BAHAGIAN AKHIR

“APA kau betul-betul nak aku pasangkan penjaga kat rumah engkau Leman?”

“Ya pakcik. Saya jarang juga ada kat rumah. Kalau balik rumah pun malam. Masa tu isteri dan anak-anak saya dah masuk tidur dah. Awal pagi esok pulak kena bangun awal dan turun kerja seperti biasa.”

“Kau tahu tak kalau kau tak bagi makan dengan penjaga tu, nanti dia akan mengamuk. Aku risau habis anak bini kau nanti dia ganggu.”

“Pakcik tak payah risau. Tahulah saya nak jaga dan beri makan kat benda tu pakcik.”

“Leman, umur kita ni kita tak tahu sampai bila. Panjang mana. Ntah-ntah esok lusa kita mati.”

“Mati tu urusan tuhan pakcik.”

“Itulah yang aku maksudkan. Nanti kalau kau mati tiba-tiba, benda ni akan cari keluarga engkau pulak...”

“Tak apa pakcik. Saya dah bertekad. Semua ni untuk kebaikan keluarga saya jugak.”

“Baiklah kalau macam tu Leman. Bak sini tangan kau. Pakcik nak ambil sedikit darah dari ibu jari engkau. Darah ni nanti aku akan jadikan sebagai perjanjian antara engkau dan benda tu nanti. Darah kau ini nanti akan aku beri makan kepada benda tu. Benda tu ada dua kesemuanya.”

“Benda apa tu pakcik?”

“Patung manusia yang aku pahat sendiri. Satu patung perempuan dan satu lagi azimat yang aku ukirkan sendiri dengan darah aku. Azimat ini nanti kamu letakkan di atas pintu dapur di sebelah dalam. Nanti di situ ada perempuan yang akan menjaganya. Takut-takut kalau ada pencuri yang mahu mencuri. Jadi, aku tugaskan penunggu azimat ini untuk menjaga rumah masa engkau tak ada di rumah.”

“Yang satu lagi tu pakcik. Patung perempuan tu?”

“Dan yang satu lagi iaitu patung perempuan ini, aku perintahkan untuk menjaga isterimu nanti...”

**********

Pada malam tersebut, setelah balik dari rumah Makcik Leha, saya terus pulang ke rumah.

Tepatnya pada pukul 3.30 pagi saya dan isteri bangun dari tidur untuk bersahur sambil menonton TV iaitu program solat tarawih secara langsung dari Masjidil Haram, Mekah.

Setelah hampir dua minggu berlalu, kami sekeluarga menjalani rutin ibadah puasa seperti biasa. Bermula dari bangun sahur dan menonton tv iaitu solat sunat tarawih di Masjidil Haram.

Selepas itu saya mandi dan solat Subuh selepas azan subuh berkumandang dan berkemas untuk turun ke sekolah. Pagi itu hujan mula turun dengan lebatnya.

Sehinggakan air naik terutamanya di sekitar jalan sebelum ke SK Siong Boon.

 

Banyak kereta terpaksa berpatah balik menuju ke lampu isyarat dan belok ke simpang kanan iaitu jalan menuju ke Medan Mall untuk melalui jalan alternatif iaitu di Jalan Medan Jaya hingga ke simpang menuju ke Jalan Nyabau.

Saya pula masuk ke simpang sebelah kanan sebelum simpang Jalan Nyabau tadi untuk pergi ke jalan Bintulu Sibu untuk pergi ke Kampung Jepak.

Sesampainya saya di sekolah, saya meneruskan rutin harian saya sebagai seorang guru Bimbingan dan Kaunseling.

Saya menyambut murid di hadapan pagar sekolah bersama dengan beberapa orang guru yang lain dan juga pengawas.

Selepas habis bertugas, saya balik ke bilik guru untuk berehat seketika. Kemudian saya mengeluarkan hp dari dalam beg. Pada skrin hp saya tertulis 17 kali ‘miss call’ atas nombor yang saya tidak kenal.

Saya mengambil keputusan untuk menghubungi kembali nombor tersebut. Mungkin ada sesuatu masalah yang berlaku. Kalau tidak, kita tidak akan pernah untuk menghubungi seseorang sebanyak 17 kali tanpa sebab.

Saya cuba untuk menghubungi kembali nombor tersebut tetapi panggilan saya tidak dijawab. Kemudian saya biarkan sahaja dulu. Mungkin orang tersebut masih ada urusan lain. Beberapa minit kemudian hp saya berdering lagi.

Nada deringan dari lagu kumpulan Children Of Bodom iaitu ‘Follow The Reaper’ membingitkan telinga saya pada ketika itu dan lagu ini jugalah yang mengejutkan saya untuk bangun dari sahur setiap hari. Lalu saya menjawab panggilan tersebut.

“Assalamualaikum cikgu. Ni Syikin. Anak Makcik Leha.”

“Waalaikumsalam Syikin. Ada apa-apa masalah ke? Sampai 17 kali ‘miss call’ ni?”

“Ada cikgu. Mak.”

“Kenapa dengan mak?”

“Perangai mak macam pelik. Selepas cikgu balik malam tu, lebih kurang dua minggu lepas, Alhamdulillah. Kami rasa tenang, nyaman dan selesa kat rumah. Tak ada rasa macam orang perhati ke, suara orang memanggil ke, bunyi orang berjalan ke. Semua dah tak ada lagi dah. Tetapi semuanya berubah sejak akhir-akhir ni.”

“Kalau tak silap malam tu mak berada dalam bilik. Siang tu seharian kami bertiga mak dan abang sedang bersih-bersihkan rumah. Kemas apa yang patut dan sebagainya. Malam tu lebih kurang dalam pukul 11 malam, Syikin terdengar suara mak menjerit-jerit di dalam bilik. Syikin terkejut lalu berlari ke arah bilik mak. Syikin ketuk pintu bilik mak berulang kali. Kerana tiada apa-apa jawapan, Syikin buka pintu bilik mak.”

Memandang dengan senyuman

“Lalu mak memandang Syikin dengan senyuman. Matanya merah dan besar dan air matanya mengalir perlahan dan bergenang di kelopak mata. Senyuman mak sangat menyeramkan. Badannya bergerak-gerak seperti ditiup angin. Sesekali mak menjelir lidahnya. Entah kenapa pada ketika itu, naluri seorang anak mengatakan yang itu bukan mak Syikin cikgu dan ada beberapa benda yang mak cakap yang Syikin benar-benar tak faham.”

“Apa yang mak kamu katakan Syikin?”

Syikin kemudian terdiam. Dia cuma untuk mengingat kembali apa yang terjadi pada malam tersebut. Semuanya mula bermain satu-persatu di kepalanya.

**********

Tok...Tok...Tok...

“Mak...Mak kenapa? Mak...”

“Hehehehe...Mak tiada apa-apa. Kamu tidurlah...”

“Tapi kenapa mata mak merah? Kenapa kulit mak pucat? Apa mak sakit? Kenapa di bawah mata mak gelap je?”

“Mak tiada apa-apa nak. Mak cuma lapar. Sepertinya sudah lama mak tidak makan sebanyak yang mak mahu. Juga menghirup udara segar. Selama ini mak cuma bersembunyi di dalam beg.”

“Apa mak? Syikin tak dengar?”

“Hehehehehe...Tiada apa-apa nak. Tidurlah. Jangan sampai kamu diganggu oleh perempuan berkulit pucat itu lagi. Kerana sekarang...Dia juga sudah ada di sini...”

**********

“Cikgu, macam tulah ceritanya. Syikin tak faham cikgu apa yang mak Syikin maksudkan sebenarnya. Kenapa wajah mak tiba-tiba boleh berubah. Wajah mak benar-benar menyeramkan. Malam tu mak kata yang dia lapar. Mak kata sudah lama mak tak makan sebanyak yang mak nak. Dah lama tak hirup udara segar dan selama ini cuma bersembunyi di dalam beg. Syikin tak faham semuanya ini cikgu.”

“Tak apa Syikin. Semuanya dah jelas kat situ.”

“Maksud cikgu apa?”

“Sebenarnya cikgu rasa ada sesuatu benda yang mungkin arwah ayah kamu sembunyikan sebelum ini. Ataupun ada benda yang tak sempat ayah kamu ceritakan pada kamu semua.”

“Lagilah Syikin tak faham cikgu.”

“Cikgupun tak faham jugak Syikin.”

“Lepas tu macam mana cikgu?”

“Macam nilah. Malam ni cikgu akan datang ke rumah kamu. Lepas solat tarawih. Beritahu sekali dengan Azman. Rahsiakan dari mak ok?”

“Alhamdulillah. Baik cikgu. Malam nanti kami tunggu cikgu datang. Terima kasih cikgu. Assalamualaikum..”

“Waalaikumsalam.”

Selepas selesai perbualan saya dengan Syikin melalu hp, saya berjalan menuju ke pintu masuk bilik guru dan memandang keluar sambil memerhati titisan jernih air hujan yang membasahi dedaunan yang hijau di lapangan padang sekolah.

Di tepian jalan berhadapan sekolah kelihatan seorang lelaki tua tanpa selipar dan kasut sedang mengayuh basikal tua lusuhnya sambil menundukkan badan dan meletakkan tangan kirinya pada bahu sebelah kanan untuk menahan kesejukan.

Kelihatan juga beberapa orang anak kecil berlari-lari riang sambil berkubang seperti kerbau di atas tompokan air di hadapan sekolah.

Ketika itu suasana sungguh indah dan mengasyikkan jiwa. Mata terasa semakin segar apabila disapa dengan cerita-cerita indah seperti itu di hadapan mata kita sendiri.

Inilah nikmatnya berada di Kampung Jepak. Sebuah kampung yang masih lagi memelihara keaslian perkampungannya hingga sekarang.

Tengah hari itu selepas habis masa persekolahan, saya terus balik ke rumah. Sementara menunggu azan Zohor berkumandang, saya mengambil kesempatan untuk ‘qailullah’ iaitu tidur sebentar.

Qailullah ini adalah tidur sekejap (sebentar) di pertengahan hari yang disertai dengan niat.

Sekiranya tidur tanpa berniat untuk bangun malam, maka tidaklah mendapat sebarang pahala pada qailullah tersebut. Wallahu a’lam.

Waktu qailullah adalah selama beberapa minit sebelum masuk waktu solat Zuhur atau selepas makan tengah hari sehingga awal asar iaitu lebih kurang dalam 10 hingga 30 minit sahaja.

Waktu paling afdal adalah lebih kurang setengah jam sebelum masuk waktu solat Zuhur. Sabda Rasulullah SAW;

“Memakan sahur itu boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailullah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zuhur) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail.” (HR. Ibnu Abbas)

Sebenarnya tidur sekejap di pertengahan siang adalah suatu perkara yang sangat dianjurkan Islam dalam meningkatkan keimanan kerana syaitan tidak pernah tidur disebabkan mereka sibuk mengoda manusia agar melakukan maksiat dan derhaka kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW;

“Lakukanlah qailullah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak melakukan qailullah.” (HR. At Tabrani)

Al Hafizh Ibnu Hajar pula berkata, “Qailullah adalah tidur di tengah siang, iaitu ketika matahari tergelincir ke barat dan beberapa waktu sebelum atau sesudahnya.” (Fath Al Bari 11/79)

Saya memilih untuk tidur sebentar di ruang tamu. Pada ketika itu mata saya sangat mengantuk. Lalu saya memilih untuk tidur di atas lantai sahaja. Sangat asyik pada ketika itu apabila mata yang mengantuk ditemani oleh dingin hujan pada sebelah paginya tadi.

Sebelum melelapkan mata, sempat juga saya selitkan dengan berdoa kepada Allah agar diberi petunjuk dan hidayah tentang apa yang berlaku kepada keluarga Makcik Leha dan keluarganya.

Agar dengan rahmat Allah, semua masalah ini akan selesai dengan izinNya.

Selepas berdoa kepada Allah, dalam beberapa minit sahaja saya mula tertidur dan rasanya saya mula bermimpi. Pada ketika itu saya rasakan saya berada di rumah Makcik Leha.

Suasana di rumah Makcik Leha pada ketika itu biasa-biasa sahaja tetapi sedikit pelik kerana rumah mereka seperti tidak ada dinding untuk menutup setiap ruang dan bilik.

Atau mungkin juga pada ketika itu dinding dan lantainya seolah-olah diperbuat dari kaca. Sehinggakan saya boleh melihat dengan jelas keadaan dapur dan juga setiap bilik di tingkat atas walaupun saya sedang berada di ruang tamu.

Pada ketika itu, saya dapat melihat Syikin dan Azman sedang menonton tv di ruang tamu. Mereka duduk bersama saya.

Mereka berdua benar-benar tidak melihat saya dan saya pun tidak pernah terfikir untuk cuba menegur dan bercakap dengan mereka.

Saya juga langsung tidak mendengar sebarang bunyi yang masuk ke telinga saya. Sempat juga saya perhatikan Syikin dan Azman sesekali berbual-bual sesama sendiri.

Juga kadang-kadang ketawa semasa menonton tv. Semua ini begitu aneh menurut fikiran saya.

Kemudian saya mengambil keputusan untuk berjalan melihat keadaan sekeliling rumah mereka. Saya berjalan ke arah dapur dan memandang sekeliling. Sepertinya tiada apa yang menarik dan menyeramkan.

Tidak seperti kali pertama saya ke sini iaitu sewaktu saya mengambil azimat yang diletakkan di pintu dapur. Pada ketika kami terpaksa berhadapan dengan kelibat seorang perempuan yang menakutkan.

Suara perempuan ketawa

Pada ketika saya sedang memerhati di kawasan dapur, tiba-tiba telinga saya terdengar seperti bunyi suara perempuan ketawa dari tingkat atas.

Apabila saya memandang ke atas saya melihat Makcik Leha sedang terbaring kaku di atas katil sambil ditemani oleh seorang perempuan berambut panjang.

Perempuan itu kelihatan berdiri di sebelah katil Makcik Leha dan memandang Makcik Leha dengan senyuman. Saya memerhati sahaja dari tingkat bawah apa yang sedang berlaku.

Sekali sekala saya juga memandang Syikin dan Azman. Tetapi kedua mereka seperti tidak sedar akan apa yang berlaku kepada ibu mereka.

Tanpa membuang masa, saya terus bergerak dengan melangkah pantas menuju ke tingkat atas. Semasa saya melangkah pada setiap anak tangga, perhatian saya sentiasa menuju pada perempuan tersebut dan Makcik Leha.

Tetapi secara tiba-tiba perempuan tersebut mengalihkan pandangannya dari Makcik Leha dan terus memandang ke arah saya.

Rasa ketakutan mula menguasai diri saya. Tetapi saya sendiri tidak tahu kenapa saya tetap juga melangkah setiap anak tangga untuk menolong Makcik Leha.

Sesampainya saya di tingkat atas, saya terus meluru masuk ke dalam bilik Makcik Leha seraya memandang perempuan tadi. Sedangkan perempuan tersebut terus menyambut saya dengan senyuman.

“Kamu siapa? Kenapa kami mengganggu Makcik Leha?”

“Aku adalah aku. Yang kau lihat sekarang ini. Jadi inilah aku. Aku tidak mengganggu perempuan ini. Aku cuma diamanahkan untuk menjaganya.”

“Bohong. Tidak pernah syaitan diperintahkan Allah untuk menjaga manusia seperti ini. Sedangkan kamu diciptakan untuk menyesatkan manusia.”

“Siapa Allah? Aku tidak bertuhankan Allah. Aku bertuhankan Iblis. Dan aku memang diperintahkan oleh tuan aku untuk menjaga perempuan ini. Tanya saja dengan suaminya. Suaminya yang meminta tuan aku untuk menugaskan aku menjaga isterinya. Kan sekarang aku sedang menjaganya. Lalu, apa lagi yang kamu mahu?”

“Tidak. Aku dapat tahu yang Makcik Leha sakit. Mungkin ini adalah disebabkan gangguan darimu. Yang namanya syaitan tidak akan pernah senang untuk melihat manusia bahagia. Firman Allah;

“Iblis menjawab, ‘Kerana Engkau telah menghukumku tersesat, maka saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalanMu yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.” (Surah Al A’râf: 16-17)

“Hahaha...Engkau berbicara tentang al-Quran kepada aku. Sedangkan kamu tahu semua itu tidak berguna bagiku. Aku memang telah ditakdirkan untuk meneman tuan aku di neraka nanti. Juga kepada manusia-manusia yang mensyirikkan tuhan kamu. Hahaha...”

“Kalau engkau tidak mahu Allah menurunkan laknatNya kepadamu, adalah lebih baik kalau kamu lepaskan perempuan ini. Atau engkau berhadapan sendiri dengan Allah dan aku berlepas diri atas semua yang kau lakukan.”

“Bagaimana untuk aku berpisah dengan perempuan ini. Sedangkan aku sendiri dihantar melalui sihir. Untuk menjaganya. Untuk memastikan dia selamat. Hahaha...”

“Kamu tidak perlu menjaganya. Allah sudah cukup. Kerana Allah sebaik-baik Penjaga. Firman Allah;

“Allah adalah penjaga yang terbaik dan Dia Maha Penyayang di antara para penyayang.” (Surah Yusuf: 64)

“Apa pun yang kamu katakan aku tetap tidak akan keluar. Bukan kerana aku tidak mahu. Tetapi kerana barang perantaraan sihir masih ada pada simpanan suaminya di rumah ini.”

“Barang apa itu?”

“Hahaha...Kamu yang berhajat. Maka kamu carilah sendiri. Jangan bertanya kepada aku.”

Perempuan itu lalu ketawa berdekah-dekah sambil berjalan perlahan ke arah Makcik Leha yang terbaring kaku. Sambil matanya terbeliak memandang ke arah siling.

Perempuan itu kemudian mencekik leher Makcik Leha dengan kedua belah tangannya.

Kuku-kukunya yang tajam dan berwarna kehitaman itu cuba di benam ke dalam leher Makcik Leha. Makcik Leha seperti tidak mampu untuk melawan. Dia seolah-olah seperti sebuah boneka tanpa nyawa.

Wajah Makcik Leha semakin pucat dan dia berusaha menahan kesakitan. Bulu roma saya tiba-tiba saja naik apabila mendengar seperti bunyi hirisan mata pisau yang tajam sedang memotong urat-urat daging merah yang segar.

Makcik Leha kelihatan tidak bermaya. Wajahnya semakin pucat seperti kekurangan darah. Badannya juga semakin lemah.

Kemudian perempuan tadi melepaskan cengkamannya lalu membuka mulut Makcik Leha sebesar-besarnya.

Selepas itu perempuan tersebut mendekatkan mulutnya kepada mulut Makcik Leha lalu memuntahkan cecair berwarna hijau yang berbau busuk dan juga ulat-ulat bangkai sebesar ibu jari.

Ulat-ulat tadi seperti berebut-rebut hendak masuk ke dalam mulut Makcik Leha.

Ulat-ulat itu kemudiannya mula memakan dan mengoyak isi serta daging pada setiap wajah Makcik Leha. Kelihatan Makcik Leha sangat tersiksa menahan kesakitan pada ketika itu.

Ulat-ulat tadi mula keluar dari lubang telinganya. Juga keluar melalui lubang hidung dan celah-celah mata dan darah mula tersembur keluar dari seluruh wajahnya.

Hanya dalam beberapa minit sahaja ulat-ulat tadi menyantap dengan penuh rakus wajah Makcik Leha, wajah Makcik Leha mula berubah.

Hampir keseluruhan kulit dan daging yang menutupi wajahnya mulai menghilang akibat dimakan oleh ulat-ulat tadi.

Yang tinggal cuma beberapa kesan lubang pada wajahnya. Juga beberapa lebihan daging yang tersisa. Saya hampir tidak mengenal wajah Makcik Leha kerana wajahnya sangat mengerikan.

Dalam keadaan tegang seperti ini, tiba-tiba bebola mata Makcik Leha bergerak-gerak dan memandang ke arah saya.

Giginya bergerak-gerak seperti ingin mengatakan sesuatu kepada saya. Saya tidak memahami apa yang cuba dikatakannya kerana bibir Makcik Leha juga habis dimakan oleh ulat-ulat tadi.

Saya cuma dapat mendengar sedikit apa yang dikatakan oleh Makcik Leha. Itu pun melalui suara pada lubang di kerongkongnya yang mula membesar kerana dimakan oleh ulat-ulat tadi.

“Tolong...Tolong makcik...Tolong...”

Saya menjadi kaku. Saya tidak tahu kenapa pada ketika itu saya tidak dapat bergerak dan berkata apa-apa. Di dalam hati saya cuma mampu berdoa kepada Allah. Allah sahajalah yang dapat membantu saya pada ketika itu.

Tiba-tiba saya teringat akan sebuah doa dari al-Quran lalu saya membacanya berulang-ulang kali di dalam hati.

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah Al Baqarah: 186)

Laungan azan

Selepas itu, dengan tidak semena-mena saya mendengar suara laungan azan sayu-sayup dari kejauhan. Semakin lama semakin kuat dan semakin lama semakin kuat dan suara azan itu akhirnya bergema di seluruh penjuru rumah Makcik Leha.

Tiba-tiba saya lihat perempuan tadi mula kepanasan dan seluruh badannya mula berasap dan mencair perlahan-lahan. Begitu juga dengan ulat-ulat tadi. Hangus terbakar dan lalu jatuh ke atas lantai bilik Makcik Leha.

Bau hangus terbakar dan juga bau bangkai mula menusuk ke dalam lubang hidung saya. Saya cuma mampu untuk menutup dengan kedua belah tangan. Tetapi bahang kepanasan tadi juga masih lagi saya rasakan.

Pada ketika itu saya lihat perempuan tadi mula berterbangan di dalam bilik Makcik Leha sambil menutup kedua belah telinganya sambil memandang ke arah saya. Rambutnya juga mula kelihatan gugur dan terbakar.

Selepas beberapa kali berputar-putar di dalam bilik Makcik Leha, akhirnya perempuan itu jatuh tersembam ke atas lantai. Lalu berjalan merangkak-rangkak ke arah bawah katil Makcik Leha lalu hilang tanpa kesan.

Saya cuba untuk menjejaki di manakah perempuan itu berada. Lalu saya tunduk untuk mencari-cari di bawah katil Makcik Leha dan ternyata perempuan itu sudah tidak ada lagi di situ.

Ketika saya berusaha mencari dan memandang di bawah katil, saya menggosok-gosok mata saya beberapa kali. Saya merasa pelik kerana di bawah katil Makcik Leha ada sebuah beg berwarna hitam.

Saya tersenyum memandang beg berwarna hitam tersebut. Mungkin dari beg inilah punca kenapa Makcik Leha diganggu oleh syaitan.

Badan saya mula terasa penat. Saya mula terbaring di atas lantai bilik Makcik Leha. Sempat juga saya menoleh ke arah Syikin dan Azman di tingkat bawah iaitu di ruang tamu. Sepertinya mereka tidak tahu apa yang telah berlaku tadi.

Selepas itu saya memandang siling rumah Makcik Leha. Untuk seketika saya tidak tahu apa yang terjadi pada Makcik Leha. Apa yang penting saya ingin berehat dulu.

Kedua tangan saya saya letakkan di dada. Telinga saya pula sedang asyik mendengar alunan azan tadi. Lalu saya mula menutup mata.

Tidak lama kemudian khayalan saya terganggu. Bunyi deringan hp di sisi saya menyebabkan saya terjaga. Saya kemudiannya membuka mata saya dan memandang ke arah sekeliling.

Ternyata saya sedang berada di rumah. Saya mula memandang k arah siling. Kipas sedang ligat berputar.

Dari kejauhan laungan suara muazzin sedang bergema melafazkan azan Zohor dari Surau At Taqwa (pada ketika itu Masjid At Taqwa belum lagi diiktiraf menjadi sebuah masjid).

Sambil itu saya cuba untuk mengingati kembali apa yang berlaku.

Saya kemudiannya duduk dan melunjurkan kedua belah kaki saya ke hadapan. Peluh mula berguguran dari celah telinga dan dahi.

Baju saya juga basah disebabkan peluh yang ada. Sedangkan pada masa itu hujan gerimis masih lagi menyentuh bumi.

Cuma tidak selebat semasa saya di sekolah tadi. Tetapi suasana dingin masih lagi menyebar ke seluruh ruang.

Saya kembali termenung. Setiap saat yang muncul dalam mimpi saya tadi masih segar lagi di dalam fikiran saya. Saya mengalih pandangan saya pada hp yang berasa di sisi saya tadi.

Saya ambil dan saya perhatikan ada ‘miss call’ dari Syikin. Lalu saya telefon kembali Syikin. Mungkin ada sesuatu yang hendak dikatakannya.

“Assalamualaikum Syikin. Syikin ‘call’ cikgu ke tadi?”

“Haah cikgu. Mak ni meracau je dari tadi. Lepas tu muka mak kejap merah kejap pucat. Macam kena cekik. Lepas tu mata mak asyik memandang kat siling je.”

“Ok. Sekarang ni Syikin kat mana?”

“Kat bilik mak.”

“Syikin cuba tengok kat tengkuk mak. Ada apa-apa tak?”

“Jap cikgu. Syikin tengok jap..”

“Ada apa-apa tak?”

“Astaghfirullahal azhim...Ada cikgu. Ada kesan darah kering. Lepas tu macam ada lubang-lubang kat sekitar leher mak. Macam kena cucuk pakai pisau tajam.”

“Ok. Sekarang ni cikgu nak Syikin tengok kat bawah katil mak pulak. Ada tak beg berwarna hitam?”

“Hmm...Ada cikgu. Beg berwarna hitam. Ada satu benda kat bawah katil ni cikgu. Beg berwarna hitam ni tadi.”

“Ok. Baguslah kalau macam tu.”

“Cikgu...Macamana cikgu tau semua-semua ni. Leher mak dan beg hitam tu?”

“Cikgu sendiri tak tahu. Semua tu petunjuk dari Allah. Kita minta tolong Allah melalui solat hajat. Pada ketika kita melakukan solat hajat tu, kita tahu yang kita memerlukan pertolongan Allah pada masa itu juga. Yakinlah dengan pertolongan Allah. Serah segalanya kepada Allah. Allah lebih tahu apa yang kita perlukan. Bukan apa yang kita perlu menurut kata hati kita sendiri.”

“Jadi, apa yang cikgu buat tadi?”

“Tidur...”

“Tidur?”

“Ya. Tidur.”

“Jadi macam mana semua ni boleh berlaku?”

“Syikin, percayalah bahawa Allah sentiasa ada pada waktu kita memerlukan pertolonganNya. Cuma yakin atau tidak sahaja. Mintalah kepada Allah. Sertakan dengan usaha. Kemudian tawakallah kepada Allah dengan cara memohon kepada Allah dengan ikhlas. Nanti Allah akan jawab doa kita dengan cara menolong kita dari arah yang tidak kita sangka sama sekali.”

“Jadi, apa yang perlu Syikin buat cikgu?”

“Jangan risau. Malam ni lepas tarawih cikgu akan datang tengok-tengokkan mak Syikin. Cuma ingat pesan cikgu. Jaga mak Syikin betul-betul. Jangan benarkan mak keluar rumah dan yang paling penting jangan buka beg hitam di bawah katil mak. Tunggu cikgu datang dulu. Ingat pesan cikgu.”

“Ya cikgu...”

“Ingat betul-betul pesan cikgu ni Syikin.”

“Ya cikgu. Syikin ingat. Nanti Syikin bagitau Azman jugak.”

“Alhamdulillah. Oklah kalau macam tu. Malam nanti cikgu akan datang ke rumah. Assalamualaikum.”

“Ok cikgu. Waalaikumsalam.”

Selepas itu saya matikan panggilan telefon. Lalu bingkas bangun untuk menunaikan solat Zohor. Badan juga terasa lebih segar selepas melaksanakan ‘qailullah’ tadi.

Selepas solat zohor, saya lantas melakukan sujud syukur kepada Allah atas petunjuk yang Allah kurniakan kepada saya.

Jiwa saya juga merasa semakin tenteram dan saya merasa sangat tenang. Sekarang saya telah bersedia untuk kembali membantu Makcik Leha. Berikhtiar apa yang yang patut untuk mengatasi masalah yang mereka hadapi.

Perjalanan ke rumah Makcik Leha

Malam itu, setelah selesai berbuka puasa, solat Maghrib dan bermain dengan anak-anak saya, saya telah meminta izin kepada isteri untuk pergi ke rumah Makcik Leha sekali lagi.

Dan setelah solat Isyak dan tarawih, saya lalu berangkat ke rumah Makcik Leha.

Sepanjang perjalanan ke rumah Makcik Leha, tiada apa-apa yang boleh menarik perhatian saya. Fikiran saya cuma melayang dan memikirkan apa yang apa yang akan berlaku di rumah Makcik Leha nanti.

Cuma kali ini rasanya urusan saya lebih mudah berbanding kali pertama saya ke sana.

Sesampainya di Jalan Bintulu Tatau, saya mula mencari simpang kecil di sebelah kanan untuk menuju masuk ke rumah Makcik Leha. Dalam beberapa km kemudian saya telah sampai lalu masuk ke dalam simpang tersebut.

Perjalanan dari simpang jalan besar ke rumah Makcik Leha sangat menyeramkan. Sama seperti yang saya katakan sebelum ini. Penuh diselimuti dengan misteri.

Di sekeliling bahagian luar jalan seolah-olah tidak mengalu-alukan kehadiran saya. Sunyi, sepi, gelap dan menakutkan. Sukar untuk jiwa saya merasa tenang dan tenteram.

Apa lagi pada kali ini perjalanan saya di simpang ini cuma keseorangan. Tidak seperti sebelum ini. Ditemani oleh Makcik Leha dan anak-anaknya walaupun berlainan kereta.

Saya mula bergerak perlahan-lahan. Meredah belukar dan pepohonan yang merendang.

Ranting-ranting dan dedaunan rendah mula menyapa saya sambil menyentuh atap kereta sehinggakan seperti menghasilkan sebuah alunan muzik yang sangat menyeramkan.

Apa lagi perjalanan saya seperti berada di dalam sebuah dunia yang penuh dengan misteri. Diselubungi dengan kabus-kabus yang berterbangan rendah. Bergerak perlahan-lahan seolah-olah sedang memerhati saya.

Dalam beberapa meter kemudian saya mula memperlahankan kereta kerana sepertinya ada sesuatu yang sedang menunggu saya di hadapan. Saya tidak pasti sama ada benda itu adalah kabus atau makhluk lain.

Kalau kabus, ianya pasti akan bergerak ditiup angin secara perlahan-lahan. Sedangkan kabus di hadapan saya ini tidak bergerak dan betul-betul berdiri dan menyentuh tanah seolah-olah cuba untuk menghalangi perjalanan saya.

Saya cuba untuk teruskan juga perjalanan ke rumah Makcik Leha. Kalau saya tetap menunggu juga benda tersebut berlalu pergi, rasanya hingga bulan puasa tahun hadapan benda tersebut tetap akan terpacak di situ.

Saya tiada pilihan lain melainkan meneruskan juga perjalanan. Apa yang berlaku saya serah semuanya kepada Allah. Saya mulakan dengan membaca doa perlindungan kepada Allah;

“Dari Utsman bin Affan r.anhu mengatakan, ‘Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Barang siapa yang mengatakan;

“Dengan menyebut nama Allah yang dengan sebab namaNya tidak ada sesuatu pun di bumi maupun di langit yang dapat membahayakan (mendatangkan mudarat). Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali, niscaya tidak akan ada sesuatu pun yang memudharatkannya” (HR. Abu Daud: 5088 dan Tirmidzi: 3388)

“Dari Khaulah binti Hakim, bahwasanya Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang singgah di sebuah tempat kemudian ia mengatakan;

“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan apa yang diciptakanNya) niscaya tidak akan ada yang memudaratkannya.” (HR. Tirmidzi: 3437 dan An Nasai: 5433)

Setelah membaca kedua-doa doa berkenaan berulang kali, saya kembali meneruskan perjalanan saya. Pada mulanya kabus tadi tetap tidak bergerak sehinggalah kereta saya hampir melanggar kabus berkenaan.

Setelah saya perhatikan berulang kali, ternyata kabus tersebut adalah perempuan yang saya jumpa di dalam mimpi saya tengah hari tadi semasa balik ke sekolah. Cuma ianya sedikit berbeza.

Wajahnya pucat kehitamannya seperti kesan dari terbakar. Juga kelihatan dengan jelas daging pada pipi di sebelah kirinya seperti jatuh mencair hingga ke paras leher.

Lalu daging pipi yang terjatuh tersebut dipegangnya lalu diletak kembali di pipinya.

Begitu juga bebola matanya yang semakin membesar di sebelah kiri dan bebola mata di sebelah kanannya pula terkeluar hingga ke paras hidung.

Ulat-ulat bangkai sebesar ibu jari juga kelihatan sedang kelaparan dan melahap ketulan daging yang berbau busuk pada lubang mata dan juga pada tulang hidung.

Ketika kereta saya cuma untuk menghampiri kabus berupa perempuan itu tadi, perempuan itu juga kemudiannya bergerak perlahan-lahan ke hadapan.

Seolah-olah cuba untuk mengikut saya pergi ke rumah Makcik Leha. Cuma kedudukannya di hadapan saya dan bukan di belakang. Seolah-olah saya yang mengekori pergerakan perempuan itu tadi.

Teringin juga rasanya saya melanggar punggung perempuan itu. Tapi saya takut kalau perempuan itu akan menuntut ganti rugi kepada saya.

Paling tidak pun dia akan menemani, memarahi dan membebel kepada saya sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Jadi saya batalkan saja niat saya.

Tidak berapa lama kemudian, saya hampir sampai di rumah Makcik Leha. Perempuan tadi saya lihat terus masuk ke dalam rumah Makcik Leha dengan cara menembusi dinding rumah.

Saya tidak tahu ke mana perempuan itu menghilang. Tapi rasanya saya tahu ke mana dia pergi.

Sesampainya di hadapan rumah Makcik Leha, saya turun dari kereta lalu mengetuk pintu rumah beberapa kali dan memberi salam.

Sementara menunggu Syikin atau Azman membuka pintu, sempat juga saya perhatikan sekeliling. Sepertinya ada orang yang memerhatikan saya.

Saya mula rasa tidak selesa dan mula menggigil sedikit kerana kesejukan. Mungkin juga terbawa-bawa dengan rasa takut. Di sekeliling belukar rumah Makcik Leha saya rasakan seperti ada orang yang berjalan.

Kerana bunyi langkah kaki yang kasar dan besar jelas kedengaran sedang melangkah sambil mendekati ke arah saya.

Juga diikuti dengan bunyi dahan-dahan yang kecil yang patah dipijak oleh sesuatu. Bunyi tersebut semakin lama semakin dekat.

Setelah beberapa saat kemudian pintu mula dibuka perlahan. Saya tanpa membuang masa lalu terus melangkah masuk ke dalam rumah dan duduk di ruang tamu.

Saya risau kalau-kalau makhluk berkaki besar tadi cuba untuk menangkap saya. Itu pun kalau ada. Tapi semua itu cuma imaginasi saya sahaja.

Setelah itu saya memandang semua ke arah pintu rumah yang masih terbuka. Saya terkejut melihat Azman sedang terbaring terlentang sambil memandang ke arah saya dalam keadaan penuh pertanyaan.

“Ha...Azman, kenapa kamu terbaring kat situ. Bangun. Tutup pintu cepat.”

Azman kemudiannya berdiri lalu menepuk-nepukkan belakang seluarnya untuk membersihkan debu lalu menutup pintu.

Jatuh terlentang

“Kenapa cikgu masuk terburu-buru? Macam dikejar hantu. Terkejut saya apabila cikgu masuk dan menghempas pintu lalu duduk di atas kerusi. Saya tiba-tiba terkejut lalu berundur dan terlanggar betis saya sendiri lalu terjatuh terlentang.”

“Yeke Azman? Hahaha...Cikgu minta maaf Man. Cikgu pun takut juga nak tunggu kat luar tu lama-lama. Entah-entah ada harimau ke gajah ke ikan jerung ke kat luar tu.”

“Oo...Ingatkan cikgu dikejar hantu tadi. Hahaha...”

“Mana mak kamu Man? Mana Syikin?”

“Dia orang ada kat bilik mak. Syikin tengah jaga mak. Jom kita naik cikgu.”

“Jom Man. Bismillahir rahmanirrahim..”

Selepas Azman menutup pintu, kami mula menaiki anak tangga satu persatu. Sengaja saya perlahankan langkah saya agar saya dapat membaca beberapa ayat al-Quran terlebih dahulu sebelum berhadapan dengan syaitan yang mengganggu Makcik Leha.

Sesampainya di pintu bilik Makcik Leha, saya berhenti terlebih dahulu untuk membaca Surah Kursi dan Azman pula terus masuk ke dalam bilik Makcik Leha.

Selepas itu saya melangkah masuk dan memerhati keadaan sekeliling bilik. Juga memandang ke arah Makcik Leha yang tersenyum memandang saya. Saya terkejut apabila melihat tangan dan kaki Makcik Leha diikat dengan kain.

“Kenapa ikat mak macam ni?”

“Bukan apa cikgu. Petang tadi mak mengamuk. Mak nak lari dari rumah. Masa tu Syikin tengah solat Asar. Nasib baik abang ada kat ruang tamu. Jadi tak dapatlah mak nak lari. Lepas tu kami bawa mak masuk dalam bilik. Tapi tiba-tiba pulak mak mengamuk. Mak cuba nak cederakan dirinya sendiri. Jadi kami terpaksa ikat tangan dan kaki mak.”

“Oo...Kalau macam tu tak apalah. Untuk keselamatan mak Syikin sendiri. Alhamdulillah. Nasib baik korang ikat mak dengan kain. Taklah mak sakit sangat. Kalau pakai tali mungkin akan ada kesan seperti bekas berbirat atau melecet. Juga sudah tentu mak akan sangat sakit nanti.”

“Jadi sekarang apa yang kita nak buat cikgu?”

“Lepas ni kita serah dengan Allah. Nanti pada masa yang sama kita cuba juga berusaha untuk hilangkan gangguan yang mengganggu mak ok.”

“Ok cikgu. Kami serah kepada cikgu mana yang baik.”

Selepas itu saya minta Syikin dan Azman untuk membuka ikatan pada pergelangan tangan Makcik Leha.

Agar pergelangan tangannya tidak tercedera kalau-kalau Makcik Leha bergelut dengan kami nanti sewaktu dibacakan al-Quran.

Selepas kedua ikatan tangan Makcik Leha dibuka, saya meminta Syikin untuk memperbetulkan dahulu tudung yang menutup rambut ibunya.

Sebab apa-apa pun alasan semasa merawat pesakit, sudah tanggungjawab dan amanah untuk perawat supaya sentiasa memelihara aurat pesakit.

Sebaik sahaja kedua ikatan tangannya dibuka, Makcik Leha lalu duduk sambil memerhati wajah kami satu persatu. Bermula dari Ahmad, Syikin dan akhirnya Makcik Leha memerhati saya dari atas ke bawah.

Dia tersenyum. Matanya dibuka sebesar-besarnya. Air liurnya pula jatuh dan membasahi bahagian hadapan bajunya.

Makcik Leha kemudiannya memandang kedua belah tapak tangan dan wajahnya berkali-kali dan akhirnya memegang kepalanya sendiri.

Selepas merasa puas dengan keadaannya, Makcik Leha tiba-tiba memandang saya dengan wajah yang dipenuhi dengan perasaan benci yang mendalam. Kedua belah tangannya bergegar dan suara dari kerongkongnya jelas terdengar dengan bunyi yang bergetar.

“Jadi kamulah yang membakar aku.”

Saya terkejut. Makcik Leha memandang saya dengan kedua biji matanya hampir tersembur keluar. Saya tidak tahu apa yang Makcik Leha maksudkan.

Saya memandang Syikin dan Azman dan kedua-dua mereka juga memandang saya.

Mungkin mereka merasakan sayalah yang dimaksudkan oleh Makcik Leha tadi.

“Siapa? Aku?”

“Ya. Kamu.”

“Apa yang aku bakar? Bila? Di mana?

“Apa kamu lupa? Tidak sampai sehari kamu sudah lupa? Atau buat-buat lupa? Atau dengan sengaja tidak mahu bertanggungjawab atas apa yang telah kamu lakukan?”

“Aku tidak tahu apa yang kau maksudkan?”

“Dasar bodoh. Kamulah yang membakar aku tadi. Pada ketika matahari betul-betul tegak di atas kepala. Pada ketika bunyi azan berkumandang. Dan pada ketika itulah engkau membakar aku. Apa kamu masih dapat lagi melupakan semua ini sekelip mata? Sedangkan aku menanggung azab siksanya pada ketika engkau seronok tidur dalam kesejukan.”

“Aku tidak tahu. Sebelum Zohor tadi aku tidur di rumah. Allah menjadi saksi atas tidur aku sebelum Zohor tadi. Aku juga tidak membakar kamu. Aku tidak tahu semua itu. Cuma apa-apa yang terjadi kepada kamu itu, itu adalah amaran dari Allah kepada makhluk seperti kamu. Sekarang apa yang kau mahu dariku?”

“Aku mahu kau tinggalkan perempuan ini. Jangan ganggu kami. Kalau kamu tinggalkan kami maka aku akan maafkan apa yang kau lakukan pada tengah hari tadi kepadaku.”

“Sudah aku jelaskan tadi. Bukan aku yang lakukan semua ini. Semuanya adalah dari Allah. Sebagai peringatkan kepada kamu. Apa kamu belum mengerti?”

“Aahh...Aku tidak percaya semuanya. Memang kamu telah berniat untuk menghancurkan kami pada ketika kali pertama kamu datang ke mari bukan? Hahaha...Sekarang apa pula yang kamu mahu dariku?”

“Begini. Mudah saja. Permintaan aku cuma satu. Aku minta kamu keluar dari badan perempuan ini dan jangan kembali untuk mengganggunya. Kemudian jangan cuba-cuba untuk tinggal lagi di rumah mereka. Jangan cuba memunculkan diri walau apa saja alasan kamu.”

“Hahaha...Itu bukan satu permintaan bodoh. Itu banyak permintaan. Hahaha...Semuanya tidak akan aku lakukan.”

“Kalau begitu aku tidak ada pilihan lain melainkan aku akan meminta pertolongan kepada Allah sambil membacakan al-Quran sebagai ikhtiar. Sedangkan apa saja yang akan kamu terima nanti, itu adalah dari Allah atas segala kesombongan kamu.”

“Ya. Silakan saja. Selagi aku berada di dalam badan perempuan ini maka kamu tetap tidak akan dapat mengalahkan aku.”

“Baiklah kalau begitu. Kerana itu pilihan kamu sendiri sedangkan aku sudah memberi pilihan kepadamu.”

“Pilihan? Hahahahaha...Silakan saja.”

Selepas itu saya mulakan dengan berdoa kepada Allah dan berserah segalanya kepada Allah. Firman Allah;

“Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakkal.” (Surah Ali Imran: 160)

Kemudian saya mulakan dengan membaca Surah Al-Fatihah, Surah Kursi, Surah As Shafaat: ayat 1-10 dan Surah Al-Kafirun. Selepas itu saya ulangi bacaan-bacaan saya hampir setengah jam dan pada mulanya tiada apa yang berlaku.

Makcik Leha sekadar tersenyum, bernyanyi dan ketawa sahaja apabila memandang saya. Sekali sekala Makcik Leha seperti mahu menyerang saya.

Tetapi alhamdulillah. Ikatan pada kedua kakinya menghalang Makcik Leha untuk menyerang saya yang sedang berdiri di samping sebelah kanannya.

Lantunan bacaan al-Quran

Tetapi semua itu tidak menghalang saya untuk terus membacakan al-Quran. Kerana saya yakin bahawa pertolongan Allah akan hadir juga nanti. Yang penting buat masa ini saya terus bersabar dan bersabar. Firman Allah;

“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. (Surah Al Baqarah: 153)

Selepas itu saya bacakan ayat al-Quran berkenaan dengan siksa neraka serta buah zaqqum.

“Inilah dua golongan (golongan mukmin dan golongan kafir) yang bertengkar, mereka saling bertengkar mengenai Tuhan mereka. Maka orang kafir akan dibuatkan untuk mereka pakaian-pakaian dari api neraka. Disiramkan air yang sedang mendidih ke atas kepala mereka.” (Surah Al Hajj: 19)

“(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqqum (buahnya) menjadi makanan bagi orang-orang yang berdosa (dalam neraka), makanan ini pula panas, seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.” (Surah Ad Dukhan: 43-46)

“Kemudian sesungguhnya kamu, wahai orang-orang yang sesat lagi mendustakan. Pasti akan memakan pohon zaqqum. Maka akan penuh perutmu dengannya. Setelah itu kamu akan meminum air yang sangat panas. Maka kamu akan minum seperti unta yang sangat kehausan. Itulah hidangan untuk mereka dihari pembalasan” (Surah Al Waqiah: 51-56)

Rasulullah SAW bersabda;”Seandainya setitik dari zaqqum diteteskan di dunia niscaya akan menghancurkan kehidupan semua penghuninya. Lalu bagaimana dengan keadaan orang yang menjadikan zaqqum sebagai makanannya?” (HR. At Tirmidzi, Ibnu Majjah dalam sunannya, Kitab Az-Zuhud, bab Shifat An Nar, 8/4325)

Ketika dibacakan ayat-ayat tadi, syaitan di dalam badan Makcik Leha mula kepanasan dan menjerit-jerit. Tetapi ia tetap juga mahu bertahan di dalam badan Makcik Leha.

“Aku tetap tidak akan keluar. Aku tetap tidak akan keluar. Lakukan saja apa maumu. Tapi ingat! Seandainya aku mati maka perempuan ini juga akan mati bersama aku.”

“Apakah kamu tidak takut akan siksaan Allah pada ketika kamu dicabut nyawa nanti. Sedangkan siksa akan kematian makhluk zalim seperti kamu ini tidak pernah terbayang di fikiran kamu sebelumnya. Firman Allah;

“Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim (berada) dalam tekanan-tekanan sakaratul maut, sedang para malaikat memukul dengan tangannya, (sambil berkata): “Keluarkan nyawamu”. Di hari ini kamu dibalas dengan siksaan yang sangat menghinakan, kerana kamu selalu mengatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar dan (kerana) kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayatnya”. (Surah Al An’am: 93)

“Aahhh...Aku tidak peduli itu semua. Sehingga kiamat sekalipun aku tidak akan patuh akan perintah tuhanmu.”

“Kiamat itu tidak semudah yang kamu sangkakan. Tidak semudah melafazkan dari hujung lidah dan bibirmu. Firman Allah;

“Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa mengerikan) itu, tiap-tiap ibu yang menyusukan akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau melihat manusia mabuk, pada hal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.” (Surah Al-Haj, ayat 1-2)

Pada ketika itu saya berusaha berulang kali untuk meminta syaitan yang berada di dalam badan Makcik Leha untuk keluar tetapi saya tiada daya dan kekuatan untuk menariknya keluar.

Sedangkan saya sangat kasihan melihat Makcik Leha tersiksa sebegitu rupa.

Lalu sekali lagi saya memohon petunjuk kepada Allah dan apa yang perlu saya lakukan. Pada ketika itu saya terus menerus mengikat diri saya kepada Allah lalu membaca doa;

“Barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barang siapa yang disesatkanNya, maka kamu tidak akan mendapat seorang pemimpin pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.” (Surah Al Kahfi: 17)

Ketika melafazkan ayat al-Quran tersebut berulang kali sambil memohon pertolongan kepada Allah, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bau terbakar dan kemunculan asap-asap yang nipis dari katil Makcik Leha.

“Syikin, Ahmad. Ada cium bau terbakar tak?”

“Ada cikgu.”

“Cuba pergi kat dapur ke atau mana-mana. Mungkin ada benda yang terbakar.”

“Baik cikgu.”

Syikin dan Azman kemudian keluar dari bilik Makcik Leha dan mencari di segenap ruang dan bilik rumah mereka. Kalau-kalau ada benda yang terbakar. Pada ketika itu tinggallah saya dan Makcik Leha sendirian di bilik.

Pada ketika itu Makcik Leha masih lagi menjerit seperti sedang kepanasan dan tersiksa. Sambil itu Makcik Leha tetap memandang saya dengan rasa kemarahan yang teramat.

Sedangkan saya pada ketika itu terus menerus melantunkan bacaan ayat al-Quran.

Setelah beberapa ketika, Syikin dan Azman kembali ke dalam bilik Makcik Leha. Wajah mereka penuh kehairanan.

“Cikgu, tak adapun bau terbakar atau benda-benda terbakar. Puas Syikin dan Azman cari cikgu. Sampai ke luar rumah. Bau terbakar ni cuma ada di dalam bilik ni.”

“Kalau macam tu kita cari dalam bilik ni.”

“Baik cikgu..”

Selepas itu kami berusaha mencari di sekitar bilik Makcik Leha kalau ada apa-apa yang terbakar dan sebagainya. Lagi pula menurut Syima dan Azman, bau terbakar itu cuma di dalam bilik ibu mereka sahaja.

Tidak lama kemudian saya dikejutkan dengan suara Azman.

“Cikgu...Cikgu. Ada beg hitam bawah katil mak. Macam dari sini je bau terbakar tu. Ada sedikit macam kepulan asap keluar dari beg ni cikgu.”

“Alhamdulillah. Mungkin ini yang kita cari. Mungkin ini juga penyebabnya.”

Selepas itu tanpa membuang masa saya terus pergi ke katil Makcik Leha dan berusaha untuk mengambil beg hitam tersebut. Pada ketika itu saya tiba-tiba teringat tentang apa yang saya mimpikan ketika tengah hari tadi semasa ‘qailullah’.

Di dalam mimpi saya perempuan yang terbakar itu terbang dan berputar-putar di dalam bilik Makcik Leha, akhirnya perempuan itu jatuh tersembam ke atas lantai.

Lalu berjalan merangkak-rangkak ke arah bawah katil Makcik Leha lalu hilang tanpa kesan.

Di dalam mimpi tersebut saya cuba untuk menjejaki di manakah perempuan itu berada. Lalu saya tunduk untuk mencari-cari di bawah katil Makcik Leha dan ternyata perempuan itu sudah tidak ada lagi di situ.

Beg berwarna hitam

Ketika saya berusaha mencari dan memandang di bawah katil, saya menggosok-gosok mata saya beberapa kali. Saya merasa pelik kerana di bawah katil Makcik Leha ada sebuah beg berwarna hitam.

Itulah yang saya ingat sebelum saya tersedar. Mungkin inilah sebenarnya petunjuk dari Allah untuk kami semua. Alhamdulillah.

Tetapi dengan tidak disangka-sangka, tiba-tiba Makcik Leha menjerit sekuat-kuat hati sehinggakan jeritannya mengejutkan kami semua. Kemarahan syaitan di dalam badan Makcik Leha sepertinya sudah sampai ke kemuncak.

Makcik Leha berusaha untuk melepaskan diri dan cuba untuk menerkam saya kerana pada ketika itu sayalah orang yang cuba untuk membawa beg tersebut keluar dari bawah katil. Tempat beg itu berada.

Dalam keadaan kelam kabut seperti itu tiba-tiba ikatan pada kedua belak kaki Makcik Leha terputus. Saya pada mulanya tidak menyedari apa yang berlaku. Melainkan setelah makcik Leha melompat ke arah badan saya dan memijak-mijak kepala saya berulang kali.

Saya cuba untuk meminta pertolongan Syikin dan Azman. Mungkin kerana terkejut, Syima dan Azman cuma memandang sahaja peristiwa ngeri yang saya hadapi.

Ada beberapa kali jugak kaki Makcik Leha memberi salam kerinduan di belakang tengkuk dan kepala saya.

Setelah beberapa ketika barulah Syima dan Azman berlari mendapatkan Makcik Leha.

Menahan lalu membaringkannya di atas katil seperti tadi setelah mereka puas menonton adegan dari tendangan juara UFC Bintulu iaitu Makcik Leha Khabib Nurmagomedov ke atas Cikgu Malik ‘Conor Mc Gregor‘ Kungpow sekaligus mengekalkan kejuaraan UFC kategori Lightweight pada Pertandingan UFC 229 di T-Mobile Arena, Las Vegas, Amerika Syarikat.

Tendangan Makcik Leha masih lagi terasa. Pening juga kepala saya dibuatnya. Tetapi saya hanya tersenyum. Kerana Makcik Leha bukan sejahat itu.

Cuma pada ketika itu dia tidak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Tetapi syaitan itulah yang membuat onar pada ketika itu.

Syikin dan Azman terus berusaha untuk menahan Makcik Leha dari menyerang saya.

Sedangkan saya pada ketika itu sedang berusaha untuk membuka apa yang ada di dalam kandungan beg tersebut sehinggakan syaitan di dalam badan Makcik Leha mencuba sepenuh hati untuk menghalang saya dari mendapatkan beg tersebut.

Apabila keadaan mula terkawal, saya terus mengambil beg di bawah katil tersebut. Syaitan di dalam badan Makcik Leha masih lagi tidak berpuas hati. Tetapi pada ketika itu syaitan itu tidak dapat berbuat apa-apa.

Untuk melahirkan rasa amarahnya Makcik Leha meludah ke arah saya berulang kali. Tetapi berulang kali juga air ludahnya tersembur ke atas dan alhamdulillah tidak terkena saya melainkan air liurnya terkena pada wajah Ahmad.

Sempat juga Ahmad mengelap wajahnya pada lengan bajunya.

Sebelum menyentuh beg hitam tersebut, saya mulakan dengan membaca beberapa ayat al-Quran.

“Dan kami wahyukan kepada Musa: “Lemparkanlah tongkatmu!” Maka sekonyong-konyong tongkat itu menelan apa yang mereka sulapkan. Kerana itu nyatalah yang benar dan batallah yang selalu mereka kerjakan. Maka mereka kalah di tempat itu dan jadilah mereka orang-orang yang hina. Dan ahli-ahli sihir itu serta merta meniarapkan diri dengan bersujud. Mereka berkata: “Kami beriman kepada Tuhan semesta alam, “(iaitu) Tuhan Musa dan Harun”. (Surah Al A’raf: 117-122)

“Maka setelah mereka lemparkan, Musa berkata: ‘Apa yang kamu lakukan itu, itulah yang sihir, sesungguhnya Allah akan menampakkan ketidak benarannya’. Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan terus berlangsungnya pekerjaan orang-orang yang membuat kerosakan. Dan Allah akan mengukuhkan yang benar dengan ketetapanNya, walaupun orang-orang yang berbuat dosa tidak menyukai(nya).” (Surah Yunus: 81-82)

“Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia akan menelan apa yang mereka perbuat. Sesungguhnya apa yang mereka perbuat itu adalah tipu daya tukang sihir (belaka). Dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana saja ia datang”. (Surah Thaha: 69)

Selepas itu barulah saya menyentuh beg hitam di bawah katil Makcik Leha dan dibawa keluar ke tengah bilik. Sebelum membuka beg tersebut, saya melafazkan sebuah doa;

“Allahumma abthil hazas sihra bi quwwatika ya jabbaras samaawaati wal ard.”

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhanku, musnahkanlah sihir ini dengan kekuatanmu ya Allah yang mempunyai kekuasaan di langit-langit dan bumi.”

Kemudian barulah saya buka beg hitam tersebut dengan lafaz tawwudzz dan basmalah. Saya buka dengan berhati-hati kerana beg hitam inilah syaitan itu sanggup untuk mempertahankannya dari diambil oleh kami bertiga.

Beg tersebut terasa agak ringan. Saya sendiri tidak tahu apa kandungan di dalamnya kecuali setelah saya membukanya sendiri.

Selepas membuka beg tersebut, saya terkejut kerana di dalamnya cuma ada sebuah patung perempuan yang berukir cantik. Tetapi tidaklah sempurna mana.

Patung berwajah seram

Cuma wajah patung itu sangat menyeramkan. Wajahnya sengaja diukir dengan memek muka yang marah.

Bertaring panjang, bebola mata yang besar, hidung kemek ke dalam, berkuku panjang dan sengaja diwarnakan dengan warna kemerahan.

Tetapi dari patung itu jugalah punca bau terbakar dan bau terbakar itu menusuk ke lubang hidung saya. Semasa menyentuhnya juga saya dapat merasa yang patung tu agak panas.

Seperti menyentuh bahagian tepi periuk nasi yang dijemur di luar rumah.

“Jangan...Jangan sesekali kamu berani untuk mengambil rumah aku. Aku tidak mengganggu kamu. Tetapi kenapa mesti kamu mengganggu aku?”

“Apa ini rumah kamu? Aku tidak mengganggu kamu. Tetapi kamulah yang mengganggu Makcik Leha dan tinggal bersama-sama mereka sebelum ini. Sedangkan mereka tidak pernah mengganggu kamu.”

“Aku bukan mengganggu mereka. Tetapi aku telah disuruh oleh tuan aku untuk menjaga mereka.”

“Tetapi kamu tidak pernah menjaga mereka malahan kamulah yang menjadi punca atas semua-semua gangguan ini pada keluarga mereka. Dan untuk pengetahuan kamu Allahlah sebaik-baik Penjaga. Bukannya kamu. Apa pun alasan kamu sekarang kamu sudah terperangkap di dalam kebodohan kamu sendiri. Sekarang terimahlah takdir yang kamu ciptakan sendiri.”

“Bodoh...Manusia bodoh. Aku tetap tidak akan keluar. Aku rela mati di sini. Daripada menyembah kakimu dan mengangkat dirimu sebagai tuhan aku.”

“Na’udzubillah. Aku berdoa agar Allah menjauhkan kami dari berniat seperti itu. Semoga Allah melaknati kamu dan semoga Allah mengurniakan siksaan yang sekeras-kerasnya di akhirat nanti.”

“Berdoalah kamu dan tetaplah berdoa. Aku tetap tidak akan keluar dan aku rela mati di sini. Hahaha... Kesakitan ini akan aku persembahkan kepada Iblis nanti sebagai bentuk ketaatan aku kepadanya sampai hembusan nafas yang terakhir.”

“Terserah kamu kerana azab siksa neraka juga sudah menanti kamu. Di akhirat nanti kita akan lihat apa kamu dapat mengelak dari siksaan api neraka.”

“Hahaha...Aku sudah bersedia dengan kematian aku. Bunuhlah aku. Bunuhlah aku. Tetapi untuk tunduk kepada tuhan kamu tidak sekali-kali akan kulakukan. Hahaha..”

Selepas itu saya bacakan ayat al-Quran tentang azab api neraka. Kerana untuk memujuk supaya bertaubat juga sepertinya tidak mendatangkan sebarang hasil. Saya pasrah kepada Allah. Allah lebih tahu apa yang terbaik pada ketika itu. Lalu saya bacakan ayat berikut;

“Dan Sesungguhnya Jahannam itu benar-benar tempat yang telah diancamkan kepada mereka (pengekor-pengekor syaitan) semuanya. Jahannam itu mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka.” (Surah Al Hijr: 43-44)

“...Maka orang kafir akan dibuatkan untuk mereka pakaian-pakaian dari api neraka. Disiramkan air yang sedang mendidih ke atas kepala mereka.” (Surah Al-Hajj: 19)

Saya membaca ayat-ayat tersebut berulang kali sehinggakan syaitan di dalam badan Makcik Leha menjerit sekuat-kuatnya. Pada mulanya syaitan itu ketawa.

Lama-kelamaan gelak ketawa itu bertukar menjadi bunyi jeritan dan tangisan yang menakutkan.

Sehinggakan Syikin berusaha untuk menutup mata dan menangis mendengar bunyi jeritan tersebut. Sedangkan Azman pula berusaha untuk menutup telinganya sekuat hati.

Inilah kali pertama saya melihat Syikin dan Azman diselubungi ketakutan sedangkan sebelum ini mereka langsung tidak mempunyai rasa takut.

Saya teruskan bacaan al-Quran saya sehinggalah suara jeritan Makcik Leha bertukar menjadi perlahan-lahan dan kemudian suara tersebut hilang di tengah kesunyian malam.

Saya perhatikan Syikin yang masih lagi menutup matanya. Juga Azman yang terus menekup telinganya agar tidak mendengar bunyi jeritan tadi.

“Syikin, bukak mata kamu. Azman, pandang cikgu sekarang.”

Syikin kemudiannya membuka matanya perlahan-lahan sambil memandang ke arah ibunya. Air mata yang meleleh di pipinya diusap perlahan-lahan.

Sedangkan Azman pula menjeling ke arah ibunya sambil perlahan-lahan melepaskan kedua belah tangan yang menekup telinganya.

Selepas itu saya membaca Surah Kursi lalu menghembus perlahan-lahan ke wajah Makcik Leha. Selepas selesai membaca Surah Kursi, saya meminta Syikin untuk mengejutkan ibunya.

“Mak...Bangun mak...Buka mata...Mak...”

Kemudian dengan perlahan-lahan Makcik Leha membuka kedua belah matanya. Lalu memandang kami bertiga dengan penuh kehairanan.

“Cikgu, kita kat mana?”

“Kat rumah makcik?”

“Kat rumah makcik? Kenapa cikgu datang ke sini?”

“Anak makcik telefon tadi. Bagitau makcik tak sihat.”

“Tak sihat..?”

Tersedar

Makcik Leha seperti kehairanan dengan apa yang terjadi. Dia sendiri tidak mengetahui apa yang berlaku sebenarnya.

Makcik Leha kemudiannya terdiam. Dia cuma untuk memikirkan kembali apa yang berlaku.

“Cikgu, baru saya teringat. Rasanya kali terakhir saya sedar saya dapat panggilan telefon beberapa hari lepas semasa saya berehat selepas sehari suntuk membersihkan rumah. Suara tu betul-betul sama seperti suara arwah suami saya. Lepas tu saya ketakutan. Terasa ada seseorang yang duduk di samping saya dan akhirnya badan dan kepala saya merasa berat. Saya seperti melayang di udara dan akhirnya saya tidak sedar apa yang berlaku.”

“Rasanya dah macam berhari-hari dah Makcik Leha tak sedar ni. Tapi tak apalah makcik. Asalkan sekarang makcik dah sedar.”

“Alhamdulillah cikgu. Saya rasa seperti baru keluar dari sebuah kepompong yang besar.”

“Baiklah kalau macam tu. Sekarang tinggal satu lagi masalah. Patung ni perlu dibakar dahulu sebelum saya balik.”

“Cikgu nak bakar kat mana?”

“Kat luar rumah.”

Selepas itu kami berempat bergerak ke luar rumah. Sebelum membakar patung tersebut, saya merendamkannya di dalam air yang saya bacakan ayat-ayat al-Quran.

Setelah itu barulah saya membakarnya dengan menggunakan kertas, kotak-kotak dan ranting-ranting yang berjatuhan di atas tanah.

Hampir setengah jam kemudian, api yang marak menjulang telah membakar patung perempuan tersebut sehingga tidak meninggalkan sedikit sisa sekalipun dan debu-debu dari patung tersebut terbang dibawa angin lalu menghilang entah ke mana.

Dan akhirnya dengan izin Allah gangguan syaitan yang mengganggu Makcik Leha selama ini akan hilang buat selama-lamanya.

Sebelum saya balik, Makcik Leha sempat bertanya kepada saya.

“Cikgu, kan sebelum ni cikgu pernah berikhtiar untuk memagar kawasan rumah kami. Tetapi kenapa gangguan ini masih lagi ada. Sedangkan kita sudah magar dengan ayat-ayat al-Quran. Apakah usaha kita tak berkesan cikgu?”

“Makcik, bukan macam tu. Saya nak makcik paham kenapa gangguan ni masih berlaku lagi sedangkan kita dah berikhtiar dengan cara yang dianjurkan dalam Islam. Pertama, makcik kena faham bahawa apa pun usaha kita terserah Allah untuk menunaikannya atau tidak. Maksudnya kita sudah berusaha sebaik mungkin. Terserah Allah untuk memakbulkan permintaan kita atau tidak.”

“Kedua, dari segi adabnya kalau rumah telah kita pagar, tetapi sebagai penghuni rumah tidak beribadah, tidak solat, tidak mengaji, tidak menghidupkan suasana Islami di rumah kita, lalu bagaimana Allah mahu menolong kita. Sedangkan usaha untuk ‘memagar’ itu cuma usaha sahaja sedangkan Allah yang memakbulkan. Allah bukan sekadar melihat usaha kita dengan cara memagar tadi tetapi Allah akan melihat apa usaha kita selepas itu untuk menghidupkan suasana Islami setelah rumah kita dipagar.”

"Ketiga, biasanya dari segi adab, rumah yang telah di pagar akan dilindungi oleh Allah. Tetapi itu terserah Allah sejauh mana Allah mahu menolong kita. Tetapi sekiranya rumah yang telah di pagar, masalahnya ada di kalangan ahli keluarga kita ada yang masih mengamalkan perbuatan syirik dan kurafat atau paling tidak pun mempunyai pemikiran seperti itu, jadi bagaimana Allah mahu menolong kita?”

“Sedangkan sebelumnya kita memohon kepada Allah tetapi pada masa yang masa kita masih lagi ada unsur-unsur syirik, boleh jadi Allah menambahkan lagi gangguan di rumah kita. Kerana solah-olah kita mempermainkan Allah. Jadi tak salahkan kalau Allah tidak memakbulkan permintaan kita. Bahkan menambahkan lagi gangguan-gangguan yang ada. Supaya kita merasa insaf dan menyesali dosa yang pernah kita perbuat. Mudah bukan?”

“Yak cikgu. Sekarang barulah saya faham kenapa rumah yang telah di pagar itu masih ada lagi gangguan-gangguan. Terima kasih banyak-banyak cikgu. Lepas ni makcik akan berusaha untuk membimbing diri dan anak-anak makcik ke jalan yang diredhai Allah. Doakan untuk kami sekeluarga cikgu.”

“Insya-Allah. Amin. Doa saya akan selalu mengiringi makcik sekeluarga. Baiklah makcik. Saya nak balik dah. Kalau perlu apa-apa hubungi saya ok.”

“Insya-Allah cikgu..”

Selepas itu saya berjalan ke arah kereta saya. Makcik Leha dan anak-anaknya mengiringi saya hingga ke pintu kereta. Setelah melafazkan salam saya terus pulang ke rumah.

Alhamdulillah sepanjang perjalanan balik ke rumah tidak ada apa-apa yang berlaku. Sesampainya di kawasan Medan Jaya, saya singgah sebentar di KFC untuk membeli makanan untuk bersahur bersama isteri saya dan juga Aleesya.

Saya sudah berjanji dengan Aleesya untuk membenarkan dia sahur pada sebelum subuh, selepas balik dari sekolah dan juga bersahur pada pukul 3 petang.

Nanti semasa berbuka puasa di rumah ibu saya, Aleesya juga akan berbuka puasa bersama-sama sambil memegang perutnya yang ‘kelaparan’.

Dua hari lepas saya berkesempatan berjumpa dengan Makcik Leha dan anak-anakya di Bazar Ramadan Esplanade di pasar lama Bintulu. Betul-betul di gerai yang menjual popia kentang dan popia sardin kegemaran ibu dan anak-anak buah saya.

Alhamdulillah mereka masih ingat lagi kepada saya dan merekalah yang menyapa saya terlebih dahulu. Semoga Allah akan sentiasa memelihara keluarga saya dan keluarga Makcik Leha.

Apa lagi kisah dari keluarga Makcik Leha ini telah memberi saya suatu pengalaman baru iaitu tendangan juara UFC Bintulu iaitu Makcik Leha Khabib Nurmagomedov ke atas Cikgu Malik ‘Conor Mc Gregor‘ Kungpow sekaligus mengekalkan kejuaraan UFC kategori Lightweight pada Pertandingan UFC 229 di T-Mobile Arena, Las Vegas, Amerika Syarikat.

Sumber: Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling di SK Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak

ARTIKEL BERKAITAN:

BAHAGIAN SATU

'Sini mak, Syikin kat sini, mak datanglah' - Gangguan satu suara buat Ustaz Malik dalam ketakutan

ARTIKEL MENARIK:

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

Ustaz Malik, Ustaz Saif cerita hal sebenar 2 beradik ganggu Laila dan ajak ke Pantai ABF waktu malam

Ternampak kelibat menakutkan depan rumah..Ustaz Malik terus diganggu

Tangisan bayi pada tengah malam buat Ustaz Malik cari pemilik sebenar, rupa-rupanya suara itu...

Bahagian akhir kisah kembar Ahmad buat Ustaz Malik buka mulut siapa sebenarnya yang suka menganggu