CIKGU muda ini tidak pernah berhenti daripada membantu mereka yang dalam kesusahan.

Apatah lagi, yang susah itu adalah terdiri daripada pelajarnya sendiri.

Yang terbaharu, guru muda yang dikenali sebagai Cikgu Maisarah Hannan Chong Abdullah berkongsi satu lagi posting di facebooknya berkenaan makanan percuma yang diagihkan kepada pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua.

Ketika ditemu bual wartawan GPS Bestari menerusi aplikasi Messenger, Cikgu Maisarah Hannan yang juga Guru Bimbingan dan Kaunseling di sebuah sekolah di Sabah berkata, makanan percuma itu adalah hasil daripada sumbangan orang ramai.

"Mereka memang tak bawa bekal makanan dan juga duit kerana faktor kemiskinan.

"Nak ke kantin, jauh sekali kerana memang tak bawa duit. Jadi, dengan sumbangan makanan percuma ini, sedikit sebanyak dapatlah mereka alas perut," ujarnya.

Memandangkan Cikgu Maisarah Hannan mengajar pada sesi petang, ini bermakna hanya pelajar Tingkatan Satu dan Dua sahaja yang dapat menikmati makanan tersebut.

"Raut wajah mereka nampak jelas gembira. Syukur sangat," katanya dengan menambah kedudukan rak makanan diubah sedikit. Jika dulu diletakkan di hadapan bilik guru, tetapi kini diletakkan di kawasan laluan pelajar (berpandukan SOP).

Terdahulu, projek makanan percuma yang bermula Mac 2018 dengan menggunakan duit poket Cikgu Maisarah Hannan itu pernah tular di media sosial.

Artikel bertajuk Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma mendapat sokongan dan kata-kata positif daripada warganet. Ramai yang mula memberi sumbangan kewangan dalam membantu para pelajar ini.

Alhamdullilah, beberapa buah sekolah di Semenanjung turut membuat perkara yang sama kepada pelajar mereka.

"Juga semakin ramai netizen yang bagi sokongan untuk projek ini.

"Terima kasih. Semoga Allah SWT membalas segala jasa baik anda semua," kata cikgu ini.  

Artikel menarik: 

Baru berusia 32 tahun, Osman kini Guru Besar termuda di Malaysia. Rezeki dan tahniah cikgu!

'Saya tak cukup duit cikgu nak naik bas hingga ke sekolah' - Luahan ikhlas pelajar buat ramai sebak

Walau sering dikecam kerana bantu orang susah...cikgu ini tetap bersabar. Moga cikgu terus kuat!