PENGALAMAN mengendalikan 40 pelajar lepasan SPM yang diserang histeria pada 2011 masih segar dalam ingatan Ustaz Malik.

Ini kerana, salah seorang pelajar yang dirasuk hanya sembuh seketika dan enam bulan selepas kejadian, pelajar yang dikenali dengan panggilan Ruby itu mula berperangai pelik.

Pelbagai rawatan telah dilakukan oleh keluarga pelajar berkenaan, namun semuanya hampa.

Kerana 'cintakan' Putera Raja Air...Ruby mula lupa diri dan akhirnya dia dikatakan mengalami gangguan jiwa.

Ustaz Malik melalui akaun facebook Kung Pow berkongsi kisah benar yang berlaku ke atas pelajar malang itu.

Mari ikuti perkongsian beliau...

**********

Suatu ketika pada tahun 2011 kalau tidak silap saya, pada ketika itu saya baru sahaja berkhidmat di SK Kampung Jepak Bintulu selama dua tahun.

Saya telah mendapat panggilan dari seorang penyelaras program untuk menjemput saya menjadi penceramah dan fasilitator untuk sebuah program kepimpinan.

Program ini melibatkan pelajar lepasan sekolah dan diadakan di sebuah kawasan taman rekreasi. Program ini dijalankan selama tiga hari dua malam.

“Assalamualaikum Cikgu Malik. Saya Puan Julia. Kami nak jemput cikgu untuk menjadi penceramah dan fasilitator. Tentu cikgu masih ingat lagi kat sayakan?”

“Wa’alaikumsalam Puan. Hahaha.. Ya puan. Insya-Allah saya masih ingat lagi. Program macam mana tu puan?”

“Program Kepimpinan. Insya-Allah program tu akan diadakan pada minggu hadapan. Cikgu berminat tidak?”

“Insya-Allah boleh puan. Nanti minta tolong puan untuk berurusan dengan Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu dan guru besar di sekolah saya untuk makluman dan urusan surat kebenaran.”

“Insya-Allah. Baiklah cikgu. Nanti saya uruskan secepat mungkin.”

“Baik puan..”

“Cikgu..Nanti ada benda kami nak mintak tolong cikgu.”

“Nak mintak tolong apa puan?”

“Macam ni cikgu. Program ni nanti kita buat kat tempat hari tu. Cikgu mungkin sedia maklumkan berkenaan dengan tempat program kita ini nanti?” Cikgu mungkin lebih tahu berkenaan dengan gangguan yang pernah dialami tahun lepas kat situ.”

“Iya puan. Saya masih ingat lagi. Lebih 40 orang histeria masa tu.”

“Betul cikgu. Alhamdulillah cikgu dan kawan-kawan cikgu ada datang menolong kami.”

Saya teringat lagi suatu ketika dulu. Pernah berlaku kes histeria. Seramai lebih dari 40 orang pelajar histeria dalam satu masa.

Kebetulan waktu itu saya, dua orang abang saya iaitu Ustaz Amir dan Shamsul dan dua orang lagi kawan kami telah dijemput untuk menjadi fasilitator.

Ada yang mengamuk, ada yang memanjat syiling, ada yang berlari melanggar dinding, ada yang bernyanyi sambil merintih, ada yang memandang kami dengan pandangan yang sangat menakutkan dan ada yang menyerang dan mencekik kami dari arah belakang.

Itu belum lagi termasuk yang menggigit kami, memukul dan menendang kami. Dan ada yang tersenyum memandang kami tanpa terlepas pandangan sedikit pun. 40 orang dengan karakter yang berbeza. Sedangkan kami hanya lima orang sahaja.

Alhamdulillah dengan izin Allah, walaupun dalam keadaan sulit dan kurang bantuan kerana kami cuma berlima, kejadian itu dapat dikawal dan pelajar yang histeria mula sedar selepas dirawat. Tapi itu cerita lama.

Itulah sebabnya selepas memikirkan buruk baik serta risiko yang akan kami hadapi dalam membantu kes-kes seperti ini, maka kami mengambil keputusan untuk menerima tanggungjawab ini dengan mengikuti program anjuran majikan Puan Julia nanti.

“Takpe puan. Dah tanggungjawab kami. Lagipun kami bantu apa yang kami terdaya sahaja.

“Alhamdulillah. Terima kasih cikgu.”

“Sama-sama Puan Julia.”

Selepas itu saya terdiam sejenak. Merenung ke kaki langit. Cuaca kelihatan cerah pada masa tersebut. Angin menerpa perlahan-lahan ke wajah saya. Kelihatan beberapa ekor burung pipit terbang rendah mencari makanan.

Semua itu tidak menghalang saya untuk mengingati suatu kisah menarik semasa kami mengendalikan kes lebih 40 orang bekas pelajar histeria.

Saya memandang jauh ke hadapan sambil teringat akan seorang peserta kursus ketika itu. Dia di antara salah seorang yang teruk mengalami histeria. Dia seorang gadis yang bernama Ruby.

Ruby kali pertama saya melihat dia adalah seorang yang lemah-lembut, pendiam dan jarang bergaul dengan peserta-peserta lain. Mungkin Ruby seorang yang pemalu.

Ketika kejadian histeria itu berlaku, Ruby menghempas-hempaskan kepala dan badannya ke lantai. Tetapi tiada sedikit pun kesan lebam, calar atau berdarah.

Kisah kes histeria lebih 40 orang bekas pelajar ini saya tangguhkan dulu di sini. Mungkin saya akan ceritakan pada masa yang berlainan atau mungkin saya tidak akan ceritakan kisah ini untuk tatapan umum.

Selepas tamat program kursus tersebut kami berlima pulang ke rumah masing-masing. Tetapi sebelum balik kami sempat meninjau beberapa tempat yang kami yakin berpotensi untuk menyebabkan kes histeria berulang kembali.

Tempat ini kami tidak ceritakan kepada orang lain. Biarlah menjadi rahsia yang akan kami simpan sampai bila-bila.

Lebih kurang setahun selepas kes tersebut, saya menerima panggilan dari seseorang. Kebetulan pada masa tersebut saya sedang berada di sekolah.

Bertandang Ke Rumah Ruby

“Assalamualaikum. Cikgu Malik ke ni?”

“Waalaikumsalam. Haah. Saya Cikgu Malik. Siapa ni?”

“Saya Rahim. Cikgu boleh panggil saya Abang Rahim.”

“Insya-Allah Abang Rahim. Abang Rahim ada nak mintak tolong apa-apa tak?”

“Begini cikgu. Sebelum tu saya dapat nombor telefon cikgu dari Puan Julia seminggu yang lepas. Cikgu ingat lagi tak pada tahun lepas. Ada kes 40 orang budak histeria?”

Saya cuba untuk mengingati kembali kes-kes lama yang kami kendalikan yang melibatkan ramai peserta histeria. Satu persatu terbayang di wajah saya.

“Alhamdulillah. Saya ingat Bang. Lebih kurang setahun yang lepas kalau tak silap.”

“Betullah tu. Macam ni cikgu. Salah seorang mangsa histeria tu dulu adalah anak saya. Namanya Ruby. Selepas dirawat oleh kawan-kawan ustaz dulu Alhamdulillah dia dah sihat. Cuma kebelakangan ni lebih kurang dalam enam bulan, perangai Ruby ni semakin pelik dan menjadi-jadi.”

“Kalau tak silap Ruby ni antara yang paling teruk terkena histeriakan bang?”

“Haah cikgu.”

“Boleh saya tahu bang ape yang pelik yang terjadi kat Ruby ni?”

“Macam ni cikgu. Selepas balik dari kursus setahun yang lepas, Ruby sihat seperti biasa. Cuma setengah tahun tu Ruby selalu mimpi dan mengigau. Semakin lama semakin kerap mimpi dan mengigau. Mula-mula saya ingatkan itu perkara biasa saja tapi ntahlah cikgu.”

“Baiklah bang. Macam nilah. Apa yang abang nak saya tolong.”

“Cikgu malam ni free tak? Nak jemput cikgu pergi ke rumah. Nak tengok-tengok dulu keadaan Ruby.”

“Insya-Allah bang. Malam ni lepas isyak saya datang. Kat mana rumah abang?”

“Takpelah cikgu. Cikgu tunggu di rumah. Nanti saya ambik cikgu kat rumah.”

“Kalau macam tu abang ambik saya kat Surah At Taqwa kat R.P.R Sebiew. Saya solat isyak di sana.”

Surau ini sekarang ni dah dinaiktaraf menjadi Masjid At Taqwa.

“Ok. Insya-Allah cikgu. Jumpa malam ni nanti ok?”

“Ok bang. Assalamualaikum.”

“Wa’alaikumsalam..”

Malam itu, selepas solat isyak, saya menunggu Abang Rahim menjemput saya di perkarangan Masjid At Taqwa. Sementara menunggu saya membaca ayat-ayat ruqyah sebagai amalan. Biar sebati dengan jiwa dan hati.

Ayat ruqyah ini hendaklah selalu dihafal serta diamalkan dan bukannya dibaca ketika untuk merawat pesakit sahaja. Kalau tidak dengan izin Allah kesannya adalah sangat sedikit sahaja apabila dibacakan kepada pesakit. Ini yang perlu dimaklumi oleh perawat-perawat.

Jam telah menunjukkan tepat pada pukul 9 malam. Kelibat Abang Rahim belum ada lagi. Selepas selesai membaca ayat-ayat ruqyah, saya teruskan dengan membaca zikir Al Ma’tsurat.

Selepas beberapa ketika, kelihatan sebuah kereta masuk ke perkarangan Masjid At Taqwa. Saya perhatikan sahaja kereta tersebut berhenti di hadapan saya.

“Assalamualaikum cikgu.”

Abang Rahim tersenyum sambil membuka pintu kereta memberi salam kepada saya.

“Wa’alaikumsalam Abang Rahim. Ternyata Abang Rahim lebih muda dari sangkaan saya. Berpakaian agak kemas. Berkemeja kotak berwarna merah hitam, berseluar jeans dan berkasut hitam.”

Saya pula seperti biasa. Berbaju t-shirt band ‘KISS’, berseluar jeans yang dilipat separuh betis dan berselipar jepun. Saya lebih senang berseluar jeans dan berbaju t-shirt.

Suatu ketika dahulu pada awal-awal saya perawat pesakit, ada salah seorang pesakit kami sedang histeria dan menyerang saya dari belakang. Ketika itu saya menggunakan baju Melayu dan berseluar kain.

Pesakit tersebut menarik baju saya hingga terkoyak. Kemudian dia menggigit paha saya hingga seluar saya juga terkoyak hingga ke paras atas paha dan paha saya berdarah.

Saya terpaksa menggunakan baju ‘batik Hawai’ dan seluar bunga-bunga berwarna ‘pink’ dan sedikit hitam yang dipinjam oleh keluarga pesakit kepada saya tersebut pada masa itu.

Seingat saya, itulah kali terakhir saya menggunakan baju Melayu dan seluar kain semasa merawat pesakit. Setiap saat kisah tersebut saya masih ingat lagi hingga sekarang.

Bukan apa. Saya telah diketawakan oleh pesakit yang histeria tadi dan dia menggelarkan saya sebagai lelaki pondan.

“Dah lama ke cikgu tunggu?”

“Takdelah bang. Sementara tunggu abang datang tadi saya sempat bacakan beberapa ayat Al-Quran.

“Owh..Mintak maaf sebab terlewat sedikit cikgu. Ni ha si Ruby tadi tiba-tiba mengamuk. Jarang Ruby ni berkelakuan begitu. Ruby ni macam tau je cikgu nak datang tengok dia.”

“Macam mana keadaan Ruby sekarang Bang?”

“Alhamdulillah setakat saya nak ambik cikgu tadi dia dah ok sikit. Abang dan kakak dia yang jaga.”

“Kalau macam tu kita bergerak sekarang Bang.”

“Jom cikgu.”

Selepas itu kami memasuki kereta dan Masjid At Taqwa kami tinggalkan sambil meredah kesunyian malam.

Rumah Abang Rahim terletak di sebuah kampung tidak jauh dari Masjid At Taqwa. Lebih kurang 15 minit kami telah sampai di perkarangan rumah Abang Rahim.

Rumah Abang Rahim ni agak besar. Ada 3-4 buah kereta. Di sekeliling rumah Abang Rahim ada beberapa buah rumah yang agak rapat kedudukannya.

“Jom masuk cikgu.”

Saya tersenyum lalu mengikut Abang Rahim masuk ke dalam rumah.

“Assalamualaikum..”

Saya masuk sambil memberi salam kepada penghuni rumah.

Disapa teman Ruby

Saya perhatikan ada seorang lelaki yang sebaya umur saya serta dua orang perempuan. Lelaki tersebut memandang dan tersenyum melihat saya sambil menjawab salam.

Yang perempuannya pula seorang sedang duduk tersenyum dan seorang lagi tengah terbaring di ruang tamu.

Abang Rahim ketika itu sedang berdiri di hadapan perempuan yang terbaring tadi. Kemudian berjalan mendekati kerusi tempat saya duduk lalu duduk di sebelah saya.

“Yang tengah baring tu Ruby cikgu. Lelaki tu anak saya yang sulung. Razak namanya dan sorang lagi tu Rahmah. Kakak si Ruby. Ketiga-tiga diorang ni anak saya cikgu.”

“Alhamdulillah. Dah besar-besar anak Abang Rahim.”

“Ya cikgu. Cuma itulah yang saya dan isteri saya risau. Ntah siapalah yang akan jaga Ruby ni nanti kalau kami dah takde. Dahlah mak Si Ruby ni terkena stroke tiga tahun lepas.”

Wajah Abang Rahim kelihatan sugul sambil memandang Rudy dengan penuh kasih sayang seorang ayah.

Selepas itu saya berdiri dan duduk di sebelah Ruby. Ruby memandang saya dengan jelingan yang tajam. Kemudian ketawa. Ruby kemudian mengambil selimut di sebelah kanannya dan menutup muka.

Secara perlahan-lahan Ruby menurunkan selimut tadi hingga ke paras hidungnya. Kelihatan matanya yang merah hingga menampakkan urat-urat kecil kebiruan di celah-celah matanya. Memandang saya tanpa berkelip dan memerhati terus pergerakan saya.

Ruby mengangkat kepalanya perlahan-lahan dan terus memandang saya. Badannya bergerak-gerak seperti ditiup angin. Perlahan-lahan.

“Hahaha..Kamu masih kenal dengan aku wahai manusia?”

Saya terkejut. Abang Rahim dan anak-anaknya juga terkejut kerana seolah-olah jin tersebut kenal akan saya. Lagipun setahu saya rakan fb saya semua manusia. Tiada yang berketurunan jin.

“Assalamualaikum. Engkau siapa wahai jin. Aku tidak kenal engkau. Kenapa engkau ganggu Ruby ni? Dia pernah ganggu engkau ke?”

“Aku tidak akan menjawab salam kamu. Kerana aku tidak ada agama dan aku datang dari laut. Dulu akulah yang menyebabkan Ruby jatuh sakit. Tapi sekarang tidak.”

"Apa maksud kamu? Kenapa kamu ganggu Ruby? Apa yang kamu mahu dari dia?”

“Kau akan tahu juga nanti. Kerana kami berdua ada perjanjian dan ikatan sehingga Ruby ni mati. Hahaha..”

“Manusia seperti Ruby tidak akan membuat perjanjian kepada syaitan.”

“Hahaha..Ya. Itu kata-kata dari kamu. Bukan dari dia. Hahaha..”

Ruby kemudiannya cuba untuk mencekik dirinya sendiri. Saya, Abang Rahim serta kedua orang anaknya berusaha untuk membuka tangan Ruby yang sedang mencekik lehernya sendiri.

Hampir-hampir sahaja kami tidak mampu untuk membuka dan melepaskan tangan Ruby dari mencekik dirinya kerana tenaga luar biasa orang yang histeria ini lebih kuat dari kebiasaannya.

“Semoga laknat Allah tetap bersama engkau di mana-mana saja kau berada.”

Kemudian saya bacakan Surah Al Falaq dan sebuah petikan sebuah zikir dari Al Ma’tsurat;

Bismillahir rahmaanir rahiim

“Qul a’uudzu bi rabbil falaq. Min syarri maa khalaq. Wa min syarri ghaasiqin idzaa waqab. Wa min syarrin-naffaa-tsaati fil ‘uqad. Wa min syarri haasidin idzaa hasad.”

“Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh. Dari kejahatan makhlukNya. Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita. Dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki”.

“Allahumma anta rabbi laa ilaaha illa anta khalaqtani. Wa ana ‘abduka wa ana ‘ala ‘ahdika, wa wa’dika mastatha’tu, a’uudzu bika min syarri maa shana’tu, abuu`u laka bini’matika ‘alayya, wa abuu`u bidzanbi faghfirli fa innahu laa yaghfiru adz dzunuuba illa anta.”

“Ya Allah! Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan aku. Aku adalah hambaMu. Aku akan setia pada perjanjianku denganMu dan keyakinanku terhadap apa yang Engkau janjikan, sekuat kemampuanku.

Aku berlindung kepadaMu dari kejelekan yang kuperbuat. Aku mengakui nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosaku. Oleh karena itu, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Dari Syaddad bin Aus radliallahu ‘anhu, Nabi SAW bersabda:

“Sayyidul istighfar adalah bacaan: Allahumma anta rabbii….(hingga akhir). Barangsiapa yang membacanya di siang hari dengan meyakini isinya, kemudian dia meninggal di hari itu sebelum masuk waktu petang maka dia termasuk penduduk syurga. Barangsiapa yang membacanya di awal malam dengan meyakini isinya, kemudian dia meninggal sebelum masuk waktu pagi maka dia termasuk penduduk syurga.”

(HR Ahmad, Bukhari dan yang lainnya).

Badan Ruby tiba-tiba lemah. Hampir tidak berdaya. Badannya tidak sekeras tadi. Menutup mata seperti orang yang sedang nyenyak tidur.

Kemudian saya mengambil selimut tadi dan menutup mata Ruby sambil membaca;

“A’udzu bi kalimatillahit taammaati min syarri maa khalaq.”

“Maksudnya: Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk yang diciptakanNya.”

“Barang siapa masuk rumah dengan membaca “A’udzu bi kalimatillahit taammaati min syarri maa khalaq” tidak akan ada sesuatu pun yang membahayakannya hingga ia keluar dari rumah tersebut.”

(HR Muslim)

Saya cuba untuk mengejutkan Ruby. Ruby kemudiannya membuka mata secara perlahan-lahan.

“Ayah..”

“Ya Ruby.”

Saya melihat Abang Rahim mengesat air matanya. Suasana hiba menyelubungi kami ketika itu.

Ruby memandang kami satu persatu.

“Ruby kenapa ayah?”

“Ruby sakit nak.” Jawab Abang Rahim.

Kemudian Abang Rahim memandang saya.

“Ruby sakit apa cikgu?”

Saya terdiam seketika sambil memerhati wajah putih Ruby sambil memikirkan kembali apa yang terjadi pada Ruby suatu ketika dahulu. Setahun yang lepas. Ketika kali pertama saya dan kawan-kawan merawat Ruby.

Raja Air

Saya teringat kembali semasa saya sedang berdialog dengan jin yang merasuk tubuh Ruby ketika dia mengikuti program suatu ketika dulu.

“Assalamualaikum Ya Ma’syaral Jin” (Wahai golongan jin)

“Tidak peru memberi salam kepadaku.”

“Siapa kamu dan apa agamamu?”

“Cukuplah sekadar memanggil aku Raja Air. Aku penguasa di tengah Laut di Tanjung Batu. Semua jin di laut yang tidak beragama bertuhankan aku.”

“Kenapa kamu ganggu Ruby?”

“Bukan aku yang mengganggu dia tetapi dialah yang mengganggu anak buahku. Merosakkan rumah anak buahku di sebatang pohon kayu yang besar di tepi laut.”

“Laut ini seluas mata memandang. Kenapa perlu untuk tinggal di tempat manusia berjalan-jalan dan berkumpul? Lagipun Ruby dan kawannya tidak melihat anak buah engkau di sana.”

“Ya berjalanlah. Selagi tidak mengganggu anak buah aku. Tetapi perempuan ini dan kawan-kawannya membuat bising. Mendengar lagu ketika remang senja dan apakah kencing di rumah anak buah aku pada batang kayu itu bukan suatu kesalahan? Sedangkan anak buah aku ada di situ.”

“Tapi kenapa ramai-ramai yang ada di situ engkau tetap memilih Ruby?”

“Sebab dialah yang paling lemah sekali jiwanya, semangat dan perasaannya. Ketika aku merasuk dia ketika itupun dia tengah berkhayal, termenung dan jiwanya kosong hingga mudah untuk aku merasukinya.”

Selepas itu saya tersedar dari lamunan. Ketika cuba untuk mengingati kembali kisah kali pertama Ruby kerasukan.

Abang Rahim dan kedua orang anaknya ketika itu memandang saya.

Apa yang bermain di fikiran saya tadi tidak saya ceritakan kepada mereka. Mungkin lain kali. Supaya fikiran mereka jangan semakin kusut.

“Cikgu..Cikgu..Ruby sakit apa?”

Abang Rahim mengulangi soalannya baut kali yang kedua.

Saya memandang Abang Rahim sambil tersenyum.

“Abang Rahim. Ada baiknya saya bertanya beberapa soalan kepada Ruby dulu.”

“Silakan cikgu. Saya izinkan.”

Kemudian saya memandang Ruby kembali yang tengah memandang ke arah saya.

“Ruby, dalam setahun ni Ruby ada tak jatuh cinta dengan siapa-siapa atau pernah bertunang atau pernah bernikah sebelum ni?”

Ruby kerutkan hati sambil cuba untuk memikirkan semula kisah hidupnya. Sekitar lima minit Ruby mendiamkan diri. Kemudian saya lihat Abang Rahim memandang saya.

“Sebelum ni Ruby pernah bertunang sebanyak dua kali cikgu. Yang pertama seorang lelaki berasal dari Sarikei. Kerja di Bintulu. Sangat baik budi pekerti. Selepas beberapa bulan mereka bertunang Ruby meminta kepada lelaki itu untuk memutuskan hubungan pertunangan mereka tanpa sebab. Ruby cuma bagi tahu yang dia benci dengan lelaki tersebut.”

“Yang kedua. Seorang guru berasal dari Miri. Sempat bertunang juga beberapa bulan. Lepas tu cikgu tersebut menghantar keluarganya untuk memutuskan hubungan pertunangan mereka. Menurut keluarga lelaki tersebut mereka selalu diganggu suara ganjil dan kelibat lelaki tanpa kepala meminta mereka memutuskan hubungan pertunangan ini.”

Saya mendengar dengan tekun apa yang disampaikan oleh Abang Rahim. Saya cuba untuk meneliti secara terperinci kejadian-kejadian yang dialami oleh Ruby.

“Cikgu, Cikgu rasa Ruby kena buatan orang ke?”

Saya tidak menjawab pertanyaan Abang Rahim kepada saya. Saya terdiam seketika lalu memandang kembali Abang Rahim. Kemudian saya memandang Ruby yang masih lagi lemah terbaring.

Saya perlu untuk menyusun ayat supaya jawapan saya tidak akan menghampakan Abang Rahim dan keluarganya.

“Ruby, ada tak Ruby bermimpi berkahwin atau bersanding atau menyusu dan bermain dengan bayi?”

Ruby termenung seketika. Memandang ke luar jendela yang terbuka. Kemudian kembali memandang saya.

“Ada cikgu.”

“Ada tidak Ruby bermimpi berjumpa dengan lelaki kacak atau tinggi?

“Ada cikgu. Selalu.”

“Ruby ada tidak dalam diri Ruby suatu perasaan rindu dan berahi pada seseorang yang Ruby langsung tidak kenal? Bukan bekas tunang Ruby. Bukan boyfriend atau buka siapa-siapa yang Ruby kenal?”

“Ada cikgu. Saya selalu merasa rindu dengan orang yang saya sendiri tak tahu siapa.”

“Ruby suka tak kemas atau hias bilik tidur Ruby?”

“Suka cikgu. Hari-hari saya kemas. Saya kemas cantik-cantik macam pelamin. Macam bilik pengantin. Saya suka hias guna warna kuning cikgu. Cantik sangat.”

“Kenapa Ruby suka hias cantik-cantik?”

“Ntahlah cikgu. Saya pun tak tau.” Jawab Ruby yang mula bersemangat untuk menjawab soalan saya.”

“Ruby, Ruby pernah tak mimpi tidur sama dengan seseorang?”

“Ada cikgu. Selalu.”

“Hmm..”

Saya mengeluh sejenak sambil merangka kesimpulan sementara gangguan yang terjadi pada Ruby.

“Cikgu, Ruby kena buatan orang ke?”

Abang Rahim sekali lagi bertanya kepada saya. Wajah Abang Rahim yang putih kemerahan terus memandang saya. Peluh yang mengalir di dahinya langsung tidak mengganggu tumpuan Abang Rahim.

Manusia tanpa kepala

“Begini Abang Rahim. Kalau menurut pendapat saya Ruby bukan terkena buatan orang.”

“Kalau bukan buatan orang, penyakit apa yang mengganggu Ruby ni cikgu?”

“Saya rasa Ruby ini terkena gangguan ‘jin asyik’ Bang Rahim.”

“Ha..Jin Asyik. Apa benda tu cikgu?”

“Gangguan jin asyik ni adalah salah satu dari beberapa gangguan jin pada manusia. Jin asyik ni adalah gangguan jin jatuh cinta kepada manusia.”

“Apa maksud cikgu. Saya tak faham.”

“Maksud saya ada syaitan yang jatuh cinta kepada Ruby dan menyebabkan Ruby jatuh sakit seperti ini?”

“Astaghfirullahal ‘azhim..Macam mana ustaz tahu?”

“Semua soalan yang saya tanya kepada Ruby tadi adalah tanda-tanda jin jatuh cinta kepada manusia. Dan semua tanda-tanda ni ada pada Ruby.”

“Mungkin jugak cikgu. Sebab saya perasan suatu perkara tentang Ruby ni. Ini kali pertama saya ceritakan kepada orang lain. Dengan isteri saya sendiri saya tak cerita. Saya risau kesihatan isteri saya semakin teruk nanti.”

“Apa dia bang?”

“Ruby suka menyendiri di bilik. Cuma keluar untuk makan sahaja. Mandipun dah jarang sekarang. Ruby suka duduk di hadapan cermin dalam bilik. Kadang-kadang Ruby bercakap sendiri. Pernah suatu ketika saya dan anak saya Razak cuba mengintai dari tepi luar tingkap bilik Ruby.”

“Sebelum itu kami terdengar Ruby seperti bercakap-cakap dengan seorang lelaki. Kami juga mendengar suara lelaki tersebut. Bunyi mereka ketawa dan bergurau. Ketika itu saya terlalu marah cikgu kerana ketika itu saya rasa ada lelaki yang memanjat masuk ke bilik Ruby.”

“Tetapi ketika kami memerhati dari tepi tingkap dari arah luar rumah, kami melihat Ruby sedang bercakap-cakap di hadapan cermin. Seolah-olah sedang bercakap dengan seseorang. Menyisir rambutnya sambil membelai sesuatu. Yang paling menakutkan saya apabila saya perhatikan cermin itu, seolah-olah ada lelaki tanpa kepala yang menggunakan pakaian pembesar di raja pada zaman dulu. Cuma banyak benda seperti kerang-kerang kecil pada pakaian lelaki tersebut. Pakaiannya penuh dengan darah-darah sambil urat-urat berwarna biru, hijau dan merah terkeluar dari leher yang putus tadi.”

“Ruby pula kami perhatikan seperti sedang membelai kepala manusia. Rambutnya panjang dan dibiarkan mengerbang. Matanya merah dan besar seperti mata ikan. Lidahnya yang panjang menjilat-jilat tangan Ruby. Saya perhatikan dengan khusyuk. Kepala itu memang hidup dan bernyawa dan sedang bercerita dengan Ruby. Sedangkan badan lelaki itu ada di dalam cermin.”

“Sampai sekarang saya dan Razak tidak berani untuk cerita kepada siapa-siapa ustaz. Kalau di rumah ini juga kami sentiasa rasa diperhatikan. Pernah sekali, Rahmah kakak si Ruby ni bercerita kepada saya. Ketika itu Rahmah sedang masuk ke dalam bilik Ruby. Saya mintak kepada Rahmah untuk sapu dan mengemas bilik Ruby. Ketika itu Ruby pergi ke tandas. Bilik Ruby penuh dengan pasir-pasir laut. Juga kerang-kerang laut yang masih hidup. Ntah dari mana datangnya kami pun tak tahu.”

“Semasa Rahmah sedang menyapu pasir-pasir tu, Rahmah rasa sedang diperhatikan oleh cermin tadi. Melihat dan merenung setiap tingkah perbuatan Rahmah. Tapi Rahmah ni seorang yang berani cikgu. Hinggalah ketika Rahmah nak susun barang-barang ‘make up’ kat meja cermin tersebut, Rahmat rasa seperti dipeluk oleh seseorang dari belakang. Apabila Rahmah melihat cermin di hadapannya dia melihat lelaki tanpa kepala sedang memeluknya. Rahmah cuba untuk melepaskan diri.”

“Selepas beberapa ketika bergelut akhirnya pelukan itu terlepas dan Rahmah menjerit dan berlari untuk keluar dari bilik. Apabila hampir di hadapan pintu bilik. Tiba-tiba pintu tertutup dan Rahmah terhantuk kepalanya di pintu bilik Ruby lalu terjatuh. Rahmah cuba untuk bangun tapi tidak berdaya. Dalam keadaan terbaring seperti ini, Rahmah tidak dapat bergerak. Tiba-tiba dari arah kaki Rahmah, kepala yang menyeramkan tadi bergerak perlahan-lahan menuju kepadanya. Bermula dari kaki, lutut, perut, dada dan akhirnya kepala tersebut betul-betul berhenti di hadapan wajah Rahmah sambil tersenyum dan meletakkan lidahnya ke muka Rahmah dan akhirnya Rahmah tidak sedarkan diri.”

“Ketika Rahmah tersedar dari pengsan, Rahmah masih lagi di atas lantai di dalam bilik Ruby. Kemudian duduk menggosok-gosokkan mata. Pintu bilik Ruby sudah terbuka. Tetapi apabila Rahmah memandang ke arah cermin tadi, Ruby sedang memandang Rahmah dengan pandangan yang menakutkan sambil membelai-belai kepala manusia. Sedangkan di dalam cermin tadi masih lagi terlihat badan manusia tanpa kepala. Ruby dan kepala tersebut kemudiannya ketawa berdekah-dekah. Rahmah beranikan diri untuk bangun dan berlari menuju ke pintu. Selepas itu dua minggu Rahmah demam teruk cikgu dan sampai sekarang Rahmah tidak berani untuk masuk ke bilik Ruby.”

Abang Rahim mula mengimbau kembali pengalaman mereka tiga beranak berkenaan dengan kejadian-kejadian dan gangguan pelik yang mereka hadapi.

Cerita tersebut sangat menarik bagi saya. Saya terdiam. Agak lama juga. Begitu juga dengan Abang Rahim sekeluarga. Saya mula memohon petunjuk kepada Allah dengan membaca doa;

“Allahumma Inni As alukaal Hudaa Was Sadaad.”

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk dan kebenaran.”

(HR Muslim)

Saya ulang-ulang doa tersebut lebih kurang 50 kali hinggalah saya diberi suatu kekuatan dan petunjuk oleh Allah untuk membuat keputusan. Selepas memikirkan apa yang perlu saya lakukan saya kemudiannya memandang kepada Abang Rahim.

“Abang Rahim. Boleh tak kita masuk ke dalam bilik Ruby? Nanti Razak dan Rahmah tunggu kat sini. Jaga Ruby. Mana tau ada apa-apa yang berlaku?”

“Baiklah cikgu.”

“Jom..”

Abang Rahim kemudian mengangkat punggungnya dari tempat duduk dan saya mengikutinya dari arah belakang. Apabila sampai di hadapan pintu bilik Ruby, Abang Rahim meminta saya untuk masuk terlebih dahulu. Saya anggukkan kepala dan di dalam hati saya bacakan Surah Al-Fatihah, Kursi dan empat ‘Qul’.

Saya mulakan dengan melangkah dengan kaki kanan dan memberi salam. Diikuti oleh Abang Rahim. Bilik Ruby gelap dan suram. Ketika itu kami betul-betul berada di hadapan cermin.

Entah kenapa dari arah ekor mata seperti kelibat manusia tanpa kepala sedang memerhatikan kami berdua dari arah cermin tersebut.

Baju nya yang putih, dipenuhi dengan pangkat-pangkat pembesar dahulu kala. Juga dipenuhi siput-siput dan kerang-kerang kecil berwarna kebiru-biruan. Urut terkeluar dari tengkuk tersebut. Serta darah kemerahan berhamburan di bahagian atas bajunya.

Di bawah katil Ruby pula kelihatan seperti potongan kepala. Mata merah bersinar. Memandang dengan penuh rasa marah. Tetapi apabila diperhatikan betul-betul tiada apa yang ada di bawah katil tersebut.

Semua itu tidak mengganggu tumpuan kami untuk melihat sekeliling.

Tiba-tiba saya dan Abang Rahim memandang antara satu sama lain. Kami diam sambil memasang telinga. Sepertinya kami mendengar sesuatu dari arah luar rumah. Bunyinya semakin lama semakin kuat.

Kami mendengar seolah-olah seperti bunyi ombak. Rakus merempuh rumah Abang Rahim. Bunyi angin bertiup kencang di dalam bilik Ruby. Pasir pantai berterbangan menerpa dari arah yang kami tidak tahu puncanya.

Bunyi tersebut bila digabungkan seolah-olah mengeluarkan suatu susunan muzik yang indah, mengkhayalkan dan mengasyikkan. Patutlah Ruby sering terperangkap dengan keadaan seperti ini.

Kami tersentak. Tiba-tiba suara orang menjerit dari arah belakang.

“Dasar manusia celaka. Engkau bukan lawan aku. Kenapa perlu mengganggu hidup aku.”

Ruby gemar bercakap dengan cermin bila berada di dalam biliknya. (Gambar sekadar hiasan)

Jerit Ruby lalu berdiri dan menyerang saya dan Abang Rahim.

Bila masa Ruby bangkit dari tempat perbaringannya tadi saya pun tak pasti.

Saya dan Abang Rahim secara serentak memandang ke belakang. Ternyata Ruby memilih Abang Rahim sebagai mangsanya. Kalau Ruby memilih saya. Saya akan memilih untuk lari ke luar rumah dulu.

Ruby memanjat ke belakang badan Abang Rahim sambil giginya mencengkam tepat ke leher sebelah kiri Abang Rahim. Abang Rahim menjerit kesakitan sambil menyebut nama Allah.

“Ya Allah. Sakitnya.”

Abang Rahim jatuh terlungkup betul-betul di hadapan meja cermin di bilik Ruby. Mungkin disebabkan Abang Rahim terpaksa memikul Ruby di belakangnya sedangkan kedua tangannya cuba untuk menahan tajamnya gigi Ruby seakan lebih panjang dari terus menerkam lehernya.

Saya meluru ke arah Abang Rahim sambil menarik kepala Ruby dari terus menggigit ayahnya yang terbaring sambil Razak kemudiannya datang meluru membantu memeluk Ruby dan menariknya ke belakang. Kami bergelut agak lama juga. Sekitar lima minit.

Ruby semakin lama semakin agresif. Kekuatannya seperti bertambah berlipat kali ganda. Saya, Razak dan kemudiannya Rahmah datang membantu kami berdua menahan Ruby dari terus menyerang siapa sahaja di hadapannya.

Dalam keadaan tegang seperti itu saya meminta Razak untuk membaca Surah Kursi dan menekan leher di sebelah kiri dan kanan Ruby. Saya memintanya untuk menekan di sekitar antara bahagian urat tegang di leher dan di bawah telinga dengan menekan secara sedikit kuat.

Ruby kemudiannya menjerit kesakitan dan meronta-ronta untuk dilepaskan. Abang Razak yang tadi terbaring menahan kesakitan mula duduk secara perlahan-lahan sambil menahan tengkuknya yang berdarah.

Abang Razak sempat tersenyum memandang saya. Bagi saya inilah pengorbanan seorang ayah kepada anaknya. Yang kadang-kadang takkan dapat difahami oleh kita sebagai anak.

Selepas beberapa lama meronta, akhirnya Ruby terdiam. Bola mata kemerahannya meliar ke kiri dan ke kanan sambil memandang ke sekeliling rumah. Ruby kemudiannya menoleh wajah kami satu persatu. Bermula dari Rahmah dan Razak. Kemudiannya memandang Abang Rahim dan akhirnya Ruby memandang saya.

Perjanjian Putera Raja Air

Pandangan mata Ruby ketika itu sangat menakutkan. Terus memandang saya. Matanya kemerahan dan kadang-kadang menampakkan keseluruhan biji matanya yang putih.

“Hahaha… sudah lama aku tidak bersua dengan kamu wahai manusia. Ternyata kamu masih lagi bodoh seperti dulu. Mengapa kamu terus mengganggu aku sedangkan aku tidak mengganggu kamu.”

“Kamu tidak mengganggu aku tetapi kamu mengganggu saudara aku Si Ruby.”

“Dia bukan saudara kamu lagi, dia bukan milik keluarganya. Dia milikku sekarang. Dia telah menjadi isteri aku. Hahaha..”

“Isteri kamu? Bila masa kamu menikah dengan Ruby? Dia Islam sedangkan kamu tiada agama. Dia manusia sedangkan kamu dari bangsa jin.”

“Dia yang telah membuat perjanjian suatu ketika dulu. Bukan aku. Bahkan aku terima sahaja kalau dia mau menjadi isteri aku.”

“Astaghfirullahal ‘azzhim. Semoga laknat Allah tetap bersamamu.”

“Kenapa engkau perlu marah bodoh sedangkan dia yang setuju. Hahaha. Manusia bodoh dan bangang. Bodohnya kamu Malik. Hahaha. Kamu tahu tidak? Di sekeliling rumah Ruby ini aku telah penuhkan dengan tentera-tentera aku dari kalangan syaitan dan jin untuk menyerang kamu semua pada bila-bila masa sahaja. Hahaha.”

Saya tidak mengendahkan apa yang dikatakan oleh syaitan yang merasuk Ruby tadi. Saya kemudiannya membaca ayat Al-Quran;

“Dan Kami turunkan dari Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”

(Al Israa: 82)

Kemudian saya minta Razak untuk terus menekan bahagian leher Ruby tadi. Saya ulangi bacaan ayat- ayat tadi berulang-ulang kali sehingga nampak wajah kesakitan pada Ruby.

"Bodoh. Lepaskan aku wahai manusia. Nanti aku akan lepaskan dia. Tapi kita perlu untuk membuat suatu perjanjian.”

“Aku tidak pernah membuat perjanjian kepada syaitan dan tidak akan pernah.”

“Baiklah. Aku akan lepaskan dia tapi sebelum itu tolong lepaskan aku.”

“Kau jawab dulu pertanyaan aku. Kenapa kau ganggu Ruby sebelum ini?”

“Sudah aku bagitau sebelum ini. Mula-mula dulu dia dan kawan-kawannya membuat bising, menjerit dan kencing sembarangan di rumah anak buah aku di tunggul kayu besar di tepi pantai. Anak buah aku terganggu lalu mereka menyembah dan meminta aku untuk menolong mereka.”

“Oleh kerana aku adalah tuhan di kalangan mereka jadi aku bantu mereka untuk merasuk perempuan ini dan serta mengganggu kawan-kawannya. Supaya anak buah aku dari kalangan jin akan terus sesat selamanya.”

“Tadi kau kata Ruby ada perjanjian denganmu.”

“Ya. Memang ada. Selepas aku seksa dia aku mula jatuh cinta padanya. Sama seperti beratus orang manusia yang aku rasuk satu persatu suatu ketika dulu. Dari perasaan benci kepada perasaan sayang. Dia juga begitu.”

“Akhirnya dia jatuh cinta padaku. Aku menampakkan pada dia bahawa aku adalah seorang putera raja bernama Raja Air dan cuma aku yang tahu bagaimana untuk melayan dia.”

“Aku genggam jiwanya. Supaya dia tawar hati kepada orang yang dia sayang. Kemudian aku hilangkan rasa sayangnya kepada orang lain dan menggantikan dengan perasaan benci.

“Nanti suatu ketika apabila aku sudah menggenggam perasaannya dan akal fikiran, maka ketika itu aku akan merasuk dan menetap di liang-liang urat fikirannya dan menghilangkan kewarasan fikirannya sehingga dia menjadi gila selamanya. Hahaha.”

“Lepas itu. Apa lagi yang kau nak dari Ruby?”

“Aku yang menggenggam jiwanya selama ni. Aku rasuki dia. Kemudian jiwanya aku tahan dan aku bawa jiwanya ke bawah tengah lautan. Aku simpan dia bersama ratusan orang lagi gadis-gadis hina seperti dia. Hahaha..aku masukkan dia ke dalam suatu ruang kecil seperti bilik yang muat untuk badannya sahaja. Aku kurung mereka seperti mana manusia suka mengurung ikan-ikan hidup.”

“Di lautan ini dia tidak akan mati kelemasan. Kerana di dalam ruang ni airnya sebatas di bawah hidung dan di atas mulut. Akal fikiran mereka juga aku tahan. Tinggallah mereka aku susun mengikut mangsa-mangsa aku sebelum ini. Setiap mereka punya ruang kecil sendiri. Sebelum malam menjadi siang. Aku akan melihat mereka satu-persatu. Di sinilah juga mereka akan kupermainkan sehingga mereka mati.”

“Dasar syaitan laknatullah. Keluar engkau dari tubuh badan Ruby atau engkau akan berhadapan sendiri dengan Allah dan bukannya aku.”

“Hahaha..Perjanjian tetap perjanjian. Melainkan perjanjian ini akan dimusnahkan oleh perempuan ini sendiri.”

“Tiada lagi perjanjian Ruby ini dengan kamu selepas ini wahai syaitan. “

“Bagaimana mungkin untuk tidak manusia bodoh. Sewaktu perempuan ini sudah sembuh, dia tidak membentengi dirinya dengan solat dan zikir. Selepas itu pada suatu ketika, beberapa bulan selepas dia sembuh, dia datang bersama keluarganya ke tepi laut. Dari tengah lautan aku sudah perhatikan diri dia kerana aku kenal dengan dia.”

"Kemudian dari tengah lautan juga aku hantarkan kepadanya sekuntum bunga tujuh kelopak yang setiap kelopaknya adalah dengan warna yang berbeza. Kemudian aku hanyutkan dari tengah lautan ke tepi pantai dan akhirnya dia mengambil bunga itu lalu dibawa pulang ke rumah.”

“Dia yang menerima dan mengambil bunga itu di tepi pantai. Aku tidak menyuruh dan menghalang pun dia mengambilnya. Tetapi oleh kerana dia yang mengambilnya, maka dialah yang setuju untuk menjadi isteriku.”

“Tetapi bukankan Ruby tidak tahu. Semua orang juga akan sama seperti Ruby. Mencintai sesuatu yang cantik dan tidak tahu bahawa bunga itu adalah tanda perjanjian dari kamu.”

“Aku tahu. Di situlah kesilapan manusia. Suka mengambil sesuatu yang cantik pada pandangan matanya sahaja dan akhirnya dia sendiri yang menjerat dirinya sendiri. Sedangkan sesuatu yang pelik itu pasti akan ada penjaganya.”

Saya kemudian meminta Rahmah mencari di segenap bilik Ruby. Di atas katil, di dalam almari, di meja cermin tadi dan di segenap ruang bilik Ruby.

Tetapi masih tidak kelihatan juga bunga tersebut hingga Rahmah kelihatan kesedihan dan mengesat air matanya disebabkan kecewa kerana tidak dapat mencari bunga tersebut. Mungkin kesedihan seorang kakak yang tidak mahu adiknya menanggung lagi kesakitan yang berpanjangan.

“Cikgu, saya tak jumpa bunga tu. Sudah puas saya cari dalam bilik ni.”

“Hahaha..Kamu semua tidak akan dapat mencari bunga tersebut.”

Saya cuba untuk memikirkan apa jalan yang terbaik. Saya kemudiannya membaca suatu potongan dari ayat Al-Quran Surah Ali Imran ayat 29;

Bismillahir rahmaanir rahiim..

“Qul in tukhfuu maa fii shuduurikum au tubduuhu ya’ lamhullahu waya’ lamu maa fiis samaawaati wamaa fil ardhi wallahu ‘ala kulli syai in qadiirun.”

“Katakanlah: Jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui. Allah mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Kemudian saya membaca ayat ruqyah dari Malaikat Jibril yang mengajarkan doa ini kepada Rasulullah SAW agar menyakiti syaitan yang sedang merasuki Ruby;

Doa Ruqyah dari malaikat Jibril.

“Aku berlindung dengan wajah Allah yang Maha Mulia dan dengan Kalimat-Kalimat Allah yang Sempurna yang tidak ada “melampauinya” segala kebaikan maupun keburukan dari kejahatan apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar darinya dan dari kejahatan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan dari kejahatan fitnah di malam dan siang hari dan dari kejahatan jalan-jalan di malam dan siang hari kecuali suatu jalan yang dilalui dengan kebaikan, wahai yang Maha Penyayang”.

(Setelah Nabi Muhammad SAW membaca doa tersebut, maka jin Ifrit yang mengekori beliau jatuh tersungkur lalu binasa dan obornya padam).

(HR Bukhari)

Bunga tujuh kelopak dan tujuh warna

Selepas beberapa ketika syaitan yang merasuki tubuh Ruby tadi mula menjerit menahan kesakitan. Saya ulangi terus doa tersebut beberapa kali sehingga syaitan itu mula lemah dan mengalah.

“Tolong hentikan bacaannya. Aku sudah tidak tahan. Kamu ambillah bunga tersebut. Musnahkannya. Selepas itu aku tidak ada lagi apa-apa hubungan dengan perempuan ini.”

“Kalau aku musnah pun bunga itu, itu bukan bermakna aku tunduk pada perintah kamu. Sebab aku tetap akan musnahkannya kerana ketaatan aku kepada Allah dan Rasul.”

Saya dan Abang Rahim mula mencari di dalam bilik Ruby. Sementara Razak dan Rahmah masih duduk di samping Ruby. Kalau-kalau Ruby mengamuk semula, maka senanglah untuk mereka menahannya.

Saya mencari di sekitar almari dan katil sedangkan Abang Rahim mencari di kawasan dinding bilik, pintu dan meja cermin.

‘…PRANG…’

Terdengar seolah-olah bunyi sesuatu yang pecah. Kami memandang ke arah meja Ruby yang ada cermin di hadapannya. Cermin yang pecah itu mengeluarkan sedikit kepulan asap.

Baunya seperti bau ikan salai yang dibakar. Dari sepihan-serpihan beberapa cermin yang pecah tadi ada sebahagian lagi cermin yang masih melekat di dindingnya.

Dari situ kelihatan secara samar-samar kepulan asap tadi terbentuk seperti genggaman tangan yang berbulu dan berdarah keluar dari cermin tersebut. Tangan itu kemudiannya terbuka dan timbul sekuntum bunga tujuh kelopak dan tujuh warna tadi. Seakan sedikit layu.

Dari bentuk tangan tadi bertukar menjadi kepulan asap berbentuk tubuh badan tanpa kepala lalu keluar dari arah cermin tadi dan berjalan menuju Ruby yang sedang terbaring.

Kepulan asap yang membentuk sosok lelaki tersebut seolah-olah merenung ke arah Ruby walaupun tanpa kepala. Terdengar seperti bunyi orang ramai menangis dan merayu dan merintih seperti di kuburan. Lolongan sayu anjing yang bersahutan tiba-tiba kedengaran di hadapan rumah Abang Rahim.

Angin tiba-tiba muncul dari dalam bilik. Juga pasir-pasir halus tiba-tiba muncul dan berterbangan di tiup angin. Kami semua menutup mata kerana pasir berterbangan di sekeliling bilik.

Tidak lama kemudian angin tersebut menjadi reda perlahan-lahan. Bunyi tangisan dan lolongan anjing tadi juga berkurangan dan akhirnya hilang di tengah kepekatan malam.

Ketika saya membuka mata, tiada lagi butiran pasir di sekeliling pantai bilik Ruby. Tidak berselerak. Semua tersusun kemas dan rapi seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebelumnya.

Bunga tujuh kelopak dan tujuh warna itu saya perhatikan dengan tekun. Setiap kelopaknya berwarna putih, biru, kuning, hijau, merah, hitam dan kelabu. Kemudian bunga itu saya ambil dan saya bacakan Surah Al-Fatihah, Kursi dan empat Qul.

Kemudian saya membawanya keluar rumah Abang Rahim untuk dibakar. Bunga itu saya bakar di dalam bekas tin Milo yang ada di luar rumah Abang Rahim. Setelah dibakar, debu bunga tadi saya letakkan ke dalam plastik untuk saya buang ke dalam sungai keesokan harinya.

Saya merasa seram kerana seperti ada kepulan asap berbentuk badan manusia tanpa kepala yang sedang memerhati saya di sebalik belakang pokok pisang di sebelah rumah Abang Rahim sebelum hilang ditiup angin malam.

Saya cepat-cepat membakar bunga tersebut dengan menggunakan kertas dan kota-kotak lama. Bau asapnya seperti bau pasir yang panas di tepi pantai.

Kami kemudiannya berkumpul di hadapan Ruby semula. Saya bacakan beberapa ayat Al-Quran untuk memastikan yang gangguan pada badan Ruby telah tiada. Setelah selesai membaca ayat Al-Quran, Ruby kemudiannya membuka mata perlahan-lahan.

Saya meminta Ruby untuk beristighfar dan membaca Surah Kursi. Ruby mengangguk faham dan mula beristighfar. Selepas itu Ruby terdiam. Memandang saya dan Abang Rahim. Ruby kemudiannya menangis. Kami memandang sesama sendiri kerana kami tidak tahu kenapa Ruby mula menangis.

“Ruby, istighfar banyak-banyak. Tenangkan hati. Ingat kat Allah.” Jelas saya.

“Kenapa kamu menyiksa Ruby. Kenapa putuskan hubungan Ruby dengan dia.”

Kami terkejut dengan tindakan Ruby. Semua seakan terpaku.

“Astaghfirullahal ‘azhim..Ruby. Yang mengganggu Ruby selama ini adalah syaitan. Kenapa perlu menjalinkan hubungan dengan syaitan?”

“Walaupun dia syaitan tapi dia yang dapat mencintai Ruby sepenuh hati. Ruby rela menyerahkan diri Ruby kepada Syaitan kerana selama ini Ruby bahagia bersamanya. Dia Putera Raja Air pujaan hati Ruby.”

Saya agak sedikit marah juga ketika itu. Kerana Ruby seolah-olah menyalahkan kami kerana membantunya bebas dari belenggu syaitan.

“Ruby, jangan sampai Allah menguji kamu lagi dengan kesengsaraan yang berterusan sekiranya kamu tetap berpendirian seperti ini. Kamu sebenarnya menjadi permainan syaitan-syaitan.”

“Ruby tidak peduli. Ruby tetap ingin hidup bersamanya. Menjadi permaisuri ratu di tengah lautan. Punyai kerajaan sendiri. Tidak seperti sekarang. Tiada seorang pun yang faham kehendak Ruby.”

Abang Rahim diam sahaja dari tadi dan mula bersuara.

“Ruby, istighfar nak. Bertaubat kepada Allah. Jangan ikut sangat syaitan tu.”

“Ayah pun sama. Ayahlah penyebab kenapa saya tidak dapat untuk hidup bersama lagi dengan Putera Raja Air kesayangan Ruby.”

Jalan hidup pilihan Ruby

Saya memperbetulkan kedudukan saya dan duduk menghadap Ruby.

“Ruby, bertaubat kepada Allah. Lepas ini jaga solat, banyakkan mengaji dan buatlah apa-apa aktiviti supaya Ruby dapat melupakan syaitan tersebut.”

“Engkau pun sama. Adakah dengan solat dan mengaji Ruby boleh bahagia seperti dulu dan Putera Raja Air akan datang kepada Ruby kembali?”

“Kalau itu jawaban kamu, cikgu akan berlepas tangan dan menyerah segalanya kepada Allah. Tugas cikgu sudah selesai sekarang. Sekarang cikgu serahkan kamu kepada ibu bapa kamu dan juga kepada Allah.”

“Kamu pulanglah cikgu. Ruby benci melihat muka kamu. Dari kali pertama lagi ketika kamu datang ke sini. Sebelum kamu datang Putera Raja Air sudah beritahu Ruby yang engkau datang untuk memisahkan kami.”

“Tak apalah Ruby. Cikgu serahkan urusan kamu kepada ayah kamu.”

Demi cintanya kepada Putera Raja Air..Ruby kini mengalami masalah mental yang cukup kronik. (Gambar sekadar hiasan)

Kemudian saya meminta Abang Rahim untuk menemani saya keluar dari bilik. Saya beristighfar dan perlu mengawal kemarahan saya.

Kalau tidak, usaha kami akan sia-sia sahaja kerana terpancing emosi. Kalau terpancing emosi maka syaitan akan bertepuk tangan tanda kegembiraan dan kemenangan di pihak mereka.

“Abang Rahim. Saya rasa tugas saya sudah selesai di sini. Lepas ini saya mintak Abang Rahim cuba nasihat Si Ruby ni. Ruby bukan apa Abang Rahim. Jiwanya masih lagi belum tenteram dan masih lagi teringat kepada syaitan tu. Setiap hari mereka hidup bersama. Jadi perlu masa untuk berubah.”

“Insya-Allah cikgu. Nanti saya cuba nasihat Ruby ni. Saya pun buntu juga apabila Ruby berkeras macam ni. Saya ingatkan lepas syaitan itu keluar Ruby akan berubah. Tetapi macam ni pulak jadinya.”

“Tak apalah bang. Beri masa kepada Ruby ok. Insya-Allah semuanya akan selesai nanti. Melainkan kalau Ruby yang menolak. Jom hantar saya balik bang.”

Abang Rahim mengambil kunci di atas tv di ruang tamu. Kami kemudiannya menaiki kereta Abang Rahim. Setelah menghidupkan enjin kereta kami bergerak meredah kabus malam.

Di dalam kereta saya menjelaskan beberapa perkara kepada Abang Rahim berkenaan dengan gangguan yang berlaku kepada Ruby.

Abang Rahim mengangguk sambil sesekali memandang saya. Setelah kereta sampai di halaman rumah rumah saya, Abang Rahim melemparkan senyumannya kepada saya.

“Terima kasih banyak-banyak cikgu. Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik cikgu. Berapa bayarannya cikgu?”

“Tiada bayaran apa-apa bang. Saya ikhlas Lillahi Ta’ala.”

“Jangan macan tu cikgu. Ni sebagai usaha cikgu bantu keluarga saya. Penat lelah cikgu, masa cikgu lagi.”

Abang Rahim mengeluarkan sampul putih dari poketnya. Saya menoleh sambil tersenyum.

“Tak apalah Abang Rahim. Saya ada gaji sendiri. Ini saya bantu kerana Allah. Cuma saya minta Abang Rahim doakan supaya saya, keluarga dan kawan-kawan saya sentiasa di dalam perlindungan Allah. Diberi kesihatan tubuh badan upaya kami boleh membantu orang lain pula. Abang Rahim tak payah beri apa-apa. Nanti di akhirat saya ‘claim’ kat Allah saja.”

Saya tersenyum sambil menghulurkan salam. Abang Rahim cuma terpaku dan dalam keadaan serba salah menyambut tangan saya.

“Assalamualaikum Abang Rahim..”

“Waalaikumsalam..”

Kemudian Abang Rahim menekan minyak kereta secara perlahan-lahan dan melambaikan tangannya kepada saya. Saya merenung terus kereta Abang Rahim sehingga hilang dari pandangan mata saya.

Sebelum masuk ke dalam rumah, saya duduk di luar rumah dahulu untuk membaca Al-Fatihah, Surah Kursi dan tiga Qul. Sebagai usaha perlindungan untuk diri dan keluarga. Jangan sampai syaitan-syaitan masuk bersama tanpa kita ketahui dan mengganggu anak-anak dan keluarga.

Ketika membaca surah tadi saya merasakan ada sesuatu yang tak kena. Entah saya pun tak tahu apa dan kenapa. Saya cuma berharap tiada apa-apa yang berlaku kepada Ruby selepas itu.

Selang seminggu selepas itu Abang Rahim menelefon saya memberitahu yang Ruby terkena histeria sekali lagi. Malam tersebut juga saya dan kawan saya datang ke rumah tersebut untuk merawat Ruby.

Kali ini yang mengganggu bukan syaitan Putera Raja Air tersebut tetapi syaitan-syaitan yang lain.

Menurut syaitan ini mereka merasuk Ruby kerana Ruby sentiasa kesedihan dan sentiasa berkhayal dan mengharapkan agar puteranya kembali datang.

Dan syaitan-syaitan inilah yang menggantikan dan menyerupai syaitan putera Raja Air tadi untuk mempermainkan Ruby sekali lagi.

Ruby saya bagi nasihat yang sama ketika itu. Tetapi dia menolak dan kali ini menyumpah-nyumpah saya. Saya sempat jelaskan kepada Abang Rahim yang ini sudah di luar batas kemampuan saya. Kerana badan Ruby dan kehidupan dirinya cuma dia sahaja yang boleh mengubahnya.

Abang Rahim memahami apa yang saya sampaikan dan saya nasihatkan Abang Rahim supaya sentiasa berusaha merawat Ruby dan bawa juga ke klinik.

Selepas itu Abang Rahim ada membawa Ruby berubat di semenanjung dengan beberapa orang ustaz. Ternyata apa yang mereka sampaikan sama seperti apa yang saya jelaskan sebelum ini.

Dan akhirnya penyakit Ruby tidak kunjung sembuh. Malahan lebih teruk lagi selepas itu. Masalahnya bukan perawat yang tidak berkesan ketika merawat.

Tetapi Ruby yang tidak ikhlas untuk sembuh dan terus-menerus di dalam kesedihan, kemurungan dan melayani khayalan fantasinya sendiri.

Saya tidak nafikan untuk kes Ruby ini saya memang kecewa kerana dengan izin Allah kita dapat menghilangkan gangguan pada badannya tetapi tidak pada akal fikirannya.

Saya tidak berdaya dan berupaya untuk mengubah cara berfikir Ruby kerana itulah jalan pilihan Ruby.

Selepas itu agak lama juga saya tidak melihat Ruby. Saya tidak tahu bagaimana keadaan Ruby sekarang. Sehinggalah Abang Rahim menelefon saya pada suatu hari.

“Assalamualaikum cikgu.”

“Waalaikumsalam Abang Rahim. Abang Rahim apa khabar? Ruby apa cerita sekarang bang?”

“Saya Alhamdulillah sihat cikgu. Semua sihat. Cuma Ruby ada masalah sedikit.”

“Kenapa Ruby bang. Masih histeria lagi ke?”

“Takdelah cikgu. Dia dah tak histeria lagi dah. Cuma Ruby sekarang dah gila.”

“Innalillahi wa inna ilaihi ro’jiun..”

“Biar betul bang?”

“Betul cikgu. Saya dah bawak Ruby pergi ke hospital umum dan hospital swasta. Mereka memberikan kesimpulan yang sama.”

“Allahu Rabbi. Kenapa boleh jadi begini.”

“Entahlah cikgu. Inilah jalan pilihan Ruby. Saya harap suatu hari nanti Ruby akan kembali pulih seperti dulu. Kalau Ruby sembuh saya akan bawa Ruby pergi menunaikan umrah.”

“Allahumma amin. Semoga Allah menyembuhkan Ruby dan menunaikan hasrat Abang Rahim.”

“Insya-Allah. Oklah cikgu. Nanti ada masa kita berbual lagi.”

“Ok bang. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam cikgu.”

Saya terkedu sebentar. Saya sangat sedih mendengar keadaan terbaru Ruby. Sejauh itu Ruby hanyut dengan godaan syaitan. Saya terfikir bagaimana kalau kita yang diuji seperti ini.

Na’udzubilah. Semoga Allah melindungi kita dan keluarga kita. Amin.

Kisah hidup Ruby ini banyak memberi pengajaran kepada saya. Walau bagaimana sekalipun kita berusaha untuk membantu orang yang memerlukan bantuan, kalau tiada keikhlasan seseorang itu untuk berubat maka dia akan susah untuk sembuh.

Pernah sekali dua apabila saya melintasi di hadapan rumah Abang Rahim menggunakan kereta, saya melihat Ruby dalam keadaan tidak terurus, berdiri menghadap ke arah matahari tenggelam sambil tersenyum.

Doa saya sentiasa mengiringi Ruby. Insya-Allah semoga suatu hari nanti ada sinar di sebalik mendung yang berpanjangan ini.

Dan kisah kehidupan Ruby inilah yang menyebabkan saya dan kawan-kawan berusaha semampu mungkin untuk membantu pesakit. Agar sejarah seperti ini tidak akan berlaku lagi kepada orang lain. Allahu a’lam..

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak

Artikel Menarik:

Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma

"Balik oi balik...."- Aksi Che Tam hambat kerbau, curi perhatian

Sedapnya suara, syair Cikgu Azizah raih lebih 400 ribu tontonan

Ramai meremang dengar suara merdu dua cikgu cantik dari Kuala Pilah ini

Murid tak datang duduki UPSR, cikgu ini nekad cari di rumah dan apa yang terjadi mengejutkan ramai