Jika sebelum ini Cikgu Mohd Fadli Salleh ada berkongsi 15 tip buat guru baru, kali ini Cikgu Louis Pulong pula turut berkongsi pandangan yang sama tentangnya.

SILA BACA: Cikgu Fadhli kongsi tip buat guru baru, nombor 15 paling dalam maksudnya...

Antara yang menarik, “Tanam niat untuk melakukan kerja sehabis baik apabila diamanahkan. Jangan tunggu beberapa tahun selepas itu. Nanti cikgu sendiri menjadi selesa dan biasa dengan budaya asal ada, asal buat.”

Ikuti perkongsian Cikgu Louis Pulong

“Cikgu, ada tip sebagai guru baru?”

Ada yang bertanya lisan.

Ada yang bertanya PM.

Ada yang bertanya terbuka.

Berikut adalah sedikit perkongsian amalan saya yang sempat saya coretkan di muka buku ini sebagai guru novis yang amat- amat sederhana dan kerdil.

1.Jangan takut bekerja secara bersendirian. Kerana kita akan lebih banyak belajar semasa kita berdiri sendiri.

2.Cintai setiap kerja yang diberikan. Supaya tidak stress tapi kita berkerja dalam keadaan yang seronok.

3.Bantulah mereka yang memerlukan dengan ikhlas, dan belajar lupakan kebaikan yang kita buat. Supaya kita tidak pernah mengharapkan balasan daripada itu. Tuhan pasti balas.

4.Jangan terus tolak kerja yang diamanahkan walaupun kita tiada ilmu dan kemahiran. Kerana dari situlah kita belajar sesuatu yang baru, yang memberi ilmu, kemahiran dan pengalaman.

5.Hormat pada orang tidak kira yang sudah lama berkhidmat ataupun baru berkhidmat. Ada berkat dan kebaikan yang datang apabila kita hormat orang lain, tanpa kita sedari.

6.Tanam niat untuk melakukan kerja sehabis baik apabila diamanahkan. Jangan tunggu beberapa tahun selepas itu. Nanti cikgu sendiri menjadi selesa dan biasa dengan budaya asal ada, asal buat.

7.Kenal pasti kebolehan dan kelebihan diri kita yang mampu membantu memajukan diri, masyarakat dan negara.

8.Jangan selalu berfikir hanya untuk diri semata-mata, tapi fikirlah juga tentang keluarga, masyarakat dan negaramu.

9.Jangan hilang keyakinan apabila pendapat kita berada dalam golongan minoriti. Kerana cara kita berfikir, menyelesaikan dan mengusahakan sesuatu itu berbeza-beza, tapi tujuannya tetap sama. Usaha dan buktikan minoriti dan majoriti itu bukan ukuran, ia cuma pilihan masing-masing yang menentukan itu adalah hasil. Tapi sentiasalah hormat pandangan orang.

10.Jangan pernah jadi diri orang lain, jadilah diri sendiri. Lumrah manusia ada yang suka dan sebaliknya. Keaslian diri kita ada nilainya yang tersendiri. Sentiasa ingat pada niat dan muhasabah diri. Ingatkanlah diri selalu. Kita bekerja untuk apa? Kita bekerja untuk siapa?

11.Jangan mudah putus asa. Penat rehat, jangan berhenti sebelum siap dan lengkap. Tapi rehat jangan sampai leka, bertangguh dan menghidupkan sikap malas.

12.Sentiasa bersyukur dengan apa yang kita dapat. Jangan pernah terdetik hati yang dengki. Kerana di situ bermulanya penyakit hati dan masalah yang lebih banyak. Kita ada rezeki masing - masing.

13.Jangan pernah buat kerja untuk perhatian orang lain, pangkat, pengiktiran, jawatan, populariti dan sebagainya. Tapi buatlah dengan penuh kesungguhan untuk kepuasan dan ketenangan hidup bagi diri sendiri yang boleh memberi manfaat kepada semua orang.

14.Teruslah belajar bukan dari perkara positif sahaja tapi juga dari perkara negatif. Kerana kita lebih cepat belajar dari perkara negatif.

15.Kalau marah, usah berbicara, tenangkan diri dahulu. Kerana masa kita marah, kita tidak sedar apa yang kita bicarakan itu sama ada membawa manfaat atau menjadikan sesuatu perkara itu lebih keruh. Ingatlah kata orang lama, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata payah hidupmu.

16.Jujurlah dengan setiap apa yang kita ada, alami dan miliki walaupun pahit untuk diri dan orang lain. Jangan berdusta hanya untuk menutupi dan menjadikan sesuatu itu kelihatan baik. Kerana dari pahitlah kita belajar dan mahu merasa manis.

17.DAN paling penting pelihara akhlak kita sebagai hamba, sebagai manusia dan sebagai pendidik.

18.Alami, refleksi dan cipta pengalaman hidup yang bermakna. Mana yang baik dan bermanfaat hidupi sehingga ke liang lahad. Mana yang kurang elok, teruskan perbaiki. Setiap saat yang mendatang itu adalah peluang yang tidak terhitung nilainya.

19.Hujung tahun ini bolehlah perhatikan, hayati dan alami budaya kerja, persekitaran dan sebagainya sebagai asas perancangan bagaimana cikgu dapat menghidupi banyak perkara yang baru dan baik untuk diri, keluarga, sekolah dan masyarakat setempat pada tahun mendatang sepanjang bertugas di sekitar tempat kita mencari rezeki.

Semoga bermanfaat dan kita saling belajar. Sampai selamanya saya sentiasa belajar dan terus belajar, bahkan saya insan sentiasa teruja untuk belajar daripada orang lain.

All the best everyone! Louis
 

Artikel Menarik:

'Segala-galanya bermula selepas keputusan SPM' - Kisah pahit Mohd Ridzuan sebelum bergelar pendidik

Ini cara senang tukar imej menjadi teks guna Telegram sahaja... sangat membantu cikgu

Cikgu Fadhli kongsi tip buat guru baru, nombor 15 paling dalam maksudnya...

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya