SEJAK pembukaan semula sekolah bermula 15 Julai lalu, murid-murid terpaksa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Kena patuh dan mengikut normal baharu apabila berada di dalam sekolah. Dari segi pemakanan, mereka digalakkan untuk membawa makanan sendiri.

Keadaan ini membuatkan murid-murid ada yang mengeluh dan melepaskan perasaan kepada guru-guru berbau manja dan kelakar.

Macam-macam lontaran perasaan yang keluar daripada mulut mereka sambil asyik mengunyah makanan di dalam kelas.

“Kasihan, ada yang mengeluh. Terpaksa makan dalam kelas. Kena lakukan penjarakan. Tak dapat berkongsi bekal yang dibawa. Saya tadah je telinga mendengar semua curahan perasaan itu," kata Cikgu Ahmad Safarman Dollah, dari Sekolah Kebangsaan Kenering yang sering ditugaskan untuk mengawal dan menemani murid-murid semasa waktu rehat.

Sebelum ini, ketika membeli makanan boleh sahaja murid-murid menempel dan melakukan ‘perbincangan’ untuk membeli menu dengan kawan-kawan.

Tapi kali ini mereka terpaksa beratur dan melakukan penjarakan sosial serta segera memilih makanan lalu terus menuju ke kelas. Mereka terpaksa menerima hakikat bahawa datang ke sekolah kali ini bukan seperti biasa. Tapi mereka terpaksa menempuh banyak perkara baru dan luahan baharu.

“Macam beli kat kedai la cikgu. Lepas beli terus bawa balik makan kat rumah.”

“Macam pergi pasar malam. Lepas beli lekas-lekas balik. Tak leh ke sana ke sini. Kita jaga kita sangat.”

“Beratur, beli dan bawa makanan lalu makan di dalam kelas. Sorang-sorang. Tak ada rakan di sebelah. Makanan yang dimakan rasa macam tak sedap. Kosong sahaja. Ya, lah tak dapat borak-borak rancak.”

“Nak la juga rasa makan sambil berkelah dengan kawan-kawan, cikgu.”

“Nak mengunyah pun malas, cikgu. Tak ada kawan di sebelah. Nak la borak pasal mandi sungai ka, lastik burung ka.”

“Saya makan sikit je cikgu. Hari-hari ada lebih. Terpaksa bawa balik rumah. Bagi kucing dan ayam makan.”

“Selama ini saya sering berkongsi makanan dengan kawan baik. Tapi kali ini tak boleh dah. Emak yang masak pun rasa terkilan. Makanan tak dapat kongsi. Mak kata ini sahaja cara dia bersedekah.”

“Abah kata, macam duduk kat kem askar. Nak makan kena ada peraturan ketat.”

“Kekadang malu cikgu, kena bawa bekal. Ya la, lauk kita tak sesedap lauk kawan. Ikan sardin dan telur. Kawan, ada ayam goreng, ayam masak merah.”

“Saya makan roti canai kosong. Kawan sebelah makan pizza. Ada anggur merah lagi. Erm...”

“Rindu, nak dengar celoteh dan mulut murai mak cik kantin.”

“Makan tak ada selera, cikgu. Makan kat kantin boleh pandang-pandang jeling-jeling kat ‘awek. Sekarang rasa macam mandi tak basah tidur tak lena.”

“Kalau makan kat kantin, boleh la juga intai-intai orang yang saya ‘minat’ cikgu. Maklumlah, nak duduk rapat dengan dia saya jadi malu. Kalau cikgu nak tahu, saya minat dia dari Tahun Satu lagi. Hanya mampu melihat dari kejauhan sahaja.”

Inilah antara keluhan yang diingati dan normal baharu pendengaran buat guru-guru. Memang benar perkara ini semacam mengehadkan hubungan dan pergaulan mesra antara rakan-rakan.

Walau bagaimana pun rata-rata faham tentang saranan Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin agar semua mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Inilah cara untuk memutuskan rantaian penyakit berbahaya. Semoga pandemik koronavirus ini akan cepat-cepat berakhir dan dunia persekolahan kembali kepada sediakala.