"Dulu kalau bau saja gulai tempoyak mesti saya lari sebab tak suka. Tapi sekarang gulai tempoyak dah jadi menu wajib terutama dalam hidangan makan tengah hari,” kata T
Vasathadevi, 40. 

Guru di Tabika Perpaduan Sri Jerkoh, Kuala Lipis, Pahang ini tidak malu mengaku kini dia sangat menggemari masakan tradisional Melayu yang terkenal itu.

Kali pertama dia menikmati masakan gulai tempoyak 10 tahun lalu apabila rakan baiknya, Jamilah Idin, 53, memasak menu tersebut.

“Saya biasa makan dan suka durian cuma bila masakan berasaskan tempoyak, memang tolak tepi sebab baunya boleh buat saya rasa pening dan nak muntah.

“Tapi bila pertama kali merasa air tangan Kak Jamilah yang masak gulai tempoyak ikan sungai saya terus jatuh cinta. Sampai sekarang jika pergi mana-mana dan ada sediakan menu gulai tempoyak saya wajib ambil,” kata Vasathadevi yang sudah biasa hidup dikelilingi masyarakat berbilang kaum dan sedia maklum dengan adat serta budaya rakan-rakannya.

Vasathadevi (berdiri, tengah) bersama penduduk Sri Jerkoh yang menjayakan Kempen Semarak Kemerdekaan Tabika Perpaduan Sri Jerkoh.

Dia juga akan meraikan sambutan hari raya serta Tahun Baharu Cina bersama rakan-rakan sekerja termasuk menziarahi mereka dari satu rumah ke rumah yang lain.

“Dulu masa saya mengajar di Tabika Perpaduan Padang Tengku, majoriti rakan terdiri daripada orang Melayu dan India.

“Kini saya telah bertukar ke Tabika Perpaduan Sri Jerkoh dan di sini kebanyakan penduduknya kaum Cina. Jadi secara tidak langsung ia membuatkan saya lebih mengenali masyarakat setempat,” katanya.

Baginya, sebagai masyarakat majmuk yang tinggal dalam sebuah negara aman harmoni, seharusnya penduduk menjaga sensitiviti masyarakat lain khususnya membabitkan agama dan kepercayaan.

“Kadang-kadang dalam aplikasi WhatsApp tersebar cerita yang kurang baik boleh menimbulkan kontroversi dan tidak puas hati membabitkan masyarakat berbilang kaum.

“Biasanya saya akan mengambil jalan untuk menasihati mereka agar tidak menyebarkan berita yang tidak sahih dan tidak tahu hujung pangkalnya,” katanya.

Selaku warga Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Vasathadevi sentiasa memegang misi jabatan tersebut dalam memelihara, meningkat dan memperkukuhkan perpaduan serta keharmonian masyarakat di negara ini.

Vasathadevi (depan, dua kiri) dan Jamilah (depan, tiga kanan) bersama rakan sekerja mereka.

Jaga hubungan baik antara kaum 

Sementara itu, Jamilah berkata, perbezaan agama dan budaya tidak menghalangnya untuk terus bersahabat baik dengan Vasathadevi.

Menurutnya, persahabatan yang terjalin sejak 20 tahun akan terus dipelihara dan dia berharap hubungan itu kekal selamanya.

“Kami pernah bertugas di tempat sama di Tabika Perpaduan Padang Tengku. Biarpun kini Vasathadevi telah berpindah ke Sri Jerkoh, itu tidak menghalang kami berjumpa dan berbual panjang.

“Selain itu, pembabitan kami dalam aktiviti kemasyarakatan membuatkan hubungan persahabatan ini masih utuh malahan ahli keluarga kami turut saling mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Vasathadevi (duduk, kanan) bersama rakan sekerja ketika menyertai lawatan di Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan Lipis.

Bagi Jamilah, sikap saling menghormati antara satu sama lain merupakan kunci penting dalam menjaga hubungan baik mereka.

Katanya, tugas sebagai pendidik dalam Tabika Perpaduan di Lipis menjadikan dia dan Vasathadevi sentiasa berusaha menarik penyertaan penduduk pelbagai kaum dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Keamanan dan keharmonian negara yang sedang kita nikmati sekarang sewajarnya dijaga serta dipelihara. Kita tinggal dalam kelompok masyarakat berbilang kaum seharusnya hidup bersatu padu,” katanya.

Vasathadevi (tiga, kanan) bersama kenalan dan ahli keluarga yang menghadiri majlis perkahwinan seorang saudaranya.

Vasathadevi (dua, kanan) bersama rakan sekerja ketika mengadakan lawatan di Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan Lipis.

Vasathadevi (berdiri, empat dari kiri) dan Jamilah (duduk, kiri) bersama rakan sekerja sempena Majlis Akhir Tahun JPNIN Daerah Lipis.

Vasathadevi (berdiri, tengah) bersama kakitangan JPNIN daerah Lipis sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Tabika Perpaduan Daerah Lipis.

Vasathadevi (empat, kanan) dan Jamilah (dua, kiri) sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Tabika Perpaduan Daerah Lipis.