Lukisan dinding atau lebih dikenal sebagai mural adalah seni yang dilukis dengan penuh kreatif dan mempunyai maksud tersurat dan tersirat. Guru Kanan Mata Pelajaran Teknik dan Vokasional, Mohamad Khamidon Sadi atau lebih dikenali sebagai Cikgu Donze, antara guru yang aktif dalam melukis mural di sekolah.

Guru yang pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 sudah melukis lebih 20 mural di sekolah itu.

“Saya mula awal tahun 2000 dan pada 2014, saya mula mengorak langkah kerana sekolah ini antara sekolah tertua di Shah Alam dan saya fikir sekiranya tidak lakukan sesuatu maka sekolah akan kelihatan buruk.

“Jadi guna usaha dan kebolehan yang ada, saya hasilkan mural dan tahun ni  saya berazam untuk ubah prasarana sekolah supaya ia jadi suatu tempat yang cantik,” katanya.

Istimewanya Cikgu Donze, setelah hampir 28 tahun, beliau ditukarkan ke SMK Seksyen 18 Shah Alam sebagai Penolong Kanan Petang  di sekolah itu. Namun baru-baru ini, beliau dikejutkan sekali lagi dengan perpindahan ke SMK Seksyen 7, Shah Alam pula setelah hampir tiga bulan di SMK Seksyen 18

Ini luahan hati Cikgu Donze

SELAMAT TINGGAL SAHABAT

Sampailah detik dan masanya

Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan

Tiga  purnama kucari dan kugali setiap ketika

Ku titipkan di sini untuk dijadikan kenangan bersama

Segala tenaga kudrat dan masa

Moga akan menjadi ingatan mesra

Cikgu Donze pernah bersama sahabat semua

Doa dari sahabat menjadi kekuatan

Agar Cikgu Donze akan terus mampu berdiri dan berlari

Demi sebuah amanah yang terpikul di bahu ini

Selamat Tinggal SMKS18 SHAH ALAM

Ada rezeki kita pasti bertemu lagi insyaAllah

Jika ditanya soal hati, tentulah Cikgu Donze sebak, namun beliau puas apabila pelbagai perubahan yang telah dilakukan di sekolah itu. Ikuti catatan hati seorang pendidik bernama Cikgu Donze.

“Sedih memang tersangat sedih. untuk merawat kesakitan sebuah perpisahan bukanlah sesuatu yang mudah. Tambahan pula SMK Seksyen 16 Shah Alam merupakan detik bermulanya saya bertugas sebagai seorang guru. Terlalu banyak asam garam, pahit manis, tawa gembira, duka dan lara, yang perlu ditempuhi selama 28 tahun.

“Sebaik mendapat surat perpindahan ke SMKS18 Shah Alam, bercampur baur perasaan, sedih takut risau dan teruja semua ada. Sedih sebab akan berpisah dengan sahabat dan anak murid yang disayangi, risau khuatir tak mampu menerima suasana di tempat baru, teruja kerana SMK Seksyen 18 merupakan sekolah kawalan, sekolah yang hebat dari pelbagai aspek.

“Langkah kaki pertama ke sekolah ini, mata terus tertumpu ke persekitaran sekolah ini. Bak kata orang, dari mata turun ke hati, tapi saya sedar, SMK Seksyen 18 antara sekolah yang telah lama di Shah Alam.

“Seperti orang yang telah berusia, pastinya ada kedutan di sana sini. Begitu juga sekolah ini, ada ruang-ruang yang perlu untuk dibaiki. Minggu pertama masa untuk saya melihat persekitaran sekolah ini dan memahami budayanya. Alhamdulillah, apa yang saya risaukan tidak menjadi kenyataan.

“Warga sekolah ini cukup mesra, sama ada dalam kalangan guru, murid-muridnya mahu pun pekerja amnya. Semua menyambut baik kedatangan saya. ‘Orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi kita merasa’.

“Saya beriltizam membalas budi baik warga sekolah ini, berjaya merawat luka dan duka akibat dipindahkan ke sekolah baru ini. Hari demi hari kemesraan tercipta dan kebahagiaan semakin dirasa.

“Sebagai balasan, saya membuka langkah pada minggu kedua dengan menghasilkan mural pertama di sekolah ini iaitu di pintu masuk utama sekolah. Daripada wajah yang asing, bertukar menjadi ceria. Wajah yang tua kembali muda dan penuh tenaga.

“Contengan kedua tidak mengambil masa yang lama. Sebaik siap mural yang pertama yang mengambil masa hanya sehari untuk disiapkan, mural yang kedua pula menjelma. Sekolah ini merupakan Kohort Pertama TS25 dan sekolah yang menjenamakan STEM sebagai kebitaraan sekolah.

“Lantas, mural yang berkonsepkan TS25 dan STEM terus bermula. Berlatar belakangkan flora dan fauna  sebagai simbolik, penjagaan persekitaran bumi hijau perlu dijaga walau sejauh mana majunya sesebuah Negara. Alhamdulillah mural ini dapat disiapkan hanya dalam masa DUA hari sahaja.

“Lanskap sekolah yang cantik umpama bedak dan gincu pada wajah seorang wanita. Ia mampu memberi kecantikan, keindahan dan mampu memukau mata yang memandang. Justeru projek ke tiga saya ialah, menghasilkan sebuah lanskap yang berlatar belakangkan mural panorama air terjun. Alhamdulillah berkat kerjasama beberapa orang anak murid sekolah ini, projek lanskap dan mural ini berjaya disiapkan dalam masa tiga hari sahaja.

“Prinsip yang saya pegang selama ini ialah KEMENJADIAN MURID. Itu yang selalu saya tekankan untuk input tambahan kepada anak murid ilmu yang tidak diperoleh di dalam bilik darjah. Saya kongsikan ilmu lanskap, teknik penanaman pokok yang betul serta ruang dalam menghasilkan sesebuah lanskap yang menarik. Tidak mengambil masa lama, mural ke empat dihasilkan iaitu berkonsepkan tulisan KHAT.

“Hakikatnya sekolah ini merupakan sekolah harian yang mana anak  muridnya mengambil mata pelajaran tambahan Al-Quran dan Sunnah sebagai mata pelajaran elektif. Justeru penerapan nilai murni dan Islamik perlu diadunkan dengan sebaiknya sebagai imej sekolah ini.

“Mata saya masih tidak puas melihat bahagian hadapan sekolah ini, seperti ada yang kurang. Ya, laluan gajah menyusu perlu diperindahkan, dengan sedikit kemahiran yang ada, saya membuat sedikit sentuhan dengan menambah sentuhan kraf menggunakan teknik tebuk dan spray yang mengambil masa sehari untuk disiapkan.

“Cikgu Donze, akak nak minta tolong cikgu ceriakan bilik jahitan akak boleh tak, bilik tu akak dah hias dalam dia tapi, bahagian luar tak berapa cantik la, boleh ke cikgu?,” pertanyaan dan rayuan yang tak mampu Cikgu Donze tolak untuk membantu cikgu ini.

“Tidak mengambil masa lama, mural ke lima Berjaya disiapkan dalam masa sehari sahaja, iaitu  berkonsepkan fesyen. Hati gembira bila ucapan terima kasih tak putus putus dari mulut cikgu yang meminta bantuan tadi.

“Setiap hari datang ke sekolah, saya merasakan masih kekurangan sajian mata di bahagian hadapan sekolah. Tidak seperti ‘welcoming’ bila melangkah masuk ke sekolah. Dinding yang asing saya pandang dan terdetik, inilah puncanya. Hanya mengambil masa dua hari sahaja, mural ke enam dan ke tujuh berkonsep floral dan mural 3D berjaya disiapkan. Yeahhhh baru ceria dan sangat menyerlah bahagian masuk sekolah ini. Barulah semangat untuk ke sekolah hari hari.

“Projek berikutnya sangat mencabar buat saya. Terhampar satu kawasan tanah yang agak terbiar di tepi kantin sekolah. Asing dan terlalu usang. ‘Saya perlu lakukan sesuatu di sini,’ detik hati. Alhamdulillah umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Niat dan hajat yang baik insya Allah akan dipermudahkan.

“Projek ini mendapat sokongan yang sangat kuat daripada rakan pentadbir terutama daripada, Penolong Kanan 1, Datin Azlinda dan Ustazah Aniza selaku GKMP Kemanusiaan, segalanya menjadi mudah. Bermulalah projek lanskap mega yang mana daripada sebuah kawasan yang usang dan gersang berubah menjadi taman refleksologi, pejalan kaki, wakaf, batu batu buatan dan lengkap dengan Arca Batu Bersurat serta Arca 99 nama ALLAH.

“Lebih menggembirakan, projek ini berjaya menyatukan ramai guru, kakitangan sekolah untuk sama sama turun padang membantu bersama menyiapkannya. Mengambil masa seminggu, Alhamdulillah sebuah taman yang indah menjadi santapan mata buat semua warga SMK  Seksyen 18 Shah Alam. Kredit harus saya berikan kepada semua anak-anak Donze Crew yang terdiri daripada bekas anak murid Cikgu Donze dari sekolah SMK Seksyen 16 Shah Alam yang setia dan sedia membantu bila diperlukan. Juga tidak ketinggalan pada semua warga sekolah yang tidak putus putus memberi sokongan.

“Seperti tidak lengkap bila persekitaran taman ini tidak diperindahkan. Masih mengekalkan konsep flora dan fauna, mural ke lapan dihasilkan untuk melatari pemandangan indah taman refleksologi ini.

“Situasi Covid-19 yang melanda seluruh dunia ini, perlu diabadikan. Justeru mural ke sembilan yang berkonsepkan ‘frontliners’ berjaya disiapkan dalam masa dua hari sahaja. Bagi saya, mural yang menarik adalah mural yang berjaya menangkap mata yang melihat dan mampu berinteraksi dengan pengunjungnya. Justeru, selang beberapa hari, dua lukisan ke sepuluh dan sebelas, mural 3D berjaya dihasilkan yang mengambil masa hanya dua hari sahaja.

“Mural 3D yang melengkapi Taman Nilam di sekolah ini berfalsafahkan, dengan membaca kita mampu berjaya hingga ke puncak jaya. Sebuah lagi  mural 3D mempunyai falsafah, kita harus keluar dari kepompong kaca, jangan hanya melihat permasalahan dunia luar semata tanpa mampu untuk berbuat apa-apa.

 “Falsafah Cina ada menyatakan ‘otak manusia umpama sekaki payung. Ia tidak akan berguna jika tidak dibuka‘. Lantas projek keceriaan saya adalah PROJEK BUKA MINDA. Dengan menggantung payung sebanyak 90 kaki payung, telah mengubah wajah dataran ko kurikulum sekolah ini menjadi begitu ceria dan berwarna warni. Menariknya, payung-payung ini tidak langsung menggunakan perbelanjaan sekolah, tetapi sumbangan daripada setiap guru yang ada di sekolah ini.

“Terima kasih cikgu. Projek mural saya tidak terhenti di situ, projek ke dua belas dan tiga belas menunggu giliran. Kali ini, mural yang menggabungkan konsep kolaj menjadi pilihan. Konsep matawang menjadi pilihan untuk mencerikan ruang koperasi sekolah dan sebuah lagi mural berkonsepkan tulisan KHAT dihasilkan. Alhamdulillah kedua-dua mural ini berjaya disiapkan hanya dalam masa dua  hari sahaja. Syukur ya ALLAH.

“Masa semakin suntuk, surat arahan untuk berpindah sekolah ke SMK Seksyen 7 telah diterima. Tapi masih ada lagi projek keceriaan yang perlu saya lunaskan. Dalam ruang masa yang ada, bilik kaunseling kuberikan sedikit sentuhan hiasan dalaman dan keceriaan di ruang hadapan. Mural yang ke empat belas terus berjalan, bertemakan Cintailah Ciptaan ALLAH di dasar lautan, menjadi penutup keberadaan saya di sekolah SMK SEKSYEN 18 SHAH ALAM tercinta.”

Ternyata, Cikgu Donze bukan kaleng-kaleng guru. Walaupun baru tiga bulan di sekolah itu, perubahannya sungguh menakjubkan! Tangan seni Cikgu Donze umpama magika yang boleh memberikan perubahan sekelip mata! Lihatlah perubahan yang telah dilakukan beliau. Dalam masa yang terhad, guru serba boleh ini mampu menyiapkan 14 mural yang menarik dan cantik.