Zaman masuk darjah satu dulu teringat masa kali pertama masuk kelas. Ada yang terlebih berani, tak kurang juga yang takut dan menangis hingga mak ayah terpaksa tunggu tepi tingkap. Insan paling kental jiwa, tentulah cikgu… Cikgu bukan sahaja perlu tahu ilmu memujuk, malah harus sabar dan sentiasa tenang. Barulah murid pun rasa tenang dan selamat.

Sepertimana yang dilakukan oleh seorang guru dari SK Bukit Changgang, Kuala Langat ini. Tindakannya memujuk dan mendukung seorang murid tahun satu itu telah menarik perhatian netizen.

Beliau berkongsi dua keping gambar di facebook miliknya, rata-rata memuji tindakan Penolong Kanan Kokurikulum dari SK Bukit Changgang, Kuala Langat ini.

Menurut Cikgu S.Rosy Ahman, setiap pagi guru-guru akan menyambut kehadiran murid-murid selaras dengan Program Guru Penyayang.

Guru akan menanti murid di pintu pagar sambil menyapa ibu bapa dan memberi salam. Salam dihulur sambil membetulkan tudung atau kolar baju yang senget. Sambil tu, bertanya pada murid, sudah bersarapan atau belum.

“Pada suatu pagi, pandangan mata saya tertumpu kepada sepasang ibu dan ayah yang sedang memujuk anaknya turun dari motosikal. Anaknya menangis teresak-esak. Ayahnya nampak tidak keruan, sebab dah lambat hendak pergi bekerja. Ibunya dah menarik tangan anak, namun tidak berjaya. Waktu tu, saya cuba mendekati mereka dan bertanya, kenapa tak mahu ke sekolah. Susah bangun pagi katanya…

    “Saya pujuk dan terus sauk pinggang anaknya lalu menggendongnya. Nasib baik agak ringan walaupun meronta. Saya ambil beg dalam bakul motosikal sambil memberi isyarat suruh mak ayahnya balik. Terus hantar ke dalam kelas sambil bertanya sudah sarapan atau belum. Saya dudukkan murid di kerusinya dan berjanji akan belanja dia rehat nanti kalau berhenti menangis. Saya tinggalkan sambil intai dari tingkap. Lama-lama elok sahaja dia belajar,”katanya.

Menurut Cikgu S.Rosy lagi, anak orang sama macam anak sendiri. Semua cikgu memang bertanggapan begitu.  Biasalah murid-murid tahun satu, masalah susah bangun pagi adalah lumrah. Tapi bila dah berada di sekolah, semuanya baik-baik sahaja.

    “Ada kalanya ibu bapa mengambil anak lewat dari sekolah. Saya hantar murid tahun satu ni balik. Sampai sekarang pagi-pagi tersenyum simpul sambil mengucap salam apabila berjumpa saya. Saya berasa seronok  menjadi Penolong Kanan Kokurikulum di SK Bukit Changgang kerana mendapat sokongan dan kerjasama yang baik daripada guru-guru, warga sekolah, dan ibu bapa.

    “Banyak lagi aktiviti yang dijalankan dalam Program Penyayang, antaranya  sambutan hari jadi murid dan guru setiap bulan. Ada murid-murid yang tidak pernah menyambut hari jadi. Sebab tu berasa seronok apabila pihak sekolah mengadakan sambutan hari jadi buat mereka. Guru-guru akan menyuap kek untuk murid-murid. Sedikit sebanyak dapatlah menggalakkan murid untuk datang ke sekolah apabila sambutan harijadi diberitahu lebih awal,”jelasnya.

Artikel berkaitan:

Gara-gara tak mahu masuk kelas..cikgu SK RPS Dala, Gerik nekad dukung murid tahun satu

Pujuk-pujuk tak jalan, cikgu ini gendong anak murid ke kelas… ‘untung le kome’