Guru Bimbingan dan Kaunseling yang dikenali sebagai Ustaz Malik sekali lagi berdepan dengan kisah seram.

Katanya, terserempak dengan empat hantu pocong pada awal pagi satu ketika dahulu, sememangnya cukup sukar dilupakan hingga kini.

Dengan niat mahu membantu keluarga Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa, Ustaz Malik berusaha membantu keluarga tersebut dengan izin Allah SWT.

Ikuti kisah seram Ustaz Malik menerusi laman facebook Kung Pow.

**********

Pada suatu hari, rasanya 11 atau 12 tahun yang lepas, semasa saya dan kawan-kawan masih merawat pesakit rumah ibu saya di R.P.R Sebiew Bintulu. Rawatan kami bermula pada pukul 9 malam dan tamat pada pukul 12 tengah malam.

Ketika itu ramai pesakit yang agak agresif semasa dibacakan al-Quran. Tapi alhamdulillah dengan izin Allah, satu persatu pesakit mula sedar dan sembuh.

Ada yang terus sembuh setelah sekian lama sakit dan ada yang memerlukan rawatan susulan. Kami minta yang memerlukan rawatan susulan ini untuk datang lagi pada pertemuan seterusnya.

Pada malam tersebut, dalam ramai-ramai pesakit yang datang, ada sebuah keluarga yang agak menarik perhatian saya. Tiga orang anak beranak rasanya.

Sepasang suami isteri dan seorang anak. Mereka cuma memerhati orang yang mundar mandir di hadapan mereka serta memerhati pesakit lain yang dirawat di ruang bilik rawatan mereka.

Saya memerhati sahaja keluarga tersebut dari jauh. Semasa kami memulakan rawatan tadi mereka tidak ikut bersama.

Hinggalah selepas rawatan kami berakhir mereka masih lagi duduk di situ. Setelah itu saya mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan keluarga tersebut.

“Assalamualaikum pakcik. Pakcik apa khabar?”

“Waalaikumsalam ustaz. Alhamdulillah sihat.”

“Pakcik datang nak berubat ke?”

“Takdelah. Ni ha. Saja je nak bawa anak pakcik sorang ni berubat. Tapi bukan malam ni. Saja pakcik nak jumpa ustaz dan tengok sendiri bagaimana ustaz merawat pesakit. Sebelum terlupa. Nama pakcik Abdullah. Ni isteri pakcik, Hawa dan anak kami Liza.”

Saya tersenyum memandang Pakcik Abdullah dan kemudian memandang Makcik Hawa dan Liza sambil menghulurkan senyuman kepada mereka.

Makcik Hawa membalas senyuman saya tetapi tidak bagi Liza. Liza memandang saya dengan penuh rasa kebencian. Itu yang saya rasa bila melihat riak wajahnya.

“Pakcik, kalau tak keberatan boleh tak saya tahu apa masalah anak pakcik ni?”

Pakcik Abdullah kemudiannya memandang wajah Liza. Kerut dahi seorang ayah, pandangan matanya yang jauh serta kerisauan yang terpancar melalui raut wajahnya.

Begitu juga Makcik Hawa. Memegang bahu dan lengan Liza. Air mata Makcik Hawa bergenang sambil cuba untuk menahan rasa untuk tidak menangis.

“Begini ustaz. Liza ni dah berumur 25 tahun. Masih belum bernikah lagi. Sebelum ni Liza dah bertunang. Tiga bulan sebelum nikah saya dan Makcik Hawa membawa Liza untuk berjumpa dengan seorang bomoh. Untuk mandi bunga agar lebih berseri ketika nikah dan bersanding nanti. Bomoh ini kebetulan datang ke Bintulu pada masa tu untuk merawat keluarga saudara saya.”

“Saudara saya tadi mencadangkan kepada kami untuk membawa Liza mandi bunga untuk menaikkan seri wajah sebelum menikah. Ketika itu kami rasakan demi kebaikan Liza, kami ikutkan saja.”

Saya mendengar dengan tekun apa yang disampaikan oleh Pakcik Abdullah kepada saya. Liza saya lihat mula tidak keruan sambil memandang ke kiri dan kanan ruang bilik rawatan kami. Makcik Hawa pula kelihatan risau memandang keadaan Liza.

“Selepas itu apa yang berlaku pakcik?”

“Begini ustaz. Selepas bomoh tu diperkenalkan kepada kami, kami membuat satu temu janji dengan bomoh tersebut untuk merawat Liza. Pada asalnya saudara saya tadi menawarkan untuk menggunakan rumahnya sebagai tempat untuk berubat. Tetapi bomoh tersebut menolak dan meminta supaya rawatan dilakukan di rumah kami sahaja kerana lebih tertutup. Supaya aib kami sekeluarga tidak diketahui oleh orang lain.”

“Saya dan Makcik Hawa setuju memandangkan ini melibatkan keluarga saya dan tidak perlu untuk diketahui oleh orang lain. Lagipun bomoh itu memberitahu supaya kalau diketahui oleh saudara mara atau sahabat terdekat, akan ada risiko orang yang dengki akan menghantar sihir.”

“Pakcik, saya mintak maaf. Mungkin pakcik jauh lebih arif dari saya dalam bab agama. Tetapi setahu saya di dalam Islam kita diharamkan untuk berjumpa dengan bomoh kerana kebanyakan mereka mengamalkan sihir. Kalau saya salah saya mintak maaf sangat-sangat kat pakcik.

Saya kemudiannya membacakan sebuah hadis;

Rasulullah SAW bersabda;

“Jauhilah tujuh perkara yang akan membinasakan.” Para sahabat bertanya: “Apa itu?” Beliau bersabda: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa tanpa alasan yang haq, makan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang, dan menuduh orang-orang yang beriman yang menjaga diri dari lalai.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa cuma tunduk apabila saya jelaskan tentang haramnya mendatangi dan mempercayai kata-kata bomoh ini walaupun kadang-kadang bomoh selitkan juga pendapat mereka dengan elemen agama. Kerana bomoh ini adalah hamba kepada syaitan yang berpakaian agama.

Liza pula hanya memandang saya. Saya memerhati sahaja gelagat Liza memandang saya tanpa mengalih pandangan matanya. Dari dalam pandangan matanya seolah-olah ada mata-mata lain yang memerhati.

Saya bacakan Surah Kursy sambil menghembuskan pada mata Liza secara perlahan-lahan tanpa diketahui oleh Pakcik Abdullah dan Makck Hawa. Liza kemudiannya berundur sedikit ke belakang sambil matanya berkelip beberapa kali. Liza tiba-tiba meludah saya.

Alhamdulillah. Nasib baik tidak terkena pada saya. Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa terkejut lalu memarahi Liza. Liza cuma tersenyum saja sebagai tanda kepuasan.

“Tak apa pakcik, makcik. Liza tak sengaja tu.”

Saya cuma menenangkan keadaan.

“Bukan apa ustaz. Biar Liza ni beradab sedikit kat orang. Semakin hari semakin kurang ajar perangainya.”

Berjumpa doktor

Suara Pakcik Abdullah semakin meninggi. Liza saya lihat menutup mulutnya sambil ketawa kecil dan dengan nada kepuasan.

Memang patut kalau Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa agak marah dengan sikap anak mereka Liza.

Setelah keadaan kembali tenang saya kembali bertanya kepada Pakcik Abdullah.

“Baiklah pakcik. Sekarang ni ada apa-apa tak yang boleh saya tolong?”

“Kami nak mintak tolong ustaz tengok-tengokkan si Liza ni. Lepas berjumpa dengan bomoh tu perangainya semakin berubah. Liza macam orang tak betul dah. Bercakap sendiri, mengamuk, tak tidur malam, memukul dirinya sendiri, menyendiri dalam bilik berhari-hari lamanya dan suka menggigit kayu pada dinding rumah.”

“Ada suatu hari tu ustaz. Liza pengsan di dalam bilik. Sebelum tu Liza selalu muntah-muntah, pening kepala, sakit badan dan suhu badannya naik turun naik turun sahaja. Selepas itu kami membawanya ke klinik. Selepas dirawat, doktor segera berjumpa kami di luar bilik klinik dan seperti hendak memarahi kami.”

“Kenapa tak bawa anak pakcik makcik ni segera ke klinik?”

“Kenapa doktor? Kami ingat dia sakit biasa saja.”

“Bukan macam tu. Saya nak sampaikan sesuatu. Pakcik dan makcik jangan terkejut ok. Sebenarnya anak pakcik dan makcik keguguran. Kandungannya dah berusia dua bulan. Nanti mintak tolong pakcik dan makcik sampaikan kepada suami anak pakcik ok? Lepas tu mintak tolong jaga betul-betul anak pakcik ni.”

“Allahu Rabbi ustaz. Bayangkan hancurnya perasaan kami ketika itu. Balik ke rumah saya mengamuk ustaz. Habis si Liza ni saya pukul kerana memberi malu nama keluarga kami. Liza cuma menangis sambil menahan kesakitan. Badan Liza lebam-lebam dan kemerahan akibat tindakan saya. Saya bertanya kepada Liza siapa yang tidur bersamanya. Liza cuma bagitau yang dia tidak tahu.”

“Saya tahu ini mesti tindakan bomoh tersebut ustaz. Naluri seorang ayah dan ibu tidak pernah menipu. Tapi saya tiada bukti. Sebab tu saya tidak dapat untuk membuat apa-apa. Bukti tiada dan saksi pun tiada.”

“Innalillahi wa inna ilaihi ro’jiun..Semoga Allah memberi kesabaran dan merahmati pakcik sekeluarga. Tapi kita memang tak boleh menuduh orang sembarangan. Semua ini mainan syaitan. Jadi sekarang apa rancangan pakcik?”

“Macam ni ustaz. Alhamdulillah saya dah jumpa sendiri dengan ustaz. Saya nak mintak ustaz datang ke rumah untuk merawat Liza. Sambil tu nak tengok-tengokkan rumah kami.

"Rumah kami pelik sikit ustaz sebab kami sering melihat kelibat bomoh sial tu. Sebelum ni dia pernah pagar rumah kami. Sebab dia kata rumah kami ada penunggu. Sebelum ini dia ada menanam azimat di empat penjuru rumah kami. Barang di rumah kami juga selalu hilang ustaz. Duit, barang kemas dan sebagainya termasuk rantai emas pemberian kami kepada Liza sebagai hadiah hari jadinya.”

“Kalau macam tu Insya-Allah malam lusa saya akan pergi ke rumah pakcik. Cuma saya minta satu dari pakcik dulu sebelum pakcik balik.”

“Baiklah. Apa dia ustaz?”

“Balik ke rumah nanti pakcik dan makcik solat sunat dua rakaat. Lepas tu berdoa kepada Allah untuk minta petunjuk. Pagi esok kalau boleh pakcik dan makcik berpuasa sunat dan pastikan apa yang pakcik dan makcik lakukan untuk solat sunat dan puasa sunat ini pakcik dan makcik buat dengan ikhlas Lillahi Ta’ala. Selebihnya kita tawakal dan berserah segalanya kepada Allah.”

“Insya-Allah ustaz. Malam ni kami akan buat apa yang ustaz suruh.”

Selepas itu Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa minta izin untuk balik. Saya berjanji kepada Pakcik Abdullah untuk datang ke rumah Pakcik Abdullah pada malam lusanya.

Sebelum keluar melangkah di pintu bilik pusat rawatan kami, Liza memandang saya sekali lagi. Kali ini wajahnya lebih bengis. Matanya besar sehingga hampir-hampir tidak menampakkan kelopak matanya.

Selepas itu saya balik ke rumah. Sesampainya saya di rumah saya terus menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk dan melaksanakan solat hajat dua rakaat.

Selepas solat dan berdoa, saya memasak dua bungkus meggi kari berserta telur dan menyediakan air teh kotak besar yang saya beli di Farley Supermarkat di Medan Jaya sebagai menggalas perut saya pada pagi esok.

Insya-Allah sebelum subuh esok saya akan bersahur air sejuk dan beberapa biji buah pisang sahaja. Sebab saya juga bercadang untuk berpuasa sunat memandangkan keesokan harinya adalah hari Khamis.

Hari yang dianjurkan untuk melakukan puasa sunat iaitu Isnin dan Khamis. Selain itu juga sempat untuk menunaikan solat sunat dan solat sunat itu saya serah semuanya kepada Allah.

Terjaga

Lebih kurang dalam pukul 1.30 pagi mata saya mula mengantuk. Saya pastikan saya masih dalam berkeadaan wuduk. Selepas melaksanakan adab-adab tidur, saya baringkan badan saya di atas katil.

Saya baca doa tidur dan mengucap dua kalimah syahadah. Selepas itu saya tutupkan mata saya sambil berzikir menyebut nama Allah. Entah jam berapa saya tidur saya pun tak tahu.

Tiba-tiba saya terjaga dari tidur. Saya terdengar orang memberi salam dan nama saya dipanggil orang dari luar rumah. Berkali-kali. Saya bingkas dari katil lalu keluar dari bilik menuju ke ruang tamu. Ibu saya saya lihat sedang tertidur di hadapan tv di ruang tamu.

Sekali kali saya terdengar orang memberi salam dari luar. Saya segera bukakan pintu. Ternyata Pakcik Abdullah. Wajah Pakcik Abdullah dalam keadaan serba salah walaupun tetap tersenyum sambil menampakkan giginya.

“Assalamualaikum ustaz. Saya minta maaf sangat-sangat sebab ganggu ustaz.”

“Waalaikumsalam pakcik. Takdelah. Saya baru je nak tidur.”

Jawab saya sambil berhelah.

“Ustaz sibuk tak? Saya nak mintak tolong ustaz ni. Ada hal penting.”

Saya memandang jam di dinding ruang tamu. Pukul 2.40 pagi. Pukul 2.40 pagi seperti inilah saya selalu terjaga dari tidur. Hingga sekarang. Saya pun tidak tahu kenapa. Mungkin sudah kebiasaan barangkali.

“Nak mintak tolong apa pakcik?”

“Jom ke rumah pakcik sekarang.”

“Kena pergi sekarang juga ke pakcik. Pagi nanti tak boleh ke?”

“Bukan tak boleh ustaz. Nanti bukti hilang.”

“Bukti apa pakcik?”

“Nanti saya bagitau ustaz dalam kereta ok?”

“Baiklah pakcik. Saya bersiap dulu. Nak mintak izin ibu saya dulu.”

“Baiklah nak.”

Saya kemudiannya meminta izin untuk menutup pintu sebentar dan mengunci dari dalam. Bukan tidak percaya kepada Pakcik Abdullah. Cuma berjaga-jaga sahaja.

Lebih kurang lima minit selepas bersiap dan meminta izin dari ibu, saya keluar dari rumah dan menaiki kereta Pakcik Abdullah ke rumahnya. Di dalam perjalanan saya bertanya kepada Pakcik Abdullah apa yang berlaku.

Pakcik Abdullah menjelaskan bahawa bomoh tersebut ada di sekitar rumah mereka. Saya tanya kepada pakcik bagaimana dia tahu yang bomoh tersebut ada di situ. Pakcik Abdullah cuma tersenyum saja.

Saya bacakan Surah Al-Fatihah, Kursi dan tiga Qul sebagai bekal di dalam perjalanan kami. Kami berhenti pada suatu tempat. Sekitar 100 meter dari rumah Pakcik Abdullah. Sebelum meneruskan langkah saya ulangi bacaan tadi dan diikuti oleh Pakcik Abdullah.

Selepas Pakcik Abdullah selesai membaca Surah An Naas, Pakcik Abdullah menghembuskan bacaannya ke wajah saya. Mata saya terkebil-kebil sahaja ketika itu.

“Pakcik buat apa?”

“Takde papa ustaz.”

Selepas tu Pakcik Abdullah menyucuk pipi saya dengan jari telunjuknya. Kemudian Pakcik Abdullah menarik janggut saya. Hampir bergetar juga otak saya. Saya jadi marah dengan Pakcik Abdullah atas perbuatannya kepada saya.

“Pakcik ni dah kenapa? Tengok saya macam tengok hantu je?”

“Mintak maaf ustaz. Saya cuma nak pastikan yang ustaz ni manusia dan bukan syaitan yang hendak mempermainkan saya.”

“Pakcik nampak muka saya ni macam muka syaitan ke pakcik?”

Saya bertanya kepada Pakcik Abdullah sambil tersenyum.

“Takdelah ustaz. Saya mintak maaf sebab tak beradab dengan ustaz.”

“Takpe pakcik. Saya paham. Nasib tak tertanggal dagu saya tadi pakcik.” Jawab saya sambil berseloroh dengan Pakcik Abdullah. Selepas itu kami sama-sama ketawa.

Saya dan Pakcik Abdullah berjalan perlahan-lahan melalui jalan semak samun. Dua tiga kali juga saya dan Pakcik Abdullah hampir tersungkur kerana terlanggar akar kayu batu-batu besar.

“Pakcik, kenapa tak gunakan laluan jalan kereta sahaja?”

“Pakcik tak nak bomoh tu tahu kita datang ustaz.”

Saya mengangguk tanda faham. Setelah beberapa ketika, kami hampir sampai di rumah Pakcik Abdullah. Kami perlahankan langkah. Agar pergerakan kami tidak mengeluarkan bunyi yang banyak.

Dan sesekali kami hampir tergelincir kerana melalui jalan yang berlopak dan bertakung dengan air. Perjalanan kami saya rasa seperti diperhatikan sahaja. Kabus malam sedikit mengganggu pandangan kami.

Laluan ke rumah Pakcik Abdullah agak sukar kerana jalannya yang berliku. (Gambar Sekadar Hiasan).

Jelmaan pocong

Kami dikejutkan dengan satu suara yang ketawa di belakang kami. Kami berhenti melangkah serta merta dan menoleh ke belakang. Saya perhatikan ada seperti empat gumpal kabus yang bergerak ke arah kami.

Saya amati kabus itu betul-betul menyerupai pocong. Mendekati kami secara perlahan-lahan. Pakcik Abdullah seperti tidak ambil kisah keadaan tersebut.

Apa yang saya risaukan bahawa kabus berbentuk pocong-pocong tersebut bergerak lurus mengikuti kami dari belakang. Menembusi beberapa pohon kecil. Lalu saya bacakan zikir;

“Bismillaahillazi laa yadhurru ma’asmihii syaiun fil ardhi wa laa fis sama’ie wa hu was sami’un alim.”

Maksud ayat:

“Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang di bumi dan yang di langit (selagi) bersama dengan NamaNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Riwayat Abu Daud, At Tirmizi dan Ahmad)

Saya menoleh kembali ke arah belakang. Saya merasa lega. Keempat-empat lembaga pocong tersebut sudah tidak lagi mengikuti kami.

Kemudian saya menoleh ke hadapan dan meneruskan perjalanan. Tiba-tiba saya terkejut apabila pocong-pocong tersebut betul-betul muncul berdiri dan memandang tepat ke arah wajah saya.

Kulit wajah mereka berwarna hijau tua, biru pucat serta kehitaman tanpa cahaya. Kain kafannya bersalut dengan lumpur hitam dan perang.

Walaupun pocong-pocong tersebut tiada mata tetapi saya dapat rasakan pocong-pocong itu memerhati segala tindak tanduk saya dengan teliti. Ketika itu Pakcik Abdullah sudah tidak ada.

Ntah lesap ke mana. Kalau Pakcik Abdullah takut atau menjerit sudah tentu saya ada mendengar atau melihat kelibat dan bayang-bayangnya berlari sebelum itu. Tetapi saya tiada langsung petunjuk.

Tinggallah saya bersendirian ditinggalkan oleh Pakcik Abdullah dan ditemani pocong-pocong tersebut. Baik sungguh hati Pakcik Abdullah. Hahaha..

Kemudian timbul pula rasa marah kepada Pakcik Abdullah kerana membiarkan diri saya keseorangan. Saya bukan seorang yang berani.

Saya tiada pilihan lain melainkan berserah segalanya kepada Allah sambil berusaha untuk menghilangkan jelmaan pocong di hadapan saya ketika itu. Saya cuma berharap itu adalah khayalan atau halusinasi saya sahaja.

Saya serah semuanya kepada Allah dan mula membaca Surah Kursiy.

“Bismillahir rahmaanir rahiim. Allahu la ilaha illa Huwa, Al-Haiyul-Qaiyum. La ta’khuzhuhu sinatun wa la naum, lahu ma fis-samawati wa ma fil-’ard. Man zhal-lazhi yashfa’u ‘indahu illa bi-izhnihi. Ya’lamu ma baina aidihim wa ma khalfahum, wa la yuhituna bi shai’im-min ‘ilmihi illa bima sha’a. Wasi’a kursiyuhus-samawati wal ard, wa la ya’uduhu hifdzhuhuma Wa Huwal ‘Aliyul-Azheem.”

Maksudnya;

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).”

Selepas saya habiskan bacaan saya, saya perhatikan bahawa keempat-empat pocong-pocong tersebut telah lenyap secara perlahan-lahan. Saya mengucapkan syukur di dalam hati.

Selepas itu saya meneruskan langkah saya menuju ke rumah Pakcik Abdullah. Untuk memastikan agar saya segera sampai ke rumah Pakcik Abdullah, saya menggunakan jalan bertar iaitu laluan kereta.

Saya niatkan di dalam hati yang saya tidak akan bersembunyi. Berhadapan terus dengan bomoh tersebut. Saya dapat memerhati bomoh tersebut dengan jelas sedang berdiri di tengah jalan bertar juga. Berdiri sambil memeluk tubuh.

Kemudian dari arah belakang ada sebuah kereta kelisa berwarna hitam bergerak laju. Saya berundur sedikit ke bahu jalan sambil memberi peluang kepada kereta tersebut untuk lalu dahulu.

Yang menghairankan saya, Bomoh tadi langsung tidak menoleh ke arah kereta tersebut dan tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Pemandu kereta itu pula tidak ada tanda-tanda untuk memperlahankan keretanya.

Setelah itu kereta itu bergerak pantas melintasi hadapan rumah Pakcik Abdullah dan melanggar bomoh tadi. Saya mengucap panjang. Ternyata bomoh tersebut masih berdiri lagi. Memerhati terus ke rumah Pakcik Abdullah.

Kereta tersebut juga terus membelah kabus malam. Seolah-olah tidak melanggar apa-apa pun sebelum itu. Saya betul-betul memerhati ketika itu yang kereta kelisa tersebut telah melanggar bomoh itu tadi. Saya berkali-kali menggosok-gosokkan mata saya. Ternyata semuanya bukan khayalan.

Saya terkejut ketika kereta tersebut hilang dari pandangan, bomoh tersebut memandang saya sambil tersenyum. Seolah-olah tahu yang saya sedang memerhati pergerakannya.

Saya kemudiannya berjalan dengan pantas menuju ke rumah Pakcik Abdullah. Selipar dan seluar saya agak basah kerana terpijak lopak air tadi. Sesampainya di hadapan rumah Pakcik Abdullah saya berhenti. Saya tidak dapat meneruskan langkah saya. Saya tidak tahu kenapa.

Saya berusaha terus untuk mendekati rumah Pakcik Abdullah tetapi masih juga gagal. Kaki saya seperti dikunci pergerakannya. Kedudukan saya dan bomoh tersebut tidak sampai 10 meter.

Selepas beberapa kali berusaha akhirnya saya mengambil keputusan untuk berhenti bergerak dan pasrah serta memerhati apa yang akan terjadi.

Sebagai pelindung diri, saya bacakan Surah Kursi sekali lagi. Saya perhatikan sahaja apa yang berlaku. Bomoh tersebut mengeluarkan sesuatu yang berupa patung yang lengkap berkaki dan tangan dari kain berwarna hitam sebesar setengah tapak tangan lalu membaca beberapa mentera dan beberapa ayat memuja syaitan ke atas patung tersebut.

Kemudian datang empat ekor pocong (saya istilahkan sebagai beberapa ekor kerana mereka bukan manusia) yang keluar secara perlahan dari bawah tanah tempat bomoh tersebut berdiri. Keempat-empatnya berdiri dan menatap wajah bomoh tersebut.

“Masuklah ke dalam patung ini wahai orang suruhanku. Kerana Iblis meminta kita untuk menghancurkan kebahagiaan manusia yang alpa yang meminta bantuan kepada kita dan bukan kepada Allah. Hahaha..Nanti aku sediakan ayam hitam yang aku sembelihan atas nama Iblis sebagai habuan dan makanan kamu semua. Hahaha..”

Pocong-pocong tersebut bagaikan mengerti apa yang disampaikan oleh bomoh tadi lalu meresap masuk ke dalam keempat-empat patung tadi.

Meneguk air kencing

Selepas itu bomoh tersebut membawa patung-patung tersebut ke arah setiap penjuru rumah dan menanam patung tersebut satu persatu.

Setelah selesai menanam, bomoh tersebut kembali berdiri di hadapan rumah Pakcik Abdullah dan mengeluarkan tempurung kelapa yang telah dibagi dua dari kantung beg yang terikat di tepi pinggang sambil memeluk tubuh.

Bomoh itu kemudian membuka seluarnya dan kencing ke dalam tempurung tersebut. Air kencing itu kemudian diminum olehnya dalam tiga tegukkan. Saya merasa geli dan hendak muntah bila melihat bomoh tersebut meminum kencingnya sendiri.

Selepas itu bomoh tersebut mengeluarkan dari poket seluar sebelah kirinya iaitu sebuah lagi patung. Tetapi pada leher patung itu dililit seutas kalung emas. Saya terfikir mungkin itulah kalung emas yang Pakcik Abdullah jelaskan kepada saya yang telah hilang sebelum ini.

Bomoh itu kemudiannya merendam patung berkalung tersebut ke dalam tempurung yang mengandungi sisa air kencing tadi.

“Hahaha..Lepas ini kau akan tunduk dan menjadi milikku selamanya. Sesiapapun tidak akan dapat menyelamatkan engkau dari aku. Hahaha..”

Saya mengalih pandangan saya ke langit. Saya perhatikan di langit langsung tidak menampakkan sebutir bintang pun. Angin mula bergerak perlahan dan daun-daun mula berguguran dari pokok-pokok yang ada di sekitar tersebut.

Bunyi lolongan anjing juga mula kedengaran. Suara perempuan menangis, merintih dan ketawa memecah keheningan pagi tersebut. Sayu dan menyeramkan. Bunyi tersebut jelas terdengar seolah-olah di berada sebelah saya sahaja.

Semua itu tidak mengganggu saya untuk terus memerhatikan apa yang berlaku. Tidak lama kemudian daun pintu rumah Pakcik Abdullah terbuka dengan sendirinya. Bomoh tersebut tersenyum sambil memerhati sesuatu di balik pintu arah dalam rumah Pakcik Abdullah.

Tidak lama kemudian Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa keluar dari rumah dan menuju ke arah bomoh tersebut seperti orang yang tengah mengigau. Mata mereka tertutup dan mulut pula ternganga. Bunyi dengkuran mereka juga agak kuat.

Saya cuba untuk memanggil-manggil nama Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa tetapi tidak berdaya.

Tiada sedikit pun suara yang keluar dari mulut saya. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk terus mendiamkan diri sahaja dahulu sambil menunggu apa yang berlaku seterusnya.

Bomoh tersebut kemudian menghulurkan tangannya lalu menyeru kepada Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa.

“Mari ke sini wahai hamba-hambaku. Marilah..”

“Kami datang tuan. Ada apa-apa yang tuan mahu dari kami?”

“Ya. Bawakan aku wang dan barang kemas kalian sebelum aku balik nanti.”

“Baiklah tuan. Lagi apa yang tuan mahu?”

“Mana anak kamu Liza? Aku ingin bermesra-mesra dengannya. Hahaha..”

“Ada di dalam bilik tuan. Tuan masuklah. Kami tak akan mengganggu.”

“Baiklah. Aku tidak akan lama. Sekadar bermesra dengan anakmu. Sebelum subuh aku akan balik. Ingat pesan aku. Masa kamu berdua bangun nanti kamu berdua tidak tahu apa yang akan berlaku. Faham?”

“Faham tuan.”

“Ini aku bawakan kalian air minuman sebagai hadiah kerana tidak mengganggu aku. Minumlah. Agar haus kalian hilang. Hahaha..”

Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa berjalan perlahan-lahan sambil mengambil air kencing di dalam tempurung yang dihulurkan oleh bomoh tadi lalu bergilir-gilir minum hinggalah air kencing tadi habis.

“Baiklah. Kalian pergilah tidur.”

Bomoh itu kemudiannya membaca beberapa lagi mentera. Selepas habis membaca mentera tersebut, tiba-tiba timbul hantu pocong dari arah patung yang ditanam pada setiap lubang penjuru rumah.

Keempat-empat pocong tu bergerak dan melompat perlahan-lahan di sekeliling rumah seolah-olah sedang menjaga rumah Pakcik Abdullah agar tidak diketahui oleh orang lain akan perbuatan jahat serta nafsu syaitan bomoh tersebut.

Selepas itu bomoh tersebut masuk ke dalam rumah Pakcik Abdullah. Saya beristighfar panjang dan berdoa kepada Allah agar saya diberi kekuatan untuk menghalang bomoh berkenaan.

Ibu kejutkan

Saya berdoa supaya Allah memberi kekuatan pada saya. Saya cuba untuk melepaskan diri saya kerana saya masih lagi tidak dapat untuk bergerak dari tempat saya berdiri tadi.

Kemudian saya tenangnya diri saya dan menarik nafas sedalam mana yang boleh. Setelah itu saya baca Surah Al-Fatihah dan Surah Kursi.

Tidak berapa lama kemudian, saya membuka mata kerana secara tiba-tiba saya telah dikejutkan oleh ibu saya. Ternyata saya sedang berada di bilik saya.

“Malik, kenapa baca Surah Al-Fatihah dan Surah Kursiy terlalu kuat. Kamu mengigau ke?”

“Ye ke mak? Alhamdulillah. Allah jawab doa saya dalam mimpi.”

“Doa apa?”

“Adalah mak.”

“Mak tau. Semoga Allah melindungi engkau atas kebaikan korang adik-beradik sebab menolong orang yang sakit. Bangun. Dah nak subuh dah ni.”

“Ya mak. Nak bangunlah ni.”

Selepas ibu saya keluar dari bilik, saya terus sujud kepada Allah atas petunjuk ini. Saya yakin walaupun sekadar mimpi sahaja tapi inilah salah satu cara untuk Allah memberitahu kita.

Apa lagi permintaan dan hajat saya itu saya mulakan dengan solat hajat dan berniat untuk berpuasa. Ini kerana kita hendak meminta pertolongan dari Allah dengan serta merta atau secepat mungkin.

Saya lalu bergegas ke dapur untuk minum air sejuk dan makan beberapa biji pisang untuk mengalas perut untuk bersahur. Selepas itu saya mandi dan menunaikan solat subuh.

Setelah selesai membaca zikir Al Ma’tsurat saya termenung sebentar untuk mengingati kembali apa yang saya alami dan mimpi semalam.

Boleh jadi saya bermimpi dan boleh jadi tidak. Tapi semua yang saya alami ini menyebabkan saya merasa semakin dekat dengan Allah terutamanya berkaitan dengan pertolongan Allah yang datang dari arah yang tidak disangka-sangka.

Alhamdulillah. Semua ini adalah petunjuk dari Allah sekiranya kita yakin kepada Allah dengan sepenuh hati.

Pada pagi itu saya sedang mengemas almari baju saya. Pada pukul 9 pagi saya telah menerima panggilan telefon dari Pakcik Abdullah.

“Assalamualaikum ustaz.”

“Waalaikumsalam pakcik.”

“Ustaz, jangan lupa malam esok. Datang ke rumah saya. Nak rawat Liza.”

“Insya-Allah pakcik. Saya akan datang lepas solat isyak.”

“Baik ustaz. Ada lagi yang saya nak bagitau ustaz. Alhamdulillah. Semalam saya bermimpi. Allah tunjukkan kepada saya apa yang berlaku. Esok saya cerita ustaz.”

“Baiklah pakcik. Malam esok kita jumpa ok.”

“Insya-Allah ustaz. Terima kasih.”

“Sama-sama pakcik.”

Bertemu dengan bomoh

Saya mematikan panggilan telefon dari Pakcik Abdullah. Saya dapat merasakan apa yang di mimpi oleh Pakcik Abdullah mungkin sama dengan apa yang saya mimpi malam tadi.

Malam itu selepas kami membuat rawatan di rumah ibu saya, saya dan kawan-kawan makan di Warung Buk Ros atau lebih dikenali dengan nama Gerai Gun N Roses di kalangan kami. Selepas itu saya balik dan tidur. Malam itu saya bermimpi lagi.

Saya berada di tepian sungai. Sungai itu berwarna kuning pekat. Baunya seperti bau darah dan bau hamis dari kencing manusia. Saya lihat banyak mayat-mayat yang berbungkus timbul dan terapung di bawa arus.

Di gigi sungai kelihatan banyak ular, kala jengking, lipan dan binatang berbisa lain. Langit ketika itu berwarna kemerahan. Merah pekat tanpa sebarang sinar.

Selepas beberapa ketika air sungai mula berkocak perlahan dan dengan tidak semena-mena, muncul bomoh tadi beserta dengan empat ekor pocong setinggi pokok pisang dewasa naik ke atas permukaan air sungai dan patung kecil berwarna hitam yang berkalung emas masih lagi digenggam kemas dengan menggunakan tangan kanan sementara tempurung kelapa berisi air kencing pula di tangan kirinya.

Tidak berapa lama kemudian bomoh tersebut berjalan menuju ke tepian sungai. Kepala patung tersebut saya lihat seperti kepala dan wajah Liza. Tapi tiada sepasang mata pun pada wajahnya. Pada bahagian mata serta mulut dijahit rapat-rapat dan kepala patung tersebut dicucuk dengan jarum panjang.

Mereka berjalan ke arah saya dengan wajah yang bengis dan bersiap sedia untuk menyerang saya pada bila-bila masa sahaja. Saya perhatikan mereka melangkah tanpa menyentuh bumi.

Bomoh tersebut mengangkat tempurung yang berisi air kencing tersebut dan menyiram di wajah patung kecil yang menyerupai wajah Liza. Patung itu kemudiannya bergerak-gerak dan berebut-rebut untuk minum air dari tempurung tersebut seperti orang yang benar-benar kehausan.

Selepas itu patung itu kembali kaku seperti biasa. Bahagian mulut dan matanya masih lagi dijahit ketat agar tidak dibuka.

Cuma mulutnya yang masih bergerak-gerak seperti orang yang sedang menghabiskan minuman di dalam mulutnya.

Bomoh itu asyik melayan patung tadi dan kemudian memandang saya;

“Kenapa kau ganggu aku?”

“Aku tidak mengganggu engkau tapi engkau yang mengganggu saudara aku.”

“Aku cuma menolong mereka. Menyempurnakan hajat mereka. Bukankah aku telah menolong orang yang dalam kesusahan?”

“Mungkin niat kamu betul tapi cara kamu salah. Cara yang bertentangan dengan Islam. Kau juga Islamkan?”

“Ya. Aku Islam. Tapi pada namaku saja. Aku menyembah matahari. Kerana itu sahaja caranya untuk aku dapat menundukkan manusia dan syaitan. Sudah lama aku tidak beribadah. Tiada gunanya tetapi dengan menyembah matahari apa saja permintaanku kesemuanya telah dimakbulkan oleh Iblis.”

“Engkau bertaubatlah kepada Allah kerana Allah Maha Penerima taubat. Walau penuh seisi langit dan bumi dosamu Insya-Allah, Allah akan hapuskan sekiranya engkau bertaubat dengan taubat nasuha.”

“Hahaha.. Perlukah aku meninggalkan kesenangan dunia ini? Mengembalikan segala kemewahan yang ada padaku dan kembali tunduk kepada Allah dan kemudian mewariskan kembali segala kemiskinan, kesusahan dan kebencian? Hahaha..Tidak semudah itu. Selagi ilmuku belum lengkap maka selagi itulah anak gadis akan menjadi santapan nafsuku.”

Liza menjadi sasaran bomoh untuk menjadi pemuas nafsu serakah. (Gambar Sekadar Hiasan). 

“Astaghfirullahal ‘azhim. ilmu apa yang kau tuntut?”

“Ilmu kebal. Agar aku dapat hidup untuk beratus tahun lagi. Hahaha..”

Suasana ketika itu sangat menakutkan. Keempat-empat pocong tersebut berterbangan dan melompat ke udara. Seperti meraikan suatu pesta dan kejayaan.

“Semoga laknat Allah sentiasa bersamamu..”

Saya mula bacakan Surah Al Falaq berulang kali dan menghembuskan pada bomoh tersebut.

Bismillahir rahmaanir rahiim;

“Qul a’uudzu bi rabbil falaq. Min syarri maa khalaq. Wa min syarri ghaasiqin idzaa waqab. Wa min syarrin naffaa tsaati fil uqad. Wa min syarri haasidin idzaa hasad.”

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

“Katakanlah (Wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan Yang menciptakan sekalian makhluk. Dari bencana makhluk-makhluk Yang ia ciptakan. Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk. Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan), Dan dari kejahatan orang Yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.”

Kisah penurunan surah Al-Falaq

Dalam riwayat Al-Baihaqi, diceritakan bahawa surah Al-Falaq dan An-Naas diturunkan pada masa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam disihir oleh seorang Yahudi yang bernama Labid bin al-A’sham dengan sebelas simpulan tali, di mana setiap kali dibacakan satu demi satu ayat-ayat dari kedua surah tersebut, maka terlepaslah simpulan itu satu persatu. Kisah tentang disihirnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ini sendiri terdapat dalam Shahih Al-Bukhari.

Menurut Abdullah Yusuf Ali pula, pada waktu zaman kenabian Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, terdapat seorang bomoh perempuan yang mengenakan sihir hitam ke atas musuhnya menggunakan sihir pada simpulan. Dengan itu, Allah SWT menurunkan surah ini sebagai perlindungan daripada sihir tersebut.

Al-Imam Muhammad Abduh berkata: Dalam masalah ini, terdapat lebih banyak hadis yang menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah disihir oleh Labid Ibn al-A’sam.

Sihir itu telah berjaya mempengaruhi (meresapi) diri Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam, sehingga mengkhayalkan Baginda dan menyebabkan Baginda seolah-olah melakukan sesuatu padahal baginda tidak melakukannya, atau baginda seperti mendatangi sesuatu, sedangkan Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mendatanginya.

Kemudian, Allah SWT menjelaskan kepadanya hal itu, seterusnya bahan sihir itu dikeluarkan daripada sebuah perigi. Setelah itu barulah Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam sembuh daripada penderitaannya dan diturunkan surah ini.

Hilang

Selepas itu bomoh itu berundur perlahan-lahan ke belakang dan diikuti oleh keempat-empat pocong tadi. Mereka berundur masuk ke dalam air sungai sambil merenung ke arah saya terus menerus sehinggalah mereka ditenggelami oleh air sungai tersebut secara perlahan-lahan.

Bermula dari kaki, perut, dada, leher, muka dan kepala. Akhirnya mereka hilang dari pandangan mata saya.

Kocakan air sungai itu juga sudah hilang. Mayat-mayat timbul di atas permukaan air tadi juga telah lenyap. Sungai masih lagi mengalir perlahan-lahan. Langit yang pekat kemerahan pula menjadi semakin suram. Saya tak tau apa yang berlaku selepas itu.

Tidak lama kemudian saya terbangun dari tidur. Bantal saya basah kerana dipenuhi dengan peluh. Jam di dinding masih lagi pukul 4 pagi.

Saya terus bangun dan mandi sementara menunggu azan subuh berkumandang. Selepas solat subuh saya membaca zikir Al Ma’tsurat dan menjalani kehidupan harian saya seperti biasa.

Perjalanan ke rumah Pakcik Abdullah

Selepas solat Isyak, saya berangkat ke rumah Pakcik Abdullah dengan menggunakan motosikal EX5 hitam saya. Saya singgah sebentar di kedai makan untuk membeli air milo panas. Kemudian saya melalui jalan Nyabau untuk pergi ke Kidurong.

Selepas membaca zikir Al Ma’tsurat saya cuba untuk menghiburkan diri dengan menyanyikan lagu ‘Tokyo’ dari kumpulan rock Jepun ‘Earthshaker’.

Mungkin peminat lagu rock masih ingat lagi akan kumpulan ini selain dari kumpulan Loudness. Kugiran yang datang dari belahan tanah Jepun.

Motosikal saya bergerak perlahan sambil menuju ke arah kawasan perindustrian Kidurong. Dengan tidak semena-mena lampu di sepanjang laluan jalan raya di jalan Nyabau tiba-tiba terpadam. Sepanjang jalan.

Saya cuma bergantung kepada lampu hadapan motosikal saya untuk memerangi gelap malam. Ada juga dua-tiga buah kereta yang lain dari arah sebelah jalan menggunakan lampu tinggi yang sedikit sebanyak telah membantu menerangi gelapnya jalan.

Saya teringat akan kisah pelik pesakit-pesakit kami yang diganggu di kawasan jalan ini. Dari hampir kemalangan kerana mengelak budak kecil melintas jalan secara tiba-tiba, kereta tiba-tiba kemalangan hingga menyebabkan hancur di hadapan kereta sedangkan masa kejadian langsung tidak ada kereta lain dan banyak lain.

Cuma saya tidak minat untuk menulis tentang kisah jalan atau laluan seperti ini. Bagi saya bukan ada penunggu atau syaitan pun yang memang bertugas setiap siang dan malam dan bertukar ‘shif’ untuk mengganggu di sana.

Tetapi syaitan yang ada di dalam hatilah yang menyebabkan jiwa kita terganggu hingga susah untuk kita hidup di alam nyata sebagai manusia biasa.

Setelah sampai di kawasan Kidurong saya mencari rumah Pakcik Abdullah dengan berpandukan alamat yang diberi.

Alhamdulillah. Tidak susah nak cari sebab saya agak ‘familiar’ dengan kawasan tersebut.

Setelah sampai di rumah Pakcik Abdullah, saya menelefon Pakcik Abdullah.

Tidak sampai lima saat bunyi deringan, panggilan saya lalu dijawab oleh Pakcik Abdullah.

“Assalamualaikum Pakcik. Saya dah sampai ni. Saya kat luar rumah pakcik.”

“Kau jangan ganggu kerja aku. Aku tak ganggu kerja engkau.”

“Aku tak ada urusan dengan kamu syaitan.” Jawab saya.

Saya kemudian bacakan Surah Kursi secara kuat. Kemudian talian hp kami terputus. Saya merasa pelik sebab kenapa Pakcik Abdullah tiba-tiba marah.

Sedangkan sebelum ini Pakcik Abdullahlah yang beriya-iya hendak meminta tolong kami merawat Liza.

Saya menjenguk ke dalam rumah Pakcik Abdullah. Tiada kelibat dan bayang manusia. Saya mengambil keputusan untuk menunggu dalam masa 10 minit. Kalau masih tidak ada orang saya akan balik.

Sementara menunggu itu saya perhati sekeliling rumah Pakcik Abdullah. Memang suram.

Di luar pagar saya rasa bulu roma saya mula meremang. Entah kenapa. Tiba-tiba saya merasakan seperti itu. Saya rasakan seperti dikelilingi asap putih yang tidak bergerak dari arah empat penjuru.

Kalau ikut pengalaman saya mungkin ini sejenis sihir melalui azimat yang diletakkan di kawasan rumah untuk memastikan supaya kawasan tersebut tidak dapat dikesan, dilihat atau diketahui orang.

Sihir melalui azimat seperti ini juga sering kami jumpa dan biasanya diletakkan di beberapa buah restoran dan kedai makan untuk mengelakkan kedai tersebut dari didatangi pelanggan.

Jadi pelanggan tidak akan dapat melihat restoran mereka. Sekiranya mereka jumpa sekalipun restoran tersebut seolah-olah tutup dan tidak dibuka sedangkan restoran mereka beroperasi.

Saya kemudian bacakan Surah Al-Fatihah, Kursi dan Al Muawwidzatain (Al Falaq dan An Naas dan kemudian berserah sepenuhnya kepada Allah. Alhamdulillah bayangan seperti asap itu hilang dari sekeliling saya.

Tiba-tiba hp saya berdering. Ternyata nombor hp Pakcik Abdullah. Saya jawab panggilan tersebut sambil membaca Surah Kursi. Manalah tahu kalau-kalau saya dipermainkan sekali lagi.

“Assalamualaikum ustaz. Kenapa baca Surah Kursi? Ustaz kat mana sekarang?”

“Waalaikumsalam pakcik. Saya kat luar rumah pakcik. Baru je sampai.”

“Owh..Tadi saya ‘call’ ustaz tapi ustaz macam marah-marah je. Saya pun hairan. Ingatkan ustaz tak jadi nak datang. Saya jenguk-jenguk juga ustaz dari dalam rumah tadi. Mana tahu ustaz dah sampai.

"Tapi masa saya dan makcik jenguk kat luar seolah-olah macam ada pocong yang berdiri di depan ‘gate’. Dua ekor kat pintu masuk rumah dan dua ekor lagi di belakang. Kami pun jadi takut ustaz.”

“Ye ke pakcik? Bahaya jugak tu.”

“Ok ustaz. Kejap k. Saya buka pintu jap.”

“Baik pakcik.”

Saya merasa seram sejuk tiba-tiba. Inilah kesannya sekiranya kita minta pada bomoh untuk memagar rumah kita. Bukan bertambah menyenangkan hati penghuni rumah. Malah semakin menyusahkan dengan timbulnya 1001 masalah lain.

Sekeliling rumah Pakcik Abdullah gelap dan sunyi. Jiran-jiran mungkin sudah tidur walaupun jam baru menunjukkan pada pukul 9.30 malam. Bunyi anjing melolong jelas kedengaran. Sayup-sayup bunyinya.

Tidak lama kemudian pintu rumah dibuka dan Pakcik Abdullah memberi salam kepada saya sambil membuka pagar rumahnya.

“Assalamualaikum ustaz. Jemput masuk.”

“Waalaikumsalam pakcik. Baiklah.”

Kami masuk ke ruang tamu dan saya memberi salam sebelum masuk.

“Jemput duduk ustaz. Saya panggilkan makcik dulu. Makcik ada kat bilik Liza. Liza mula meracau dari maghrib tadi. Macam tau je ustaz nak datang malam ni. Asyik sebutkan jangan ganggu kami jangan ganggu kami je dari tadi. Siapa yang mengganggu saya pun tak tau ustaz. Mungkin bomoh tu kot.”

Pakcik Abdullah meminta izin untuk masuk ke dalam. Mungkin ke bilik Liza. Ketika itu saya keseorangan saja di ruang tamu. Seram sejuk juga dibuatnya.

Saya rasa sangat tidak selesa dan panas ketika itu sedangkan penyaman udara telah dibuka di ruang tamu. Saya terdengar bunyi orang ketawa dan berbisik-bisik di belakang kerusi tempat saya duduk.

Saya beranikan diri untuk menoleh ke belakang. Ternyata tidak ada orang. Semasa saya menoleh ke hadapan saya lihat seperti sesosok manusia berbaju hitam sedang memegang patung. Tetapi kemudian hilang serta merta apabila Pakcik Abdulllah dan Makcik Hawa membawa keluar Liza dari biliknya.

Saya minta Pakcik Abdullah untuk menyuruh Liza duduk di hadapan saya di atas lantai. Sementara Makcik Hawa pula saya minta untuk mengambil bantal, selimut, telekung dan baldi kecil.

Setelah kesemuanya telah disediakan dan ada di hadapan saya, saya minta Makcik Hawa untuk pakaikan telekung kepada Liza.

Liza menurut sahaja sambil memerhati saya dengan senyuman.

Kedua-dua jari tangannya seperti genggaman tangan harimau. Sambil mencakar-cakar lantai. Bunyi dari kuku dan lantai tersebut telah mengeluarkan satu bunyi yang pelik dan menakutkan.

Saya tidak peduli apa yang berlaku di depan mata saya. Sebaliknya saya mulakan dengan membaca doa perlindungan dan ayat-ayat al-Quran.

Oleh kerana saya rasakan ini adalah gangguan jin yang melibatkan sihir, maka saya bacakan beberapa ayat tentang sihir. Saya mulakan dengan membaca Surah Al-Fatihah;

Kemudian Surah Al Baqarah ayat 102;

“Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh setan-setan pada masa Kerajaan Sulaiman. Sulaiman itu tidak kafir, tetapi setan-setan itulah yang kafir; mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat di negeri Babiliona yaitu Harut dan Marut. Padahal, keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang sebelum mengatakan “Sesungguhnya kami hanyalah cobaan (bagimu), sebab itu janganlah kafir”. Maka mereka mempelajari dari kedua-duanya (Malaikat itu) apa yang (dapat) memisahkan antara seorang (suami) dengan isterinya. Mereka tidak akan mencelakakan seseorang dengan sihirnya, kecuali dengan izin Allah. Mereka mempelajari sesuatu yang mencelakakan dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan sungguh,mereka sudah tahu, barang siapa membeli (menggunakan sihir) itu,niscaya tidak akan mendapat keuntungan di akhirat. Dan sungguh, sangatlah buruk perbuatan mereka yang menjualdirinya dengan sihir, sekiranya mereka tahu.”

Kemudian Surah Al A’raf: 117-122)

“Dan kami wahyukan kepada Musa: “Lemparkanlah tongkatmu!” Maka sekonyong-konyong tongkat itu menelan apa yang mereka sulapkan. Karena itu nyatalah yang benar dan batallah yang selalu mereka kerjakan. Maka mereka kalah di tempat itu dan jadilah mereka orang-orang yang hina. Dan ahli-ahli sihir itu serta merta meniarapkan diri dengan bersujud. Mereka berkata: “Kami beriman kepada Tuhan semesta alam, “(yaitu) Tuhan Musa dan Harun”. (Al A’raf: 117-122)

Kemudian Surah Yunus: 81-82)

“Maka setelah mereka lemparkan, Musa berkata: “Apa yang kamu lakukan itu, itulah yang sihir, sesungguhnya Allah akan menampakkan ketidak benarannya”. Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan terus berlangsungnya pekerjaan orang-orang yang membuat kerusakan. Dan Allah akan mengokohkan yang benar dengan ketetapan-Nya, walaupun orang-orang yang berbuat dosa tidak menyukai (nya).” (Surah Yunus: 81-82)

Kemudian Surah Thaha: 69)

“Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu, niscaya ia akan menelan apa yang mereka perbuat. Sesungguhnya apa yang mereka perbuat itu adalah tipu daya tukang sihir (belaka). Dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana saja ia datang”. (Surah Thaha: 69)

Akhir sekali saya baca surah empat Qul berulang-ulang kali.

Dicekik

Saya ulangi bacaan-bacaan tersebut tanpa henti.

Tiba-tiba Liza mula menyerang saya. Saya terkejut pada mulanya kerana pada awal dibaca tiada kesan apa-apa pada Liza dan saya hampir mengantuk semasa membaca Al-Quran tadi.

Liza memilih untuk mencekik leher saya. Saya sempat mengelak kerana saya terbiasa untuk duduk dalam keadaan bersedia. Tetapi malang bagi saya apabila wajah saya sempat dicakar oleh Liza. Ada sedikit darah yang keluar dari alis mata kanan saya.

Kemudian Liza kembali duduk sambil ketawa kacil.

Makcik Hawa terkejut lalu memarahi Liza. Saya sempat memberitahu Makcik Hawa supaya jangan marah dan jangan terpancing emosi kerana syaitan ini. Risau-risau syaitan ini yang akan dapat menundukkan kita nanti.

Liza tiba-tiba ketawa dan cuba untuk merentap telekung yang digunakannya. Saya meminta Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa untuk segera menahan Liza kerana takut auratnya akan terdedah nanti.

Kami bertiga bergelut dengan Liza. Liza memberontak sambil menyumpah-nyumpah kami bertiga.

Selepas keadaan terkawal, Liza mula sedikit tenang.

Saya minta Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa membaringkan Liza. Saya ambil bantai yang diambil oleh Makcik Hawa tadi dan meletakkannya di belakang kepala Liza.

Suasana hening seketika. Liza diam sahaja sambil tersenyum memandang ke atas syiling rumah. Kemudian menjerit sambil melafazkan sesuatu;

“Aku seru kamu di atas nama Iblis. Raja segala kejahatan. Mendekatlah padaku. Tuan kita memerlukan kita. Aku menyeru yang ada di empat penjuru. Wujudkanlah diri kalian dan bersatulah dengan aku.”

Kedengaran dari arah luar rumah bunyi angin mula bergerak kencang. Daun-daun dan ranting kayu yang berjatuhan terbang dan menyentuh atap rumah Pakcik Abdullah.

Suasana ruang tamu tiba-tiba dipenuhi dengan bau hamis kencing manusia. Lantai ruang tamu seakan basah. Entah dari mana datangnya air tersebut saya pun tidak tahu.

Dengan tiba-tiba sahaja Makcik Hawa menjerit sambil menunjukkan sesuatu ke arah belakang saya.

“Ustaz, ada pocong di belakang ustaz. Dia bergerak ke arah ustaz.”

Saya tidak mengendahkan sebarang kata-kata dari Makcik Hawa. Tetapi bau hamis semakin kuat. Saya tidak pasti sama ada itu bau hamis kencing atau bau mayat. Baunya seperti diadun menjadi satu.

Rawat

Tiba-tiba bulu tengkuk saya naik. Saya rasakan seperti ada jatuhan air yang menitis perlahan-lahan ke tengkuk saya. Saya tidak berani untuk menoleh ke belakang.

Apa pun yang ada di belakang saya saya tak nak ambil tahu. Saya pasrah sahaja tetapi apa yang saya tahu pada waktu tersebut adalah Allah tidak akan membiarkan saya keseorangan.

Selepas itu saya bacakan doa yang pernah dibaca oleh Rasulullah ketika peristiwa Isra dan Mikraj.

Doa Ruqyah dari malaikat Jibril

“Aku berlindung dengan wajah Allah yang Maha Mulia dan dengan Kalimat-Kalimat Allah yang Sempurna yang tidak ada melampauinya segala kebaikan mahupun keburukan dari kejahatan apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar darinya dan dari kejahatan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan dari kejahatan fitnah di malam dan siang hari dan dari kejahatan jalan-jalan di malam dan siang hari, kecuali suatu jalan yang dilalui dengan kebaikan, wahai yang Maha Penyayang.”

Setelah Nabi Muhammad SAW membaca doa tersebut, maka jin Ifrit yang mengekori baginda jatuh tersungkur lalu binasa dan obornya padam. (HR. Bukhari)

Saya ulangi hingga berbelas kali. Pada mulanya bunyi angin di luar rumah kuat. Bau hamis juga semakin menyesakkan lubang hidung kami. Lantai semakin basah.

Saya menjadi semakin hairan kerana saya tidak tahu dari mana arah datangnya air ini. Cuma basah di sekitar ruang tamu sahaja. Lantai menjadi melekit. Biasanya ini cuma mainan syaitan sahaja.

Kemudian saya teruskan bacaan doa Rasulullah tadi dan Surah Kursi. Saya ulangi sehingga saya lihat ruang tamu menjadi kembali normal seperti biasa.

Saya sempat terfikir mungkin inilah caranya syaitan mempengaruhi pandangan manusia hingga tertipu dengan halusinasi dan fantasi sendiri. Jarang-jarang kita diuji dengan keadaan seperti ini.

Liza saya lihat seperti tidak bermaya.

Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa masih lagi memegang bahu Liza.

Saya minta Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa untuk melepaskan tangan mereka sebentar dari menahan Liza kerana Liza pada ketika itu sudah kelihatan lemah.

Liza cuba mengangkat tangannya sambil menggerak-gerakkan badan ke kiri dan ke kanan dan kemudiannya mengambil selimut di sisinya sambil menutup badannya dan kemudian membungkus badannya seperti mayat.

Keadaannya ketika itu betul-betul menyeramkan. Tambahan lagi wajahnya memang pucat dan cekung seperti mayat.

Kemudian saya mulakan dialog;

“Ya ma’syaral jin. Dengan nama Allah kamu siapa?”

“Aku adalah hamba syaitan. Hamba kepada manusia yang bertuhankan Iblis. Apa yang kau mahu dariku?”

“Apa yang kau lakukan pada Liza?”

“Banyak aku lakukan dengan dia. Sesuai dengan apa yang tuan aku mahu darinya.”

“Siapa tuan kamu? Kenapa kau siksa Liza?”

“Tuan aku adalah tuan aku. Itu tiada urusan dengamu.”

“Jaga sikit bahasa engkau. Tolong beradab sedikit.”

“Hahaha..Bagaimana syaitan boleh beradab kepada manusia seperti kamu. Memang kami cuma ditakdirkan untuk berlaku baik kepada manusia yang bertuhankan iblis. Jadi ada apa-apa masalah untuk kamu? Hahaha..”

“Apa yang tuan kau lakukan kepada keluarga Liza? Mana tuan kau sekarang?”

“Hahaha..Tuan aku sudah tiada di sini lagi. Tiada lagi kepentingannya untuk bersama dengan mereka. Tuan aku telah rosakkan kehidupan dan keharmonian keluarga mereka. Sekarang dia sudah lari keluarga ini.”

“Apa yang tuan kamu lakukan sebenarnya?”

“Tuan aku datang memenuhi permintaan mereka. Mereka minta untuk di pagar sekitar rumah mereka. Sebelum itu tuan aku mengarahkan sebahagian syaitan untuk menghasut tuan rumah supaya percaya kepada tuan aku. Bukan susah untuk mempengaruhi manusia yang imannya lemah. Jadi senang untuk kami mempermainkannya.”

“Mereka meminta tuan aku untuk memagar rumah. Tuan aku mengatakan kepada mereka yang dia membaca al-Quran. Tetapi hakikatnya tuan aku hanya membaca Bismillah sahaja supaya tuan rumah percaya bahawa tuan aku menggunakan ayat al-Quran. Tetapi mereka tidak tahu yang tuan aku memuja syaitan. Kemudian tuan aku membaca beberapa potongan ayat Al-Quran yang dipotong-potong, bercampur aduk dan diubah-ubah kedudukannya. Dalam bacaan itu tuan aku selitkan mentera memuja syaitan.”

“Astaghfirullah..Lepas tu apa yang terjadi?”

“Setelah itu tuan aku tanam pada empat penjuru rumah mereka patung manusia berwarna hitam yang mana tuan aku telah masukkan pada awalnya syaitan berupa jelmaan pontianak ke dalam patung tersebut. Tujuannya bukan untuk menjaga rumah mereka tetapi untuk memudahkan tuan aku menyihir mereka dengan sihir penunduk.”

“Jadi mudah untuk tuan aku nanti memanggil dan mengarahkan mereka sekeluarga serta tuan aku boleh masuk ke rumah mereka juga pada bila-bila masa tanpa halangan bahkan mereka tidak sedar pun yang tuan aku masuk ke rumah mereka dan memerhati apa yang berlaku di rumah mereka.. ”

“Satu perkara yang mereka lupa. Ketika mereka minta tuan aku untuk memagar rumah, tuan aku telah memasukkan sihir di rumah mereka. Mereka minta supaya rumah mereka dilindungi tetapi tuan aku menyimpan niat berlainan di dalam hati.”

“Ketika rumah mereka di pagar dengan sihir penunduk, tuan aku telah merogol anak mereka demi untuk mencapai syarat memiliki usia yang panjang hingga beratus tahun. Ketika itu tuan rumah juga telah dipukau sebelumnya. Tuan aku juga memiliki patung khas yang disihir untuk anak tuan rumah.”

“Kadang-kadang mereka dibangkitkan dari tidur dan membuka pintu rumah serta datang kepada tuan aku. Ketika itu juga tuan aku berikan mereka minum dari air kencing tuan aku sendiri sebagai tanda mereka untuk tunduk taat kepada tuan aku. Duit dan barang kemas mereka tuan aku ambil. Untuk apa itu bukan urusan aku. Urusan aku cuma menyesatkan mereka dan membantu mereka syirik dan kufur kepada Allah. Senang bukan. Hahaha..”

“La’natullah alaika. Semoga laknat Allah tetap bersama engkau. Keluarlah engkau wahai syaitan.”

“Tanpa arahanmupun aku memang tetap akan keluar kerana hajat tuan aku telah tercapai. Untuk apa kekal berada pada keluarga ini sedangkan harta mereka, kehormatan anaknya telah tuan aku ragut dan aku wariskan kekecewaan, kesedihan, kehampaan dan kesesatan pada mereka. Hahaha..Yang paling penting adalah kemurkaan Allah kepada keluarga ini. Aku keluar sekarang. Mungkin suatu hari nanti kami akan datang lagi. hahaha..”

Tangisan penyesalan

Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa cuma tunduk membisu. Mengesat air mata sambil mengenang kembali kesilapan mereka yang telah memberi kepercayaan kepada orang yang salah dalam menentukan harga dan maruah diri keluarga mereka. Liza perlahan-lahan membuka mata;

“Ayah, mak. Kenapa bersedih..?”

Mereka memerhati wajah Liza yang kembali kemerah-merahan. Mereka menangis semahu-mahunya kerana Liza telah menjadi mangsa kerakusan bomoh. Pakcik Abdullah mengusap dahi Liza sambil Makcik Hawa memeluk anaknya.

Saya memberi peluang kepada Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa melayan perasaan dan jiwa kesedihan mereka. Wajah mereka penuh dengan penyesalan. Itu yang saya rasa.

Saya juga mempunyai tiga orang anak yang masih kecil. Zahra Aleesya, Sarah Humayra dan Ahmad Aqila. Yang akan saya pertahankan dengan jiwa dan nyawa saya sekalipun. Biar tumbuh menjadi anak yang soleh dan solehah.

Pakcik Abdullah memandang saya dengan linangan air mata. Wajahnya kelihatan sugul dan penuh penyesalan.

“Ustaz, apakah saya silap dalam melangkah walaupun cuba untuk melindungi keluarga saya?”

“Pakcik, Alhamdulillah Allah turunkan Liza ayah dan ibu yang sangat penyayang dan sangat bertanggungjawab. Niat pakcik dan makcik betul cuma salah memilih jalan.”

Saya gunakan bahasa jiwa supaya hati mereka tidak tersentuh dengan kata-kata saya.

“Pakcik, di dalam Islam kita diharamkan untuk berjumpa dengan bomoh dan tukang tilik. Nanti ibadah kita tidak akan diterima.”

“Maksud ustaz?”

“Macam ni pakcik. Islam melarang kita untuk berjumpa dengan bomoh kerana boleh menjerumuskan kita kepada kesyirikan.

Rasulullah bersabda;

“Barang siapa yang mendatangi tukang tilik dan ditanya mengenai sesuatu maka tidak diterima solatnya selama 40 hari.” (Hadis riwayat Muslim)

“Barang siapa yang datang kepada tukang ramal atau bomoh lalu percaya kepadanya dengan apa yang dikatakannya maka ia benar-benar telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.” (Hadis riwayat Ahmad)

“Jadi apa-apapun alasan kita, kita tidak boleh berjumpa dengan bomoh. Kebiasaannya bomoh ini bekerjasama dengan syaitan selain dari suka berbohong dan mengambil kesempatan kepada mangsanya kerana Islam telah meletakkan hukum seperti itu pakcik.”

Kemudian saya bacakan Surah As Shaffaat: -10,

“Demi golongan yang berkedudukan pada kedudukan tertentu, dan golongan yang melawan secara keras, dan golongan yang membacakan pengajaran, Ketahuilah bahwa Tuhan kalian merupakan Yang Tunggal, yakni Tuhannya langit beserta bumi maupun segala hal yang berada di antara keduanya, serta Tuhannya kedua tempat terbit matahari. Ketahuilah bahwa Kami yang telah menghias langit terdekat dengan hiasan yakni bintang-bintang, serta Kami telah melindungi hal demikian terhadap golongan setan yang sangat durhaka, sehingga golongan itu tidak dapat mendengar-dengar para malaikat utama; bahwa golongan itu dilempar dari segala penjuru supaya mengusir golongan itu serta golongan itu dihantam Azab abadi, akan tetapi apabila ada yang berusaha mendengar-dengar, maka golongan itu dikejar kilatan api membara.” (Surah As Shaafaat: 1-10)

“Ustaz, masih ada ruang lagikah untuk kami ruang bertaubat kepada Allah? Walaupun dosa kami sepenuh langit dan bumi?”

“Pakcik, Rasulullah bersabda,”

“Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat di siang hari dan Dia membentangkan tanganNya pada siang hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat di malam hari, sehingga matahari terbit dari barat (Kiamat).” (HR. Muslim)

Anas radhiallahu’anhu meriwayatkan, aku mendengar Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, Allah berfirman:

“Allah Ta’ala berfirman: “Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau memohon dan mengharap kepada-Ku, niscaya Aku ampuni dosa-dosamu yang lalu dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu sampai ke awan langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku niscaya Aku mengampunimu dan Aku tidak peduli.

Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepada-Ku dengan dosa-dosa sepenuh bumi dan kamu menemui-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan-Ku dengan sesuatupun, niscaya Aku datangkan utukmu ampunan sepenuh bumi pula.” (HR. At Tirmizi ia berkata; hadis ini hasan)

Selepas itu Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa menangis semahu-mahunya. Tangisan penuh penyesalan, Liza yang terbaring ketika itu memandang kedua ibu bapanya juga dengan linangan air mata.

Saya meminta izin kepada Pakcik Abdullah dan Makcik Hawa untuk balik. Mereka cuma mengangguk-angguk kepala sahaja. Liza senyum ke arah saya sambil mengesat air mata. Suasana sangat mengharukan ketika itu.

Saya berjalan perlahan ke arah pintu. Sebelum melangkah keluar, saya memandang mereka. Cukup sebak hati saya ketika itu kerana mengenangkan yang saya juga punya anak perempuan yang akan membesar menjadi remaja dan dewasa suatu hari nanti.

Seminggu selepas kejadian pada malam tersebut, Pakcik Abdullah ada menghubungi saya untuk meminta bantuan kepada kami merawat Liza sekali lagi. Saya minta rawatan itu dibuat di rumah mereka pada tarikh dan hari yang telah saya tetapkan.

Supaya senang untuk saya dan kawan-kawan untuk memagar rumah mereka serta mengeluarkan kembali apa sahaja benda yang pernah ditanam oleh bomoh tersebut.

Selepas dua bulan mendapatkan rawatan secara istiqamah, Alhamdulillah Allah kurniakan kesembuhan sepenuhnya kepada Liza.

Bukan kerana usaha kami tetapi kerana kekuatan dan semangat Liza untuk sembuh menyebabkan Allah kurniakan kesembuhan kepadanya.

Sebagai balasannya Allah telah atur kembali pertemuan Liza dan bekas tunangnya. Akhirnya mereka menikah dan dikurniakan empat orang anak.

Saya masih lagi bertemu dengan Pakcik Abdullah, Makcik Hawa serta Liza sekeluarga dan pernah bertandang ke rumah mereka sekali dua bagi memenuhi jemputan untuk makan bersama.

Wajah Liza masih lagi terbayang di mata saya. Kerana penderitaan dan kisah sedihnya yang menjadi mangsa kerakusan bomoh.

Apabila saya memandang wajah anak saya, saya pasti teringat akan tanggungjawab saya sebagai seorang ayah dan saya akan pastikan akan mempertahankan kehormatan keluarga saya walau dengan taruhan nyawa saya sekalipun. Itulah janji saya untuk anak-anak saya. Perkenankanlah Ya Allah..

Sumber: Facebok Kung Pow

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak

Artikel Menarik:

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

Ustaz Malik dari SK Kampung Jepak kembali lagi! Kali ini mengenai misteri sebilah keris pusaka

Bercakap dengan seseorang yang tidak wujud...Ustaz Malik kongsi pengalaman paling menakutkan