Hari pertama Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula hari ini. Perkongsian gambar lima murid lengkap beruniform sekolah ketika memulakan kelas secara dalam talian bersama guru masing-masing sungguh menyentuh hati.

Biarpun tidak dapat memulakan persekolahan secara bersemuka di sekolah pada tahun ini, namun lima murid dari SK Kg Soeharto, Hulu Selangor  itu terus menunjukkan semangat luar biasa.

Lima murid itu adalah, Muhammad Haziq Iqbal Mohd Yatimi, Muhammad Aliff  Danish Mohd Yatimi, Muhammad Zafran Khalis Mohd Yatimi, Puteri Nur Aqidah Ariffin dan juga Putra Deenul Hadi Ariffin.

Bagi Guru Cemerlang Pemulihan Khas SK Kg Soeharto, Cikgu Roslee Abdul @ Mohd, yang juga guru Bahasa Melayu di sekolah itu berkata, semua guru teruja melihat anak murid berpakaian sekolah walaupun belajar dari rumah.

Ia memberikan motivasi dan mengubat hati guru yang tidak dapat memulakan persekolahan pada tahun ini secara bersemuka.

“Banyak yang kami fikirkan, siapalah yang tak risau bila tak dapat mengajar seperti kebiasaan bersama murid-murid. Dunia kami rasa sepi tanpa suara anak-anak ini.

“Tapi bila nampak mereka secara maya, lengkap berbaju sekolah, hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya. Terlalu gembira, sayu, terharu dan sebak,” katanya.  

Tambah beliau, mereka beruniform tanpa sebarang arahan atau paksaan daripada guru.

 Ibu bapa dan anak-anak juga telah mendapat ilmu yang amat bermakna sepanjang PdPR yang lepas.

Mereka rata-rata ingin anak-anak mereka mengambil aura positif persekolahan awal tahun dengan  berpakaian sekolah.

Inilah cara ibu bapa untuk memotivasikan diri anak-anak agar tidak terkesan dengan norma baharu pendidikan hari ini.

Inilah hebatnya ibu bapa, anak-anak dan guru-guru berganding bahu dan saling melengkapi.

“Secara puratanya, ibu bapa melalui PIBG SK Kg Soeharto sehati sejiwa memotivasikan jiwa anak-anak dengan  beruniform sekolah. Inilah inisiatif yang digarap oleh ibu bapa. Murid bersemangat,  guru pun teruja.

“Ibu bapa menyediakan prasarana lengkap kepada anak-anak, bagi memastikan mereka rasa bersemangat untuk memulakan persekolahan secara maya. Inilah kehebatan ibu bapa dalam masyarakat Felda Soeharto,” katanya.

Katanya, kelas yang bermula 7.30 pagi dan berakhir jam 1.30 tengah hari itu rasa begitu sekejap, tak puas rasanya mengajar dan bersama mereka.

Jadual waktu pula telah disediakan oleh pihak sekolah mengikut garis panduan yang disediakan oleh KPM.

Pun begitu, apabila berbicara soal perasaan, Cikgu Roslee atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Lee ini mula sebak, beliau rasa terkilan apabila kelas bersemuka terpaksa ditangguhkan. Tambahan pula telah lama pengajaran dan pembelajaran tidak bersemuka dilaksanakan.

Namun, beliau akur, pengamalan norma baharu dalam pendidikan perlu diaplikasikan secara maksimum agar murid tidak ada yang tercicir.