Siapa sangka wanita yang gemar bercucuk tanam dan disangka tukang kebun ini rupa-rupanya seorang Guru Akademik Tingkatan Enam, dan juga Ketua Panitia Bahasa Melayu STPM di SMK Merbau, Miri.

Dia yang gemar berkebun, juga sering berkongsi minatnya itu di facebook tidak pernah berasa kekok memegang cangkul dan menggunakan mesin pemotong rumput.

Malah, guru cantik asal Uma Juman, Apau Koyan, Belaga, Sarawak ini tidak pernah berasa malu berkongsi gambar beliau berbaju lusuh, bertopi besar, dan berkasut getah paras betis.  

“Saya tidak kisah, lagipun saya asal bukan dari orang senang, sudah biasa kerja susah…”

Bercerita tentang sosok tubuh bernama Cikgu Nancy Thomas ini, terlalu banyak yang ingin dikongsi.

Selain bergelar pendidik, beliau juga turut mempunyai obsesi sihat yang boleh dicontohi.

Menjaga pemakanan, bersenam secara konsisten, terlibat dalam dunia gimnasium, dan juga sering menyertai acara larian membuatkan wanita berusia 40 an ini kekal cergas dan sihat.

“Pada masa lapang saya suka berkebun. Di rumah saya menanam pelbagai jenis bunga dan sayur-sayuran. Malah, rumah saya pernah memenangi tempat pertama, tiga kali berturut-turut dalam Pertandingan Laman Cantik anjuran Majlis Bandar Raya Miri.

“Saya juga suka hiking dan running. Biasanya saya akan hiking berdua dengan suami. Untuk aktiviti running, saya akan menyertai mana-mana event running yang dianjurkan. Jadi, pada masa lapang dan hujung minggu saya akan berlatih berlari bersama suami. Setakat ini saya dah menyertai 8 Half Marathon sejak tahun 2018,”katanya kepada GPS Bestari.

Ibu kepada dua cahaya mata ini turut berkongsi tip penjagaan kesihatan dan pemakanan sihat di media sosial. Ia sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepada golongan ibu yang ingin menurunkan berat badan.

“Saya bukanlah coach bertauliah. Namun kerana ingin berkongsi ilmu kesihatan dengan ibu-ibu di luar sana, saya bekerja sama dengan bekas pelajar saya, Coach Daryl Aaron Bawood.  

“Program Coaching secara Online yang kami jalankan bersama membantu para ibu untuk menurunkan berat tanpa apa-apa suplimen atau produk kurus. Yuran yang minima dikenakan kepada mereka sebagai komitmen kedua-dua belah pihak. Sebahagian daripada yuran itu pula kami salurkan kepada golongan tertentu sebagai aktivitu Charity kami,” jelasnya.

Menurutnya, selain bimbingan, peserta juga turut diberikan jadual diet harian yang boleh mereka ikuti. Senaman juga dirangka dengan mengambil kira kesesuaian peserta.

“Sehingga kini, program kami dah berlangsung selama empat  musim. Musim ke lima akan berlangsung pada bulan Januari 2021. Pengambilan akan dibuka mulai Disember dan tempat adalah terhad,”ujarnya.

Menariknya, beliau yang sudah 17 tahun bergelar pendidik ini pernah menghiasi muka depan majalah REMAJA pada tahun 1997.

Penyertaanya dalam Pencarian Dewi Remaja (PDR), mewakili Bumi Kenyalang pada ketika itu menyaksikan beliau berentap dengan Juliana Banos, Rita Rudaini, Eyta Mahmud, model Mimie Aziz, dan ramai lagi peserta bagi meraih gelaran Dewi Remaja 98/99.

“Dulu ramai yang tak tahu saya adalah bekas Finalis Dewi REMAJA. Hanya keluarga dan sahabat terdekat sahaja yang tahu. Namun selepas artikel pendakian saya di Annapurna Base Camp, Nepal Disember tular, barulah ramai yang tahu, terutamanya pelajar saya di sekolah,”jelas Nancy.

Biarpun pernah menyertai PDR dan meraih gelaran ‘KELIGIT ORANG ULU 2007’ dalam Pertandingan Kumang Gawai, Nancy mula sedar, jiwanya tidak sesuai untuk terus berkecimpung dalam bidang glamour.

“Ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya ada beberapa kali menyertai sesi fotografi untuk ruangan fesyen majalah. Namun, kekangan masa di universiti menjadikan saya untuk tidak terus mengaktifkan diri dalam bidang modelling.

“Saya memilih untuk menumpukan perhatian pada pelajaran sehingga berjaya mendapat Anugerah Dekan sebanyak empat kali iaitu masa semester 3 hingga semester 6,”katanya.

Selesai pengajian, Nancy bertugas sebagai wartawan penyiaran di NTV7, bermula 2001 sehingga 2002. Namun pada tahun 2003, beliau mengambil keputusan untuk berkecimpung dalam bidang Pendidikan dan mengambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Batu Rakit Kuala Terengganu.

Beliau yang pernah mengajar di MRSM Kuala Klawang Negeri  Sembilan dan MRSM Kuching Sarawak ini, tidak pernah menyesal meninggalkan dunia glamor dan penyiaran.

Bahkan, dorongan serta nasihat suami untuk dia terus terjun dalam dunia pendidikan, adalah kekuatan utama buatnya.

“Sebelum berkahwin, suami selalu beritahu, dia nak saya jadi seorang guru. Memandangkan tugas sebagai wartawan penyiaran yang bekerja tidak tentu masa, suami bimbang jika saya tidak punya masa yang banyak untuk keluarga.

“Sekarang pun, dunia sebagai pendidik itu sudah sebati dengan diri saya. Berhadapan dengan ramai pelajar, menghadapi karenah dan ragam yang berbeza-beza. Semua ini menjadikan hari-hari saya terasa singkat dan sangat bahagia,”katanya.

Menarik lain:

Pelajar ni punya tulisan, cantik dan kemas! Kalah pelajar perempuan… patutlah cikgupun suka

Tip kurus selepas pembedahan, Cikgu Nancy kongsi rahsia dapatkan berat ideal. Cikgu boleh cuba ni...