Mendengar penerangan guru kegemaran dan  bertegur sapa dengan rakan sekelas melalui Google Meet adalah saat paling menggembirakan bagi pelajar yang  menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Namun berlainan pula halnya bagi murid-murid Sekolah Kebangsaan Magandai, Kota Marudu Sabah.

Masalah kekurangan peralatan, kelemahan capaian internet, ketidakmampuan memiliki peranti seperti telefon bimbit, laptop dan sebagainya, antara sebab kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) terpaksa dilakukan secara ‘offline’.

Menurut Guru subjek Pemulihan Khas sekolah itu, Cikgu Helley Noorwhety Jodir, tidak semua ibu bapa berkemampuan memiliki peranti.

Cikgu Helley

Hanya sebilangan kecil sahaja yang mempunyai telefon bimbit, dan bahan dihantar menerusi aplikasi Whatsapp.

“Tidak mahu 100 orang murid kami ketinggalan dalam pelajaran, kami warga pendidik akan mengedarkan bahan kepada murid di setiap kampung secara bergilir-gilir.

“Inilah antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh sekolah kategori Sekolah Kurang Murid (SKM) dan P3 ( pedalaman / luar Bandar) macam kami ni,” katanya kepada GPS Bestari.

Untuk ke pekan paling hampir, iaitu Kota Marudu, pendidik di sekolah itu perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda,  atau menaiki motorsikal sejauh 60 kilometer.

Melalui jalan tanah merah, tidak rata, dan berlumpur jika hujan, selain bentuk muka buminya yang berbukit bukau, antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh guru-guru di SK Magandai.

Namun, kepayahan itu tidak sedikitpun mematahkan semangat warga pendidik di sekolah itu terus berbakti kepada anak bangsa.

“Latar belakang keluarga setiap murid adalah dalam kalangan miskin tegar atau miskin dan bekerja sebagai petani. Boleh dikatakan, hanya sebahagian ibu bapa murid sahaja yang berpendidikan.

“Disebabkan itulah kami akan berusaha sedaya mungkin untuk mengubah nasib anak-anak ini agar tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Ujar Cikgu Helley lagi, murid-murid SK Magandai tinggal di tujuh kampung yang berjauhan. Tiada bekalan elektrik, dan hanya bergantung kepada solar.

“Berani saya katakan mereka juga tiada televisyen di rumah, memandangkan tiada arus elektrik dan latar belakang yang kurang berkemampuan. Peranti handphone juga hanya sebilangan ibu bapa yang memilikinya, “katanya.

Memikirkan masalah yang dihadapi kebanyakan murid, ada segelintir ibu bapa yang sanggup membeli walkie talkie untuk memudahkan perhubungan dari kampung ke kampung.

“Sebenarnya penduduk kampung baru sahaja didedahkan dengan benda baharu ini. Apabila mereka mula merasai kebaikan dan pentingnya alat ini, mereka mula teruja dan kami juga terjebak sama.

“Ia bermula ketika minggu pertama persekolahan dibuka, saya bertanya kepada ibu bapa tentang bahan PdPR yang belum dikembalikan oleh sebahagian murid, mereka kata, anak kami tidak mahu buat itu latihan,” katanya.

Menurut beliau, keadaan tersebut sangat mengejutkan, dan ia tidak boleh dibiarkan terus berlaku.

Katanya, kemungkinan besar, ia terjadi disebabkan mereka mula bosan kerana asyik membaca dan menjawab soalan sahaja.

“Waktu itu, saya terus bertanya kepada ibu murid berkenaan, sama ada mempunyai walkie talkie atau tidak. Terus saya mendapat idea, menggunakan peralatan tersebut sebagai saluran khas  untuk mengikuti perkembangan terkini tugasan yang diberi.

“Bermula dari situlah, corak pembelajaran kami berubah. Murid-murid mula seronok belajar dan berkomunikasi dengan cikgu menerusi walkie talkie. Mereka tidak habis-habis, ‘Cikgu oh cikgu,’ itu yang buat hati saya tambah seronok,” katanya.

Katanya, setakat ini capaian hanya di kawasan kampung berhampiran sekolah sahaja. Cikgu Helley juga sudah membuat pesanan walkie talkie tambahan untuk 50km capaiannya.

Mudah-mudahan usaha ini berhasil, guru-guru  dapat berhubung dengan murid-murid yang tinggal jauh di dalam hutan.

“Keberkesanan, sangat baik untuk membantu murid berkomunikasi, kebanyakan murid pedalaman ini sifatnya agak pemalu bila bercakap dengan orang sekelilingnya. Tapi bila menggunakan walkie talkie mereka bebas bersuara dan bercakap.  

“Jika nak kira tentang kos, walkie talkie juga dapat diakses sepanjang hari, kosnya pula jauh lebih murah berbanding  menggunakan data internet,” akhirinya.