MASIH segar dalam ingatan Nurliyana Badruddin berkenaan kejadian awal Jun lalu.

Ketika Malaysia masih lagi dalam Fasa 5 Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (13 Mei - 09 Jun), Nurliyana atau lebih dikenali sebagai Teacher Nurliyana berdepan dengan pengalaman yang mendebarkan.

Merupakan guru Bahasa Inggeris, Sekolah Kebangsaan Kenering, Gerik Perak, Teacher Nurliyana berkata, sepanjang bergelar pendidik, inilah pengalaman paling berharga.

"Saya akan kenang kisah ini sampai bila-bila," katanya kepada GPS Bestari.

Ikuti pengalaman menarik daripada beliau.

**********

Mesyuarat dengan barisan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daerah Hulu Perak, guru besar, pengetua serta guru-guru hanya diadakan melalui video sahaja. Mereka telah memutuskan untuk saya membuat perkongsian secara langsung tentang Kahoot dan Quizziz untuk murid-murid dan pelajar.

Sehari sebelum bersiaran, saya telah mendapat notis melalui aplikasi whatsapp menyatakan bahawa akan berlaku gangguan elektrik sekitar Gerik.

Pasa masa ini, fikiran terus terganggu memandangkan poster siaran langsung telah diviralkan kepada semua. Otak ligat berfikir andai menghampakan harapan murid dan ibu bapa sekali gus mereka tidak dapat mempelajari dan mendapat ilmu sepanjang PKP ini.

Macam mana harus saya selesaikan perkara ini? Takkan hendak menunda tarikh yang telah ditetapkan oleh pegawai PPD. Takkan hendak lari dan hilang begitu sahaja dengan memberi pelbagai alasan? Sebelum ini sesi online berjalan seperti biasa dan hanya melalui di rumah sahaja.

Memang diri terus berada dalam dilema. Dilema sebagai seorang guru yang cuba mengumpul kekuatan dan semangat. Dilema ibu kepada dua anak cerdik solehah yang berumur tiga tahun dan lima bulan. Juga dilema memikirkan peranan seorang isteri kepada suami.

Dalam kekalutan itu, pihak PPD juga turut sama-sama memikirkan jalan penyelesaian. Menyarankan agar suami saya menghantar ke pejabat PPD.  Di pejabat nanti bolehlah sesi penyampaian ilmu dilakukan dengan lebih tenang, amat dan mendamaikan. Bahkan pihak PPD turut berjanji akan menghantar pulang sebaik sahaja sesi penyampaian tamat. Apa pun keputusan itu bergantung di tangan saya.

Jalan terakhir adalah mengambil keputusan untuk online sahaja di pusat tuisyen Mawaddah Ilmu milik suami yang terletak betul-betul di pekan Gerik. Pihak PPD dan suami ternyata bersetuju dengan cadangan itu.

Maka pada hari kejadian, saya menggagahkan diri untuk mengangkut segala peralatan, buku dan sebagainya yang akan digunakan semasa sesi penyampaian nanti.

Dalam masa yang sama terpaksa membahagikan masa dengan menyediakan keperluan anak kecil seperti pump susu, botol susu, pakaian, pamper, barang-barang permainan, dan makanan. Maklum sahajalah pada masa ini masih lagi dalam PKPB Covid-19. Kebanyakan kedai ditutup. Kebetulan saya pula baru sahaja habis berpantang anak kedua.

Alhamdulillah, sesi perkongsian ilmu itu berjalan seperti biasa. Dalam masa menyampaikan ilmu itu, kegusaran jelas ada memandangkan anak-anak turut dibiarkan tanpa kawalan. Bahkan telatah anak turut termasuk di dalam video perkongsian tersebut.

Aksi bergolek, berguling, meraung meminta perhatian dan belaian. Sekejap sahaja bilik telah menjadi tongkang pecah. Ingatkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah jalan.

Semasa sedang online tersebut, berlaku pula gangguan teknikal. Capaian internet ok sahaja cuma bunyi seakan ‘gema’. Ini kerana saiz bilik yang luas di pusat tuisyen tersebut.

Untuk mengatasi masalah ini, saya terpaksa mencari bilik kedua. Namun keadaan masih lagi sama. Video terlalu bergema sehingga mengganggu halwa telinga pendengar. Rasa bersalah sangat ketika itu kerana ramai yang sedang online dan ingin mengikuti pembelajaran sehingga tamat.

Ya, Allah, bantulah aku...

Fikir punya fikir, saya terus membawa laptop ke bilik pantri. Namun begitu bilik tersebut juga luas biar pun dipenuhi dengan barang dan peralatan. Alhamdulillah semua kembali seperti sediakala. Pembelajaran hari itu berjalan dengan lancar biar pun berlatar belakangkan bilik pantri semata-mata.

Alhamdullilah.