“Selama ini ku fikir, sakit kaki itu hanyalah sakit biasa yang disebabkan oleh masalah berat badan dan banyak berjalan. Tak sangka pula ia adalah permulaan aku hilang sebelah kaki…”

Kisah Guru Bahasa Inggeris, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Bangsar, Cikgu Pushpalatha Rajamanickham, 47, undang sebak. Sakit kaki yang dianggapnya biasa itu telah merubah kehidupan guru itu sekelip mata.

“Saya mengalami sakit kaki yang teramat sangat. Saya fikir ia disebabkan masalah berat badan atau banyak berjalan.

“Ada juga ke klinik, Doktor turut mengatakan perkara yang sama. Boleh jadi sakit kaki itu berpunca dari berat badan. Saya akur, dan tak sangka pula perkara yang saya anggap remeh itu sebenarnya besar,”jelasnya.

Cikgu Pushpalatha bersama suami, Suseh Thomas (kanan) dan rakan guru, Cikgu Kumaresan Karunaneethi (kiri)

Perjuangan penuh liku yang dilalui oleh guru asal Mentakab, Pahang ini bermula setelah dia disahkan mengidap sejenis penyakit saraf, ‘Pheripheral Vascular Disease’ beberapa bulan lalu.

Dia mengetahui hal itu setelah beberapa bulan menanggung kesakitan dan beberapa kali mendapatkan rawatan di klinik dan hospital. Lebih memeritkan, kunjungannya ke hospital untuk rawatan susulan terpaksa berakhir dengan pembedahan pembuangan kaki kanan.

“Saya mengetahui masalah sebenar yang menimpa saya pada awal bulan Mac lalu, dan penghujung Mac kaki saya terpaksa dipotong.

“Perasaan saya, sudah tentulah saya tak rasa tak percaya akan jadi macam ni. Sebab saya tak alami sebarang kecederaan langsung pada kaki. Bila dapat tahu kaki perlu dipotong kerana saraf kaki yang sudah mula mengecut, saya sangat terkejut,”katanya.

Terkesan dengan keputusan yang terpaksa dibuat, cikgu yang sudah 24 tahun bergelar guru ini hanya menangis dengan nasib menimpa diri.

Dalam fikirannya ketika itu hanya satu, bagaimana dia mahu menjadi guru sekiranya dia tidak boleh lagi berdiri untuk mengajar.

Cikgu Pushpalatha ketika penyerahan manfaat YGMB di Program Struktur Simulasi Guru Nadi Negara

“Waktu tu, suami, ahli keluarga, Guru Besar, Guru Penolong Kanan, rakan guru, dan juga kakitangan sekolahlah yang banyak memberikan sokongan dan kata-kata semangat.

“Kata suami, ‘tak mengapa hilang kaki, yang penting awak selamat. Jika kaki tiada, kita boleh guna kaki palsu… jika jadi apa-apa pada awak, siapa yang akan susah nanti? Diri sendiri juga nanti…’ Itulah kata-kata yang membakar semangat saya. Sejak itu saya mula belajar untuk positifkan diri. Apa sahaja pandangan saya terima dan hadam dengan baik,”katanya.

Cikgu Pushpalatha yang kini berkerusi roda ke sekolah, menyifatkan apa yang dilaluinya sebelum ini sebagai ujian untuknya menjadi guru yang lebih kuat dan tabah.

Bahkan, keprihatinan dan bantuan yang diberikan oleh Guru Besar, Cikgu Nirmala Devaraj, guru-guru dan juga murid jauh lebih berharga buatnya.

“Kini saya sudahpun sembuh sepenuhnya, dan hanya menunggu kaki palsu sahaja. Walaupun saya berkerusi roda, ia bukanlah halangan utama. Saya dapat mengajar seperti biasa dan semua guru, juga murid sangat membantu saya di sekolah.

“Di sekolah saya diberikan masa yang fleksibel, bahkan kelas saya juga turut ditukarkan ke tingkat bawah, untuk memudahkan saya bergerak ke kelas,”katanya.

Ketika mengulas kembali, kunjungannya untuk menyerahkan surat cuti sakit selepas keluar hospital, beliau berkata, kedatangannya disambut dengan air mata oleh sebahagian anak murid di sekolah.  

Rata-rata terkejut, apabila mendapat tahu beliau terpaksa ditahan wad dan perlu dibedah.

“Masa mula-mula saya datang ke sekolah untuk serahkan surat cuti sakit dulu, murid-murid berlari mendapatkan saya di dalam kereta. Ada yang menangis dan bertanya macam-macam soalan. Tapi bila dah mula mengajar, barulah mereka faham dan tahu kaki saya kena potong.

“Cuma dalam ramai-ramai tu, ada jugalah yang terkejut sebab saya sudah berkerusi roda, tidak lagi macam dulu boleh berdiri dan berjalan, ”ujarnya.

Bagaimanapun, Cikgu Pushpalatha berasa bersyukur, di sebalik ujian berat itu, ramai yang datang menghulurkan bantuan, termasuklah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan dan juga Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

“YGMB sangat prihatin tentang hal kebajikan para pendidik, dan tak sangka juga ketika penyerahan bantuan manfaat kecacatan kekal di Program Struktur Simulasi Guru Nadi Negara baru-baru ini, YGMB serahkan bantuan sebanyak RM4,000 kepada saya. Padahal saya baru sahaja mendaftar sebagai ahli YGMB.

“Apapun saya ucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang datang membantu, terutamanya YGMB. Kepada guru-guru baru di luar sana, memang saya sarankan mereka mendaftar di bawah YGMB. Sebab malang tak berbau… sekurang-kurangnya jika terjadi apa-apa, ada badan tertentu yang akan datang membantu dan menjaga kebajikan kita sebagai guru,”akhirinya.

Foto: Rosli Talib / Cikgu Pushpalatha Rajamanickham

Artikel Menarik:

Demi anak murid, guru wanita sanggup redah lumpur hingga terbalik

Aplikasi Flipgrid bantu murid tingkat kemahiran berbahasa Inggeris - Inilah dikatakan magis FlipGrid


Guru ini perkenalkan teknik Kartungogi, bantu murid mudah hafal fakta

‘Jangan tangguh kerja dan elakkan budaya asal buat,’ - Nasihat Cikgu Louis, buat semua guru baru

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

“Semoga ustaz sihat dan masuk syurga”- Ustaz ini sanggup menari demi murid Pendidikan Khas

'Banyak kali dia minta maaf, risau jika saya tak selesa' - Cikgu ini kongsi sikap bekas muridnya