SEPANJANG menjadi seorang guru, saya kumpulkan sembilan pesanan daripada guru-guru saya, ia menjadi penguat di saat saya goyah, menjadi motivasi di saat saya lemah dan menjadi pendamai di saat saya berdepan dengan ujian.

Saya kongsikan di sini, moga ia bermanfaat untuk sahabat semua.

1) Suka itu menutup segala kekurangan

Pertama kali interview sebagai cikgu, saya diminta membuat satu karangan kenapa memilih profesion perguruan.

Semasa menulis karangan tersebut saya betul-betul suka menjadi seorang guru. Perasaan inilah yang saya bawa sampai sekarang. Apa pun dugaan dan ujian yang datang ia sedikit pun tidak menggugat semangat dan kekuatan saya sebagai seorang pendidik.

Tahun pertama mengajar kena banyak merendah diri, bergaul dan minta pendapat guru-guru senior. Ambil peluang makan bersama, kerja bersama, lakukan aktiviti bersama.

Tuntutlah ilmu bagaimana cara menjadi guru yang baik dari orang-orang lama. Jangan malu untuk bertanya, tunjukkan kesungguhan kita dalam setiap kerja yang dilakukan.

Energy, semangat dan idea yang baru boleh menjadi penyeri kepada dunia pendidikan jika kita salurkan melalui platform yang betul.

2) Sedia terima kritikan

Jangan cepat terasa. Kritikan yang datang merupakan “guru” yang akan mengajar kita untuk menjadi lebih baik.

Belajarlah untuk menilai dan menapis kritikan, yang baik jadikan panduan, yang negatif jadikan sempadan.

Jangan pula terlalu memikirkan sehingga ia mempengaruhi seluruh kehidupan kita. Bahaya, Ia boleh membuat kita jadi negatif, murung dan stress.

Guru mesti kuat dari segi mental, fizikal dan spiritual. Jika kita lemah dan patah semangat hanya dengan menerima perkataan “menyusahkan”, “bodoh”, “gagal” dan sebagainya, bagaimana kita nak yakinkan murid bahawa mereka boleh menjadi orang hebat, kuat, kental, berjaya dan cemerlang pada masa akan datang.

3) Betulkan persepsi

Kritikan biasanya membentuk persepsi. Persepsi negatif perlu dibetulkan dengan cara memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan kepada presentation yang lebih baik. Walaupun tidak seratus peratus, sekurangnya kita tidak pernah berhenti untuk berusaha.

Selebihnya serahlah pada Allah SWT, kerana DIAlah sebaik-baik penilai.

4) Sentiasa positif menerima perubahan

Guru yang positif sentiasa bersedia menerima perubahan. Tidak takut dengan teknologi dan sistem yang baru, jadikan ia sebagai platform untuk memudahkan tugas kita, berusaha untuk berdamai dengan ketakutan.

Cari sebanyaknya ilmu dan cara mengendalikannya. Akhirnya kita akan merasakan teknologi itu adalah satu keperluan bukan lagi bebanan.

5) Stress itu perlu

Kata guru saya, stress itu perlu untuk mendorong kita menyiapkan tugasan dan amanah yang diberikan. Pendek kata, untuk mendapat impak yang terbaik kita perlu keluar dari comfort zones.

6) Melakukan perubahan mengikut perkembangan dan keperluan

Ketika berusaha untuk memulihkan murid, sebenarnya kita menghasilkan banyak pelan intervensi secara sengaja atau tidak sengaja yang akhirnya menjadi inovasi.

Catat dan dokumentasikan keberkesanannya. Hasil yang kita perolehi adalah perkara yang paling menyeronokkan dalam usaha kita membantu murid.

Try and error tu adalah perkara biasa, jangan give up kerana Allah memang melahirkan seorang guru itu untuk menjadi kreatif.

7) Sentiasa beradab dan tahu cara menyampaikan

Mengikut pakar, pengajaran yang paling memberi kesan adalah apabila murid diberi peranan untuk sama-sama mengendalikan proses pembelajaran, contoh yang paling win ialah memberikan murid watak dalam lakonan. Sama-sama menyediakan prop untuk membantunya menjadi rialiti. Jika kita pernah buat, yakin dan percayalah murid akan ingat sampai tua.

Murid adalah aset yang bakal kita produce. Apa yang mereka akan Jadi, capai dan terokai ada bahagian kita di dalamnya.

8) Belajar cara berkomunikasi dengan masyarakat

Skill ini memang penting, parents dan murid adalah pelanggan kita. Hanya dengan komunikasi yang berkesan akan mewujudkan persefahaman.

Selalu juga saya perhatikan parents yang bertandang ke sekolah, ada yang mesra, ada yang macam kawan dan ada juga yang tidak bertegur sapa.

Jangan cepat melebal, yang tidak bertegur sapa itu bukan kerana marah, dendam atau tidak puas hati, usullah dengan baik agar tidak ada jurang yang memisahkan. Jadilah pendamai bukan pembakar.

9) Mempunyai matlamat yang jelas

Fokuslah kepada matlamat asal, fahami tugas kita sebaiknya. Jangan sulami dunia pendidikan ini dengan budaya Organisasi yang negatif, pergaulan yang negatif, bahasa yang negatif yang akhirnya kita lebih terarah kepada perkara-perkara yang negatif.

Fahami matlamat asas seorang guru, jadikanlah ia sebagai isu yang paling seronok untuk kita bualkan.

Bertanya khabar tentang pencapaian, usaha yang dilakukan, berkongsi kreativiti dan saling menyokong, mendoakan, mendorong.

Hilangkan segala hasad dengki, perasaan cemburu dan jatuh menjatuhkan kerana ia merosakkan kesucian kerjaya yang dipandang mulia ini.

Sumber: Facebook Aminah Mat Yusoff Yusoff

- Merupakan Guru Pendidikan Islam SK Seri Puteri, Batu Pahat, Johor

Artikel Menarik:

Berat hati untuk sambung belajar rupa-rupanya keputusan seorang guru ini benar-benar berbaloi

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun hadapan

Anak masih lemah Matematik...cikgu ini kongsi 11 tip mudah mengajar murid Tahun Satu hingga Enam