Saya mahu mengambil ruang ini untuk berkongsi 10 karya terbaik yang telah dihasilkan oleh Sasterawan Negara kita.

Selain menjadi produk kearifan kita, para sasterawan juga ialah golongan pendeta, pujangga dan pemikir bestari yang berdaya cipta, berkesedaran, berkepekaan, berkeprihatinan dan berkemahiran tinggi yang membolehkan mereka mencipta karyakarya besar, menggarapkan, mencernakan, mengungkapkan, melukiskan dan merakamkan perihal manusia dan kemanusiaan serta hati nurani, aspirasi dan impian bangsa dalam zamannya, termasuk persoalan-persoalan yang berhubung kait dengan pembinaan identiti bangsa.

Berikut ialah 10 karya terbaik Sasterawan Negara pilihan saya:

1) Srengenge karya Shahnon Ahmad

Novel ini pernah dipilih sebagai novel terbaik 1973.

Mengisahkan masyarakat Melayu kampung yang percaya kepada kewujudan semangat halus atau penunggu di Bukit Srengenge selain mencetuskan perbalahan antara dua kelompok masyarakat di Bukit Srengenge, iaitu kalangan yang begitu kuat mempertahankan nilai-nilai lama atau amalan animisme, dengan satu lagi kelompok masyarakat yang menentang amalan hidup lama tersebut.

2) Salam Benua karya Usman Awang

Antara sekian buku kumpulan puisi Usman Awang, Salam Benua ialah kumpulan puisinya yang paling menyerlah daripada segi pemikirannya, temanya dan mesejnya.

Puisi pilihan dalam kumpulan ini menyuarakan aspirasi kemanusiaan berlandaskan perjuangan yang sejagat sifatnya.

Puisi-puisinya juga mengungkapkan suara-suara penentangan terhadap segala bentuk penindasan dan ketidakadilan yang merentas sempadan.

Yang menariknya puisi-puisi dalam 'Salam Benua' diadun dengan nada yang romantis, dihiasi dengan bahasa yang puitis dan disirat dengan aneka mesej tentang persaudaraan, silaturahim serta nilai kemanusiaan sejagat.

3) Sungai Mengalir Lesu karya A Samad Said

Novel ini sebenarnya merakamkan fasa terpenting dalam kehidupan bangsa Malaysia, iaitu pengalaman pahit dan getir kehidupan masyarakat di sebatang sungai di Singapura semasa pendudukan Jepun.

Sarat dengan kisah-kisah tragis, penyeksaan, kekejaman, kemelaratan, kebuluran dan kematian, kesempitan serta kesengsaraan hidup telah mendesak dan memaksa kanak-kanak mencari rezeki di sungai yang kotor, anak-anak muda menyamun, dan wanita melacur untuk meneruskan kehidupan.

4) Sukma Angin karya Arena Wati

Novel separa sejarah dan maritim ini mendendangkan perjuangan nakhoda kapal dan anak-anak lautnya yang menjelajah kepulauan Nusantara dan dengan berkeberanian menentang penjajah di lautan.

Membawa naratif pasca moden dan meninjau kondisi sosiobudaya serta sosioekonomi berbagai-bagai kumpulan etnik dan ras yang terdapat dalam kalangan komuniti pelaut Nusantara pada zaman Perang Dunia Kedua.

Lewat kisah keberadaan dan kehidupan sebuah kapal dagang yang dimiliki oleh orang Melayu debernama Sukma Angin, Arena Wati mengangkat prinsip dan amalan hidup murni masyarakat Nusantara yang majmuk pada zaman itu yang ditandai sikap saling bantu membantu dan semangat juang yang kental.

5) Perjalanan Si Tenggang II karya Muhammad Haji Salleh

Kumpulan puisi Perjalanan Si Tenggang II jelas memperlihatkan stail dan peribadi penyairnya, di samping memperlihatkan kekuatannya dalam penggunaan bahasa serta diksi-diksi yang tepat, fungsional dan berkesan.

Sajak-sajaknya sarat dengan unsur-unsur keintelektualan, idea, pemikiran dan pesan cukup serius.

Tema yang digarap lebih menjurus kepada permasalahan bersama dan permasalahan eksistensi individu yang berhadapan dengan pelbagai persoalan kehidupan.

6) Rimba Harapan karya Keris Mas

Novel dengan latar sekitar 1920-an ini ada rusuhnya yang tersendiri.

Isu-isu rakyat dan survival kehidupan dipentaskan dengan sangat mendalam; termasuklah isu-isu sosial, ekonomi dan kepercayaan.

Janda Baik yang kita kenal pada hari ini ialah kesan daripada usiran orang-orang terdahulu yang akhirnya membuatkan mereka merentas rimba dan mula mencipta hidup baharu.

7) Imam karya Abdullah Hussain

Perjuangan seorang imam bernama Haji Mihad yang ingin membawa perubahan dan pembaharuan yang signifikan di kampungnya sendiri.

Perubahan dan pembaharuan yang hendak dibawa mendapat tentangan yang hebat daripada penduduk beragama Islam, termasuk ahli-ahli keluarga dan sanak-saudaranya sendiri, kerana perasaan iri hati dan cemburu, di samping pembaharuan yang ingindibawanya tidak dapat diterima oleh penduduk kampungnya.

8) Juara karya S. Othman Kelantan

Penuh satira.

Novel Juara berkisar tentang lelaki bernama Mamat, dan pengikut-pengikutnya yang terdiri daripada Mat San, Seli, Salim dan Jal yang kematian rakan karib mereka, Abang Lazim yang juga bapa kepada Sani dan Salim.

Abang Lazim telah dibunuh dan ditembak setelah mereka menjuarai pertandingan laga lembu.

Novel ini menyerlahkan imej politik dan simbol sosiopolitik serta sosioekonomi di negeri Kelantan melalui acara perlagaan lembu yang menjadi persoalan utama dalam novel ini yang sekali gus memperlihatkan unsur simbolik terhadap watak Mamat yang terpaksa mengalah kepada kehendaknya untuk menjadi juara politik, tetapi sebaliknya menjadi juara dalam perlagaan lembu.

9) Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan

Mengisahkan Pak Hassan yang hidup dalam zaman British dan Jepun yang terperangkap dalam dunia lipur lara, dan yang berjuang untuk keluar ke alam realiti serta memahami sebab musabab kehilangan isteri yang tersayang.

Garis-garis kehidupan Pak Hassan terselindung di balik kelincahan gaya bahasa pengarang yang menekan emosi Pak Hassan dengan Mat Junuh yang gagal menjadi pewaris segala kepakarannya berlipur lara serta nasib malang gadis suntinya, Senah, yang menjadi mangsa serakah manusia.

Novel ini amat kaya dengan nilai-nilai sejarah, kemanusiaan dan kemasyarakatan yang murni boleh menjadi inspirasi untuk kita menjalani kehidupan bermasyarakat.

10) Monolog Kecil Tahun-tahun Gelora karya Baha Zain

Membaca catatan Baha Zain yang sarat kritikan sosial, dan pandangan-pandangan yang rapi ke arah membangun masyarakat dasawarsa; semacam mendengar dengan jujur monolog yang bersipongang di kepala Sasterawan Negara Ke-12 ini.

Saya harap sempena musim Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ini, karya-karya terbaik hasil penulis-penulis watan kita mula mendapat tempat di perpustakaan mini di rumah setiap rakyat Malaysia.

Artikel menarik

Disangka keturunan raja, Cikgu Yang turut dipanggil dengan nama 'Tiang Seri' gara-gara Cikgu Ishak

Ibu ini deko bekal anak ke sekolah tiap hari.. jika jiwa tak kental tak jadi ni

'Sudah lebih 10 tahun kisah itu, namun kenangan bersama Cikgu Kassim masih lagi segar'

Baca puisi hari guru, aksi si cilik usia lima tahun ini curi perhatian

Ibu anak autisme ini kongsikan kesilapannya besarkan anak untuk dijadikan iktibar pada semua