GIGIH sangatkan bila mengajar...

f + a = fa......fa....

tapi tak dapat-dapat...tak mengapa...sabar...

teruskan...insha-Allah boleh juga nanti...

Itu kata Cikgu Mohd Man Saiful Effendy Surati dari Sekolah Kebangsaan Sungai Leman, Sekinchan, Selangor.

Katanya, video yang dirakam itu berkaitan sesi pembelajaran bersama anak-anak prasekolah.

"Saya sedang mengajar murid berusia lima dan enam tahun mengenal huruf, mengeja frasa dan perkataan. Ini adalah situasi biasa yang dihadapi murid pelat dan kesukaran menyebut huruf-huruf tertentu.

"Dalam video ini murid lima tahun belum boleh menyebut huruf F dengan tepat. Jadi kesabaran membimbing cara, teknik dan mengeluarkan bunyi yang betul itu perlu sebab saya percaya berdasarkan pengalaman 14 tahun menjadi guru, objektif itu boleh dicapai meskipun bagi kes-kes yang sangat kritikal sekurangnya 80% kejelasan bunyi dapat dicapai," katanya.

Menurutnya, ramai beranggapan mengajar murid prasekolah itu mudah.

"Tapi hanya yang berkecimpung dengan dunia kanak-kanak prasekolah sahaja yang tahu bagaimana mengajar mereka secara berterusan empat jam sehari setiap minggu.

"Mengajar mereka sememangnya sangat memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Tambahan pula perlu melayan karenah 25 murid yang berbeza dan berlainan latar belakang, emosi, minat, kemampuan, keupayaan dan kebolehan," ujarnya yang merupakan guru KPLI Maktab Perguruan Islam, Bangi, Selangor dalam Opsyen Pengajian Prasekolah.

Berkenaan video yang dirakam sehingga menjadi tular baru-baru ini, Cikgu Mohd Man Saiful Effendy berkata, video berkenaan merupakan sesi pengajaran biasa yang sering dilakukan ketika berada di sekolah.

"Saya biasa merakam PdPC sepanjang menjadi guru. Ia bertujuan untuk saya tonton semula di rumah dan masa senggang yang ada agar boleh membuat penambahbaikan dari aspek keseluruhan. Antaranya bermula dari set induksi, perkembangan isi pelajaran aktiviti dan penutup.

"Rakaman ini penting agar kesilapan dapat dielakkan dan sentiasa mencari kelainan dalam pengajaran dan pembelajaran saya di masa akan datang," katanya.

Artikel menarik:

Baru dua tahun jadi Guru Besar, Cikgu Roslan terpilih meneraju sekolah paling padat di Malaysia

'Dulu selalu kongsi makanan dengan kawan, tapi sekarang...' - Luahan murid ini buat cikgu sebak

Guru terkejut dengan kehadiran seseorang di sekolah...tak sangka ini yang cikgu dapat. Ramai sebak