BAHAGIAN DUA

Sudah beberapa bulan rasanya. Selepas kejadian pada malam tersebut. Abang Azim belum sekalipun menelefon atau menghantar khabar berita kepada saya. Mungkin sibuk. Mungkin juga Abang Azim tiada di Bintulu.

Saya tertanya-tanya juga di dalam hati. Apa Abang Azim sihat atau sebaliknya. Bagaimana pula dengan isteri Abang Azim dan anak mereka Ahmad.

Peristiwa pada malam tersebut masih lagi terbayang di wajah saya. Cuma setiap kali mengingati peristiwa tersebut, saya pasti mengirim doa buat mereka melalui perantaraan Allah. Agar Allah sentiasa melindungi mereka.

Pada suatu malam. Selepas kami mengadakan rawatan di Bangunan Martabat, saya mengambil keputusan untuk pulang terus ke rumah.

Kebiasaannya saya dan kawan-kawan akan pergi Restoran Alliya Maju untuk sarapan tengah malam dahulu.

Juga dari segi adabnya selepas merawat pesakit akibat dari gangguan jin atau sihir, adalah lebih baik untuk tidak terus pulang ke rumah dan berjumpa keluarga.

Takut-takut syaitan atau pengaruh jahat lainnya akan mengikuti kita pulang ke rumah dan mengganggu keluarga kita pula.

Sesampainya di rumah, saya membaca surah Al-Fatihah, Kursi dan 3 Qul terlebih dahulu. Kemudian diikuti dengan berdoa kepada Allah agar diberi perlindungan dan selepas itu masuk ke rumah dengan menggunakan kaki kanan serta memberi salam.

Selepas itu saya mengambil wuduk lalu tidur di bilik Aleesya dan Sarah. Ketika itu Aleesya, Sarah dan Aqila tidur bersama isteri saya di bilik kami.

Saya rebahkan badan di atas katil kecil mereka sambil kembali membaca surah Al-Fatihah, Kursi dan 3 Qul. Dan mengusapkan ke seluruh tubuh badan yang boleh dicapai oleh tangan.

Selepas mengucap dua kalimat syahadah, saya mula menutup mata sambil melafazkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, Wa Laailaha Ilallah, Wallahu Akbar sehingga saya tertidur.

Biar lafaz terakhir saya pada hari tersebut adalah lafaz mulia iaitu Dua Kalimah Syahadah.

Malam itu saya tidur dengan nyenyak sehinggalah saya dikejutkan dengan bunyi bisikan suara;

“Tok..Bagaimana permintaan saya tadi? Apa datuk boleh tolong?”

“Bukan aku tidak mahu. Tapi apakah kamu sanggup mengorbankan darah anak kamu si Ahmad?”

“Saya sanggup tok. Asalkan Muhammad hidup kembali.”

“Baiklah. Asal kau sanggup penuhi syarat yang telah aku jelaskan tadi.”

“Jadi, apa yang perlu saya lakukan tok?”

“Begini. Aku akan berikan kamu satu mentera pemuja syaitan. Kamu amalkan selepas solat. Sebagai pertukaran kepada doa.”

“Apa tak berdosa tok?”

“Tidak. Kan aku minta kau baca selepas solat. Lepas tu kau baca juga mentera tersebut pada ketika anakmu Ahmad sedang tidur nyenyak. Kau ambil tulang ini. Ini tulang babi. Tulang babi ini telah aku asah sehingga tajam. Aku jamin selepas kau baca mentera ini, Ahmad pasti tidak akan sedar sehingga subuh. Selepas kau baca mentera itu, kau tusukkan penghujung tulang babi ini ke ibu jari kaki kiri Ahmad.“

“Selepas itu darah segarnya akan keluar. Ingat pesan aku. Selepas itu kamu jangan menoleh ke mana-mana. Nanti ada seorang budak kecil. Keluar dari arah belakang engkau. Dia tidak punya mata. Cuma hidungnya kembang kempis mencari bau darah.”

“Lalu dia mendekati anakmu Ahmad. Meraba-raba pada hujung kaki kirinya. Dan akhirnya dia akan meminum sepuas-puasnya darah Ahmad. Biarkan sampai dia puas. Selepas dia berhenti minum dan mula memandang kamu, pada ketika itulah kau seru namanya. Serulah dengan cara begini;

“Muhammad. Ini ibu. Ibu yang mengandung dan melahirkanmu.”

Lalu kemudian dia akan tersenyum sehingga menampakkan giginya yang tajam seperti pisau. Maka pada ketika itulah dia akan mula memanggil kamu sebagai..

“Ibu..”

Saya kemudiannya membuka mata saya. Ternyata saya bermimpi lagi. Tetapi saya dapat rasakan bahawa mimpi saya ini adalah petunjuk dan pesanan dari Allah. Saya turun dari katil. Lalu sujud syukur kepada Allah.

Tetapi itu semua masih membingungkan saya. Saya tak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Mungkin perlu untuk saya menghubungi kembali Abang Azim untuk bertanyakan apa yang berlaku. Paling tidak bertanyakan khabar mereka sekeluarga.

Pagi itu saya ke sekolah seperti biasa. Tetapi fikiran saya masih lagi teringat akan mimpi yang saya alami pagi tadi. Ianya sangat terkesan di dalam jiwa saya.

Saya berusaha untuk menghubungi Abang Azim tetapi saya tidak sempat untuk menyimpan nombor hp Abang Azim disebabkan saya menukar hp baru.

Hp lama saya sudah lama meninggal dunia bersama nombor-nombor hp ya saya simpan.

Selepas waktu persekolahan, tepatnya sesampainya saya di rumah. Saya dihubungi oleh seseorang melalui hp saya. Saya kenal benar suara tersebut.

Dihubungi Abang Azim

“Assalamualaikum cikgu. Abang Azim ni. Cikgu apa khabar?”

“Waalaikumsalam. Alhamdulillah Abang Azim. Lama saya tunggu perkhabaran dari abang sekeluarga. Apa khabar bang dan keluarga macamana?”

“Saya alhamdulillah sihat cikgu. Cuma belum ada kesempatan nak ‘call’ cikgu sebelum ni. Maklumlah selepas kejadian malam tu sepertinya timbul masalah lain pulak cikgu. Saya tidak tahu kenapa saya rasa semacam. Sudah beberapa kali saya cuba untuk menghubungi cikgu tetapi seperti ada suara yang menghalang saya untuk menghubungi cikgu.”

“Apa masalah sebenarnya bang?”

“Macam ni cikgu. Selepas kejadian malam tu. Saya merasa sangat tenang dan nyaman. Ahmad juga banyak perubahan pada dirinya. Dari mula suka bermain sendiri, penakut dan selalu mimpi menakutkan serta mengigau, kembali menjadi aktif, berani dan suka bermain.

“Isteri abang pula macamana?”

Abang Azim terdiam sebenar. Mungkin sedang memikirkan apa yang hendak disampaikan kepada saya.

“Begini cikgu. Selepas kejadian pada malam tersebut, isteri saya jarang bercakap dengan saya. Tetapi keperluan kami dia tetap sediakan seperti biasa seperti makan minum kami dan urusan persekolahan Ahmad. Tetapi lama kelamaan isteri saya macam dah tak betul dah.”

“Suka bercakap sendiri, menangis, mengamuk, selalu mencari Muhammad. Saya bawa ke klinik dan hospital tetapi doktor sahkan yang dia sihat. Cuma beberapa minggu dia ni perubahan dia semakin ketara. Tetapi kalau dia kembali normal dia pasti tidak ingat apa yang akan berlaku.”

“Perubahan macamana tu bang?”

“Macam ni. Saya selalu menemani Ahmad tidur di biliknya. Isteri saya pula tidur di bilik kami. Saya tak nak tidur di bilik kami tu cikgu. Bilik tu dah jadi macam tempat pemujaan syaitan. Penuh dengan patung budak kecil, lilin dan peralatan seperti meja kecil dan di tengah-tengahnya diletak gambar Ahmad. Bau bilik tu juga boleh tahan cikgu. Macam bau kepam dan bau hancing kencing manusia.”

“Tapi itulah cikgu. Setiap kami saya nak bawa isteri saya untuk berjumpa cikgu macam ada saja halangan. Terlupalah, tertidurlah. Dan kalau saya dah ‘plan’ nak jugak bawa isteri saya berubat mesti ada sesuatu bisikan yang mengugut atau melarang saya pergi dan akhirnya langsung tak dapat nak ‘call’ ustaz sampailah sekarang. Mungkin rasanya sekarang barulah Allah izinkan saya untuk hubungi cikgu. Alhamdulillah.”

“Pernah beberapa kali semasa tidur bersama Ahmad, saya seolah-olah bermimpi melihat isteri saya masuk ke bilik. Membawa benda tajam. Sepertinya isteri saya ditemani oleh seseorang tapi saya tidak pasti siapa. Wajahnya sangat hodoh, berwarna hijau kebiruan dan menyeramkan. Tapi ada iras-iras Ahmad cikgu. Taring di bahagian gigi bawah menonjol hingga ke pipi.”

“Lidahnya panjang dan berlubang-lubang. Kepalanya botak tapi macam ada ulat-ulat sebesar ibu jari yang keluar dari celahan matanya. Mereka berjalan ke arah Ahmad. Lalu isteri saya menyucuk benda tajam tadi ke ibu jari kaki Ahmad. Di sebelah kiri rasanya.”

“Lepas tu lelaki berkepala botak tu terus menggenggam jari kaki kiri Ahmad lalu menghisap darahnya. Saya cuba untuk bangun tetapi lelaki tu menggenggam wajah saya dengan tangan kirinya lalu membenam kukunya yang tajam ke arah wajah saya. Rasanya sangat sakit cikgu dan ntah kenapa saya seperti terus tertidur.”

“Keesokan hari selepas terbangun dari tidur saya terus memeriksa kaki Ahmad. Memang ada kesan tusukan benda tajam cikgu. Itulah yang saya hairan. Apabila saya bertanya kepada Ahmad, dia pun mengakui yang dia mimpi benda yang sama. Masa mandi saya juga terkejut apabila muka rasa pedih. Saya lihat di dalam cermin seperti ada kesan-kesan luka pada beberapa bahagian muka saya."

“Tapi semuanya nampak macam betul cikgu dan saya rasa ini bukan kebetulan saja atau mainan tidur. Mungkin kami dua beranak juga diganggu syaitan. Saya juga ada rasa syak sesuatu pada isteri saya tapi selepas pagi tu saya lihat isteri saya seperti biasa-biasa saja. Macam tiada apa-apa yang berlaku.”

“Isteri saya tetap menjalankan tanggungjawabnya dengan sediakan sarapan, makan tengahari dan makan malam. Dia juga sediakan bekal makan Ahmad ke sekolah. Juga mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk, cuci dan jemur baju. Cuma bilik kami je macam tong sampah. Kotor dan berbau busuk.”

“Sudah beberapa minggu juga Ahmad saya suruh tinggal di rumah adik saya. Kebetulan anaknya satu sekolah dengan Ahmad. Jadi senang adik saya menghantar mereka sekali ke sekolah. Ahmad suka tinggal di sana. Lagipun isteri saya tidak membantah. Mungkin perasaan kasih seorang ibu tiada lagi pada isteri saya kepada Ahmad. Jadi dia iyakan saja.”

“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un. Saya tak sangka sampai macam tu sekali bang.”

“Ya cikgu. Saya pun tak sangka sampai macam ni skali. Cikgu, saya nak selamatkan keluarga saya. Saya harap sangat cikgu boleh tolong saya kali ni. Saya sayangkan isteri saya dan Ahmad. Saya cuma berharap pada cikgu sorang saja. Tolong saya cikgu.”

“Abang Azim. Ada satu benda saya nak tanya dan ada satu benda saya nak bagitau abang.”

“Apa dia cikgu?”

“Abang Azim jaga solat tak?”

“Tak cikgu.”

Teguran

“Astaghfirullah. Patutlah Allah tak beri kesembuhan kepada masalah Abang Azim. Sepatutnya kalau Abang Azim benar-benar menjaga solat, itu sudah cukup untuk menjaga diri Abang dan keluarga dari gangguan syaitan ni. Dengan solat Allah akan menambah iman kita. Dengan iman yang tinggilah syaitan tidak dapat mengganggu kita. Firman Allah;

“Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Rabbnya. Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah”. (Surah An Nahl: 100)

“Saya tau saya lalai cikgu. Sebelum ni memang saya jaga solat. Tapi ntahlah. Lama kelamaan saya seperti dibelenggu sesuatu. Saya jadi macam malas nak solat. Rasa macam berat badan, sibuk dengan urusan dan sebagainya.”

“Itulah masalahnya bang. Allah tak minta apa. Allah cuma minta kita untuk solat sebagai kewajiban kita seorang Islam. Macamana saya nak tolong abang kalau abang sendiri dah tak solat dan sebenarnya abanglah yang mengundang syaitan untuk bertamu di rumah abang. Dalam hal ini tidak dapat nak salahkan syaitan. Sebab memang dah tugas mereka. Tetapi punca gangguan itu disebabkan oleh abang sendiri yang lalai.”

“Saya faham cikgu. Mungkin saya rasa lebih selesa selepas malam tu. Lupa sekejap dengan Allah.”

“Lama-lama lupa terus. Sebab itulah Nabi tak takut umatnya diuji dengan kesusahan. Sebab kalau kita susah kita mesti ingat akan Allah. Tapi kalau kita diuji dengan kesenangan biasanya jarang kita bersyukur malah kita lupa dengan Allah.

Saya teringat akan sabda Rasulullah SAW;

“Kalau begitu, bergembiralah dan berharaplah memperoleh sesuatu yang melapangkan diri kalian. Demi Allah, bukan kemiskinan yang aku khuatirkan akan menimpa diri kalian. Akan tetapi, aku khuatir jika dunia ini dibentangkan untuk kalian sebagaimana ia dibentangkan untuk orang-orang sebelum kalian sehingga kalian berlumba sebagaimana mereka berlumba dan akhirnya kalian hancur sebagaimana mereka hancur.” (HR. Muslim (2961) dan Bukhari (6425) dan Ibnu Abi ad Dunya dalam kitab tentang Zuhud hal. 73)

“Satu lagi yang saya nak bagitau tadi. Abang jangan mintak dengan saya. Saya bukan Tuhan. Allah sebaik-baik Penolong. Jangan sampai apabila diuji macam ni abang lupa dengan Allah dan jangan pula kalau dah senang kita pula yang lupa kat Allah. Macamanalah Allah nak tolong kalau macam ni.”

“Saya faham cikgu. Itulah yang saya sesalkan sekarang. Banyak dah Allah bantu sebenarnya tapi saya yang lalai.

“Tak apalah bang. Saya harap lepas ni abang boleh jaga solat. Insya-Allah lepas tu Allah akan jaga abang. Simple mathematic.”

“Insya-Allah cikgu.”

“Jadi, abang nak mintak tolong apa bang?”

“Macam ni cikgu. Saya nak mintak tolong cikgu tengok-tengokkan saya. Saya rasa macam ada sesuatu yang mengganggu saya. Apa yang Ahmad alami dulu kini beralih kepada saya. Saya rasa selalu didatangi budak kecil. Mukanya menyeramkan tapi ada macam iras-iras Ahmad. Kadang-kadang datang dalam mimpi saya tanpa kepala. ’Mood’ saya juga selalu berubah-ubah cikgu. Cepat marah, lalai, terlalu malas nak solat dan sebagainya. Cikgu tau tak kenapa saya tak nak solat?”

“Kenapa bang? Tadi kata malas.”

“Bukan tu sebabnya cikgu. Setiap kali hendak takbir, akan ada mayat berbungkus terbaring melintang di atas sejadah saya. Mana tak melompat saya cikgu.”

“Saya nak tanya abang boleh tak?”

“Boleh cikgu.”

“Abang Azim ada rasa berat kat tengkuk tak?”

“Ada cikgu.”

“Mimpi ular atau mimpi binatang buas yang lain atau mimpi yang menakutkan atau mimpi dikejar dan hendak dibunuh, mimpi hantu atau apa saja mimpi menakutkan?”

“Semua tu ada cikgu.”

“Rasa macam diperhatikan orang atau sesak nafas atau susah nak bernafas atau sakit kepala yang kuat sehingga sakitnya sampai ke mata?”

“Emm..Semua tu ada cikgu”

“Rasa malas beribadah atau rasa ada benda bergerak-gerak di dalam badan atau rasa gelisah, susah hati, bingung, sedih dan sebagainya bermula Asar hingga masuk waktu Isyak?”

“Pun ada cikgu.”

Penangan Sihir

“Baiklah bang. Kalau abang free malam ni abang datang ke Pusat Rawatan kami. Nanti kita cek dulu samada semua ni ada kaitan dengan jin atau mungkin masalah yang memerlukan rawatan doktor atau mungkin halusinasi abang saja. Tapi untuk kesimpulan sementara mungkin abang ada gangguan jin. Tepatnya tanda-tanda terkena sihir banyak pada diri abang melalui apa yang saya tanya tadi.”

“Astaghfirullah..Betul ke cikgu? Betul ke saya terkena sihir? Siapa yang hantar? Apa tujuan dia? Apa yang dia nak dari saya? Lelaki ke perempuan?”

“Adoi bang. Mana saya tahu. Abang simpan soalan tu nanti. Tulis dalam buku. Jangan lupa tandatangan sekali. Tulis kat depan tu ‘Diari Hatiku’ nyanyian Siti Nurhaliza.”

“Hahaha..Saya serius ni cikgu. Cikgu buat lawak ke?”

“Serius bang. Mana ada saya nak buat lawak. Tapi kalau abang nak buat pun boleh jugak. Hahaha..”

“Tak naklah cikgu. Malu saya nanti kalau Ahmad tengok. Hehehe..”

“Oklah. Malam ni abang datang ok. Pukul 8.30 malam macam tu.”

“Cikgu, sebelum terlupa saya nak bagitau cikgu. Dua tiga malam ni saya kerap bermimpi berjumpa isteri saya. Dia mintak tolong kat saya cikgu. Dia kata dia dibelenggu dan di penjara. Saya lihat dalam mimpi tu tangan, kaki dan lehernya bagai dibelenggu oleh besi. Dia dijaga oleh dua orang. Sorang sebijik macam Ahmad. Sorang lagi lelaki tua. Saya tak kenal. Isteri saya menangis minta tolong. Dia cuma kata itu bukan dia, itu bukan dia berulang kali.”

Lama juga saya terdiam. Mungkin mimpi Abang Azim itu juga petunjuk dari Allah untuk kami. Lalu saya mengucapkan syukur kepada Allah.

“Aie cikgu. Kenapa saya cerita tentang mimpi isteri saya kesusahan tapi cikgu ucap syukur Alhamdulillah pulak?”

“Abang jangan salah sangka. Mungkin itu petunjuk dari Allah. Sebab itu saya ucapkan syukur.”

“Ooo..Baru saya faham cikgu. Mungkin jugak. Tapi saya harap semoga Allah bantu kita dan selesaikan masalah kami sekeluarga ni.

“Insya-Allah bang. Allah selalu akan ada untuk mendengar doa-doa kita. Tinggal kita mahu berdoa ataupun berserah pada takdir.”

“Malam ni saya akan datang jumpa cikgu. Insyaallah nanti saya bawakan skali Ahmad. Mungkin cikgu boleh tengok-tengokkan sekali Ahmad nanti. Baiklah cikgu. Jumpa malam nanti. Assalamualaikum..”

“Waalaikumsalam.”

Abang Ahmad mematikan hpnya. Saya kembali memikirkan tentang masalah yang dihadapi oleh Abang Azim.

Mungkin ujian yang dialami olehnya adalah sebagai teguran kerana tidak menjaga solat atau boleh jadi juga sebagai tanda kasih sayang Allah kepadanya.

Pada malam tersebut, selepas solat Isyak saya terus pergi ke pusat rawatan kami di Bangunan Martabat. Sementara menunggu pesakit lain yang datang, kami mengemas dulu apa-apa yang patut.

Lebih kurang dalam pukul 8.30 malam Abang Azim muncul di pintu masuk Pusat Rawatan kami sambil memegang bahu Ahmad.

“Assalamualaikum cikgu.”

“Waalaikumsalam bang. Masuk. Sila duduk. Abang duduklah kat mana-mana abang selesa. Dalam ni tak ada kerusi. Nak duduk kat kerusi abang duduk kat luar. Kat luar tu ada. Hehehe..”

“Tak apalah cikgu. Kita duduk di lantai jelah. Lagi selesa. Senang nak cerita.”

Selepas itu kami bertiga duduk bersila di atas lantai sambil bercerita-cerita kosong. Selepas beberapa ketika Abang Azim bertanya kepada saya.

“Apa benar saya terkena sihir cikgu?”

“Saya tak tahu bang tapi dari tanda-tanda apa yang abang alami menunjukkan abang terkena sihir?”

“Jadi saya ni terkena buatan oranglah?”

“Bang, yang namanya sihir ni tak semestinya buatan orang. Kadang-kadang mungkin kita tersalah langkah ke, terbuang minyak yang didiami jin ke atau kita terpijak benda-benda yang pernah dipuja sebagai barang perantaraan sihir ke atau tanpa sengaja bomoh tersalah hantar ke.”

“Tak semestinya ada orang berniat jahat dengan kita. Kalaulah Allah izinkan semua orang menggunakan sihir atau semua orang berniat jahat kepada kita, Insya-Allah dalam dunia ni tak ada orang sihat. Semuanya sakit.”

“Kadang-kadang, bomoh ni macam ni. Mungkin sebagai perjanjian mereka kepada syaitan. Kalau dalam seminggu mereka tidak menghantar sihir kepada seseorang, jadi sihir itu akan memakan diri mereka sendiri. Nak tak nak dia hantar saja sihirnya secara rambang. Siapa yang terkena tu nasiblah. Sebab itulah sihir ni bersifat umum sebenarnya dan memang kita akui sihir ini bertujuan untuk menyiksa manusia. Firman Allah;

“Dan mereka mengikuti apa-apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahwa Sulaiman itu yang mengerjakan sihir). Padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir), dan mereka mengajarkan sihir kepada manusia.” (Surah Al Baqarah: 102)

Secara bahasa, sihir ini bermaksud sesuatu yang halus dan rumit sebabnya (Mukhtar Ash-Shihah, hal. 208 dan Al Qamus, hal. 519).

Adapun secara istilahnya pula, terjadi perbezaan pendapat di antara ulama dalam mengungkapkan dan mendefinisikan sihir.

Di antara mereka ada yang mendefinisikan sihir sebagai azimat-azimat, jampi-jampi, dan buhul-buhul yang berpengaruh pada hati dan badan, yang mengakibatkan sakit, mati, terpisahkannya antara suami dan isteri atas izin Allah.

Pembaca boleh merujuk pendapat Asy Syaikh Muhammad bin Abdul ‘Azis Sulaiman Al Qar’awi dalam kitab Al Jadid fi Syarah Kitabut Tauhid (hal. 153), Asy Syaikh Muhammad bin Shalih Al ‘Utsaimin di dalam kitab Al Qaulul Mufid (2/5) dan Asy Syaikh Shalih Fauzan Al Fauzan dalam kitab At Tauhid.

Asy Syaikh Muhammad Amin Asy Syinqithi mengatakan:

“Ketahuilah bahwa sihir tidak akan dapat didefinisikan dengan definisi yang menyeluruh dan lengkap kerana terkandung banyak permasalahan. Dan dari sinilah berbeza ungkapan para ulama dalam mendefinisikan dan perselisihan yang jelas.” (Adhwaul Bayan, 4/444)

Namun dari pendapat ini, sangat jelaslah bahawa sihir memiliki hakikat dan pengaruh dalam kehidupan manusia.

Sihir merupakan suatu bentuk perbuatan tersembunyi yang akan memberi pengaruh terhadap badan, fikiran dan hati seseorang dengan bantuan makhluk halus sama ada melalui jampi-jampi, ikatan-ikatan buhul yang menyebabkan kerosakan dan kesakitan pada anggota badan, fikiran dan hati seseorang.

“Owh..Barulah saya faham cikgu. Sekurang-kurangnya saya ada gambaran mengenai sihir ini.”

“Alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu bang. Jadi kita akan mula sekejap lagi. Abang masih ada wuduk ke?”

“Masih lagi cikgu.”

“Ok. Lepas ni saya akan bacakan beberapa ayat al-Quran dan doa dari Rasulullah. Abang dengar je. Tak payah ikut.”

Ruqyah Untuk Abang Azim

“Baik cikgu.”

Kemudian saya meminta Abang Azim dan Ahmad duduk di hadapan saya. Para pesakit lain pula dirawat oleh kawan-kawan saya yang lain. Selepas itu saya mulakan dengan membaca doa di bawah berulang-ulang kali;

“Allahumma abthil hazas sihra bi quwwatika ya jabbaras samawati wal ard.”

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhanku, musnahkanlah sihir ini dengan kekuatanmu ya Allah yang mempunyai kekuasaan di langit-langit dan bumi.”

Kemudian saya bacakan beberapa surah iaitu Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah ayat 10, Surah Kursi, Surah Yunus ayat 81–82, Surah Al A’raf ayat 118–122, Surah ThoHa ayat 69, Surah An Nisa’ ayat 84, Surah Yusuf ayat 64 dan empat Qul.

Pada awalnya tiada apa yang berlaku. Tetapi saya teruskan juga bacaan saya sehingga hampir setengah jam.

Barulah selepas itu Abang Azim dan Ahmad menunjukkan reaksi. Ahmad pula muntah-muntah sahaja dan sentiasa memegang ibu jari kaki kanannya. Seperti menahan kesakitan.

Lalu saya dan kawan-kawan saya mengasingkan Ahmad dari Abang Azim. Ahmad dibawa ke suatu sudut di sebelah kanan.

Ketika bacaan diteruskan saya lihat Ahmad muntah sebanyak-banyaknya sehingga Ahmad tersedar dan menangis.

Badan Ahmad kelihatan sangat lemah pada ketika itu sehingga dia dipapah untuk duduk bersandar di dinding. Kawan saya menyerahkan air botol untuk diminum oleh Ahmad. Selepas itu barulah wajahnya mula kemerahan dan dapat tersenyum.

Insya-Allah mungkin gangguan pada dirinya sudah hilang atau berkurang. Itu pendapat saya. Saya sempat memesan kepada kawan saya untuk membaca sekali lagi selepas keadaan Ahmad kembali tenang seperti biasa.

Untuk memastikan yang gangguan jin dan sihir pada dirinya telah hilang.

Juga ketika dibaca itu saya minta kawan saya untuk memegang pergelangan kaki kanan Ahmad sambil mengurut hingga ke bahagian ibu jari kaki kirinya berulang kali. Mungkin syaitan yang mengganggu Ahmad masuk dan keluar dari arah tersebut.

Selepas itu saya kembali berhadapan dengan Abang Azim. Saya cuba perhatikan wajah Abang Azim. Pada ketika itu Abang Azim mula menangis.

Mula-mula tangisannya perlahan. Tetapi lama kelamaan tangisan Abang Azim semakin kuat.

Tangisan kuatnya dapat terdengar hingga ke seluruh Bangunan Martabat. Ramai juga pesakit pada malam tersebut menutup telinga mereka.

Mungkin disebabkan mereka merasa takut dan seram mendengar tangisan Abang Azim yang diiringi dengan jeritan dan ketawa mengilai.

Saya meminta kawan-kawan untuk bersedia kalau berlaku apa-apa. Jadi sebelum Abang Azim mengamuk, berdiri dan cuba untuk menyerang kami, saya meminta kawan-kawan yang lain untuk menahan tangan dan kaki Abang Ahmad sambil menekan badannya supaya terbaring ke lantai.

Tetapi pada awalnya usaha kami tidak berjaya. Kekuatan Abang Azim tidak menampakkan itu adalah kekuatan seorang manusia. Kami hampir 10 orang berusaha menahan tapi masih tidak berjaya.

Kami terus cuba untuk menahan dan membaringkan Abang Azim dan Abang Azim terus bergelut untuk melepaskan dirinya.

Alhamdulillah dengan izin Allah kami dibantu oleh beberapa orang lelaki lain. Mungkin ahli keluarga pesakit yang datang. Mereka membantu kami menahan badan Abang Azim.

Dalam sekitar 15 orang dari kami cuba untuk terus menahan Abang Azim. Suasana pada ketika itu seolah-olah seperti segerombolan semut sedang berebut untuk mendapatkan seketul gula.

Setelah beberapa ketika, keadaan semakin terkawal. Abang Azim cuma ketawa sambil memandang ke arah kami semua.

Saya mulakan dengan membaca taawwudz dan basmalah. Juga tidak lupa untuk membaca Surah Kursi sebelum memulakan perbualan kami.

Berdialog Dengan Jin

“Bismillah walhamdulillah. Ya ma’syaral jin. Dengan nama Allah, kamu siapa?”

“Aku adalah aku dan aku adalah tuhan kamu. Dan kamu pula siapa?”

“Aku hamba Allah. Sama seperti kamu. Aku bertuhankan Allah. Iaitu tuhan aku dan tuhan kamu. Kita ditugaskan untuk beribadah kepada Allah. Firman Allah;

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. (Adz Dzaariyat: 56)

“Hahahahaha..Siapa itu Allah. Apakah Allah itu sama hebat seperti aku?”

“Allah Maha Hebat. Tiada yang sehebat Dia. Allah juga Maha Kuat dan berkuasa atas segala sesuatu.”

“Hahahahaha..Apakah Allah juga sekuat aku?”

“Tidak. Allah lebih kuat dari segalanya. Tetapi kamu tidak. Untuk menyelamatkan diri kamu sendiri sahaja pun kamu tidak mampu sekarang. Firman Allah;

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki, niscaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkan mereka dan apa yang mereka ada-adakan. (Surah Al An’am: 112)

“Bodoh. Lepaskan aku. Kenapa kamu semua mengganggu aku. Kamu semua tiada kaitan dengan lelaki ini. Dia musuh aku. Musuh tuan aku. Aku percaya tuan aku juga ada di sini. Memerhatikan apa yang berlaku. Cuma menunggu masa untuk bertindak.”

“Kalau tuan kamu ada di sini, kenapa dia tidak menyelamatkan kamu? Membiarkan kamu sendirian di sini sambil dia memerhatikan kamu dengan senang lenang. Sesungguhnya Allah tidak akan mengizinkan syaitan itu menguasai sesiapa saja yang tunduk kepada Allah. Firman Allah;

“Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya.” (Surah An Nahl: 99)

“Lepaskan aku. Aku tidak mengganggu kalian. Aku berjanji aku akan keluar. Tapi tolonglah aku. Aku tidak berani untuk keluar dari badan lelaki ini. Tapi aku juga tidak mahu terus bertahan di dalam badannya. Aku sudah sakit. Aku terluka. Tapi pada asalnya aku sembunyikan kesakitan aku kerana aku sangat takut.”

“Kenapa kamu berkata seperti itu?”

“Memang tugas yang diberikan oleh tuan aku adalah untuk menimbulkan rasa malas, tidak suka beribadah dan menghalangnya dari mengganggu tuan aku dan isterinya sendiri untuk menyediakan darah Ahmad untuk diminum oleh syaitan yang menyerupai anaknya yang sudah meninggal dunia.”

“Sebenarnya tugas aku sangat mudah. Kerana isterinya sendiri tidak dapat mengawal kesedihannya. Lalu kami mengganggu jiwanya dan selalu menampakkan wajah anaknya yang meninggal dunia itu pada pandangan matanya supaya jiwanya semakin sedih. Dan pada ketika itulah kami berjaya merasuknya.”

“Lepas itu. Apa yang kau lakukan lagi?”

“Tugas aku sebatas itu saja. Mengganggu lelaki ini. Tetapi aku bukan seorang sahaja. Ramai dari kami ditugaskan untuk mengganggu keluarga mereka. Kami juga diminta oleh tuan kami untuk membantu syaitan-syaitan yang lain untuk mempengaruhi keluarga ini dari terus tersesat.”

“Aku ditugaskan untuk merasuk lelaki ini, ada yang merasuk Ahmad, ada yang merasuk isterinya, ada yang tinggal di rumah mereka dan ada yang menampakkan diri berupa anak mereka yang telah meninggal iaitu Muhammad.”

“Cuma sebelum aku, baru sekejap tadi beberapa ekor dari kami telah terbakar dan lari apabila anaknya Ahmad dibacakan al-Quran oleh kawan-kawan kamu. Di dalam badan lelaki ini cuma aku sendiri. Selebihnya aku tidak tahu. Kamu ke sanalah sendiri di rumah mereka. Aku sudah tidak sanggup. Aku sendiri menggigil ketakutan melihat kawan-kawan aku terbakar dan melarikan diri tadi. Aku tidak mahu seperti itu.”

“Kalau begitu kamu keluarlah. Sebelum azab Allah datang menimpa kamu. Mungkin kamu beruntung kerana Allah belum mengazab kamu lagi.”

“Aku ingin keluar tetapi bagaimana? Kerana di sekeliling aku ada empat ekor syaitan yang sangat kuat. Sentiasa menunggu aku agar aku tidak keluar dari badan lelaki ini.”

“Insya-Allah cuma ada satu jalan saja. Aku tawarkan Islam kepada kamu. Selepas itu kamu keluar dari badan lelaki ini dan pergilah di Masjid At Taqwa di sebelah bangunan ini. Insya-Allah mereka akan menerimamu dengan baik. Mintalah mereka ajarkan Islam kepada kamu. Kalau kamu benar-benar ikhlas Insya-Allah Allah akan sentiasa melindungi kamu. Janganlah kamu bersama dengan mereka lagi. Firman Allah;

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” (Surah Fatir: 6)

Hidayah Allah

“Baiklah. Ajarkan aku tentang Islam dan Islamkan aku secepat mungkin. Aku sudah tidak tahan di dalam badan lelaki ini. Lama-kelamaan aku boleh hancur seperti daun-daun dimakan ulat.”

Selepas itu saya ajarkan tentang Islam kepadanya. Berdasarkan apa yang saya faham. Juga dengan penggunaan bahasa yang mudah.

Agar dapat difahami dengan baik. Saya juga sempat mengajarnya untuk memberi dan menjawab salam.

Selepas itu barulah saya Islamkan jin tersebut. Saya tidak tahu kalau-kalau jin tersebut berbohong atau tidak.

(Saya tidak dapat ceritakannya di sini apa yang kami bincangkan kerana mengambil masa dan ruang yang agak panjang untuk ditulis.

Tetapi kawan-kawan boleh merujuk Cerita ke 14: Penunggu Tempayan Lama: Bahagian Kelima: Episod Terakhir. Dialog antara kami lebih kurang begitu.)

Selepas mengislamkan jin tersebut, saya memintanya untuk terus pergi ke Masjid At Taqwa. Tempatnya di sebelah pusat rawatan kami.

“Bagaimana nanti kalau mereka melihat saya? Saya takut saya akan dibunuh oleh mereka?”

“Jangan risau. Allah ada bersama kita. Percayalah. Kamu pergilah. Nanti aku akan bacakan Surah Kursi dan pada ketika itulah kamu akan keluar dari badan lelaki ini.”

“Baiklah. Aku akan keluar sekarang?”

“Keluarlah. Semoga kamu benar-benar ikhlas. Sebab aku tak tahu apa yang ada di dalam hati kamu.”

“Percayalah. Aku keluar sekarang. Assalamualaikum..”

“Waalaikumsalam..”

Selepas itu kami biarkan Abang Azim terbaring sendirian. Biar Abang Azim berehat seketika. Badan saya mula terasa penat. Begitu juga kawan-kawan saya.

Saya meminta dua tiga orang kawan-kawan saya untuk tetap bersama Abang Azim. Kerana kalau mengikut pengalaman saya, mungkin Abang Azim akan kembali mengamuk.

Sementara itu beberapa orang dari kami meneruskan rawatan kepada beberapa orang pesakit lain. Sehinggalah Abang Azim tiba-tiba melompat dan duduk bersila sambil tangan kanannya digenggam dan diangkat separas baru. Seolah-olah sedang memegang tongkat.

Tangan kirinya pula digenggam sambil ibu jari kirinya bergerak-gerak ke atas dan ke bawah berulang kali seperti sedang menghitung biji tasbih.

Lalu saya dan kawan-kawan kembali duduk di hadapan Abang Azim. Dan saya mulakan dengan membaca ayat Al Quran;

“Peganglah dia lalu belenggulah tangannya ke lehernya. Kemudian masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala. Kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta.” (Surah Al Haqqah: 30-32)

Berhadapan Dengan Bomoh Melalui Perantaraan Syaitan

“Hahaha..Apa itu saja kekuatan kamu? Kalau berpencak biar pada gelanggang terbuka, kalau menyusur biar tertutup di daunan kering, kalau menghunus biar senjata di tapak tangan..”

“Jadi mana senjata kamu?”

Tanya saya lalu duduk bersila sambil lutut sebelah kanan diangkat sebagai langkah berjaga-jaga.

“Itu tidak penting.”

“Lepas tu yang penting apa? ‘Happy’? Kamu pernah dengar lagu Jamal Mirdad ‘Yang Penting Hepi?”

“Kamu kenapa? Berani-beraninya mempermainkan aku. Kamu tahu aku siapa?”

“Tahu. Siapa pun kamu kita adalah makhluk Allah. Kita sama-sama bertuhankan Allah.”

“Tidak. Aku cuma bertuhankan Iblis. Dia adalah tuhan aku dan tuhan kamu semua.”

“Aku tidak bertuhankan Iblis. Iblis itu dilaknat oleh Allah dan menjadi penghuni neraka.”

“Aahhh..Aku tidak mahu tahu itu. Jadi sekarang apa kamu mahu dariku?”

“Kenapa kamu masuk ke dalam badan Abang Azim?”

“Apa? Siapa? Lelaki bodoh ini? Apa kamu tidak tahu lagi? Dialah punca kenapa sehingga sekarang aku masih belum dapat lagi menyesatkan mereka sekeluarga.”

“Kamu siapa?”

“Akulah bomoh yang menghantar segala sihir kepada keluarga ini.”

“Apa yang kau lakukan pada keluarga mereka?”

“Mudah saja. Isterinya datang padaku. Meminta supaya nyawa anak kembarnya dikembalikan padanya. Jadi aku kembalikanlah. Apa itu salah?”

“Bukan sekadar salah tapi bertentangan dengan aqidah Islam. Roh orang yang meninggal dunia tidak akan sesuka hatinya untuk kembali ke dunia lalu masuk ke dalam badan orang lain. Roh orang yang meninggal dunia ini sama ada dimasukkan ke dalam ‘Sijjin’ atau ‘Illiyin’.

“Adapun yang boleh masuk ke dalam badan orang lain itu adalah syaitan. Syaitan yang mengaku sebagai roh orang yang telah meninggal dunia. Jadi yang masuk itu bukan malaikat, bukan orang orang alim, bukan syeikh-syeikh, bukan nabi. Semua itu adalah fitnah dan bertentangan dengan aqidah seorang Islam. Yang merasuk itu adalah syaitan laknatullah.”

“Sijjin merupakan suatu tempat kembali dan tempat tinggal orang-orang buruk dan illiyin adalah tempat kembali orang-orang baik. Sijjin adalah bumi ketujuh yang di dalamnya terdapat roh orang-orang yang syirik seperti kamu dan Illiyyin adalah langit ketujuh di atasnya terdapat roh orang-orang mukmin.” (Sila rujuk Tafsir Ibnu Katsir, 8, hlm. 352)

Bomoh Bertuhankan Iblis

“Aku belum mau mati lagi. Jangan ceritakan tentang kematian kepadaku. Sekarang aku masih perlu untuk menyesatkan mereka. Supaya golongan penyembah syaitan akan semakin ramai.”

“Jadi kamu ini siapa sebenarnya?”

“Sudah aku nyatakan tadi bodoh. Akulah bomoh yang sedang menyesatkan dan memesong pendirian Islam mereka. Agar mereka jauh tersesat. Akulah yang menghantar syaitan untuk mengganggu lelaki ini. Juga mengutuskan syaitan pada anak mereka Ahmad ini dulu. Tapi kamu rawat anaknya sehingga syaitan yang aku utuskan itu terbakar kerana bacaan al-Quran.”

“Selain itu aku juga utuskan syaitan-syaitan untuk menempati di sekeliling rumah mereka. Aku juga utuskan syaitan untuk merasuk isterinya agar memberi minum darah segar kepunyaan Ahmad. Dan..Hahaha..Aku jugalah yang menghantar tentera-tentera dari golongan syaitan untuk tinggal di rumah mereka. Agar rumah mereka sentiasa dihiasi dengan ketakutan dan amarah yang membara.”

“Dan sekarang akulah yang telah memporak-perandakan keluarga mereka ini agar kemusnahan itu akan aku kecapi dengan kejayaan. Sehingga apabila aku mendapat tahu sebentar tadi bahawa lelaki bodoh ini datang kepadamu untuk berubat. Lalu syaitan yang aku utuskan kepada lelaki ini telah kau Islamkan dan kemudian dia lari entah ke mana dan syaitan-syaitan yang aku utuskan untuk menjaga syaitan tadi juga tidak dapat mencarinya. Aku juga tidak dapat mengesan di mana dia berada sekarang.”

“Kemudian aku mula memuja Iblis untuk membantu aku. Lalu aku diberi kekuatan untuk hadir ke sini. Tetapi cuma melalui suaraku sahaja. Cuma suaraku sahaja yang sampai ke sini. Sedangkan aku tetap berada di suatu tempat yang engkau tidak tahu. Apa yang aku sampaikan ini adalah melalui suara perantaraan syaitan lain yang baru merasuki lelaki ini.”

“Aku tahu engkau cuba untuk mengesan aku di mana. Tapi kamu jangan bermimpi. Usahlah mencari aku di mana. Kamu tidak akan tahu. Tuhan kamu juga. Hahaha..”

“Aku tidak perlu untuk mengesan dan mencari di mana kamu. Kerana kamu sendiri yang sudah hadir ke sini. Urusan kamu di mana aku tak perlu tahu. Nanti akan ada pertolongan dari Allah untuk kami dari arah yang tak disangka-sangka. Keluarlah kamu sekarang atau kau akan diazab oleh Allah sedangkan aku cuma membaca al-Quran sahaja sebagai ikhtiar sedangkan Allahlah yang akan menyiksa kamu nanti.”

“Apa berani-beraninya kamu mencabar aku? Hahaha..Bacalah sekuat hati kamu dan kamu akan lihat nanti tuhan kamu Allah atau tuhan aku Iblis yang akan menang.”

“Baiklah kalau itu mahumu. Aku akan perdengarkan kepadamu ayat-ayat Allah yang kau sangsikan selama ini.”

Keagungan Al Quran Dan Doa

Lalu saya mulakan dengan membaca taawwudz, basmalah, Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah ayat 102, Kursi, Surah Yunus ayat 81–82, Surah Al A’raf ayat 118–122, Surah ThoHa ayat 69, Surah An Nisa’ ayat 84, Surah Yusuf ayat 64 dn empat Qul. Dan zikir;

“Allahumma abthil hazas sihra bi quwwatika ya jabbaras samaawaati wal ard.”

(Ya Allah Ya Tuhanku, musnahkanlah sihir ini dengan kekuatanmu ya Allah yang mempunyai kekuasaan di langit2 dan bumi)

Kemudian saya membaca ‘Indzhar’ atau peringatan kepada manusia atau golongan jin yang membuat kezaliman. Sekali saya bacakan taawwudz dan basmalah dan membaca indzhar berikut;

“Wahai Zat Yang Maha Hidup dan Berdiri sendiri, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan.”

“Dari Anas bin Malik r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda kepada Fathimah r.ha,

“Apa yang menghalangimu untuk mendengar apa yang aku wasiatkan kepadamu? Hendaknya saat berada di pagi dan petang hari engkau ucapkan, ‘Wahai Dzat Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri dengan sendirinya, dengan rahmatMu aku mohon pertolongan. Perbaikilah urusanku seluruhnya dan jangan Engkau serahkan aku kepada diriku walau hanya sekejap mata’.” (HR. An Nasai dalam As Sunan Al Kubra, Al Bazzar dan Al Hakim dan ia menyatakan sahih sesuai syarat Muslim. Disahihkan Al Albani dalam As Silsilah As Shahihah, no. 227)

“Ya Allah bantulah kami dalam mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan beribadah yang baik kepadaMu.”

“Dari Mu’adz bin Jabal r.a, Rasulullah SAW pernah memegang tangannya dan bersabda, “Wahai Mu’adz, demi Allah, sungguh aku sangat menyayangimu, demi Allah, sungguh aku sangat menyayangimu.” Kemudian beliau melanjutkan,

“Aku pesankan kepadamu wahai Muadz, jangan pernah engkau tinggalkan di belakang setiap solat membaca, Allaahumma a’innii ‘alaa dzikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatika (Ya Allah, tolonglah aku untuk menyebut namaMu, bersyukur kepadaMu dan beribadah yang baik untukMu).” (HR. Abu Dawud, Al Nasai, dan Ahmad. Hadis ini dishahihkan Syeikh Al Albani dalam Shahih Abi Dawud)

“Tidak ada tuhan selain Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.” (Surah Al Anbiya’: 87)

“Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam.” (Taawwudz)

“Aku berlindung kepada Allah Yang maha Mendengar dan Maha Mengetahui dari syaitan yang direjam.” (Taawwudz)

“Ya Allah, Engkaulah tuhanKu, tidak ada tuhan selainMu. KepadaMulah aku bertawakkal dan Engkaulah tuhan singgahsana yang agung. Segalanya atas kehendak Allah dan apapun tanpa kehendakNya tidak akan terwujud. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan (kekuatan) Allah. Ketahuilah bahawa Allah Maha Mampu melakukan apapun dan bahawa ilmu Allah meliputi segala sesuatu.”

“Dan Dia (menghitung) segala sesuatunya dengan terperinci. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung diri kepadaMu dari segala keburukan jiwaku, kejahatan syaitan dan sekutunya dan dari kejahatan segala sesuatu yang melata yang Engkaulah pemegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Rabku berada di atas jalan yang lurus.” (HR. Bukhari)

“Aku berlindung dengan wajah Allah Yang Mulia dan dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna yang tidak ada yang melampauinya segala kebaikan mahupun keburukan dari kejahatan apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar darinya dan dari kejahatan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan dari kejahatan fitnah di malam dan siang hari dan dari kejahatan jalan-jalan di malam dan siang hari kecuali suatu jalan yang dilalui dengan kebaikan. Ya Rahman.”

“Ta’awwuz atau doa perlindungan di atas diajarkan oleh Malaikat Jibril kepada Rasulullah ketika malam Isra’ Mikraj. Ketika itu Rasulullah dihalang oleh Jin Ifrit (yang diutus oleh Iblis) yang membawa obor untuk membakar Rasulullah. Lalu Rasulullah membaca doa perlindungan tersebut sehingga Ifrit tersebut kalah dengan izin Allah.” (HR. Bukhari)

“Allah Yang Maha Besar. Allah lebih perkasa dari segala makhlukNya, Allah lebih perkasa dari segala yang aku takuti dan aku khuatirkan. Aku berlindung diri kepada Allah yang tidak ada tuhan selain Dia. Yang menahan tujuh lapis langit sehingga tidak jatuh menimpa bumi, namun dapat terjadi dengan izinNya.”

“Dari kejahatan (Disebutkan namanya sekiranya perlu. Saya menyebut nama bomoh tersebut berdasarkan nama yang diberi oleh Abang Azim kepada saya sebelumnya berulang-ulang kali dan juga mengulang-ulang indzhar tadi. Sesiapa saja kaum muslimin boleh mengamal doa ini sebagai benteng diri dari kejahatan jin dan sihir)

“Dengan para tenteranya dan pengikutnya serta kelompoknya dari jenis jin dan manusia. Ya Allah, jadikanlah perlindungan untukku dari kejahatan mereka. Mulialah segala sifatMu, perkasalah perlindunganMu, Maha Berkah namaMu dan tidak ada Ilah selainMu.” (HR. Bukhari dalam kitab Adabul Mufradat)

Selepas itu badan Abang Azim mula menggeletar. Peluh dingin bercucuran keluar dari dahinya. Wajahnya seperti menahan kesakitan yang teramat sangat. Lalu saya minta kepada kawan-kawan saya untuk meneruskan bacaan ayat-ayat al-Quran serta berserah segalanya kepada Allah.

“Sudah..Sudah..Hentikan bacaan kamu. Aku sudah tidak tahan. Berhenti. Kalau aku terus bertahan maka aku akan terbakar. Sangat siksa rasanya menanggung bahang seperti ni. Sudah..Cukup.”

“Kamu keluarlah dan jangan sesekali untuk datang lagi mengganggu keluarga ini. Kalau kamu Islam, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha. Nescaya Allah akan mengampunkan segala dosa yang telah kamu perbuat.”

“Sesekali aku tidak akan pernah untuk bertaubat. Aku sudah mengikat janji setiaku kepada Iblis. Aku tetap akan bersamanya selamanya. Tetapi ya, aku akan keluar dari badan lelaki bodoh ini. Tetapi kamu ingatlah bahawa jiwa isterinya tidak akan pernah akan aku lepaskan. Sekali aku melangkah, maka habuannya pasti akan ada. Isteri lelaki inilah yang telah menjadi cagarannya. Atau aku akan mati dalam keadaan hina dina.”

“Kalau itu pilihan kamu, maka kamu telah mengisytiharkan tali permusuhan kamu kepada Allah. Dan selepas ini di mana pun kamu berada, nescaya laknat Allah tetap bersama kamu selamanya hingga hari kiamat.”

“Aaahhh..Aku tidak peduli itu semua. Iblis telah menjanjikan aku bermacam kesenangan di dunia ini yang tidak pernah dikecapi oleh manusia sebelum ini. Apa perlu untuk aku menolaknya? Sedangkan di akhirat nanti aku akan dibakar dan akhirnya aku menjadi bara api yang membakar kaum Muslimin yang berdosa.”

“Aku sudah tiada pilihan lain. Biarlah aku dibakar sebegitu rupa nanti. Asalkan aku tidak malu untuk berhadapan dengan Iblis dan mengisytiharkan tentang kekalahan aku di tangan kaum Muslimin. Dia pasti akan menolong aku untuk berhadapan dengan semua ini nanti.”

“Keluarlah kamu wahai musuh Allah. Di sini tiada tempat untuk kamu. Lalu saya membaca ayat al Quran Surah Al Alaq ayat 16 dan 17 berulang kali;

“Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya). Kami pula memanggil Malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya).”

Kematian Yang Hina

“Aduh..Sakitnya. Hentikan bacaan kamu. Sudah cukup kamu menyiksa aku sebegini. Aku merasakan sakit yang teramat sangat sehinggakan seperti ada suatu tangan yang menekan kepalaku secara kasar dan membenamkan kepalaku hingga terpaksa merempuh tulang dadaku. Lalu menghancurkan segenap isi perutku dan terburai keluar dan akhirnya kepalaku menembusi lubang duburku berserta dengan tahi-tahi yang panas.”

“Kalau kau merasa sakit, itu kerana kezaliman kamu untuk terus menerus menyiksa kaum Muslimin. Itu belum lagi siksaan neraka nanti. Kamu akan bertemu dengan Malaikat Zabaniyah. Nama yang aku sebut di dalam surah dari al-Quran yang aku baca tadi. Sesungguhnya Malaikat Zabaniyah itu adalah malaikat yang buruk rupanya dan merupakan Sang Penyiksa dari dasar Neraka Jahannam.”

“Sedangkan Malaikat Zabaniyah itu adalah malaikat yang bertugas menyiksa manusia yang zalim seperti kamu. Dia sangat garang dan bengis, tidak mengenal akan belas kasihan terhadap manusia zalim yang telah direjam hingga ke dalam perut neraka. Kesemua mereka ada 19 orang malaikat dan mereka diketuai oleh Malaikat Malik yang diperintahkan oleh Allah untuk menjadi Penjaga Neraka.”

“Sedangkan Malaikat Malik itu mempunyai tangan dan kaki yang sama jumlahnya dengan ahli neraka. Setiap dari tangan dan kakinya itu dapat berdiri dan duduk, serta dapat membelenggu dan merantai setiap orang yang dikehendakinya. Wajahnya pula sangat menyeramkan. Pada ketika Malaikat Malik ini memandang ke arah neraka, lalu sebahagian api (penghuni neraka) memakan api (penghuni neraka) yang lain lantaran rasa takutnya mereka kepada Malaikat Malik.”

“Juga ketika mana Rasulullah sedang naik ke Sidratul Muntaha, Baginda bertemu dengan Malaikat Malik yang kemudiannya menunjukkan pandangan sekilas tentang penderitaan di neraka. Maka sejak itulah Malaikat Malik tidak pernah tersenyum.”

“Sudah..Sudah..Cukup..Cukup. Aku sudah tidak tahan. Mendengar apa yang kau sampaikan saja aku bisa hancur menjadi debu. Seolah-olah neraka sedang menyapa aku sekarang dengan bayangan wajah Malaikat Zabaiyah dan Malaikat Malik itu. Matilah aku..Matilah aku sekarang. Wahai Iblis Tuhanku yang agung, tolonglah aku. Selamatkanlah aku. Selama ini aku tidak pernah berhenti memujamu. Tolonglah aku. Tolonglah…Aaaaaaaarrrrrgggghhhhhh….”

“Keluarlah sekarang. Jangan pernah lagi untuk datang mengganggu seluruh manusia kerana begitulah pengakhiran kehidupan kamu nanti. Cuma masa dan ketikanya sudah Allah tentukan padamu. Tinggal menjemputmu sahaja lagi dengan besi yang membara dengan cairan api neraka yang menggelegak yang akan mencucuk punggungmu hingga tembus ke mulutmu. Nantikanlah saat itu. Keluar. Keluarlah syaitan. Semoga laknat Allah sentiasa bersamamu selamanya.”

Selepas itu Abang Ahmad menjerit sekuat-kuatnya. Saya sempat juga membayangkan penyiksaan yang ditanggung oleh bomoh tersebut.

Seolah-olah Allah menampakkan cuma sebesar zarah dari ‘bayangan penyiksaan’ dari isi perut neraka Jahanam kepadanya.

Sehinggakan pada ketika itu kami sendiri merasakan akan bahang kepanasannya. Panas itu hampir terasa ke seluruh pusat rawatan kami. Sedangkan pada malam tersebut hujan turun agak kuat selepas maghrib tadi.

Kemudian bau seperti terbakar menyelubungi pusat rawatan kami. Sempat juga kami berjalan ke sekeliling Bangunan Martabat kalau-kalau ada kebakaran dan sebagainya.

Beberapa orang dari keluarga pesakit yang lain juga perasan bau terbakar tersebut. Cuma pada ketika itu memang tiada apa yang terbakar dan tiada siapa yang membakar sesuatu.

Selepas itu kami kembali mendapatkan Abang Azim. Wajahnya kemerah-merahan. Mengerut seperti menahan kesakitan yang teramat.

Seluruh kulit Abang Azim terasa panas. Panas dari kebiasaan manusia normal. Rambutnya mengering dan peluhnya hampir membasahi keseluruhan baju dan seluarnya.

Selepas itu saya bacakan Surah Kursi dan menyentuh bahagian mata dan dahi Abang Azim dengan tapak tangan kanan.

Memang terasa akan panasnya sehingga tapak tangan saya juga merasa panas dan berpeluh. Setelah itu saya cuba kejutkan Abang Azim sambil berseloroh.

“Abang Azim. Bangun..Hari dah nak subuh..”

Tidak lama kemudian Abang Azim tersedar dari ‘tidurnya’ lalu duduk sambil mengesat peluhnya yang mengalir di celah telinga. Abang Azim memandang kami dengan wajah yang masih ketakutan.

Sedar

“Abang Azim bawak beristighfar dulu.”

“Astaghfirullahalazhim..Astaghfirullahalazhim..Astaghfirullahalazhim..”

“Mana anak saya Ahmad cikgu?”

“Ada kat luar bang. Saya minta kawan saya untuk jaga dan bermain dengan Ahmad. Risau juga kalau dia menangis melihat abang menjerit-jerit tadi.”

“Ya Allah cikgu. Saya kenapa cikgu?”

“Tadi abang menjerit dan mengamuk dan Alhamdulillah dengan izin Allah gangguan pada diri abang mungkin telah hilang.”

“Ya cikgu. Mungkin saya tak sedar apa yang berlaku di sekeliling. Tetapi saya seperti dibawa ke suatu tempat yang sangat-sangat menyeramkan. Tak pernah lagi saya melihat tempat seseram itu dalam sedar dan mimpi saya. Saya melihat seperti ada seseorang yang berkepala babi disiksa dengan teruk dan kejam.”

“Badannya ditusuk dengan besi panas dan dia dipaksa meminum cecair kemerahan yang panasnya membara lalu menghancurkan segala isi perutnya. Juga tulang badannya hancur berkecai. Sepertinya saya kenal lelaki itu. Walaupun dia berkepala babi. Mungkin dialah bomoh yang menyesatkan keluarga kami.”

“Lalu dia dibawa ke suatu tempat yang gelap. Dan saya terdengar bunyi suara-suara manusia meminta tolong. Tetapi setiap suara yang meminta tolong itu akan didatangi oleh makhluk yang bengis dan sangat menyeramkan lalu kepala mereka dibenamkan di dalam tanah dengan penukul besar sehingga kepala mereka hancur.”

“Lelaki itu pun disiksa dengan cara yang sama. Saya cuma mendengar suara seram dan menyakitkan telinga sedang berseru,’Inilah siksaan yang akan kamu tempuhi sementara menunggu Hari Pembalasan dan Penyiksaan nanti. Sehingga tiada lagi ketakutan melainkan dengan ketakutan dihumban ke Neraka Jahanam.’ Selepas itu saya tersedar.”

“Tetapi bahang kepanasannya dapat saya rasakan sehingga badan saya juga hampir meleleh akibat dari kepanasan yang tak terhingga itu tadi. Kemudian salah seorang makhluk yang menakutkan itu mula memandang saya. Saya cuma terdengar suara yang keluar dari mulutnya walaupun dia tidak berkata sepatah apa pun. Dia seolah-olah berkata;

“Kecelakaanlah bagi orang-orang yang enggan untuk sujud kepada Allah, dan apabila dikatakan pada mereka, Rukuklah! Nescaya mereka tidak mahu rukuk dan kecelakaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakannya.” (Surah Al Mursalat: 48-49).

Semua itu saya rasakan seperti benar-benar berlaku di hadapan mata saya cikgu. Mungkin inilah teguran Allah kepada saya supaya menjaga solat. Di mana sekalipun saya berada. Pengalaman tadi sangat menakutkan cikgu. Seluruh badan saya terasa lemah. Tapi Alhamdulillah cikgu. Ini teguran dan hidayah dari Allah untuk saya mungkin. Supaya lebih untuk menjaga solat selepas ini.”

“Alhamdulillah bang. Saya juga rasa macam tu jugak. Ini hadiah dari Allah kepada abang sebenarnya. Cuma ia bersifat teguran dan kasih sayang.”

Selepas itu Abang Azim terdiam. Lalu memandang saya dan kawan-kawan. Air matanya mula mengalir deras. Abang Azim menangis semahu-mahunya. Suasana begitu terharu pada ketika itu.

Saya meminta kawan saya untuk membawa Ahmad masuk ke dalam dan duduk di samping Abang Ahmad. Lalu abang merangkul dan memeluk Ahmad dan menangis semahu-mahunya.

Ahmad cuma mengelap air mata ayahnya dan memeluk ayahnya dengan kasih seorang anak.

Saya biarkan mereka berdua duduk di sudut di pusat rawatan kami. Sementara itu kami mengemas apa-apa yang patut dulu.

Bantal, selimut, tisu, baldi kecil dan menyapu sisa-sisa sampah. Pada ketika itu ramai pesakit telah selesai mendapatkan rawatan dan mula pulang ke rumah masing-masing.

Tidak lama kemudian Abang Ahmad kembali memandang saya.

Diuji Sekali Lagi

“Cikgu, isteri saya cikgu. Saya perlu balik sekarang. Saya tak tahu apa yang terjadi kat rumah.”

“Kenapa abang tiba-tiba teringat kat isteri abang?”

“Ntahlah cikgu. Saya tak sedap hati. Saya pun tak tau kenapa.”

Apahal sebenarnya berlaku bang? Saya tak faham.”

“Ahmad ni. Dia bagitau saya. Dia terdengar suara ibunya meminta tolong. Sampai sekarang suara tu masih lagi terngiang-ngiang di telinganya.”

Lalu saya duduk di sisi Ahamd dan bertanya kepadanya;

“Ahmad ada dengar suara ibu tak?”

“Ada.”

“Bila Ahmad dengar?”

“Tadi. Masa Ahmad main kat luar. Sekarang pun masih ada suara ibu mintak tolong.”

Saya tidak pasti apa yang berlaku. Saya meminta Ahmad untuk mendengar bacaan Surah Kursi dari saya.

Manalah tahu kalau-kalau ada lagi gangguan syaitan pada diri Ahmad. Saya meminta Ahmad untuk mendengar dengan khusyuk.

Selepas saya membaca Surah Kursi berulang kali, tiada apa yang berlaku. Ahmad memandang saya seolah-olah menunggu soalan dari saya.

“Ahmad masih lagi mendengar suara ibu?”

“Masih...”

Hampir mati akal juga saya dibuatnya. Saya tidak pernah berhadapan dengan kes seperti ini sebelum ni. Lalu saya mendiamkan diri.

Memikirkan tentang apa yang berlaku. Abang Azim memandang saya sambil menunggu jawaban dari saya.

Tidak lama kemudian secara tiba-tiba hp Abang Azim berdering. Saya tersenyum mendengar deringan hp Abang Azim kerana ‘ringtone’nya adalah petikan ‘chorus’ dari lagu Dato Siti Nurhaliza, Purnama Merindu.

“Hello..Hello yang. Apa? Abang tak dengar..Ape? Baik baik. Abang balik sekarang.”

Tiba-tiba wajah Abang Azim berubah. Saya tidak mendengar apa perbualan Abang Azim melalui hp Abang Azim. Sebab ketika itu saya sedang berbual-bual dengan Ahmad.

“Cikgu, saya kena balik sekarang. Isteri saya ketakutan di rumah. Makhluk yang menyerupai wajah Ahmad cuba untuk membunuh isteri saya cikgu. Dia tak berani nak keluar rumah. Sebab dia kata ada banyak makhluk berbulu dan berbadan besar sedang mengelilingi rumah kami. Sekarang isteri saya bersembunyi dalam bilik.”

“Hairan jugak cikgu. Sebelum ni isteri saya jarang nak berbual dengan saya. Lagipun baru-baru ni dia berperangai pelik. Macam bercakap sendiri, menangis, mengamuk. Tetapi tiba-tiba dia ‘call’ saya. Memang dia sedang menghadapi masalah. Saya balik dulu cikgu. Papehal saya ‘call’ nanti.”

Saya terdiam sebentar. Rasanya saya tak boleh nak biarkan Abang Azim keseorangan dalam masalah ini. Saya perlu membantu Abang Azim.

Sekurang-kurangnya meneman mereka balik ke rumah dan melihat apa yang berlaku.

Di dalam hati saya berdoa kepada Allah agar Allah memelihara kami semua.

“Abang, saya temankan abang balik.”

“Alhamdulillah cikgu. Alhamdulillah sangat-sangat. Saya benar-benar mengharapkan pertolongan cikgu. Ini kali yang terakhir cikgu. Kalau berlaku sesuatu pada isteri saya, saya takkan dapat memaafkan diri saya sendiri. Kerana mereka tanggungjawab saya dan hidup mati saya.”

“Takpe bang. Nanti kita sambung cerita lagi. Abang dan Ahmad pakai kereta abang. Saya pakai kereta saya sendiri. Nanti kita jumpa di sana. Abang gerak dulu. Saya nak perbaharui wuduk dulu (mengambil semula air wuduk walaupun tak batal).”

“Baik cikgu. Saya gerak dulu. Jumpa nanti cikgu. Assalamualaikum.”

“Abang jangan lupa bacakan ayat-ayat al-Quran. Tawakal sepenuhnya kepada Allah. Waalaikumsalam.”

Selepas itu Abang Azim dan Ahmad menuju ke arah kereta. Wajah kerisauan pada Abang Azim menceritakan betapa bingungnya Abang Azim ketika itu. Apa pun kejahatan yang pernah dilakukan oleh isterinya, Abang Azim tetap mempertaruhkan jiwanya untuk menolong isterinya yang sedang diganggu oleh syaitan.

Selepas berwuduk saya mula berjalan ke arah kereta. Memulakan langkah dengan zikir;

“Bismillahillazi la yadurru ma’asmihiI syaiun fil ardi wa la fis samaie, wa hu was sami’ul ‘alim.“

Rasulullah SAW didengari berkata sesiapa yang berdoa: “Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui” sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh tiga kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya” (HR. Abu Daud, 4/323; At Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad; Tirmizi)

Dan juga zikir;

“Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah.”

Dalam hadis dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW menjelaskan keutamaan doa ini,

“Apabila seseorang keluar dari rumahnya kemudian dia membaca doa;”

“Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah.”

Maka disampaikan kepadanya, ‘Kamu diberi petunjuk, kamu dicukupi keperluannya dan kamu dilindungi.’ Dengan serta merta syaitan-syaitan pun menjauh darinya. Lalu salah satu syaitan berkata kepada temannya, ’Bagaimana mungkin kalian dapat mengganggu orang yang telah diberi petunjuk, dicukupi, dan dilindungi.’ (HR. Abu Daud, no. 5095; Tirmidzi, no. 3426; dinilai sahih oleh Al Albani)

Perjalanan Ke Rumah Abang Azim

Saya mula menghidupkan enjin kereta. Saya terbayang akan suasana di rumah Abang Azim. Yang pernah saya kunjungi suatu ketika dulu.

Cuma kali ini agak berlainan rasanya. Jiwa saya berkecamuk, risau dan bingung.

Juga di antara membantu saudara seaqidah yang sedang diuji oleh Allah atau terus dihujani rasa ketakutan yang mencengkam. Dan inilah saya.

Perasaan takut dan sifat penakut akan saya bawa ke mana-mana. Asalkan saya tahu Allah juga ada bersama saya dan Allah juga tahu saya adalah seorang penakut.

Kini saya terpaksa berhadapan dengan suasana seperti ini sekali lagi. Suasana yang sangat saya tidak suka. Tetapi, saya nekad untuk membantu juga Abang Azim. Semampu saya.

Kemudian bayangan rupa seorang lelaki mula bermain di fikiran saya. Seperti yang diceritakan oleh Abang Azim. Wajahnya sangat hodoh, berwarna hijau kebiruan dan menyeramkan. Seiras Ahmad.

Taring di bahagian gigi bawah menonjol hingga ke pipi. Lidahnya panjang dan berlubang-lubang. Kepalanya botak tapi macam ada ulat-ulat sebesar ibu jadi yang keluar dari celahan matanya.

Semoga kami tidak berhadapan dengan syaitan ini. Kerana saya sentiasa takut..

**********

Sebelum itu..

Tok..Tok..Tok..

“Muhammad, kau datang nak? Ahmad tak ada di sini. Muhammad..Muhammad..”

“Hehehehe..”

“Kau marah nak?”

“Muhammad..Muhammad..”

“Aku bukan Muhammad. Hahahahaha..”

“Kalau bukan Muhammad, lalu siapa kau..?”

“Akulah yang kau seru saban hari..”

“Aku memanggil Muhammad dan bukannya kamu..”

“Ya..Tetapi akulah yang kau seru itu. Cuma ketika itu aku menampakkan diri sama seperti dia..”

“Bohong. Kau penipu..Penipu..”

“Apa syaitan pernah berkata benar? Apa lagi hamba syaitan seperti kamu ini..”

“Apa yang kau mahu dariku? Katakan. Aku akan beri..”

“Apa betul kamu akan beri apa yang aku minta..?”

“Cepatlah. Aku akan berikan..Katakanlah. Lepas itu segeralah kau berambus dari sini..”

“Sebelum ini aku minta darah anakmu Ahmad. Enak sekali darahnya. Mungkin dagingnya masih segar. Tapi belum matang. Sekarang teringin rasanya untuk aku mencuba sedikit bekalan darah darimu pula. Apa sesedap darah Ahmad juga. Hahaha..”

“Cuma kali ini aku perlu lebih darah segar lagi. Kerana tuan aku telah mati terbakar. Sekarang aku tidak bertuan. Aku juga perlu darah segar untuk diminum supaya aku boleh bertahan lama dan terus menganggu manusia. Hulurkan ibu jari kaki kirimu sekarang. Hehehe..”

“Tidak..Aku tidak mahu. Berambus kau..Pergi kau dari sini pergi..”

“Hehehe..Kemarilah.. Aku cuma perlu darahmu saja..”

“Aku tidak mahu. Kau sangat kejam syaitan..”

“Apa sebelum ini kau tidak pernah merasa kejam seperti itu? Mengorbankan darah anakmu sendiri untuk kepentingan kamu. Hahaha..? Kini giliranmu pula menjadi mangsa. Hahaha..”

**********

Tut..tut..Tut..Tut..

Abang, Abang balik cepat bang. Ada hantu kat rumah kita ni. Cepat bang. Dia nakkan darah saya bang. Abang..Saya takut. Dia tiba-tiba muncul dari dalam almari baju kita. Berjalan perlahan ke arah saya. Abang..Abang..Tolong saya..Abang…

Tut..

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling SK Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak

BAHAGIAN 1

Tangisan bayi pada tengah malam buat Ustaz Malik cari pemilik sebenar, rupa-rupanya suara itu

BAHAGIAN 3

Bahagian akhir kisah kembar Ahmad buat Ustaz Malik buka mulut siapa sebenarnya yang suka menganggu