Lazimnya, jambangan bunga menjadi pilihan sebagai hadiah untuk meraikan seseorang. Namun berbeza pula bagi beberapa orang guru dari SMK Seksyen 16 Shah Alam yang menerima jambangan sayur bayam daripada Cikgu Mohamad Khamidon Sadi, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Donze.

Beberapa keping gambar yang dikongsi oleh Cikgu Donze di facebook milik beliau itu mendapat perhatian ramai, rata-rata rasa terhibur dengan perkongsian itu.

‘Pemberian itu sangat unik… jambangan sayuran bayam merah itu juga nampak segar dan cantik.’

Menurut Cikgu Donze, idea untuk berbahagi rezeki itu timbul sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih kepada rakan sekerja atas segala usaha yang dibuat bersama sepanjang persiapan sekolah normal baharu baru baru ini.

“Alhamdulilah semua kawan kawan sangat gembira dan teruja kerana mendapat jambangan sayur yang cantik dan segar dari ladang… lagipun ia tidak mengambil masa yang lama untuk tumbuh segar cantik. Hanya dalam masa tiga minggu, ia sudah boleh dituai dan dimasak…”

Bercerita lanjut, selain gemar bercucuk tanam, Guru Kanan mata pelajaran Teknik dan Vokasional, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 Shah Alam itu juga mempunyai bakat memasak di dapur.

Pelbagai menu menarik pernah dikongsi beliau di laman facebook. Bukan sahaja keluarga, bahkan jiran tetangga juga turut berpeluang menikmati air tangan istimewa Cikgu Donze, apabila beliau sendiri berkongsi rezeki setiap hari dengan jiran tetangganya.  

Cikgu Donze bersama jambangan bayam merah segar

Bayam merah yang ditanam di hadapan rumahnya