Di antara amalan yang terbaik dan sangat dianjurkan setiap kali datangnya Ramadan adalah, bertadarus al-Quran. Selain membaca dan mengkhatamkannya, disarankan juga untuk memahami, mentadabbur, menghafal, dan mempelajari nilai yang terkandung dalam ayat-ayatnya.

Itulah rutin biasa yang dilakukan oleh warga pendidik dan juga 700 murid SK Temerloh Jaya, Pahang setiap kali Ramadan.

Menurut Guru pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Ustaz Fikri Che Hussain, program ini sudah bermula sejak tahun 2002 lagi. Ia bukan sahaja dapat memupuk semangat cintakan al-Quran di bulan Ramadan, bahkan satu manifestasi penurunan wahyu kepada umat manusia.

“Konsepnya adalah BIG, iaitu baca ikut guru...Guru baca, murid ikut. Pada hari biasa tadarus dilakukan di dalam kelas semasa rehat. Cuma setiap hari Jumaat ia akan diadakan di Dataran Perhimpunan oleh semua warga sekolah sebelum masuk ke kelas.

“Tadarus ini juga lebih kepada teknik sebutan dan kelancaran bacaan sahaja. Objektifnya agar dapat khatam Quran dalam masa sebulan...,” katanya kepada GPSBestari.

Fikri berkata, di akhir Ramadan akan diadakan majlis khatam Quran untuk meraikan murid-murid tahun 6 yang sudah khatam Quran sepanjang sesi persekolahan mereka.

Sumber: FB Ustaz Fikri Che Hussain