Pelajar tingkatan dua, Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hangat, Muhammad Faris Izhar Mat Yusof tidak mahu terus mengalah dan menyerah pada keadaan. Dia masih bersekolah, dalam masa sama dia juga harus bekerja untuk membantu keluarganya.

Dia yang kehilangan ayah, lima tahun lalu tidak pernah menyesali dengan nasib diri. Sebaliknya, anak bongsu dari enam beradik ini cekal dalam menghadapi ujian hidup.

Sekalipun pernah menangis, mengenangkan pengorbanan ibunya, yang bersusah payah membesarkan mereka adik beradik seorang diri dari dulu.

Namun Faris yang pernah tular kerana kefasihannya berbahasa Arab ini akur dan tekad untuk bangkit membela nasib keluarga.

“Faris seorang anak bongsu yang matang, peramah, ringan tulang dan suka menolong keluarga. Faris memang tidak suka membuang masa. Masanya hanya di penuhi dengan ke sekolah,  keluar bekerja membantu keluarga dan duduk di rumah,” demikian luahan hati seorang ibu, Habsah Hassan kepada GPSBestari.

Sekeluarga teruja

Faris tidak seperti kanak-kanak lain, selepas habis waktu sekolah, Faris akan terus ke tempat kerja.

“Makcik ada masalah saraf kaki dan tak boleh berdiri lama. Tapi, demi Faris makcik gagahkan juga menghantar dan menjemputnya balik dari kerja naik motor,” jelas Habsah yang bekerja sebagai tukang masak.

“Faris sebenarnya mengikut jejak langkah dua abangnya, yang bekerja sebagai pemandu pelancong di boat aktiviti Mangrove Tour. Selalu jumpa pelancong asing dari Saudi, Sudan, dan Madinah, juga boleh berbahasa Arab, membuatkan Faris timbul minat nak belajar cakap Arab.

“Sebenarnya makcik tak sangka Faris boleh fasih betul cakap Arab. Ingatkan hanya tahu cakap sikit-sikit je. Cuma sejak semua orang tahu dan dah mula cari Faris, dia jadi pemalu, segan dan tak biasa dengan keadaan macam ni. Tu yang buat makcik rasa sebak dan teruja,”terang Habsah.

Bantu keluarga

Menurut Habsah lagi, Faris mengikut jejak langkah abang-abangnya, dari kecil sudah berdikari cari duit bantu keluarga. Namun kesemua duit gaji yang diperoleh Faris akan diberi pada ibunya untuk disimpan.

“Faris seorang anak yang baik, dan rajin. Duit gaji kerja sambilan di sangkar ikan, akan diberi pada makcik untuk disimpan. Makcikpun tak nak usik langsung duit gajinya. Semua tu untuk kegunaan Faris pada masa depan,”katanya.

Artikel berkaitan

Kebolehan Faris dapat respon guru bahasa Arab - Ini komen mereka

Boleh bersembang dan melawak dalam bahasa Arab, budak ini buat netizen kagum

'Saya belajar bahasa Arab dari pelancong,' -Tular kisah pelajar sembang dengan pelancong Arab