoga selepas ini Matematik akan menjadi satu mata pelajaran yang diminati murid.

 

Salawati Omar,

Guru Matematik SK Pengkalan, Lahat