'SAYA bayar yang ini je dulu ye ustaz, sebab tak cukup duit. Saya atuknya. Saya yang jaga dia sekarang, sebab mak ayahnya dah tak ada'.

Luluh hati seorang guru apabila mendengar penjelasan seorang datuk ketika ingin membuat pembayaran yuran di sebuah sekolah, 2 Januari lalu.

Dalam usianya sekitar 70 an, datuk ini masih lagi bekerja demi menyara cucu perempuannya yang kini berada di Tahun Empat.  

"Bila atuk dah ada duit, atuk akan bayar baki yuran ini. Mintak maaf banyak-banyak ustaz," katanya dalam nada sedih.

Situasi berkenaan benar-benar membuatkan ustaz yang dikenali sebagai Ustaz Musyetaq ini sebak.

"Saya hampir menitiskan air mata bila berdepan wajah tua ini. Dalam usianya sebegitu, atuk ini masih lagi membanting tulang demi membesarkan cucu perempuan. Saya benar-benar hilang kata-kata," katanya kepada GPS Bestari.

Kemudian, datang pula seorang ibu hingga membuatkan Ustaz Musyetaq ini mula menangis.

"Mula-mula dia datang, wajahnya cukup ceria dan gembira. Tiba-tiba, bila tengok borang yuran, mukanya berubah.

"Ustaz, kalau saya bayar RM30 dulu boleh tak...(perlahan sahaja suaranya)."

 

Bila ibu kepada murid Tahun Empat dan Lima itu berkata demikian, saya mula terfikir 'sikit sangat bayaran tu sebab paling kurang kena bayar bayaran yang wajib sebanyak RM129.

Tapi saya fikir, tak mengapalah, mungkin ibu ini ada masalah kewangan dan saya faham, awal-awal tahun, pelbagai barangan perlu dibeli.

"Macam ni lah puan, saya faham...boleh sahaja jika puan nak bayar RM30"

Kemudian si ibu ini menghulurkan wang untuk pembayaran yuran bagi dua anaknya yang berada di Tahun Empat dan Lima.

Selepas itu, ibu berkenaan meminta nombor telefon Ustaz Musyetaq untuk proses pembayaran baki yuran kelak.

"Nanti saya bayar sikit-sikit ye ustaz. Saya minta maaf jika terpaksa menyusahkan"

"Tak pe puan, jangan bimbang. Saya faham situasi puan."

Terus puan itu menangis sehingga resit yuran yang dipegangnya itu basah dengan air mata.

Ustaz Musyetaq sekali lagi hilang kata-kata...

Sumber: Twitter Musyetaq

Artikel Menarik:

Cikgu ini kongsi cara hafal sifir dalam masa sehari - Murid-murid pasti dapat skor Matematik nanti

‘Makan apa tadi? Bekal habis tak? Dah ada kawan baru?’

Cat bangunan sekolah berwarna-warni, SK Dato' Wan Kemara jadi tumpuan media dan pengunjung