Umum sedia maklum, tugas seorang guru itu adalah untuk mendidik dan memandaikan anak bangsa di sekolah.

Namun jika sesebuah sekolah itu mempunyai guru yang banyak kepandaian dan bakat, tidak berkira dan sanggup lakukan apa sahaja demi murid dan sekolah, ia satu keistimewaan.

Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum Sekolah Kebangsaan Simpai, Cikgu Mohamad Sahaimi Zainal atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mie Ubai, bukan calang-calang orangnya.

Rak serbaguna, hasil tukangan Cikgu Mie

Bakatnya dalam pertukangan memang tak boleh disangkalkan lagi. Lihatlah usaha beliau mencantikkan sekolah… jika tak kenal, memang ingat Cikgu Mie adalah pekerja buruh binaan di sekolah.

Tahniah SK Simpai! Terima kasih Cikgu Mie

Menurut Cikgu Mie, kerja pertukangan ni memang dah sebati dengan dirinya. Sedari kecil lagi dia sudahpun didedahkan oleh arwah ayahnya dengan kerja-kerja binaan ni.

Setakat bancuh simen, bertukang dan membuat binaan, memang permainannya.Bukan sahaja laluan pejalan kaki dan tembok, kolam renang SK Simpai pun, Cikgu Mie yang bina sendiri.

“Saya sentiasa ingat pesan arwah ayah, tuntutlah ilmu yang bermanfaat dan sampaikan agar ia dapat memberi manfaat pada orang orang lain… maksudnya, jika kita ada ilmu itu, kenalah amalkan.

“Setakat bertukang dan kerja berat tu, memang saya minat. Bagi saya… tugas sebagai pendidik yang mengajar di dalam kelas tu sudah menjadi tanggungjawab, tapi kerja-kerja pertukangan ni, adalah sumbangan buat saya untuk sekolah. Lagipun, bukan untuk orang lain… untuk anak didik kita juga. Misalnya binaan pondok dan tempat duduk. Sekurang-kurangnya bolehlah jadi tempat murid berehat dan belajar,”katanya.

Tambah Cikgu Mie, beliau memang suka lihat sekolah ceria, kemas dan cantik. Bukan sahaja kelas, murid dan guru juga perlukan suasana yang cantik, barulah lahir ilham dan hati jadi tenang.   

“Murid-murid ni perlukan faktor luaran juga, ia secara tak langsung dapat membina dalaman murid agar menjadi insan yang positif dan terbina mindanya. Macam kita juga… jika suasana luaran nampak suram, kita pun tak ada mood nak bekerja.

“Saya pun tak kisah, kena buat kerja-kerja binaan ni. Ia betul-betul memberikan kepuasan pada diri. Nak kata tak penat, memang lah penat… tapi berbaloi bila kita lihat sekolah ceria dan murid pun gembira. Tambahan pula, apa yang kita bina itu dapat memberikan manfaat pada orang lain,”jelasnya.

Menurut Cikgu Mie, apa sahaja keperluan yang diperlukan di sekolah, beliau akan cuba penuhi.

“Sekiranya dana tidak mencukupi untuk membina kolam renang sekolah, saya akan ambil tempahan untuk bina pondok gazebo. Hasilnya akan saya masukkan dalam dana tabung sekolah. Paling tidakpun saya guna duit gaji saya untuk apa-apa projek di sekolah.

“Sedikitpun ia tidak membebankan saya… sebaliknya ia memberikan rasa nikmat yang sukar untuk saya ungkap dengan kata-kata. Lagipun saya tak keseorangan, ada juga rakan guru yang membantu… kami sama-sama tolong menolong. Terutamanya Guru Besar, sekolah dan ibu bapa murid… mereka sangat menyokong apa yang sedang kita buat ni,”katanya.

Menyedari minatnya dalam bidang pertukangan yang sangat mendalam, selain usahanya untuk membantu penuhi hasrat sekolah, beliau turut membina pentas sekolah, bot pelayaran sendiri, kolam renang, dan taman belajar.

“Saya tak pernah fikir tentang imbuhan… semua ni saya buat sukarela. Lagipun hidup kita ni tak kekal lama. Entah esok lusa, kita akan kembali kepada Pencipta. Harta kita… apa yang kita beri pada orang itulah.. yang akan menjadi harta kita di kemudian hari.

“Saya memang pegang kata-kata arwah ayah… memang betul katanya, ilmu yang kita ada perlu dimanfaatkan kepada orang lain. Tak rugipun…,”katanya.

Jom lihat bagaimana Cikgu Mie buat batu blok

Video: SK Simpai

“Cikgu Mie Ubai sedang membuat blok batu. Bukan beli tapi buat sendiri... Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Respek Cikgu Mie.

Bata ini adalah untuk laluan Taman Ilmu SK Simpai dan juga laluan ke kolam renang SK Simpai yang akan disambung pembinaan sedikit masa lagi. Doakan kami agar dana Sekolah Kebangsaan Simpai sentiasa cukup untuk kegunaan sekolah dan anak bangsa kita. Walaubagaimanapun sumbangan luar juga amat diperlukan….” - SK Sg Simpai

Anda boleh saksikan bagaimana blok bata ni dibina oleh Cikgu Mie. Terima kasih Cikgu Mie.

Bercerita tentang dana pembinaan Academi Acuatiq SK Simpai, Cikgu Mie memang tak boleh duduk diam. Ada sahaja usahanya demi sekolah tercinta. Termasuklah misi menyiapkan tempahan gazebo dan pergola untuk dana pembinaan Academy Acuatiq SK Simpai ni.

“Misi menyiapkan tempahan gazebo dan pergola untuk dana pembinaan Academy Acuatiq SK Simpai. Insha ALLAH minggu depan siap empat buah. Terima kasih yang sudi menempah, semoga ALLAH memberikan sebaik-baik balasan di dunia dan akhirat.. Aamin.. Terima kasih isteriku sayang Nor Azlina Ahmad dan anak-anak kerana sentiasa membantu untuk menjayakannya.. semoga ALLAH sentiasa merahmati dan meredai kita sekeluarga.. aamiin..”

Menarik lain:

‘Pernah gagal SPM dan dihina kerana susah,’- Cikgu Mie bangkit dari kegagalan, buat pembaca sebak..

Kisah guru prasekolah sekolah orang asli, Cikgu Mie pernah jatuh tersungkur depan penemuduga