ADA dua kisah yang saya ingin kongsikan di sini

Kisah Satu

Sewaktu awal-awal bergelar guru dulu, saya pernah menghukum seorang murid Tingkatan Tiga kerana menangkapnya menghisap rokok. Tangan dan mulutnya berbau rokok. Tapi apabila ditanya, dia jawab tak hisap. Dia berbohong.

Pada keesokan harinya, ibu bapa murid tersebut datang ke sekolah mencari saya. Tetapi pentadbir dengan pantas menguruskan aduan ibu bapa murid itu tanpa memanggil saya. Tindakan pentadbir ketika itu sangat profesional. Akhirnya, aduan terhadap saya dapat diselesaikan dengan baik.

Tetapi pihak pentadbir ada memanggil saya ke pejabat selepas ibu bapa murid pulang. Pentadbir menasihati saya dengan sangat hikmah. Saya sangat menghargainya. Saya juga diberikan panduan dan SOP untuk menguruskan murid-murid yang bermasalah.

Peristiwa ini saya anggap sebagai pengajaran yang dapat mendidik diri saya sebagai seorang guru supaya tidak bertindak mengikut perasaan.

Kisah Dua

Pada suatu hari, ketika keluar daripada kelas seusai tamat waktu mengajar, saya terpandang dua orang murid dalam kelas sebelah sedang berpeluk-pelukan. Kedua-duanya duduk di atas sebuah kerusi. Si jantan merangkul pinggang si betina. Lama saya perhatikan lagak mesra dua orang murid ni. Cikgunya ada sedang duduk di hadapan, membaca surat khabar. Kelas ganti barangkali.

Saya bertindak spontan masuk ke dalam kelas dan menegur kedua-dua murid itu dengan nada suara yang tinggi. Semua orang di dalam kelas itu terkejut termasuk cikgunya. Selepas sedikit soal-siasat yang tegang, saya membawa kedua-dua murid terbabit ke pejabat untuk berjumpa dengan pentadbir.

Apabila berada di hadapan PK HEM dan PK1, saya menceritakan apa yang berlaku tetapi kedua-dua murid itu mengatakan saya BERBOHONG!

Selepas murid lelaki tersebut melafazkan perkataan “Cikgu Ridzuan berbohong”, rotan di tangan saya tiba-tiba terangkat dengan spontan dan hinggap di belikat murid itu.

Perasaan ketika itu sangat marah dan rasa terhina kerana seorang murid menuduh cikgunya berbohong. PK1 dengan segera menarik tangan saya supaya tidak berlaku adegan yang lebih dahsyat. Pentadbir menyuruh saya beredar dan serahkan kes ini kepada mereka.

Namun, pada keesokan harinya, bapa murid lelaki terbabit datang ke sekolah mencari saya. Pengetua meminta saya ke bilik mesyuarat untuk selesaikan masalah ini. Bapa murid lelaki itu bertanya kenapa merotan anaknya sehingga berbirat. Saya pun menceritakan hal sebenar. Bapanya beritahu dia terkilan kerana dia sendiri TIDAK PERNAH MEROTAN ANAKNYA.

Saya dituntut meminta maaf kepadanya kerana telah merotan anaknya. Itulah pertama kali saya berasa bahawa maruah saya sebagai seorang guru ‘jatuh’. Pengetua menasihati saya untuk meminta maaf kerana bimbang isu ini berlarutan. Saya ikutkan sahaja nasihat pengetua.

Selepas meminta maaf, saya terus keluar daripada bilik mesyuarat dengan jiwa yang ‘tawar’.

Walau bagaimanapun, saya tetap berterima kasih kepada bekas pengetua saya dahulu (Cikgu Bangawi Surey) yang dapat mengendalikan isu ini dengan profesional. Peristiwa ini juga telah menjadikan saya lebih matang dalam kerjaya saya sebagai seorang guru.

Pengajaran

Daripada kedua-dua kisah yang pernah berlaku pada diri saya ini, saya ingin tegaskan bahawa seorang guru tidak akan bertindak membabi-buta untuk menghukum muridnya tanpa sebab.

Kami hanya ingin mendidik. Kami ikhlas mendidik anak anda. Kami marah, menegur dan menghukum anak anda bukan kerana benci. Tapi kerana kami tidak mahu anak anda rosak sepertimana kami tidak mahu anak-anak kami sendiri yang melakukannya kesalahan tersebut.

Namun, jika ibu bapa memang teringin melihat masa hadapan anak-anak rosak, silakan. Marahlah guru, tengkinglah guru, hinalah guru, cercalah guru, samanlah guru. Kami tidak akan terkesan dengan semua ini, yang akan terkesan suatu hari nanti adalah anak-anak anda.

Terima kasih kepada anda yang masih menghormati guru.

Sekian

Ikhlas daripada,

Cikgu Mohd Ridzuan Md Nasir

Sumber: Facebook Mohd Ridzuan Md Nasir

ARTIKEL MENARIK:

'Tak boleh ustazah. Pagi ibu kalut masak dan malam saya ikut ibu pergi berniaga' - Netizen sebak

'Proses merotan bersifat mengajar dan mendidik bukannya mendera' - Ini kata Kaunselor Berdaftar

Sekolah dikelilingi alat permainan, patutlah 6.30 pagi murid dah datang - Macam dalam filem 3 Idiot!

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku