Admin memang gemar apabila dikelilingi kanak-kanak mahupun remaja. Dahulu, Admin suka benar menjadi fasilitator. Apabila ada sahaja program seperti Bakti Siswa, Admin pasti akan turut serta. Admin gemar berinteraksi dengan mereka, menyelami hati mereka. Ada kala mereka yang senyap dan bersendiri itu ada pelbagai masalah, yang nakal juga begitu. Manakala yang periang, belum tentu bebas daripada masalah. Ada kala masalah mereka lebih besar, namun mereka bijak menyembunyikannya.

Pada pagi Jumaat yang mulia ini, perkongsian daripada seorang guru ini cukup membuatkan Admin sebak. Kasihan dengan adik ni. Ada saja yang tak kena pada pandangan ibu ayahnya.  Jadi, jangan cepat menghukum. Ikuti luahan guru ini yang kasihan pada keadaan anak muridnya dengan sedikit olahan daripada Admin.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

Murid buat masalah ada sebab. Sebelum kita membebel, sebelum kita menghukum, cari dulu puncanya.

 

Hari ini bersoal jawab secara personal dengan salah sorang murid yang ‘kantoi’ mencuri duit dewan makan asrama. Budak tahun 6. Budak ni muka baik dan dia memang baik pada awal-awal dia masuk asrama.

Tapi entah macam mana perangai dia berubah akhir-akhir ini. Selalu buat masalah, buli kawan, curi duit kawan, dan lain-lain.

Dipendekkan cerita, kita pun nasihatkan budak ini.  'End of' nasihat kita pun cakap la, “KESIAN MAK AYAH KAMU. Malu dia kamu buat perangai macam ni. Dia hantar kamu ke sini supaya kamu jadi baik, belajar pandai-pandai. Susah payah dia lahirkan kamu, membesarkan kamu bla..bla..bla.. bla...”

Dia pun tunduk, angguk-angguk masa kita cakap.

Sebelum mengakhiri sesi bebelan, kita pun tanya sikit 'background family' dia. Entah macam mana dia pun bercerita.

"Ayah saya, dia selalu pukul saya. Sebabnya saya gurau-gurau je dengan adik saya. Pastu adik saya menangis, ayah pukul saya. Kadang-kadang  tu sebab tak kemas bilik je. Ayah tibai dengan tali pinggang. Kadang-kadang dia tampar kat muka. Mak saya pun sama. Masa dia tengah marah, apa saja yang ada kat tangan, dia nak tibai saya. Pernah sekali tu ada pisau kat tangan dia, pisau tu dia nak cucuk kat perut saya."

"Pastu, hari tu ayah saya janji nak belikan saya 'handphone'. Hadiah hari jadi saya. Tapi dia tak beli pun. Lepas tu dia kata kalau dapat 6A UPSR baru dia beli."

Mungkin dia tak cukup duit kot. Gaji ayah kamu berapa jer...

"Tapi adik-adik saya dapat pulak. Gaji ayah saya 4 ribu. Ermm... 'last-last' saya beli sendiri pakai duit raya."
(Ada kawan cakap duit curi tu dia nak buat beli 'handphone'.)

Hmm... KESIAN KAMU...

 

Kredit: Hafiz Lidin