“Ibu, abah...Iman dapat masuk Sekolah Menengah Sains Setiu. Seronok sangat-sangat. Terima kasih ibu, terima kasih abah. Terima kasih atas segala pengorbanan dan penat lelah. Terima kasih banyak-banyak.   

Itulah ungkapan Nurul Iman Farhana Mohd Fazali, 12, terhadap kedua ibu bapanya, Mohd Fazali Ibrahim dan Nor Salawati Mohamad Tahar apabila mendapat tawaran melanjutkan pelajaran Tingkatan Satu ke Sekolah Menengah Sains Setiu (Sekolah Khusus (SK) kategori Sekolah Berasrama Penuh (SBP), 6 April depan.

Ibunya, Nor Salawati berkata, Iman merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga dan dia sudah lama mengimpikan untuk belajar di SBP.

"Iman seorang anak yang cukup rajin mengulang kaji pelajaran. Siang dan malam, dia membaca buku. Jadi, bila dapat tawaran ke SBP, Iman menangis dan gembira sangat-sangat. Tercapai juga cita-citanya untuk belajar di asrama penuh," kata Nor Salawati.

Nor Salawati yang merupakan seorang novelis tersohor dan dikenali dengan nama pena Luvis Eija berkongsi momen-momen indah, bagaimana perjuangan anaknya sebelum menduduki peperiksaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

"Saya karangkan momen ini untuk tatapan buat Iman dan juga adik-adiknya, Muhammad Izhar Ariff, 10 dan Muhammad Affan Aish, 4.

"Kelak, bila mereka dewasa, inilah coretan ibu untuk mereka ingati," katanya yang berkongsi kenangan manis tersebut menerusi laman facebook Luvis Eija.

Ikuti coretan indah ibu buat Iman...

*****

Ibu jarang mencoret apa-apa di sini perihal anak-anak. Tapi kali ini, ibu coretkan sebagai kenang-kenangan.

Tahun lepas, masa ibu cakap dekat kakak tahun 2020 mungkin tak ada UPSR sebab wabak Covid-19 tengah menular masa tu, riak wajah dia nampak sangat kecewa. Sebab impian dia memang nak ke sekolah SBP. Ibu pesan dekat dia, jangan kecewa...Allah perancang yang terbaik. Dia mengangguk pasrah.

Kakak, dia seorang yang pendiam. Jarang nak tunjukkan apa yang dia rasa. Sangat-sangat payah untuk berkongsi dengan sesiapa. Kalau dia sakit pun, payah dia nak mengadu dan bersuara. Ibu yang kena lebih peka dengan perubahan dia. Tapi...dialah orang kanan ibu. Yang bantu uruskan adik-adik bila ibu tak sempat nak cakna. Walaupun, adakalanya suka juga membuli adik-adik, (maklumlah...aku kan Kak Long...) tapi sangat-sangat mengambil berat soal adik-adik.

Masa cikgu cakap siapa yang nak masuk SBP bolehlah cuba ambil peperiksaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK). Masa tu ibu tanya dia, nak ke? Sebab...ibu tak pernah mendesak, tapi ibu sentiasa bagi dia galakan dan nasihat. Pilihan di tangan dia. Dia angguk laju.

Ingat lagi dua hari sebelum exam PKSK dia study sampai lewat malam. Ibu selalu pesan dekat dia, rajin-rajin baca al-Quran. Siapa yang rajin baca al-Quran hatinya Allah bagi terang. Setiap malam ibu dengar dia mengaji lepas Maghrib dan Isyak.

Masa balik dari exam PKSK, ibu tanya dia...macam mana peperiksaan? Dia cuma senyum dan jawab. Insya-Allah.

Ibu cakap...tak apa kakak, apa saja keputusan yang kakak dapat nanti, itulah yang terbaik dari usaha kakak. Kalau andai kata tak berjaya, ini baru saja permulaan. Dia angguk aje.

Hari nak semak keputusan SBP, kakak senyap aje. Bila ibu tanya...takut tak? Dia cakap tak tahu. Kakak dah reda...kalau dapat rezeki. Kalau tak dapat, usaha lagi.

Masa abah cakap dekat ibu kakak berjaya dapat, ibu terus masuk bilik kakak bagitahu. Kakak peluk ibu sambil menangis.

“Terima kasih ibu...” Sampai ibu pun rasa sebak.

Mungkin ini kisah biasa-biasa bagi orang lain, tapi ini kisah istimewa buat kakak. Sebab ibu memang nampak dia kuat berusaha. Dari dia tadika lagi. Kakak juga aktif dalam berkokurikulum. Tahniah kakak! Perjalanan baru bermula. Semoga langkah kakak tidak pincang. Semoga kejayaan sentiasa mengiringi langkah kakak.

Terima kasih buat guru-guru Sekolah Kebangsaan Sungai Las...Anda semua hebat...Jasa cikgu semua sentiasa di kenang.

Sumber: Facebook Luvis Eija

Artikel menarik

5 perkara yang perlu pelajar fikirkan sebelum buat pilihan pengajian. Ikuti pandangan guru ini

SMK Sungai Layar mengorak langkah ke arah Pembestarian dan Pelestarian Layar Hijau