HARI ini nak share sikit tentang seorang guru yang aku kagumi.

Namanya adalah Cikgu Ven atau anak murid panggil Sir Ven. Dia ni antara guru yang paling mesra dengan pelajar dan banyak bantu pelajar.

Aku dapat tahu Cikgu Ven dapat anugerah Guru Inspirasi, satu perkara yang buat aku cukup bangga dengan dia. Kalau siapa belajar dengan dia, pasti akan dapat nota yang bukan sekadar nota dan latihan yang penuh dengan kata nasihat.

“Hormati mak ayah"

“Hormati guru-guru”

“Kawal nafsu, kejar syurga”

Dan banyak lagi bahasa yang dia gunakan untuk mendekati pelajar, paling aku ingat waktu ada pelajar yang ponteng kelas tuisyen dia, dia cari sampai dapat.

Dia pernah marah budak yang ponteng macam seorang ayah marah anaknya walaupun tu anak orang lain. Usaha dia cukup besar dalam memandaikan anak bangsa.

Bukan popular yang dia kejar, bukan juga wang ringgit yang dia cari sangat, tapi nak tengok satu perkara, iaitu anak didik dia berjaya.

Cikgu Ven ni India, tapi dia antara orang yang cukup menghormati orang Islam. Apa buktinya? Dalam bulan puasa, dia sudah pun sediakan banyak tudung untuk pelajar Islam dia yang datang tak nak pakai tudung.

Dah banyak kali nasihat dan pesan. Paling aku ingat, ada mak ayah yang datang jumpa cikgu Ven maki hamun dia kata kenapa paksa anak dia pakai tudung datang kelas.

Kau orang tahu apa jawapan Cikgu Ven? Dengan tenang dia kata, puan ini bulan Ramadan kita kena menghormatinya dan ada lagi yang dia cakap.

Jawapan dia cukup buat puan tu terkedu, aku terkedu, sesiapa yang ada di pusat tuisyen masa tu pun terkedu. Rasa malu bila seseorang yang berbangsa India kata begitu.

Apa lagi yang aku bangga dengan dia?

Dia buat seminar percuma sahaja, ada yang berbayar, itu pun tak mahal dan paling best siap anjur program agama bersama masjid buat Qiamullail, program solat, didik hati pelajar pula dengan gotong royong.

Setiap tahun pula tu dia anjurkan, ramai pelajar datang masa tu dan tolong. Paling aku tak boleh lupa, dia tolong banyak pelajar yang susah, nak belajar duit tak ada.

Macam manalah pelajar tak sayang dia, banyak betul pengorbanan Cikgu Ven sebenarnya. Tak perlu keluar tv ke atau viral yang tiada kaitan, cukup pelajar-pelajar yang terus mengingatinya.

Kau orang bayangkan juga, dia bawa pelajar-pelajar tuisyen pergi tengok wayang lagi, sponsor tau, pergi main boling, belanja makanlah. Itulah cara dia raikan anak pelajar dia yang berpenat lelah belajar pada hujung tahun.

Dan setiap anak didik dia yang dia ajar, pernah dapat gagal terutama subjek Math dan Add Math, boleh lulus dengan baik dan cemerlang.

Cikgu Ven tak pernah merungut penat, yang dia tahu dalam kepala dia, jangan sampai ada anak didik dia yang tercicir dalam bab pelajaran.

Kenapa dia dapat Adiwira Guru Inspirasi? Semua jawapan sudah saya tuliskan dan sehingga hari ini, beliau masih berkhidmat sebagai seorang pendidik yang cemerlang.

Dan segala kebaikan dia, telah saya lakukan juga apabila saya ceramah di sekolah-sekolah. Saya pernah bertemu dia sekali dan dia kata, wah you sudah jadi penceramah ya. Baguslah, terus bantu pelajar. Ingat mak ayah selalu dan jangan lupa doa.

Itulah pesanan beliau pada saya. Terima kasih Cikgu Ven kerana dalam berjuta guru, sir masih ada dalam hati setiap pelajar yang kenal sir sebagai seorang guru yang baik.

'Hebatnya seseorang hari ini adalah kerana seorang pendidik yang banyak berkorban demi memastikan kecemerlangan anak didiknya. Wahai guru, semoga setiap kepenatan, kesedihan, yang pernah kau rasai, Allah gantikan dengan sebaik-sebaik pembalasan.

Selamat Hari Guru.

Sumber: Facebook Sidiq Ad’Din - Pakar Motivasi Pelajar

#sidiqaddin

INFO

- Cikgu Venkateswaran Ramiah (Cikgu Ven) merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John, Kuala Lumpur.

- Cikgu Ven mengajar subjek Matematik dan Matematik Tambahan. Berpengalaman mengajar selama lebih dari 18 tahun.

- Antara pencapaian dan anugerah yang Cikgu Ven telah terima adalah:

1. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

2. Guru Cemerlang WP

3. Jurulatih Utama untuk subjek Matematik & Matematik Tambahan

4. Penceramah SPM & PT 3 (Matematik & Matematik Tambahan)

5. Pemeriksa Kertas SPM & PT 3 (Matematik & Matematik Tambahan)

- Yang terbaharu, beliau baru sahaja menerima Anugerah Cikgu Adiwira 2019 melalui Kementerian Pendidikan Malaysia

ARTIKEL MENARIK:

'Dalam diam, murid ini solat dhuha di surau sekolah' - Catatan Cikgu Rohizan buat warganet sebak

Penangan Sir Uzair dan Cikgu Zameer buat pelajarnya minat subjek yang dianggap paling susah faham

'Walau dikecam, ditohmah namun saya tetap bahagia dengan anak syurga', ini kata guru Pendidikan Khas

'Mereka tak pernah sayang saya, ustaz' - warganet sebak bila dengar luahan pelajar ini

Kejutan lima sekawan, buat cikgu ini sebak…