"Kamu pakai tudung cantik dah sayang, cikgu suka, tapi tak sesuai, kena pakai tudung sekolah, kenapa tak pakai tudung sekolah?

"Makcik saya belum ada duit lagi cikgu, nanti bila dah ada, makcik akan beli"

Sebak bila mengenangkan kisah seorang pelajar yang terpaksa memakai tudung bawal ke sekolah dek berdepan masalah kewangan.

Ketua Guru Disiplin dari sebuah sekolah, Cikgu Mohd Farazi Ab Razak berkata, kisah-kisah sebegini memang wujud dalam masyarakat kita.

"Sebagai seorang guru, hal-hal sebegini cukup membuatkan saya hampir menangis.

"Justeru, saya dan rakan-rakan lain akan berusaha melakukan apa sahaja asalkan anak-anak didik ini dapat mengikuti pembelajaran di sekolah dengan selesa," kata Cikgu Mohd Farazi kepada GPS Bestari.

Cikgu Mohd Farazi

Beliau berkata, sudah ramai pelajar yang tidak berkemampuan telah dibantu.

"Untuk bantu mereka, saya gunakan duit sumbangan daripada rakan-rakan pengikut facebook saya. Alhamdulillah, ramai pelajar yang sudah mula mengukir senyuman setelah menerima sumbangan. Terima kasih semua," ujarnya.

Ikuti kisah tudung bawal dengan uniform sekolah yang dimuat naik oleh Cikgu Mohd Farazi. Moga cerita ini memberi manfaat kepada pembaca semua. 

*****

Catatan bertarikh 11 April 2021

Minggu lepas hari pertama persekolahan sekolah menengah, ya, agak sibuk dan masing-masing guru mula beraksi.

Hari Rabu aku dapat mesej dan berita dari guru-guru perempuan mengenai boleh atau tidak seorang pelajar perempuan ni mengenakan tudung bawal dengan baju sekolah. Aku gembira ada rakan-rakan guru yang sangat prihatin dan sayangkan pelajar.

Selaku, Ketua Guru Disiplin sekolah, hari Jumaat, aku pun pergi berjumpa dengan pelajar itu. Rupanya ini pelajar yang hari kedua sekolah aku bagi duit makan sebab dia tak makan serta tiada bekal makanan.

Aku kata "Kamu pakai tudung cantik dah sayang, cikgu suka, tapi tak sesuai, kena pakai tudung sekolah, kenapa tak pakai tudung sekolah?

Dia jawab "Makcik belum ada duit lagi, nanti ada duit, dia habaq dia beli." Aku perhati lama,  hurm pelajar perempuan ni adik kepada pelajar yang kami guru-guru pernah bantu. Mereka tinggal bersama Makciknya. Mak ayah tak tahu pergi mana.

Makciknya OKU fizikal, kaki dan tangan kecil sebelah. Aku pun kata..."ok macam ni, datang sekolah hari-hari, tudung saya belanja sekali dengan buku tulis yang belum ada." Dia angguk dengan senyum manis.

Petang tu makciknya telefon aku guna nombor siapa entah, dia bagi tahu nak ganti duit jika aku beli tudung. Aku kata simpan sahaja kak duit tu untuk beli makanan berbuka Ramadan nanti.

Semalam aku bawa isteri aku belikan dia tudung baru dua helai. Esok aku nak suruh cikgu perempuan tolong serah. Duit sumbangan kawan-kawan aku masih ada lagi aku pegang. Insya-Allah, aku murnikan lebih banyak bulan Ramadan ini.

Kisah ini bukan rekaan drama pukul 7, tapi realiti yang masih berlaku dalam masyarakat walaupun sedikit. Orang susah ramai, jadi yang membantu perlu wujud untuk menghadirkan senyuman manis. Senyuman mereka yang menerima bantuan ni sangat manis tau. Sampai kau rasa gembira berhari-hari lihat mereka.

Kepada penyumbang, inilah cara untuk aku bantu salurkan sumbangan kepada yang memerlukan. Terima kasih rakan-rakan guru Malaysia yang sangat prihatin dengan anak murid kita. Allah rahmati kalian.

Sumber: Facebook Cikgu Farazi Razak

Artikel menarik

Inovasi penyelidik UTeM luar biasa, rangkul 24 pingat dan 2 anugerah khas pada CITREx 2021

12 tip senaman di asrama, pasti jadi momen berharga dengan rakan-rakan