Matematik merupakan salah satu mata pelajaran penting di sekolah sama ada sekolah menengah mahupun pun rendah. Namun, sayangnya tidak ramai pelajar yang meminati mata pelajaran ini.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pendidik untuk mengenalpasti faktor yang menggalakkan minat pelajar terhadap Matematik serta masalah yang menyebabkan mereka ini sukar memahami dan menguasai matapelajaran ini.

Menurut guru Matematik di Sekolah Menengah Agama Daril Iktisam, Padang Terap, Kedah, Khairil Haffez Sahidan, cabaran utama pendidik adalah untuk mengubah pemikiran dan kefahaman pelajar terhadap subjek penting ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama Matematik, Victoria University of Wellington New Zealand, ini berkata, persepsi terhadap mata pelajaran matematik di kalangan pelajar luar bandar juga perlu diubah.

“Matematik memerlukan kita berfikir, dan tidak ramai minat dengan subjek ini. Namun sebagai pendidik, saya perlu bantu pelajar sehingga mereka dapat menguasai mata pelajaran ini dengan baik,”jelas pendidik yang mendapat tajaan sepenuhnya daripada Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah program pelajar cemerlang.

Katanya, beberapa usaha yang dilakukan, antaranya rapat dengan pelajar, kenal pasti masalah, dan sediakan latihan yang sesuai dengan tahap mereka. Cara mengajar beliau yang mudah mesra dengan pelajar juga membuatkan mereka yang tidak minat akan mula suka dan memberikan perhatian.

Malah, beliau turut menjadikannya sebagai cabaran apabila ada di antara pelajarnya yang memaklumkan tidak minat dengan matematik.

“Selepas minat itu timbul, dan mereka mula seronok menjawab setiap soalan, barulah kita masuk ke level seterusnya, iaitu bagaimana menjawab soalan SPM sebenar. Selain itu saya juga sering berhubung dengan guru-guru pakar matematik seluruh Kedah, bagi membincangkan permasalahan dan tip untuk menangani permasalahan pelajar yang kurang minat dengan subjek ini.

“Saya juga turut membuat kajian tindakan untuk membantu mereka kuasai matematik,”ujar Khairil yang sudah masuk tahun ke lapan sebagai pendidik.

Hasilkan modul

Bapa kepada tiga orang cahaya mata ini, turut menghasilkan modul untuk pelajar SPMnya. Setiap modul mengambil masa sebulan sehingga dua bulan untuk disiapkan. Rata-rata, pelajarnya seronok menggunakan modul yang dihasilkan. Penyelidikan yang rapi dan tersusun memudahkan pelajarnya memahami, mudah membuat latihan, dan tidak perlu lagi menyalin soalan.  

Selain itu, anak kelahiran Perlis ini turut dijemput sebagai penceramah untuk bengkel teknik mudah menjawab matematik SPM. Lebih 100 buah sekolah, terutamanya di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Miri Sarawak telah beliau kunjungi.

“Tahun pertama sebagai pendidik memanglah sukar, namun pada tahun-tahun seterusnya ia sudah mula menampakkan perubahan. Pelajar yang dahulunya gagal dalam UPSR, kini boleh tersenyum apabila mendapat A dalam Matematik ketika SPM. Ia secara tidak langsung dapat menaikkan gred purata Matematik sekolah dari gred 8.95 kepada gred 4.58.

“Lebih menggembirakan, pelajar yang tidak minat Matematik awal dulu, boleh hubungi saya dan ucapkan terima kasih kerana sudah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang yang berkaitan dengan Matematik di universiti,”katanya.

Nama beliau mula mendapat perhatian setelah beliau berjaya melonjakkan gred kelulusan subjek matematik untuk SPM 2017, dan membantu menaikkan kokurikulum sekolah.

Selain pernah meraih Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Pencapaian Cemerlang Matematik daerah Padang Terap, dan Anugerah Khas Peringkat Sekolah, guru muda ini turut menerima hadiah istimewa daripada sekolah yang membolehkan beliau menunaikan umrah.

Memilih Matematik

Bercerita zaman belajarnya, minat kepada subjek Matematik dan Matematik tambahan, telah mendorong guru muda ini menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama Matematik dan Ijazah Sarjana Muda Matematik & Fizik di Victoria University of Wellington New Zealand.  

Sekiranya ada segelintir pelajar Melayu lain tidak berminat dengan subjek Matematik, kerana susah untuk mendapat markah tinggi dan sukar difahami, berbeza pula bagi guru asal Perlis ini.

Kebolehan dan minatnya yang mendalam terhadap subjek itu, membolehkan Khairil muncul cemerlang dalam subjek tersebut. Sehingga berjaya mendapat Ijazah kepujian kelas pertama matematik, Ijazah am matematik dan fizik, ditawarkan sebagai tutor dan turut ditemubual sebagai  wakil pelajar matematik dalam buku panduan fakulti.

Malah, beliau turut beranggapan subjek ini tidaklah sesukar mana, sekiranya seseorang itu ada minat,  rajin berusaha, selalu bertanya dan rajin membuat latihan.

“Sebaik sahaja mendapat keputusan SPM, saya terus membuat permohonan sambung belajar ke luar negara. Alhamdulillah saya lulus temuduga dan buat persediaan selama 1 tahun 6 bulan di Uniten. Selepas lulus persediaan, lulus ujian IELTS (International English Language Testing System) dan TOEFL (Test Of English As Foreign Language ), barulah dapat tawaran ke luar negara.

“Ketika itu, saya dapat tawaran dari tiga universiti di New Zealand, dua universiti di Australia dan dua lagi universiti di USA. Namun kerana tertarik dengan pemandangan yang cantik di New Zealand, akhirnya saya memilih untuk ke Victoria University of Wellington (VUW). Walau bagaimanapun jauh di sudut hati, terselit juga rasa sedih meninggalkan keluarga dan ayah yang kurang sihat kerana masalah angin ahmar. Namun untuk mencapai cita-cita, saya perlu tabah dan doa keluarga itulah menjadi  kekuatan sepanjang saya di sana,”katanya.

Dugaan mencari tempat tinggal dan menyesuaikan diri dengan persekitaran budaya asing antara dugaan yang terpaksa dihadapi oleh guru ini. Bahkan persaingan dengan pelajar dari seluruh dunia  untuk mendapat keputusan cemerlang, seterusnya melayakkan diri untuk mendapat kepujian pada tahun ke empat merupakan saat getir yang perlu dilalui.

“Untuk menampung perbelanjaan sepanjang berada di negara orang, saya turut membuat kerja-kerja sambilan. Antaranya, ditawarkan kerja oleh pensyarah untuk menanda kertas tugasan mingguan pelajar, tutor bagi pelajar tahun 1 dan 2, housekeeper hotel, tukang cuci office, kira stock, dan cleaning computer. Setiap satunya bayaran yang diterima adalah berbeza, paling banyak saya pernah dapat, NZD320, iaitu RM887 seminggu,”katanya.

Biodata

Nama : Khairil Haffez bin Sahidan

Usia: 32 tahun

Asal : Perlis

Pendidikan:

Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama Matematik

Ijazah Sarjana Muda Matematik & Fizik

Victoria University of Wellington New Zealand, tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah program pelajar cemerlang.

Jawatan: Guru Matematik

Sekolah: Sekolah Menengah Agama Daril Iktisam, Padang Terap, Kedah.

Pencapaian:

1. Ijazah kepujian kelas pertama Matematik

2. Ijazah am Matematik dan fizik

3. Ditawarkan sebagai Tutor

4. Ditemubual sebagai wakil pelajar Matematik dalam buku panduan fakulti

Anugerah:

2015-Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)

2013 - Anugerah Peningkatan Matematik

2014 - Anugerah Peningkatan Matematik

2014 - Anugerah Khas Pengetua

2016 - Anugerah Peningkatan Matematik

2016 - Anugerah Khas Pengetua

2018 - Anugerah Peningkatan Matematik

2018 - Anugerah Khas Akademik (umrah)