Hari ini Hari OKU Sedunia 2020. Tentu ramai golongan OKU yang berkongsi kehidupan mereka dalam laman sosial masing-masing.

Seperti Cikgu Mohd Huzaire Ahmad dari Sekolah Kebangsaan (SK) Mempaga 2, Bentong, Pahang ini.

Beliau asalnya seorang insan yang sempurna, namun akhirnya tergolong kategori OKU atas peristiwa tertentu.

Kepada GPS Bestari, Cikgu Mohd Huzaire berkongsi kisah yang mungkin akan menjadi kenangan kekal seumur hidupnya.

Ikuti perjalanan guru hebat ini

**********

Dari normal ke OKU

14.12.1999 satu tarikh yang telah mengubah hampir keseluruhan kehidupan aku. Daripada seorang yang sempurna fizikalnya kepada Orang Kurang Upaya berkerusi roda sepenuhnya.

Terjatuh dari pokok rambutan dan patah tulang belakang. Kecederaan bahagian T12 dan L2 telah menyebabkan aku lumpuh dari pinggang ke bawah.

Segala perancangan hancur berkecai. Baru tiga bulan bertunang sebelum kejadian. Tinggal enam bulan lagi sebelum menamatkan pembelajaran di Maktab Perguruan.

Aku terlantar di Hospital Taiping, Hospital Ipoh dan terakhir di Hospital Kuantan. Hampir lima bulan di hospital. Berpuasa dan berhari raya juga di sini. Kehidupan di hospital sangat menginsafkan.

Rakan sekatil meninggal di malam hari. Dimarahi jururawat. Mendengar lagu Raya di pagi hari raya pertama membuat air mata ku berlinang membasahi kelopak mata.

Paling sedih melihat emak menangis.

Aku pasrah apabila doktor memberitahu aku lumpuh selamanya. Dunia ku kelam. Masa depanku gelap. Kenapa aku perlu hidup. Kenapa aku diuji sedemikian rupa. Kenapa ?

Kini hampir 20 tahun aku memegang status OKU. Aku mengubah maksud OKU kepada Orang Kuat Usaha.

Namun terasa seperti Orang Kena Usir pulak. Adakala terasa seperti Orang Kena Umpat pun ada.

Aku mula belajar kesabaran tahap tertinggi. Mengalah di setiap perkara. Reda di setiap ketika. Pasrah di kala belum bermula. Ikhlas seadanya. Mengerti setiap masa. Faham dunia ini hanya sementara.

SELAMAT HARI ORANG KURANG UPAYA.

Terima kasih semua. Menerima kekurangan kami tanpa diskriminasi berbelah bahagi. Kami cuba yang termampu selagi hayat di kandung badan. Kita semua adalah pencari jalan pulang.

Sumber: Facebook Mohd Huzaire Haji Ahmad

Artikel menarik

Luahan hati seorang guru OKU yang pasti meruntun hati semua...

Rahsia menang emas pertandingan inovasi PDP. Ini kata Guru Inovatif Melaka